#877: Berpuasa 31 Hari

Soalan

Assalamualaikum wbt. Untuk rakyat Malaysia yang kini sedang berada di Arab Saudi atau sekitarnya yang  berpuasa Ramadhan bermula Sabtu, 2 April 2022. Jika mereka pulang ke tanah air, ini bermakna mereka akan berpuasa selama 31 hari sekiranya Eid al-Fitri jatuh pada 3 Mei. Jadi, persoalan saya, adakah mereka mesti berpuasa selama 31 hari? Mohon pencerahan

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Puasa adalah salah satu ibadat yang difardhukan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya. Maka, setiap ibadat atau perbuatan yang khusus dilakukan kerana Allah SWT memerlukan niat sebagai membezakan di antara ibadat dan adat kebiasaan seperti membezakan di antara orang yang menahan diri daripada makan dan minum kerana berpuasa dengan orang yang tidak mempunyai makanan untuk dimakan. Puasa yang disyariatkan adalah untuk menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar sadiq hingga tenggelam matahari.

Bilangan Hari di dalam Bulan Hijriah

Sebagaimana disebutkan dalam hadith Ibnu ‘Umar R.Anhuma, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا الشَّهْرُ تِسْعٌ وَعِشْرُونَ فَلاَ تَصُومُوا حَتَّى تَرَوْهُ وَلاَ تُفْطِرُوا حَتَّى تَرَوْهُ فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَاقْدِرُوا لَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya bulan (hijriyah) antara 29 hari (atau 30 hari). Janganlah kamu berpuasa sehingga kamu melihat hilal (anak bulan). Dan janganlah kamu berhari raya sehingga kamu melihat hilal. Jika hilal tidak kelihatan, maka genapkanlah bulan Sya’ban menjadi 30 hari.[1]

Begitu juga dengan hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma, daripada Nabi SAW, bahawa Baginda bersabda:

إِنَّا أُمَّةٌ أُمِّيَّةٌ، لاَ نَكْتُبُ وَلاَ نَحْسُبُ، الشَّهْرُ هَكَذَا وَهَكَذَا» يَعْنِي مَرَّةً تِسْعَةً وَعِشْرِينَ، وَمَرَّةً ثَلاَثِينَ.

Maksudnya:Sesungguhnya kami adalah umat yang ummi, kami tidak menulis dan kami juga tidak mengira. Satu bulan itu, begini dan begini.” Maksudnya, kadang-kadang (jumlah harinya) dua puluh sembilan hari dan kadang-kadang tiga puluh hari.”[2]

Berpuasa 31 Hari Disebabkan Oleh Permusafiran

Pada asasnya, berpuasa pada bulan Ramadhan dan juga berhari raya pada bulan Syawal ditentukan berdasarkan kelihatannya anak bulan. Asas kepada perkara ini adalah berdasarkan sabda Nabi SAW :

صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ

Maksudnya: “Berpuasalah jika kamu melihatnya (anak bulan), dan berbukalah (berhari raya) jika kamu melihatnya (anak bulan)”[3]

إِذَا رَأَيْتُمْ الْهِلالَ فَصُومُوا وَإِذَا رَأَيْتُمُوهُ فَأَفْطِرُوا

Maksudnya: “Jika kamu melihat anak bulan, maka berpuasalah, dan berbukalah (berhari raya) jika kamu melihatnya.[4]

Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyatakan: Di dalam mazhab al-Syafi’ie, penentuan masuknya bulan Ramadhan atau bulan Syawal adalah berdasarkan anak bulan yang kelihatan di negara yang mempunyai matla’ yang sama.[5]

Matla’ bermaksud kawasan yang berada pada jangka masa waktu terbit dan terbenam matahari serta bulan yang hampir sama, atau lebih mudah difahami, ia bermaksud negara yang berkongsi waktu siang dan malam mereka.

Al-Khatib al-Syarbini menyatakan: “Dan apabila dilihat anak bulan di sesuatu negara, maka hukumnya adalah sama seperti negara yang berhampiran dengannya, sebagaimana kota Baghdad dengan kota Kufah kerana kedua-duanya seolah-olah seperti satu negeri, bukannya (hukum yang berbeza) bagi negeri yang jauh seperti Hijaz dan ‘Iraq pada pendapat yang lebih tepat”.[6]

Berkenaan dengan seseorang yang memulakan puasa di negara lain seperti di Arab Saudi atau yang sekitarnya yang memulakan puasa awal sehari disebabkan oleh kelihatannya anak bulan di negara mereka, kemudian dia bermusafir ke negara lain yang memulakan puasa lewat sehari dan melengkapkan 30 hari Ramadhan, maka hal ini akan menyebabkan dia berpuasa selama 31 hari. Justeru, al-Khatib al-Syiribini telah menjawab berkenaan isu ini, katanya:

Apabila tidak kelihatan anak bulan di satu negeri yang jauh, lalu dia bermusafir ke negeri yang belum kelihatan anak bulan Syawal dari negeri yang kelihatan anak bulan bagi sesiapa yang berpuasa di situ, maka pendapat yang paling sahih ialah dia wajib menyertai mereka, walaupun dia telah mencukupkan tiga puluh hari berpuasa. Hal ini kerana dengan perpindahannya ke negeri mereka (negeri yang belum kelihatan anak bulan Syawal), maka dia telah menjadi salah seorang daripada mereka, maka terpakai kepadanya hukum sepertimana hukum ke atas penduduk negeri tersebut”.[7]

Pengarang Kitab al-Fiqh al-Manhaji juga menyatakan: Para ulama’ menetapkan sesiapa di kalangan penduduk negeri yang telah kelihatan anak bulan, pergi ke negeri yang jauh, di mana penduduknya belum wajib berpuasa, maka dia hendaklah bersama-sama mengakhiri puasanya, sekalipun telah cukup 30 hari. Ini kerana dengan berada di negeri tersebut, dia dikira sebahagian daripada penduduknya dan tertakluk kepada peraturan mereka.[8]

Pandangan ini adalah bersandarkan kepada hadith sahih yang telah diriwayatkan daripada Kuraib, katanya:

رَأَيْتُ الْهِلَالَ بِالشَّامِ ثُمَّ قَدِمْتُ الْمَدِينَةَ فَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ: مَتَى رَأَيْتُمْ الْهِلَالَ؟ قُلْتُ: لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ، قَالَ: أَنْتَ رَأَيْتَهُ؟ قُلْتُ: نَعَمْ وَرَآهُ النَّاسُ وَصَامُوا، وَصَامَ مُعَاوِيَةُ فَقَالَ: لَكِنَّا رَأَيْنَاهُ لَيْلَةَ السَّبْتِ فَلَا نَزَالُ نَصُومُ حَتَّى نُكْمِلَ الْعِدَّةَ. فَقُلْتُ: أَوَلَا تَكْتَفِي بِرُؤْيَةِ مُعَاوِيَةَ وَصِيَامِهِ؟ قَالَ: لَا، هَكَذَا أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: “Aku melihat anak bulan di Syam pada malam Jumaat, kemudian aku pulang ke Madinah, lalu ibn ‘Abbas bertanya kepadaku: ‘Bilakah kamu melihat anak bulan?’ Aku menjawab: ‘Kami melihat pada malam Jumaat’, ibn ‘Abbas bertanya lagi: ‘Adakah engkau sendiri melihat anak bulan itu?’, Aku menjawab: ‘Ya, orang lain pun melihatnya dan mereka juga berpuasa, Mu’awiyah turut berpuasa.’ Ibn ‘Abbas berkata, ‘Kami di sini melihat anak bulan pada malam Sabtu, oleh itu kami terus berpuasa sehingga kami sempurnakan 30 hari Ramadhan’, Aku bertanya, ‘Tidakkah memadai bagi kamu dengan anak bulan yang dilihat oleh Mu’awiyah dan puasanya?’ Ibn ‘Abbas menjawab, ‘Tidak! Beginilah caranya Rasulullah SAW menyuruh kami berbuat demikian.”[9]

Syeikh Abdul Aziz bin Baz pernah ditanya berkenaan hal ini, maka jawab beliau: Hendaknya dia memulakan berpuasa dengan negeri yang dia berada dan berhari raya dengan negeri yang  didatangi walaupun dia akan berpuasa lebih daripada 30 hari. Hukum dia berhari raya adalah bersama dengan negeri yang dia berada. Hal ini kerana Nabi SAW bersabda:

الصَّوْمُ يَوْمَ تَصُومُونَ وَالْفِطْرُ يَوْمَ تُفْطِرُونَ وَالأَضْحَى يَوْمَ تُضَحُّونَ

Maksudnya:Puasa adalah bersama dengan manusia di tempat kalian berpuasa. Berhari raya bersama dengan manusia di tempat kamu berhari raya. Berhari Raya  Eid al-Adha juga bersama dengan manusia berhari raya.[10]

Maka bagi orang tersebut hendaklah ia berpuasa dan berhari raya dengan orang yang ada di negerinya.[11]

Kesimpulan

Matla’ negara Malaysia adalah berbeza dengan matla’ Arab Saudi kerana kedudukan kedua-dua negara ini adalah berbeza. Jarak antara Malaysia dan Arab Saudi adalah dianggarkan dalam 7000 kilometer dan jarak masa antara kedua negara ini adalah lebih kurang 5 jam. Kedudukan Arab Saudi yang berada pada kedudukan yang lebih barat berbanding negara kita menyebabkan peluang untuk anak bulan kelihatan di negara berkenaan adalah lebih tinggi berbanding di negara kita. Justeru, ketika anak bulan dicerap pada waktu matahari terbenam di Arab Saudi, kedudukan anak bulan tersebut adalah lebih tinggi berbanding di Malaysia. Oleh itu, kemungkinan peluang untuk anak bulan dapat dilihat adalah lebih tinggi di Arab Saudi berbanding di negara kita. Hal ini menyebabkan berlakunya perbezaan pada hari bermulanya Ramadhan, syawal dan bulan-bulan yang lain.

Justeru, dalam isu ini, kami melihat bahawa walaupun berlaku perbezaan permulaan hari puasa, dan dia bermusafir ke negeri lain yang lewat sehari daripadanya sehingga menyebabkan dia berpuasa 31 hari, maka dia wajib mengikut hukum di tempat dia berada pada ketika itu walaupun dia berpuasa selama 31 hari sebagaimana hujah-hujah yang kami kemukakan di atas.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 5 April 2022 bersamaan 3 Ramadhan 1443H

[give_form id=”14962″]

 

[1] Riwayat Muslim (1080)

[2] Riwayat al-Bukhari (1913)

[3] Riwayat al-Bukhari (1909) dan Muslim (1081)

[4] Riwayat Muslim (1081)

[5] Lihat al-Mu’tamad fi Fiqh asy-Syafi’e, 2/161

[6] Lihat Mughni al-Muhtaj Ila Ma’rifati Alfaz al-Minhaj, 2/144-145

[7] Ibid, 2/145

[8] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/78

[9] Riwayat Muslim (1087), at-Tirmizi (693), Abu Daud (2332), an-Nasai’e (2110)

[10] Riwayat al-Tirmidzi,(697),  Al-Baihaqi (4/252). Al-Hafizh Abu Thahir mengatakan bahwa sanad hadits ini hasan.

[11] Lihat Majmu’ Fatawa, 15/155

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *