#91 Jamak Solat Jumaat dengan Solat Asar

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Adakah boleh dijamakkan antara solat Jumaat dan solat Asar?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pertama, seorang yang bermusafir adalah diberi pilihan untuk solat Jumaat atau solat Zuhur, tanpa salah satunya lebih afdal daripada yang lain. Ini kerana orang yang bermusafir gugur kewajipannya untuk melaksanakan solat Jumaat.[1]

Pengecualian kepada orang musafir berdasarkan kepada perbuatan Nabi SAW yang tidak melakukan solat Jumaat ketika Baginda SAW bermusafir sepertimana ketika Nabi SAW dalam perjalanan menunaikan haji yang mana hari Arafah jatuh pada hari Jumaat, maka Nabi SAW telah melakukan solat Zohor dan Asar secara jamak. Pandangan itu dipegang oleh jumhur ulama’, antaranya seperti kata Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmu’: “Tidak diwajibkan Jumaat ke atas orang musafir dan ini adalah pegangan mazhab kami.”

Kedua, harus bagi orang yang bermusafir untuk menjamakkan solat sama ada jamak taqdim atau jamak ta’khir di sisi mazhab al-Syafie. Namun begitu, Imam Abu Hanifah tidak membenarkan jamak kecuali ketika haji. Justeru, sebahagian ulama Syafi’iyyah memandang bahawa afdal meninggalkan jamak untuk keluar daripada khilaf.[2]

Ketiga, berkenaan dengan isu solat jamak antara Jumaat dengan Asar, para ulama telah khilaf kepada dua pendapat.

  • Pertama, harus. Inilah pendapat ulama Syafie dan ditashihkan oleh Imam al-Suyuti dan dii’timadkan oleh al-Zarkasyi. Begitu juga telah diberi fatwa dengannya oleh Syeikh al-Ramli. Dalil mereka berdasarkan kepada qiyas solat Jumaat dengan Zohor.
  • Kedua, tidak harus. Inilah pendapat yang masyhur di kalangan Hanbali dan satu wajah di sisi ulama Syafie. Mereka berhujah jamak Asar kepada Jumaat tidak diharuskan kepada syarak kerana ibadah pada asalnya dibina atas tawaqquf tanpa boleh diqiyaskannya.

Saya cenderung kepada pendapat yang pertama iaitu diharuskan menjamakkan solat Jumaat dengan Asar kerana hujahan tersebut cukup kuat di samping adanya maslahat. Selain itu, dibenarkan melakukan jamak taqdim antara solat Jumaat dan solat Asar kerana solat Jumaat ialah badal (ganti) bagi solat Zuhur.[3]

Dalam hal ini, seseorang itu lebih faqih dan faham terhadap keadaan dan keperluan diri sendiri. Justeru, mengambil nilai samahah dan toleransi Islam, seseorang itu dapat menunaikan tuntutan ibadat dan solat dalam apa jua keadaan sekalipun dan itulah yang terlebih utama.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 12/11/21 bersamaan 7 Rabiul Akhir 1443H

[1] Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 1/498

[2] Lihat al-Mu’tamad, 1/477

[3] Lihat al-Majmu’ (4/383) dan Asna’ al-Matalib (1/242).

2 thoughts on “#91 Jamak Solat Jumaat dengan Solat Asar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *