#930: Maksud ‘Fitnah’ Dalam Ayat 25 Surah Al-Anfal

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah maksud ‘fitnah’ dalam ayat 25 daripada Surah al-Anfal? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Bagi menjawab soalan yang diajukan, kami datangkan terlebih dahulu ayat berkenaan, iaitu firman Allah SWT:

وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَّا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنكُمْ خَاصَّةً ۖ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya:Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya.”[1]

Secara umumnya, perkataan ‘fitnah’ berbeza maksudnya dari segi penggunaannya dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu. Dalam bahasa Arab ia memiliki beberapa makna, di antaranya seperti ujian dengan api, dugaan, terpesona dengan sesuatu, keraguan dan kekusutan fikiran, seksaan, kesesatan dan lain-lain.[2] Manakala dalam masyarakat Melayu, perkataan fitnah memberi makna yang lebih spesifik. Ia hanya merujuk kepada sebarang tuduhan yang diada-adakan untuk memburukkan atau membencanakan seseorang atau sesuatu pihak yang membawa kepada porak-peranda.[3] Justeru, jelaslah terdapat perbezaan makna perkataan ‘fitnah’ antara penggunaannya dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu.

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, kami bawakan di sini beberapa tafsiran ulama berkenaan maksud perkataan itu. Di antaranya:

  • Ibn Kathir ketika menafsirkan perkataan ‘fitnah’ dalam ayat ini menyebutkan, ia bermaksud ujian dan bala. Dalam erti kata lain, Allah SWT memperingatkan para hamba-Nya yang beriman tentang adanya ujian dan bala yang akan menimpa orang yang melakukan kejahatan dan orang selain mereka — yakni yang tidak melakukan kejahatan. Ia tidak hanya khusus tertimpa kepada pelaku maksiat, juga bukan hanya menimpa orang yang secara langsung melakukan dosa, akan tetapi turut menimpa kedua-duanya — yakni orang yang melakukan dosa dan yang tidak melakukan dosa — sekiranya ujian dan bala itu tidak ditolak dan diangkat.[4]
  • Begitu juga al-Baghawi turut menafsirkan perkataan ‘fitnah’ dalam ayat ini sebagai ujian dan bala.[5]
  • Selain itu, Abu Bakar al-Jaza’iri menafsirkan perkataan ‘fitnah’ dalam ayat di atas sebagai azab yang akan diuji dengannya seperti kemarau, penyakit dan penguasaan musuh.[6]
  • Begitu juga al-Nasafi menafsirkannya sebagai azab. Dalam erti kata lain, jika azab itu ditimpakan, ia bukan hanya khusus tertimpa ke atas orang yang zalim dalam kalangan kamu, tetapi turut menimpa ke atas kamu — yakni selain orang yang zalim.[7]
  • Di samping itu, dalam al-Mukhtasar fi Tafsir al-Quran turut menafsirkan ‘fitnah’ dalam ayat ini sebagai azab. Justeru, maksud ayat ini adalah berwaspadalah — wahai orang yang beriman — daripada azab yang bukan sahaja menimpa pelaku maksiat dalam kalangan kamu sahaja, malah turut meliputi orang selainnya. Perkara tersebut terjadi apabila kezaliman dan kemaksiatan berleluasa, namun tiada siapa yang berusaha untuk mengubahnya — yakni mencegahnya, dan yakinlah bahawa hukuman Allah itu adalah sangat dahsyat kepada mereka yang bermaksiat kepada-Nya. Oleh itu, berhati-hatilah daripada melakukan maksiat kepada-Nya.[8]
  • Selain daripada itu, al-Baidhawi pula menafsirkannya sebagai dosa yang mana kesannya akan turut menimpa kamu. Justeru, maksud ayat ini adalah berwaspadalah dengan dosa yang mana kesannya akan turut menimpa kamu iaitu seperti mengakui kemungkaran yang jelas berlaku di antara kamu, menipu dalam urusan amar makruf, memecah belah kesatuan orang Islam, menyebarkan bidaah dan lain-lain.[9]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa perkataan ‘fitnah’ dalam ayat 25 daripada Surah al-Anfal ini, adalah merujuk kepada ujian, bala, azab dan dosa. Dalam erti kata lain, ayat ini bermaksud Allah SWT mengingatkan orang beriman agar tidak membiarkan kemungkaran mahupun dosa yang berlaku di sekeliling mereka agar mereka tidak ditimpa ‘fitnah’ iaitu bala atau azab yang menimpa ke atas mereka semua. Hal ini kerana bala atau azab itu tidak hanya khusus tertimpa kepada pelaku maksiat, juga bukan hanya menimpa orang yang secara langsung melakukan dosa, akan tetapi turut menimpa kedua-duanya (yakni orang yang melakukan dosa dan yang tidak melakukan dosa) sekiranya ujian dan bala itu tidak ditolak dan diangkat — yakni jika tiada sesiapapun yang mencegahnya.

Wallahu a‘lam.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 12 April 2022 bersamaan 10 Ramadhan 1443H

[give_form id=”14962″]

[1] Surah al-Anfal: 25

[2] Lihat Lihat Tahzib al-Lughah, 14/296; Maqayis al-Lughah, 4/472; Kamus Besar Arab-Melayu Dewan, hlm. 1730.

[3] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=fitnah. Diakses pada 28 Mac 2022.

[4] Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir oleh al-Sabuni, 2/96.

[5] Lihat Tafsir al-Baghawi, 2/283.

[6] Lihat Aisar al-Tafasir, 2/297.

[7] Lihat Tafsir al-Nasafi, 1/639.

[8] Lihat al-Mukhtasar fi Tafsir al-Quran, hlm. 179.

[9] Lihat Tafsir al-Baidhawi, 3/55.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *