#938 Mengorek Hidung Ketika Berpuasa

Soalan

Apakah benar mengorek hidung tidak membatalkan puasa?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Puasa adalah salah satu ibadat yang difardhukan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya. Maka, setiap ibadat atau perbuatan yang khusus dilakukan kerana Allah SWT memerlukan niat sebagai membezakan di antara ibadat dan adat kebiasaan seperti membezakan di antara orang yang menahan diri daripada makan dan minum kerana berpuasa dengan orang yang tidak mempunyai makanan untuk dimakan. Puasa yang disyariatkan adalah untuk menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar sadiq hingga tenggelam matahari.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ، إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.”[1]

Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini berkata, yang dimaksudkan dengan keimanan adalah beri’tiqad akan hak kefardhuan puasa. Adapun yang dimaksudkan dengan pengharapan pula adalah memohon ganjaran daripada Allah SWT. Selain itu, Imam al-Khattabi berkata, yang dimaksudkan dengan pengharapan adalah azimah iaitu seseorang itu berpuasa dalam keadaan amat mengharapkan ganjaran yang baik daripada Allah SWT untuk dirinya tanpa merasa berat serta panjang hari-harinya.[2]

Namun begitu, terdapat beberapa perbuatan yang boleh membatalkan puasa seseorang itu, iaitu:

  • Makan dan minum. Batal sama ada sedikit atau banyak.
  • Sampainya ain kepada rongga tengah badan melalui laluan yang terbuka. Ain bererti fizikal sesuatu yang terlihat pada mata. Ruang tengah termasuklah bahagian otak, dan bahagian bawah halkum, perut dan terus ke kemaluan depan dan belakang. laluan terbuka bererti lubang mulut, hidung, qubul dan dubur.
  • Sengaja muntah.
  • Sekalipun tidak mengeluarkan air mani.
  • Istimna’ iaitu mengeluarkan air mani.
  • Datang darah haid atau nifas.
  • Gila dan murtad.

Semuanya membatalkan puasa apabila dilakukan secara sengaja (kecuali gila), jika tidak sengaja, terlupa dan dipaksa, maka tidak batal. [3]

Mengorek Hidung Ketika Berpuasa

Lubang hidung dianggap sebagai saluran terbuka yang bersambung kepada jauf, atau rongga tengah badan. Dalam mazhab al-Syafie, sengaja memasukkan suatu ain, benda fizikal, ke dalam jauh melalui saluran terbuka, tanpa keuzuran, adalah membatalkan puasa.

Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji ada menyebut bahawa salah satu daripada perkara yang membatalkan puasa ialah “sampainya suatu ain ke jauh (rongga) daripada saluran yang terbuka. Ain itu adalah suatu yang boleh dilihat dengan mata kasar. Jauf pula ialah bahagian otak atau bahagian selepas tekak sehingga perut dan usus-usus. Saluran terbuka pula bermaksud mulut, telinga, alat sulit hadapan, dan belakang, bagi lelaki dan perempuan.”[4]

Saluran hidung hukumnya sama seperti mulut yang terbahagi kepada bahagian zahir (luaran) dan batin (dalaman). Perbahasan ini boleh ditemukan dalam isu istinsyaq (memasukkan air ke dalam hidung) dan madhmadhah (berkumur-kumur) semasa berpuasa. Hal ini berdasarkan hadis Laqit bin Sobrah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda kepadanya:

أَسْبِغِ الوُضُوءَ، وَخَلِّلْ بَيْنَ الأَصَابِعِ، وَبَالِغْ فِي الِاسْتِنْشَاقِ، إِلَّا أَنْ تَكُونَ صَائِمًا

Maksudnya: “Sempurnakanlah wuduk, gosoklah di celahan jari-jemari, serta berlebihanlah ketika melakukan istinsyaq, melainkan jika kamu berpuasa.”[5]

Hukum berkumur-kumur dan istinsyaq semasa berwuduk adalah disunatkan, sama ada bagi orang yang berpuasa atau tidak. Cumanya, bagi orang yang berpuasa, mereka dilarang secara makruh untuk mubalaghah (melampau) semasa berkumur dan melakukan istinsyaq.

Syeikh Muhammad al-Zuhaili di dalam al-Mu’tamad menyebutkan pada perkara yang makruh dilakukan semasa berpuasa berkata: “Meninggalkan mubalaghah ketika berkumur dan istinsyaq bagi orang yang berpuasa, sebagai langkah berhati-hati supaya air tidak mendahuluinya sehingga ke tekak lalu dia menelannya sehingga membatalkan puasanya.”[6]

Syeikh Hasan al-Kaf menyatakan bahawa Maksud berkumur-kumur di sini adalah memasukkan air ke dalam mulut dan istinsyaq ialah memasukkan air ke dalam hidung. [7]

Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu` Syarh al-Muhazzab menukilkan kata Imam al-Syafie berkenaan maksud mubalaghah ketika berkumur dan isitinsyak, katanya:

Mubalaghah semasa berkumur itu ialah dengan mengambil air dengan kedua-dua bibirnya lalu memusing-musingkan air di dalam mulutnya kemudian meludahnya, dan semasa istinsyaq itu dengan mengambil air dengan hidungnya dan menarik air itu dengan nafasnya kemudian dihembus, dan tidak ditambah lebih daripada itu.”[8]

Imam al-Nawawi juga menukilkan pandangan ulama’ al-Syafi’iyyah, katanya: “Para ulama’ kami berkata: Berlebihan (mubalaghah) semasa berkumur itu ialah dengan menyampaikan air ke pangkal tekak dan memusing-musingkan air itu padanya, dan semasa istinsyaq itu dengan menyampaikan air kepada bahagian-bahagian kaisyum. Disebut dalam kitab al-Tatimmah: kemudian dia memasukkan jari-jemarinya dan menurunkan kotoran dari dalam hidungnya keluar.”[9]

Para ulama Syafieyyah menyebutkan had zahir dan had batin bagi hidung dalam konteks puasa. Antaranya seperti yang disebutkan oleh Syeikh Sulaiman al-Jamal dalam Hasyiahnya ke atas kitab Manhaj al-Tullab karangan Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari tentang had zahir bagi hidung, katanya: “Had bagi hidung sehingga hujung al-khaysyum (pangkal hidung). pada zahirnya, terbatal puasa apabila disengajakan mengeluarkan muntah daripada kawasan ini, dan menelan nukhamah (kahak) daripadanya. Tetapi jika dia menahannya daripada muntah, maka ia tidak membatalkan puasa walaupun dengan memasukkan sesuatu pula ke bahagian ini.[10]

Di dalam keputusan Majma’ al-Fiqh al-Islami yang bernombor 93 (10/1), disebutkan bahawa antara perkara yang tidak membatalkan puasa ialah menitis mata, telinga, berus gigi, menitis hidung, semburan hidung, dengan syarat iaitu selagi titisan yang jatuh itu tidak sampai ke kerongkong dan ditelan.[11]

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, jelaslah kepada kita bahawa perbuatan mengorek hidung tidak membatalkan puasa. Hal ini kerana diharuskan bagi orang yang berpuasa untuk berwuduk dengan mengamalkan sunat istinsyaq. Namun begitu, jika ia dibuat secara berlebihan sehingga sampai ke pangkal hidung atau kaisyum, maka ia dimakruhkan, selagi ia tidak sampai ke bahagian otak atau tekak. Jika sampai ke bahagian tersebut, maka batallah puasanya.

Justeru, berdasarkan fakta tersebut, jelaslah bahawa perbuatan mengorek hidung juga tidak membatalkan puasa kerana kaedah dan wasilahnya yang sama iaitu memasukkan suatu ain untuk mengeluarkan kotoran daripada lubang hidung. Ini juga kerana sekalipun terdapat perbuatan memasukkan ain ke dalam saluran yang terbuka, namun ia tidak sampai kepada had rongga sehingga membatalkan puasa. Namun jika dilakukan dengan melampau dengan alat-alat yang boleh menyampaikan ke bahagian otak maka batallah puasanya

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 13 April 2022 bersamaan 11 Ramadhan 1443H

[give_form id=”14962″]

[1]  Riwayat al-Bukhari (38) dan Muslim (760)

[2] Lihat Fath al-Bari, 4/115

[3] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/241-245

[4] Ibid, 1/342

[5] Riwayat Abu Dawud (142) dan al-Tirmidzi (788). Al-Tirmidzi mengatakan hadith ini sahih.

[6] Lihat al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/84

[7] Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 87

[8] Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 1/355

[9] Ibid

[10] Lihat Hasyiah al-Jamal, 2/317

[11] Lihat https://iifa-aifi.org/ar/2009.html

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *