#941 Air Liur Anjing yang Sudah Kering

[ux_products]

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu persoalan. Air liur anjing yang terkena pada bekas, tetapi sudah kering, adakah tetap dikira sebagai najis?  Mohon pencerahan. Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, menurut mazhab Syafi‘i, anjing keseluruhannya adalah najis, tidak kira anjing terlatih atau selainnya, anjing kecil atau besar. Ini juga merupakan pendapat al-Auza‘i, Abu Hanifah, Ahmad, Ishaq, Abu Thaur dan Abu ‘Ubaid. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasululullah SAW bersabda:

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya:Sucinya bekas salah seorang di antara kamu apabila ia (bekas) dijilat anjing adalah dengan cara membasuhnya sebanyak tujuh kali dan (basuhan) yang pertama dengan tanah.”[1]

Hadith ini juga jelas menunjukkan kepada kenajisan anjing. Hal ini kerana kesucian itu datang selepas daripada hadas atau najis. Maka, dalam konteks di sini kesucian bekas itu daripada hadas adalah tidak mungkin. Justeru, jelaslah bahawa bekas itu disucikan daripada najis.[2]

Selain daripada itu, kenajisan anjing juga dikategorikan sebagai najis mughallazah — yakni najis jenis yang berat. Dalil menunjukkan najis ini jenis yang berat ialah ia tidak memadai membasuhnya dengan air sekali sahaja seperti najis-najis yang lain. Dalam hal ini, ia mestilah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali, dan satu daripadanya dengan air tanah.[3] Selain itu, Ibn Qudamah menyebutkan, tidak ada khilaf dalam mazhab Hanbali bahawa kenajisan anjing wajib dibasuh sebanyak tujuh kali basuhan dan salah satunya adalah dengan tanah. Ini juga merupakan pendapat dalam mazhab al-Syafi‘i.[4]

Selain daripada itu, Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan dalam kitabnya bahawa para ulama berbeza pendapat mengenai hukum jilatan anjing. Menurut mazhab Syafi‘i, jilatan anjing itu menajiskan mana-mana bekas yang dijilatnya dan wajib membasuh bekas itu sebanyak tujuh kali basuhan dan salah satunya adalah dengan tanah. Inilah pendapat kebanyakan ulama. Ibn al-Munzir menukilkan berkenaan kewajipan membasuhnya sebanyak tujuh kali basuhan daripada Abu Hurairah, Ibn Abbas, ‘Urwah dan al-Zubair, Tawus, ‘Amr bin Dinar, Malik, al-Auza‘i, Ahmad, Ishaq, Abu ‘Ubaid dan Abu Thaur. Kemudian, Ibn al-Munzir memberikan isyarat bahawa inilah pendapat yang dikatakan (yakni dipegang) olehnya.[5] Di antara dalilnya adalah berdasarkan kepada daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya:Sucinya bekas salah seorang di antara kamu apabila ia (bekas) dijilat anjing adalah dengan cara membasuhnya sebanyak tujuh kali dan (basuhan) yang pertama dengan tanah.”[6]

Selain itu, terdapat dalam riwayat lain daripada Abu Hurairah R.A yang datang dengan lafaz:

يُغسلُ الإِناءُ إذا ولَغَ فيه الكلبُ سبْعَ مَراتٍ: أُولاهنَّ، أوْ أُخراهُنَّ بِالترابِ

Maksudnya:Dibasuh bekas yang dijilat oleh anjing sebanyak tujuh kali dan basuhan yang pertama atau basuhan yang terakhir itu adalah dengan tanah.”[7]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, air liur anjing yang sudah kering tetap dihukumkan sebagai najis yakni secara hukmiyyah. Bekas tersebut hanya dikira sebagai suci, jika dicuci dengan tujuh kali basuhan dan salah satu basuhannya dengan tanah. Dalam erti kata lain, ia adalah sama seperti hukum air kencing yang sudah kering yang tidak kelihatan secara jelas tanda-tandanya seperti bau, rasa dan warna. Oleh sebab itu, ia dikategorikan sebagai hukmiyyah. Cara membersihkannya pula adalah cukup sekadar mengalirkan air pada tempat yang terkena najis tersebut,[8] kerana ia kembali kepada cara asal membersihkan najis mutawassitah iaitu dengan air mutlak tanpa perlu kepada air campuran tanah. Berbeza halnya dengan air liur anjing yang termasuk dalam ketegori najis mughallazah sekalipun sudah kering.

Meskipun bahagian atau bekas yang terkena air liur anjing yang sudah kering tetap dihukumkan sebagai najis, namun ia tidak menajiskan benda-benda kering lain yang bersentuhan dengannya. Sebagai contoh, jika tangan kita yang kering, menyentuh bahagian yang terkena air liur anjing yang sudah kering, maka tangan kita tidak dikira terkena najis. Hal ini adalah sebagaimana difahami daripada kenyataan Imam al-Nawawi bahawa tidak ada perbezaan di sisi kami — yakni ulama mazhab Syafi‘i — antara jilatan anjing dengan selainnya yang terdiri daripada anggota-anggota anjing. Apabila terkena kencingnya, najisnya, darahnya, peluhnya, bulunya, air liurnya atau mana-mana anggota daripada anggota badannya yang bersih ketika dalam keadaan basah (atau lembap) salah satunya, maka wajib membasuhnya sebanyak tujuh kali basuhan dan salah satu daripada basuhan itu dengan tanah.[9] Dalam erti kata lain, ia hanya akan menajiskan benda lain, jika kedua-duanya atau salah satunya (yakni yang menyentuh dan yang disentuh) dalam keadaan basah dan lembap.

Tambahan pula dinyatakan dalam Fiqh al-‘Ibadat ‘ala Mazhab al-Syafi‘i bahawa jika sesuatu yang najis atau mutanajjis bersentuhan dengan sesuatu yang suci, maka hendaklah dilihat. Sekiranya kedua-duanya — yakni yang bernajis dan yang suci — dalam keadaan kering, maka sesuatu yang najis (atau yang mutanajjis) itu tidak akan memberi sebarang kesan kepada sesuatu yang suci itu. Hal ini adalah berdasarkan kepada kaedah fiqh yang menyebutkan, sesuatu yang kering adalah suci tanpa sebarang khilaf. Namun, jika salah satunya atau kedua-duanya dalam keadaan basah (atau lembap), maka sesuatu yang suci itu akan dikira najis, disebabkan oleh persentuhannya dengan sesuatu yang najis itu.[10]

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa jilatan anjing yang terkena pada bekas tetapi sudah kering tetap dihukumkan sebagai najis mughallazah yakni secara hukmiyyah. Cara membersihkannya adalah dengan air sebanyak tujuh kali basuhan, dan salah satu daripadanya dengan air tanah. Walau bagaimanapun, air liur anjing yang kering itu tidak menajiskan benda-benda kering lain yang bersentuhan dengannya. Sebagai contoh, jika tangan kita yang kering, menyentuh bahagian yang terkena air liur anjing yang sudah kering, maka tangan kita tidak dikira terkena najis.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 13 April 2022 bersamaan 11 Ramadhan 1443H

[1] Riwayat Muslim (279)

[2] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/567-568.

[3] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/40.

[4] Lihat al-Mughni, 1/73.

[5] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/580.

[6] Riwayat Muslim (279)

[7] Riwayat al-Tirmizi (91)

[8] Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm 135.

[9] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 3/185.

[10] Lihat Fiqh al-‘Ibadat ‘ala Mazhab al-Syafi‘i, 1/179.

Latest articles

Related articles