#943 Ayat al-Quran Terakhir yang Diturunkan

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah ayat al-Quran terakhir yang diturunkan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Oleh kerana al-Quran merupakan kitab Allah SWT, maka ia dikaji dan dibincangkan oleh ramai ulama. Ini kerana keistimewaan dan keunikan al-Quran itu sendiri. Di samping itu, al-Quran merupakan kitab yang mendapat pemeliharaan Allah daripada sebarang perubahan dan pindaan oleh tangan-tangan jahat. Firman Allah SWT:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.”[1]

Begitu juga firman Allah SWT:

كَمَا أَنزَلْنَا عَلَى الْمُقْتَسِمِينَ

Maksudnya: “(Kami berikan kepadamu al-Fatihah dan al-Quran) samalah seperti Kami menurunkan (kitab-kitab) kepada orang-orang yang membahagi-bahagi.”[2]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, para ulama telah berbeza pendapat berkenaan penentuan ayat al-Quran terakhir yang diturunkan. Menurut al-Zurqani, setiap pendapat yang dikemukakan oleh para ulama disandarkan kepada athar yang mana tidak ada satupun daripadanya hadith yang marfu‘ kepada Nabi SAW.[3] Akan tetapi ia merupakan suatu bentuk perkhabaran. Boleh juga dikatakan ia merupakan hasil daripada ijtihad dan taghlib al-Zan (sangkaan yang kuat) para ulama.[4]  Seterusnya, kami bawakan di sini pendapat-pendapat ulama berkenaannya sebagaimana dinukilkan oleh al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti dalam kitabnya. Di antaranya:

  • Al-Syaikhan (Imam al-Bukhari dan Muslim) meriwayatkan daripada al-Bara’ bin ‘Azib, beliau berkata: Ayat terakhir turun ialah “يَسْتَفْتُونَكَ قُلِ اللَّهُ يُفْتِيكُمْ فِي الْكَلالَةِ” (yakni surah al-Nisa’ ayat 176) dan surah terakhir yang turun ialah surah Bara’ah (surah al-Taubah).
  • Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata: Ayat terakhir yang turun ialah ayat riba. Begitu juga al-Baihaqi meriwayatkan daripada Umar R.A hadith sepertinya. Ayat yang dimaksudkan ialah firman Allah SWT: “يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَذَرُوا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبا” (yakni surah al-Baqarah ayat 278).
  • Al-Nasa’i meriwayatkan daripada jalur ‘Ikrimah, daripada Ibn Abbas, beliau berkata: Ayat al-Quran yang paling akhir turun ialah “وَاتَّقُوا يَوْماً تُرْجَعُونَ فِيهِ إِلَى اللَّهِ” (yakni surah al-Baqarah ayat 281).
  • Ibn Abi Hatim meriwayatkan daripada Sa‘id bin Jubair, katanya: Ayat terakhir turun daripada al-Quran semuanya ialah “وَاتَّقُوا يَوْماً تُرْجَعُونَ فِيهِ إِلَى اللَّهِ” (yakni surah al-Baqarah ayat 281). Nabi SAW hidup selama 9 malam setelah ayat ini turun. Kemudian Baginda wafat pada malam Isnin, 2 Rabi‘ul Awwal. Ibn Jarir meriwayatkan hadith seumpamanya daripada Ibn Juraij. Selain itu, beliau juga meriwayatkan daripada jalur ‘Atiyyah, daripada Abu Sa‘id, katanya: Ayat terakhir turun ialah “وَاتَّقُوا يَوْماً تُرْجَعُونَ فِيهِ إِلَى اللَّهِ” (yakni ayat 281 daripada surah al-Baqarah).
  • Abu ‘Ubaid meriwayatkan dalam al-Fadha’il, daripada Ibn Syihab, katanya:

آخِرُ الْقُرْآنِ عَهْدًا بِالْعَرْشِ آيَةُ الرِّبَا ، وَآيَةُ الدَّيْنِ

Maksudnya:Ayat al-Quran terakhir yang berada di arasy adalah ayat riba dan ayat al-dain (hutang).”

  • (Dinyatakan) dalam al-Mustadrak daripada Ubai bin Ka‘ab, beliau berkata: Ayat terakhir turun ialah “لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ” sehingga akhir surah (yakni ayat 128-129 daripada surah al-Taubah).
  • Ibn Mardawaih meriwayatkan daripada Ubai bin Ka‘ab, katanya: Ayat al-Quran terakhir berada di sisi Allah ialah dua ayat ini iaitu “لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ” (yakni daripada ayat 128 hingga 129, surah al-Taubah).
  • Abu al-Syeikh meriwayatkan dalam tafsirnya, daripada jalur Ali bin Zaid, daripada Yusuf al-Makki, daripada Ibn Abbas, beliau berkata: Ayat terakhir yang turun ialah (لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ).[5]

Selain daripada itu, Ibn al-Jauzi menukilkan pendapat Ibn Abbas, Abu Sa‘id al-Khudri, Sa‘id bin Jubair, ‘Atiyyah dan Muqatil berkata: “Inilah ayat yang terakhir diturunkan.”[6]

Tambahan lagi, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan, pendapat yang paling tepat berkenaan ayat terakhir yang diturunkan ialah ayat 281 daripada surah al-Baqarah[7] iaitu firman Allah SWT:

وَاتَّقُوا يَوْمًا تُرْجَعُونَ فِيهِ إِلَى اللَّـهِ ۖ ثُمَّ تُوَفَّىٰ كُلُّ نَفْسٍ مَّا كَسَبَتْ وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan peliharalah diri kamu daripada huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun.”[8]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa telah berlaku perselisihan pendapat dalam kalangan ulama mengenai ayat terakhir yang diturunkan. Dalam hal ini, kami cenderung kepada pendapat yang menyatakan bahawa ayat terakhir yang diturunkan ialah ayat 281 daripada surah al-Baqarah sebagaimana pendapat yang dipilih oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani dan disokong oleh kebanyakan ulama.

Walau bagaimanapun, kami juga ingin menyatakan bahawa mengetahui ayat terakhir yang diturunkan bukanlah suatu kefardhuan dalam agama. Begitu juga tidak dinaskan oleh Rasulullah SAW supaya kita mengetahuinya. Oleh itu, dalam hal ini telah berlaku khilaf dalam kalangan ulama dan ia tidak dapat disabitkan dengan ilmu yang qat‘i. Selain itu, para sahabat juga memberikan pandangan tentang ayat terakhir diturunkan menurut kadar ilmu dan pengetahuan mereka. Boleh jadi seseorang sahabat ada bersama Nabi SAW ketika satu ayat diturunkan, dan beliau yakin itu merupakan ayat terakhir, namun beliau tidak mengetahui bahawa adanya ayat lain yang diturunkan selepasnya ketika ketiadaannya bersama Baginda SAW. Perkara ini juga adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Abu Bakar al-Baqillani.[9]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 13 April 2022 bersamaan 11 Ramadhan 1443H

[give_form id=”14962″]

[1] Surah al-Hijr: 9

[2] Surah al-Hijr: 90

[3] Lihat Manahil al-‘Irfan, 1/96-97.

[4] Lihat al-Intisar li al-Quran, 1/245.

[5] Lihat al-Itqan fi ‘Ulum al-Quran, 1/101-103.

[6] Lihat Zad al-Masir, 1/289.

[7] Lihat Fath al-Bari, 8/317.

[8] Surah al-Baqarah: 281

[9] Lihat al-Intisar li al-Quran, 1/246.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *