#945 Memakai Ubat Titis Mata Ketika Puasa

[ux_products]

Soalan

Apakah menggunakan ubat menitis mata membatalkan puasa?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Puasa adalah salah satu ibadat yang difardhukan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya. Maka, setiap ibadat atau perbuatan yang khusus dilakukan kerana Allah SWT memerlukan niat sebagai membezakan di antara ibadat dan adat kebiasaan seperti membezakan di antara orang yang menahan diri daripada makan dan minum kerana berpuasa dengan orang yang tidak mempunyai makanan untuk dimakan. Puasa yang disyariatkan adalah untuk menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar sadiq hingga tenggelam matahari.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ، إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.”[1]

Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini berkata, yang dimaksudkan dengan keimanan adalah beri’tiqad akan hak kefardhuan puasa. Adapun yang dimaksudkan dengan pengharapan pula adalah memohon ganjaran daripada Allah SWT. Selain itu, Imam al-Khattabi berkata, yang dimaksudkan dengan pengharapan adalah azimah iaitu seseorang itu berpuasa dalam keadaan amat mengharapkan ganjaran yang baik daripada Allah SWT untuk dirinya tanpa merasa berat serta panjang hari-harinya.[2]

Namun begitu, terdapat beberapa perbuatan yang boleh membatalkan puasa seseorang itu, iaitu:

  • Makan dan minum. Batal sama ada sedikit atau banyak.
  • Sampainya ain kepada rongga tengah badan melalui laluan yang terbuka. Ain bererti fizikal sesuatu yang terlihat pada mata. Ruang tengah termasuklah bahagian otak, dan bahagian bawah halkum, perut dan terus ke kemaluan depan dan belakang. laluan terbuka bererti lubang mulut, hidung, qubul dan dubur.
  • Sengaja muntah.
  • Sekalipun tidak mengeluarkan air mani.
  • Istimna’ iaitu mengeluarkan air mani.
  • Datang darah haid atau nifas.
  • Gila dan murtad.

Semuanya membatalkan puasa apabila dilakukan secara sengaja (kecuali gila), jika tidak sengaja, terlupa dan dipaksa, maka tidak batal. [3]

Menggunakan Ubat Titis Mata

Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji ada menyebut bahawa salah satu daripada perkara yang membatalkan puasa ialah “sampainya suatu ain ke jauh (rongga) daripada saluran yang terbuka. Ain itu adalah suatu yang boleh dilihat dengan mata kasar. Jauf pula ialah bahagian otak atau bahagian selepas tekak sehingga perut dan usus-usus. Saluran terbuka pula bermaksud mulut, telinga, alat sulit hadapan, dan belakang, bagi lelaki dan perempuan.”[4]

Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya al-Mu’tamad: Di antara perkara yang membatalkan puasa adalah dengan memasukkan sesuatu ke rongga dalam (ruang selepas halkum hingga usus dan tali perut) melalui ruang yang sedia terbuka iaitu mulut, telinga, qubul dan dubur sama ada lelaki mahupun perempuan. Sekiranya memasukkan sesuatu melaluinya sehingga sampai ke rongga dalam badan maka terbatal puasanya. Begitu juga memasukkan ubat ke dalam telinga batal puasanya. Adapun sekiranya memasukkan ubat ke dalam mata tidak membatalkan puasa ini kerana mata tidak termasuk di dalam ruang yang terbuka.[5]

Dar al-Ifta Jordan dalam fatwa puasanya menyatakan, “Ubat mata tidak membatalkan puasa walaupun dapat merasakannya di halkum. Ini kerana mata bukanlah tergolong di dalam ruang yang menyalurkan sesuatu sehingga ke rongga.[6]

Begitu juga Dar al-Ifta al-Misriyyah dalam laman sosial rasminya menjawab persoalan berkenaan dengan perbezaan pendapat hukum meletak ubat di dalam mata. Mengukut pendapat al-Imam Syafie’ memasukkan ubat ke dalam mata sehingga sampai ke halqum, tidak membatalkan puasanya.[7]

Di dalam keputusan Majma’ al-Fiqh al-Islami yang bernombor 93 (10/1), disebutkan bahawa antara perkara yang tidak membatalkan puasa ialah menitis mata, telinga, berus gigi, menitis hidung, semburan hidung, dengan syarat iaitu selagi titisan yang jatuh itu tidak sampai ke kerongkong dan ditelan.[8]

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, memasukkan ubat ke dalam mata tidak membatalkan puasa. Hal ini kerana mata bukanlah termasuk di dalam kategori ruang yang sedia terbuka. Walaupun dapat merasakan kesan ubat sehingga ke rongga dalam namun ia tidak membatalkan puasa.

Manakala, sekiranya terdapat sesuatu yang masuk tanpa disengajakan melalui ruang yang sedia terbuka seperti mulut, telinga, qubul dan dubur sehingga ke rongga dalam, maka tidak membatalkan puasanya ini seperti mana hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA sabda Nabi SAW:

مَنْ نَسِيَ وَهُوَ صَائِمٌ فَأَكَلَ أَوْ شَرِبَ فَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ فَإِنَّمَا أَطْعَمَهُ اللَّهُ وَسَقَاهُ

Maksudnya: Sesiapa yan g terlupa, sedang dia berpuasa, lalu dia makan dan minum, dia hendaklah meneruskan puasa. Sesungguhnya Allah SWT yang memberinya makan dan minum itu.[9]

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 14 April 2022 bersamaan 12 Ramadhan 1443H

[1]  Riwayat al-Bukhari (38) dan Muslim (760)

[2] Lihat Fath al-Bari, 4/115

[3] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/241-245

[4] Ibid, 1/342

[5] Lihat al-Muktamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/181

[6] Lihat http://aliftaa.jo/ShowContentPrint.aspx?Id=103

[7] Lihat http://www.dar-alifta.org, fatwa No. 256

[8] Lihat https://iifa-aifi.org/ar/2009.html

[9] Riwayat Muslim (1155)

Latest articles

Related articles