Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Bolehkah kita belajar dan mengambil ilmu daripada orang bukan Islam? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya ilmu terbahagi kepada dua iaitu ilmu syar‘i dan ilmu duniawi. Pertamanya, berkenaan ilmu syar‘i, kita dilarang daripada mempelajari mahupun bertanya soal agama kita kepada mereka. Malah, ada sebahagian ulama berpendapat bertanya kepada Ahli Kitab berkenaan permasalahan agama — yakni Islam — hukumnya adalah haram.[1] Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat Jabir bin Abdullah R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لا تَسألوا أهلَ الكِتابِ عن شيءٍ؛ فإنَّهم لن يَهْدوكم وقد ضلُّوا؛ فإنَّكم إمّا أنْ تُصدِّقوا بباطلٍ، أو تُكذِّبوا بحقٍّ؛ فإنَّه لو كان موسى حيًّا بيْنَ أظهُرِكم، ما حلَّ له إلّا أنْ يتَّبِعَني
Maksudnya: “Janganlah kamu bertanya kepada Ahli Kitab tentang sesuatu (dalam permasalahan agama), kerana mereka tidak akan memberikan petunjuk kepada kamu, sesungguhnya mereka telah sesat. Oleh itu, kamu sama ada akan membenarkan perkara yang batil atau mendustakan perkara yang haq. Kalaulah seandainya Musa masih hidup di antara kamu, maka tidak halal baginya kecuali mengikuti ajaranku.”[2]
Begitu juga Imam al-Bukhari turut meriwayatkan daripada Abdullah bin Abbas R.Anhuma, beliau berkata:
يَا مَعْشَرَ الـمُسْلِمِينَ، كَيْفَ تَسْأَلُونَ أَهْلَ الكِتَابِ، وَكِتَابُكُمُ الَّذِي أُنْزِلَ عَلَى نَبِيِّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحْدَثُ الأَخْبَارِ بِاللَّهِ، تَقْرَءُونَهُ لَمْ يُشَبْ وَقَدْ حَدَّثَكُمُ اللَّهُ أَنَّ أَهْلَ الكِتَابِ بَدَّلُوا مَا كَتَبَ اللَّهُ وَغَيَّرُوا بِأَيْدِيهِمُ الكِتَابَ. فَقَالُوا: هُوَ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ؛ لِيَشْتَرُوا بِهِ ثَمَنًا قَلِيلًا. أَفَلاَ يَنْهَاكُمْ مَا جَاءَكُمْ مِنَ العِلْمِ عَنْ مُسَاءَلَتِهِمْ؟ وَلاَ وَاللَّهِ مَا رَأَيْنَا مِنْهُمْ رَجُلًا قَطُّ يَسْأَلُكُمْ عَنِ الَّذِي أُنْزِلَ عَلَيْكُمْ
Maksudnya: “Wahai sekalian Muslimin, bagaimanakah (mengapakah) kamu bertanyakan kepada Ahli Kitab sedangkan kitab kamu yang telah diturunkan kepada Nabi-Nya SAW adalah khabar terbaharu daripada Allah, yang kamu membacanya (dan kamu mengetahui) ia tidak diselewengkan, dan sesungguhnya Allah SWT telah menyampaikan kepada kamu bahawa Ahli Kitab telah menukar ganti apa yang ditetapkan oleh Allah dan mengubah kitab Allah dengan tangan-tangan mereka. Kemudian mereka mengatakan ia adalah dari sisi Allah, supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit. Kenapakah ilmu yang kamu perolehi tidak menghalang kamu daripada bertanya kepada mereka? Dan tidak, demi Allah, kami tidak pernah melihat sama sekali salah seorang pun daripada mereka yang bertanya kepada kamu tentang apa yang diturunkan kepada kamu.”[3]
Justeru, jelaslah bahawa mempelajari ilmu syar‘i mestilah daripada para ulama dan guru kaum Muslimin sendiri. Selain daripada itu juga, bagaimana mungkin untuk kita mempelajari sesuatu berkaitan agama kita — yakni Islam — daripada mereka yang menyelisihinya dan tidak mempercayainya. Keduanya, berkenaan ilmu duniawi pula, seperti ilmu matematik, kimia, sains, penulisan dan seumpamanya, maka tidak mengapa mempelajari atau mengambilnya daripada guru dalam kalangan kaum Muslimin mahupun bukan Islam. Terdapat riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:
كان ناسٌ من الأسرى يومَ بدرٍ لم يكن لهم فداءٌ فجعل رسولُ اللهِ صلّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ فداءَهم أنْ يُعَلِّمُوا أولادَ الأنصارِ الكتابةَ قال: فجاء يومًا غلامٌ يبكي إلى أبيه فقال: ما شأنُك قال: ضربني مُعلِّمي قال: الخبيثُ يطلبُ بِذَحْلِ بدرٍ واللهِ لا تأتيه أبدًا
Maksudnya: “Apabila seorang tawanan pada perang Badar tidak boleh menebus dirinya, maka Rasulullah SAW menjadikan tebusan mereka untuk mengajarkan kepada anak-anak daripada kalangan Ansar menulis. Beliau berkata: Pada suatu hari, seorang anak datang sambil menangis kepada bapanya. Maka bapanya bertanya: ‘Apa yang terjadi kepadamu?’ Dia menjawab: ‘Guruku memukulku.’ Bapanya berkata: ‘Si buruk itu. Dia telah menuntut bela dengan tawanan Badar itu. Demi Allah jangan lagi engkau mendatanginya.’”[4]
Selain daripada itu, Ibn Qayyim al-Jauziyyah juga ada menyebutkan bahawa telah sabit daripada Nabi SAW berkaitan tawanan perang, di mana ada sebahagian daripada mereka yang dibunuh. Begitu juga ada sebahagian daripada mereka yang ditebus dengan harta dan ada juga daripada kalangan mereka yang ditebus dengan mengajarkan kepada sekumpulan kaum Muslimin (yakni anak-anak mereka) menulis.[5]
Di samping itu, Mantan Mufti Besar Arab Saudi juga ada menyebutkan, buku-buku yang ditulis oleh orang terdahulu daripada kalangan ilmuan Islam, atau yang ditulis oleh orang bukan Islam, yang memberi manfaat kepada kaum Muslimin dan membantu mereka untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi musuh. Ia termasuk dalam jenis ilmu duniawi yang diberi perhatian, jika ia memberi manfaat kepada kaum Muslimin dan membantu mereka dalam menyediakan kekuatan dan kesungguhan dalam perkara yang menguntungkan mereka bagi agama mereka, menguatkan tentera meraka dan kesungguhan mereka bagi melawan musuh-musuh mereka.[6]
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa tidak mengapa seorang Muslim itu belajar atau mengambil ilmu pengetahuan daripada guru bukan Islam, jika ia merupakan ilmu duniawi seperti ilmu matematik, menulis, membaca, perubatan dan seumpamanya. Namun, jika ia termasuk dalam jenis ilmu syar‘i seperti ilmu akidah, tatacara solat, puasa, dan seumpamanya, maka ia adalah tidak dibenarkan kerana bagaimana mungkin untuk kita mempelajari sesuatu berkaitan agama kita — yakni Islam — daripada mereka yang langsung tidak mempercayainya.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 15 April 2022 bersamaan 13 Ramadhan 1443H
[give_form id=”14962″]
[1] Lihat Usul fi al-Tafsir, hlm. 68-69.
[2] Riwayat Ahmad (14631)
[3] Riwayat al-Bukhari (2685)
[4] Riwayat Ahmad (2216)
[5] Lihat Zad al-Ma‘ad, 5/59-60.
[6] Lihat Majmu‘ Fatawa Ibn Baz, 6/212.