#953 Imam Ahmad Bertemu dengan Penjual Roti

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Adakah benar kisah penjual roti yang dapat bertemu dengan Imam Ahmad bin Hanbal disebabkan banyak beristighfar? Ada yang mengatakan bahawa kisah ini ada dinukilkan di dalam kitab Manaqib al-Imam Ahmad oleh Ibn al-Jauzi. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nama Imam Ahmad bin Hanbal bukanlah suatu nama yang asing lagi dalam masyarakat kita. Beliau seorang tokoh yang cukup dikenali di seluruh dunia, sebagai Imam Ahli Sunnah. Ketokohan dan kehebatan Imam Ahmad tidak dapat disangkal lagi. Hal ini dapat dilihat melalui pujian dan pengiktirafan ulama lain terhadapnya. Di antaranya, pengiktirafan Muhanna’ bin Yahya terhadapnya, di mana beliau menyebutkan bahawa beliau tidak pernah melihat seorangpun yang terhimpun padanya segala kebaikan berbanding Imam Ahmad bin Hanbal. Kemudian, beliau menegaskan lagi, beliau telah melihat Sufyan bin ‘Uyainah, Waki‘, ‘Abd al-Razzaq dan ramai lagi dalam kalangan ulama. Namun, tidak ada seorangpun yang seperti Imam Ahmad bin Hanbal dari segi keilmuannya, kefaqihannya, kezuhudannya dan kewarakannya.[1]

Seterusnya, tidak dapat dinafikan bahawa kisah antara penjual roti yang dapat bertemu dengan Imam Ahmad banyak tersebar sama ada di dalam penulisan agama mahupun di meja-meja penceramah. Kami bawakan terlebih dahulu kisahnya secara ringkas, diceritakan bahawa Imam Ahmad ketika dalam permusafiran telah singgah di sebuah kota. Beliau ingin berehat dan tidur di sebuah masjid tetapi telah dihalang oleh penjaga masjid yang meminta untuk beliau keluar. Penjaga masjid berkenaan tidak mengenali Imam Ahmad. Lalu, Imam Ahmad pun keluar dan mahu berbaring di luar masjid, namun tetap dilarang oleh penjaga masjid tadi. Dari kejauhan, terdapat seorang penjual roti yang sedang memerhatikan kejadian tersebut, lalu memanggil Imam Ahmad ketika beliau melalui tempatnya berniaga. Disapanya Imam Ahmad dan menjemputnya untuk beristirahat di tempatnya. Imam Ahmad masih memperkenalkan dirinya sebagai musafir. Sepanjang berada di tempat rehat yang disediakan iaitu berdekatan dengan si penjual roti, beliau mendengar penjual roti tersebut sering beristighfar. Pada setiap tindakannya ketika membuat roti, dia tidak putus-putus beristighfar. Imam Ahmad bertanya kepada penjual roti berkenaan: “Apakah kesan daripada perbuatanmu ini?” Penjual roti itu menjawab: “Semua permintaanku dikabulkan Allah SWT kecuali satu iaitu aku memohon kepada Allah SWT untuk mempertemukan aku dengan Imam Ahmad.” Mendengar jawapannya itu, Imam Ahmad bertakbir lalu berkata: “Aku didatangkan ke sini kerana istighfarmu.” Lelaki tadi pun bertahmid memuji Allah SWT kerana permintaannya telah pun dikabulkan.

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami tidak menjumpai kisah Imam Ahmad bersama penjual roti sebagaimana yang diceritakan di atas di dalam Manaqib al-Imam Ahmad oleh Ibn al-Jauzi, mahupun daripada mana-mana kitab muktabar yang lain. Malah, Prof. Dr. Umar bin Abdullah al-Muqbil[2] turut menyatakan bahawa kisah ini tidak diketahui asalnya daripada mana-mana kitab al-Tarajum dan al-Manaqib, khususnya kitab-kitab yang menceritakan berkenaan biografi Imam Ahmad bin Hanbal seperti Manaqib al-Imam Ahmad oleh Ibn al-Jauzi, Tabaqat al-Hanabilah, Siyar A‘lam al-Nubala’, Tarikh Baghdad, al-Bidayah wa al-Nihayah dan lain-lain kitab yang ada menceritakan mengenai kehidupan Imam Ahmad.[3]

Sekalipun begitu, kami menjumpai kisah yang hampir serupa sebagaimana kisah yang disebutkan di atas. Namun, kisah tersebut bukanlah pertemuan Imam Ahmad dengan penjual roti tetapi sebaliknya dengan Ishaq bin Rahawayh. Ibn al-Jauzi telah menukilkan riwayat daripada Abdullah bin Ahmad yang menceritakan bahawa apabila ayahnya telah dibebaskan daripada Mihnah (Khalq al-Quran). Beliau risau sekiranya Ishaq bin Rahawayh terlebih dahulu datang menemuinya. Oleh itu, beliau telah berangkat pergi kepadanya. Apabila beliau sampai di sebuah bandar yang bernama al-Rai, beliau telah masuk ke dalam sebuah masjid. Ketika itu, hujan turun sangat lebat. Apabila hari semakin lewat malam, Imam Ahmad telah diarahkan untuk keluar dari masjid tersebut kerana penjaga masjid sudah mahu menutupnya — yakni mengunci masjid tersebut. Imam Ahmad pun lantas berkata: “Ini ialah masjid Allah dan aku pula ialah hamba Allah.” Kemudian, dikatakan kepadanya: “Mana yang lebih kamu suka, dikeluarkan atau kamu keluar berjalan sendiri dengan kaki kamu?” Imam Ahmad pun memberi salam kepada mereka dan terus keluar dari masjid tersebut dalam keadaan hujan masih turun dengan lebatnya bersama dentuman guruh dan kilat yang sabung menyabung. Beliau tidak tahu ke mana arah yang hendak dituju. Kemudian, seorang lelaki telah keluar dari rumahnya dan bertanya kepada Imam Ahmad: “Wahai saudara, ke manakah kamu hendak pergi pada waktu ini?” Beliau menjawab: “Aku tidak tahu ke mana mahu pergi.” Kemudian, lelaki tersebut berkata kepada Imam Ahmad: “Masuklah!” Dia telah membawa masuk Imam Ahmad ke dalam rumahnya dan memberinya pakaian ganti yang kering serta menanggalkan pakaian yang basah. Kemudian, Imam Ahmad berwuduk untuk menunaikan solat. Kemudian, Imam Ahmad telah dihidangkan pula dengan makanan dan dijemput makan bersama dengan mereka — yakni lelaki tadi bersama ahli keluarganya. Beliau pun makan bersama mereka. Lelaki itu bertanya kepada Imam Ahmad: “Kamu datang dari mana?” Beliau menjawab: “Aku dari Baghdad.” Lelaki itu bertanya lagi: “Adakah kamu kenal seorang lelaki yang bernama Ahmad bin Hanbal?” Beliau menjawab: “Akulah Ahmad bin Hanbal.” Kemudian lelaki itu pula berkata (sambil memperkenalkan dirinya): “Dan aku pula Ishaq bin Rahawayh.”[4]

Walau bagaimanapun, kisah ini dinilai oleh al-Zahabi sebagai hikayat palsu dan mengkritik Ibn al-Jauzi kerana memasukkan kisah ini di dalam kitabnya.[5]

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa kisah penjual roti yang dapat bertemu Imam Ahmad bin Hanbal kerana banyak beristighfar, tidak diketahui asalnya. Bahkan, perkara ini turut disokong oleh Prof. Dr. Umar bin Abdullah al-Muqbil dalam kenyataannya sebagaimana disebutkan di atas.  Meskipun begitu, terdapat kisah lain yang hampir serupa tetapi bukanlah melibatkan antara Imam Ahmad dengan penjual roti, sebaliknya pertemuan Imam Ahmad dengan Ishaq bin Rahawayh. Namun, al-Zahabi telah menilai kisah tersebut sebagai palsu di dalam kitabnya.

Sekalipun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat banyak ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith sahih yang menyebutkan mengenai kelebihan dan fadhilat istighfar. Di antaranya, firman Allah SWT:

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا (10) يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا ‎(11)‏ وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا

Maksudnya: “Lalu aku berkata kepada mereka, ‘Mohonlah keampunan daripada Tuhanmu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun.’ (10) Nescaya Dia akan menurunkan hujan yang lebat kepada kamu. (11) Dan Dia membanyakkan harta dan anak-pinak kepada kamu, serta menjadikan bagi kamu kebun, tanaman dan juga sungai-sungai.”[6]

Begitu juga terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَاللهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً

Maksudnya: “Demi Allah! Sesungguhnya aku beristighfar (memohon ampun) kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya lebih daripada tujuh puluh kali dalam sehari.”[7]

Oleh itu, marilah kita sama-sama memperbanyakan istighfar dan seterusnya menjadikannya sebagai zikir yang kita lazimi dalam kehidupan seharian kita, lalu menjadikan kita termasuk dalam kalangan hamba-Nya yang banyak beristighfar.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 15 April 2022 bersamaan 13 Ramadhan 1443H

[give_form id=”14962″]

[1] Lihat Manaqib al-Imam Ahmad, hlm. 189.

[2] Beliau merupakan seorang pensyarah di Fakulti Syariah dan Pengajian Islam di Universiti al-Qassim.

[3] Lihat https://almuqbil.com/web/?action=fatwa_inner&show_id=2134. Diakses pada 14 April 2022.

[4] Lihat Manaqib al-Imam Ahmad, hlm. 512.

[5] Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 11/321-322.

[6] Surah Nuh: 10-12

[7] Riwayat al-Bukhari (6307)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *