#959: Rawatan Pemutihan Gigi Ketika Berpuasa

[ux_products]

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum rawatan pemutihan gigi ketika sedang berpuasa di siang hari Ramadhan? Adakah batal puasa? Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Firman Allah SWT:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ

Maksudnya: “Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).”[1]

Berdasarkan ayat al-Quran ini, antara kewajipan bagi orang yang berpuasa Ramadan ialah menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa setelah berniat puasa. Antaranya ialah memasukkan ain (suatu jirim) ke rongga dalam melalui saluran yang terbuka seperti mulut, hidung telinga, qubul dan dubur sama ada lelaki mahupun perempuan.[2]

Secara jelasnya, antara perkara yang membatalkan puasa adalah dengan memasukkan sesuatu ke rongga dalam (ruang selepas halkum hingga usus dan tali perut) melalui ruang yang sedia terbuka  (manfaz maftuh) iaitu mulut, telinga, qubul dan dubur sama ada lelaki mahupun perempuan. Rongga itu sama ada ia mempunyai kuasa memproses makanan dan ubat ataupun tidak. Sekiranya memasukkan sesuatu melaluinya sehingga sampai ke rongga dalam badan maka terbatal puasanya.[3]

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji juga ada menyebut bahawa salah satu daripada perkara yang membatalkan puasa ialah “sampainya suatu ain ke jauh (rongga) daripada saluran yang terbuka. Ain itu adalah suatu yang boleh dilihat dengan mata kasar. Jauf pula ialah bahagian otak[4] atau bahagian selepas tekak sehingga perut dan usus-usus. Saluran terbuka pula bermaksud mulut, telinga, alat sulit hadapan, dan belakang, bagi lelaki dan perempuan.”[5]

Justeru, secara umumnya, batal bagi orang yang berpuasa jika memasukkan sesuatu ke dalam rongga tersebut secara sengaja dan ikhtiarnya sendiri. Dan dia mengetahui perbuatan tersebut adalah dilarang ketika berpuasa.[6]

Definisi Pemutihan Gigi

Dalam menjawab persoalan di atas, kami perlu dijelaskan terlebih dahulu tentang maksud rawatan pemutihan gigi. Menurut portal MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia, “Pemutihan Gigi ” adalah untuk membuatkan warna gigi yang gelap kelihatan lebih putih.

Rawatan pemutihan gigi adalah satu cara yang berkesan untuk mencerahkan warna asal gigi tanpa memotongnya. Ia mungkin tidak dapat menukarkan warna gigi tersebut sepenuhnya tetapi, mampu mencerahkan warna asal. Hydrogen peroxide atau carbamide peroxide merupakan bahan aktif yang sering digunakan dalam produk pemutihan gigi.

Terdapat beberapa teknik yang berbeza untuk proses pemutihan gigi. Ia bergantung kepada pelbagai punca perubahan warna tersebut. Tidak kira apa teknik pemutihan atau bahan pemutihan yang sedang digunakan, mod tindakannya adalah sama, iaitu melibatkan tindakbalas pengoksidaan dan seterusnya menyebabkan pembebasan molekul oksigen. Molekul oksigen inilah yang menembusi gigi dan membebaskan molekul pigmen menyebabkan gigi menjadi putih.

Bagi pemutihan gigi tidak vital, pada asasnya terdapat tiga pilihan yang berbeza untuk pemutihan gigi jenis ini, iaitu: Perlunturan “Berjalan”, Pelunturan Di Dalam / Di Luar dan Pelunturan Di Surgeri.[7] Manakala bagi pemutihan gigi vital, antara cara proses pemutihan dijalankan adalah melalui kaedah pelunturan profesional. Pada mulanya, pelindung getah atau gel akan diletakkan pada gusi untuk melindungi tisu lembut mulut. Kemudian bahan pemutih disapu terus pada gigi atau menggunakan tray khas yang sesuai dengan mulut seseorang. Selain itu, pada masa ini terdapat penggunaan laser atau power whitening untuk pemutihan gigi. Cahaya atau laser dipancarkan ke permukaan gigi untuk mengaktifkan bahan kimia. Prosedur ini lebih cepat menghasilkan perubahan warna gigi yang dikehendaki.[8]

Rawatan Pemutihan Gigi Ketika Berpuasa

Berbalik kepada persoalan di atas, hukum bagi rawatan memutihkan gigi adalah harus dan dibolehkan selama mana tidak menelan air semasa proses rawatan.

Hal ini adalah berdasarkan pandangan Keputusan Majma’ al-Fiqhi al-Islami yang menjelaskan bahawa perkara berikut tidak membatalkan puasa, iaitu: Menampal, mencabut, mengorek dan mencuci gigi atau menggunakan alatan dan berus gigi, dengan syarat tiada apa-apa bahan yang memasuki perut dari prosedur tersebut.”[9]

Hal ini juga bertepatan dengan keputusan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam buku Garis Panduan Berpuasa Bagi Pesakit yang menyebut: “Perkara-perkara yang berkaitan rawatan perubatan yang tidak membatalkan puasa ialah…Melakukan prosedur tampalan gigi, cabutan atau pembersihan gigi dan memberus gigi menggunakan siwak (tooth cleanser) dengan syarat individu tersebut tidak menelan apa-apa bahan semasa prosedur rawatan tersebut.”[10]

Selain itu, Dar al-Ifta’ al-Misriyyah pernah mengeluarkan pandangan yang hampir sama, tetapi berkenaan isu mencabut gigi ketika sedang berpuasa. Dijelaskan: “Mencabut gigi bagi orang yang sedang berpuasa adalah dibolehkan, dan tidak membatalkan puasanya jika tidak ada sesuatu apa pun yang masuk ke dalam perutnya. Dan keluarnya darah disebabkan mencabut gigi itu tidaklah memberi kesan terhadap puasa. Tetapi, wajib bagi orang yang berpuasa untuk menjaga daripada tertelannya darah.”[11]

Penutup

Berdasarkan nas dan keterangan di atas, kami nyatakan bahawa hukum bagi rawatan memutihkan gigi adalah harus dan dibolehkan selama mana tidak menelan air semasa proses rawatan.

Semoga Allah mengurniakan kepada kita kefahaman dalam agama dan dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 19 April 2022 bersamaan 17 Ramadhan 1443H

[1] Surah al-Baqarah (187)

[2] Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/181

[3] Lihat al-Muktamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/181

[4] Istilah otak di sini merujuk kepada kawasan yang berdekatan dengan otak. Kajian saintifik moden menunjukkan bahawa saluran hidung tidak sampai secara terus kepada bahagian dalam otak. Wallahua’lam.

[5] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/342

[6] Lihat Nihayah al-Zain, 1/187

[7] Lihat lebih lanjut di pautan ini http://www.myhealth.gov.my/pemutihan-gigi-tidak-vital/

[8] Lihat http://www.myhealth.gov.my/pemutihan-gigi-gigi-vital-2/ ; http://www.myhealth.gov.my/pemutihan-gigi-tidak-vital/

[9] Lihat Keputusan Majma’ al-Fiqhi al-Islami, No. 93 (1/10) pada 23-28 Safar tahun 1418H bersamaan 28 Jun – 3 Julai 1997

[10] Lihat Garis Panduan Berpuasa Bagi Pesakit, hlm. 6

[11] Lihat https://www.elwatannews.com/news/details/6038185

Latest articles

Related articles