#965: Tertidur Sebelum Berbuka, Terjaga Selepas Masuk Subuh

[ux_products]

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Ketika bulan Ramadhan, seseorang telah tertidur sebelum berbuka puasa dan hanya tersedar selepas masuk waktu Subuh hari berikutnya. Ini kerana, tempoh waktu antara Maghrib dan Subuh adalah terlalu singkat. Bagaimana keadaan puasa pada hari berikutnya itu, sedangkan puasa pada hari sebelumnya, dia masih belum berbuka. Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Puasa adalah salah satu ibadat yang difardhukan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya. Maka, setiap ibadat atau perbuatan yang khusus dilakukan kerana Allah SWT memerlukan niat sebagai membezakan di antara ibadat dan adat kebiasaan seperti membezakan di antara orang yang menahan diri daripada makan dan minum kerana berpuasa dengan orang yang tidak mempunyai makanan untuk dimakan.

Asas kepada kewajipan untuk berniat dalam semua ibadat berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّةِ وَإِنَّمَا لاِمْرِئٍ مَا نَوَى

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan itu bermula dengan niat, dan setiap orang (perbuatannya) dikira berdasarkan apa yang diniatkan.”[1]

Maka, niat berpuasa diletakkan sebagai satu syarat sah puasa seseorang itu. Hal ini disebutkan secara jelas di dalam kitab-kitab fiqh, yang antaranya disebutkan Ibn Qasim: (Dan kewajipan-kewajipan puasa itu ada empat perkara): salah satunya, (niat) di dalam hati, sekiranya puasa yang fardhu seperti puasa Ramadhan atau puasa nazar, maka mestilah diniatkan pada waktu malam.[2]

Di sisi jumhur fuqaha’, niat puasa Ramadhan hendaklah dilakukan pada setiap hari pada waktu malam seperti yang disebutkan sebelum masuk waktu subuh. Hal ini kerana setiap hari dalam Ramadhan dikira berasingan.[3]

Antara hujah mereka adalah berdasarkan kepada hadith daripada Hafsah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ لَمْ يُبَيِّتْ الصِّيَامَ قَبْلَ الْفَجْرِ فَلَا صِيَامَ لَهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang tidak berniat pada malam hari sebelum fajar, maka tidak ada puasa untuknya.”[4]

Al-Khatib al-Syirbini berkata: “Berdasarkan hadith ini, niat juga hendaklah dilakukan pada setiap malam. Ini kerana, puasa hari yang satu dan lainnya adalah ibadah yang tersendiri. Sekiranya satu hari puasa terbatal, maka ia tidak membatalkan yang lainnya.”[5]

Syeikh Taqiyuddin al-Hisni pula berkata: “Niat hendaklah dilakukan pada setiap malam (Ramadhan), kerana setiap hari puasa adalah merupakan ibadah tersendiri. Jika salah satu hari puasa terbatal, ia tidak merosakkkan yang lain.”[6]

Isu Tertidur Sebelum Berbuka, dan Terjaga Selepas Masuk Waktu Subuh

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan seperti berikut:

Pertama sekali, perlu difahami terlebih dahulu berkenaan salah satu daripada syarat sah puasa, iaitu niat.

Menurut para fuqaha’, terdapat tiga syarat dalam menentukan sesuatu niat itu diambil kira, iaitu:

  1. Jazam

Niat yang dilakukan hendaklah secara jazam, yakni secara pasti bagi mengeluarkan sebarang bentuk keraguan dan kesangsian daripada niat yang dilakukan itu.

  1. Ta’yin (Menentukan Niat)

Hal ini dengan maksud, niat yang dilakukan hendaklah ditentukan sama ada puasa yang ingin dilakukan itu adalah puasa Ramadhan, atau puasa nazar atau puasa nazar atau puasa selainnya. Justeru, tidak boleh untuk sekadar berpada dengan menyatakan ingin berpuasa secara mutlak, tanpa dia tentukan puasa apakah yang ingin dilakukannya.

  1. Tabyit al-Niyyah

Hal ini dengan maksud, berlakunya niat pada malam hari, iaitu sekitar antara waktu terbenamnya matahari sehinggalah terbitnya fajar pada hari berikutnya. Hal ini merupakan syarat di sisi fuqaha’ al-Syafi’iyyah, Malikiyyah dan juga Hanabilah.

Syeikh Taqiyuddin al-Hisni, yang merupakan salah seorang fuqaha’ Syafi’iyyah berkata: “Wajib berniat pada malam hari. Jika sudah berniat pada malam hari (sebelum Subuh), masih dibolehkan makan, tidur dan berjimak. Jika seseorang berniat puasa Ramadhan selepas terbit fajar Subuh, maka tidaklah sah.”[7]

Antara hujah mereka adalah berdasarkan satu hadith yang diriwayatkan daripada Hafsah binti ‘Umar R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ لَمْ يُبَيِّتِ الصِّيَامَ مِنَ اللَّيْلِ فَلاَ صِيَامَ لَهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang tidak berniat puasa pada malam hari, maka tidak ada puasa baginya.”[8]

Di sisi para fuqaha’, penafian yang disebut oleh Rasulullah SAW dalam hadith di atas adalah dikategorikan sebagai Nafyu al-Sihhah (menafikan kesahihan). Oleh itu, ia membawa erti bahawa sesiapa yang tidak melakukan niat puasa pada malam harinya, maka puasa yang ingin dilakukannya pada esok harinya adalah tidak sah.

Selain itu, perkataan ‘صِيَامَ’ yang datang dalam bentuk nakirah dalam hadith di atas juga dijelaskan melalui kaedah berikut:

النَّكِرَةُ فِي سِياقِ النَّفْيِ تُفِيدُ العُمُوم

Maksudnya: “Nakirah yang datang dalam konteks penafian membawa erti keumuman.”[9]

Oleh itu, hadith di atas merangkumi puasa wajib dan puasa sunat. Disebabkan itulah, menurut sebahagian ulama’, puasa sunat juga wajib dilakukan niat pada waktu malam (tabyit) berdasarkan keumuman lafaz puasa yang disebut dalam hadith tersebut.

Justeru, berbalik kepada persoalan yang diajukan, maka kami mendapati bahawa penyoal tersebut telah tertinggal satu syarat sah puasa iaitu niat. Begitu juga, dia turut tertinggal salah satu syarat sah niat iaitu berniat pada waktu malam hari (tabyit).

Meskipun begitu, perlu juga dijelaskan bahawa para ulama’ telah berbeza pandangan dalam isu niat pada setiap malam ini, di mana perbezaan tersebut boleh diringkaskan seperti berikut:

Pandangan Pertama: Wajib Berniat pada Waktu Malam

Inilah pendapat majoriti para fuqaha’ dan ia mestilah dilakukan pada setiap malam. Mereka berhujahkan dengan hadith Hafsah R.Anha – seperti yang telah disebut – di mana Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ لَمْ يُبَيِّتِ الصِّيَامَ مِنَ اللَّيْلِ فَلاَ صِيَامَ لَهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang tidak berniat puasa pada malam hari, maka tidak ada puasa baginya.”[10]

Di samping itu, menurut mereka juga, ibadah puasa merupakan ibadah yang bersendiri (mustaqillah). Maka, menjadi kewajiban untuk diniatkan pada setiap hari pada waktu malam.

Pengarang kitab al-Muqaddimah al-Hadramiyyah ketika menjelaskan berkenaan rukun puasa yang pertama, iaitu niat, menyebut: “Niat (hendaklah dilakukan) pada setiap hari puasa. Diwajibkan untuk berniat pada waktu malam bagi puasa fardhu dan tidak bagi puasa sunat, dan sah niat tersebut jika diniatkan sebelum tergelincir matahari. Di samping itu, diwajibkan untuk ta’yin (menentukan jenis puasa seperti puasa Ramadhan), tanpa diwajibkan untuk menyebut fardhu bagi puasa fardhu.[11]

Berdasarkan keterangan di atas, dapat difahami bahawa wajib untuk berniat bagi puasa fardhu pada waktu malam, manakala bagi puasa sunat, boleh untuk berniat pada siang hari sebelum tergelincir matahari jika sekiranya dia belum melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa.

Selain itu, tuntutan niat ini adalah merujuk kepada berniat di dalam hati. Justeru, apabila seseorang telah pun meletakkan azam di dalam hati dan fikirannya berkenaan hakikat puasa tersebut, maka niatnya itu sah. Hal ini seperti yang dijelaskan oleh pengarang kitab Kasyifah al-Saja bahawa: “(Rukun puasa) pertama: Berniat pada waktu malam pada setiap hari yang puasa yang fardhu. Tempat niat adalah di dalam hati. Oleh itu, hendaklah didatangkan dalam fikiran tentang hakikat puasa tersebut, iaitu menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa sepanjang hari, serta melakukan kewajiban yang mana ia sebahagian daripada amalan bulan Ramadhan, kemudian berniat bahawa dia akan melakukan perkara yang dibayangkan tersebut. ([12])

Turut dijelaskan dalam kitab yang sama: “Tidak memadai menyebut niat di lidah sahaja tanpa meniatkannya di dalam hati. Begitu juga, tidak disyaratkan untuk melafazkan niat secara qat’ie, namun hanya disunatkan sahaja supaya lidah dapat membantu untuk berniat di dalam hati.[13]

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji pula menyebut: “Niat mesti dilakukan pada setiap malam sebelum Subuh untuk puasa hari berikutnya. Justeru, tidak memadai satu niat untuk seluruh hari dalam satu bulan. Ini kerana setiap hari dalam bulan Ramadhan adalah hari yang berdiri sendiri. Ibadah puasa yang dilakukan adalah ibadah yang berulang, sehingga memerlukan niat yang berbeza pada setiap harinya.”[14]

Pandangan Kedua: Boleh Melakukan Niat Sebulan Puasa

Ini merupakan pandangan fuqaha’ Malikiyyah di mana mereka menyatakan bahawa memadai niat sekali untuk berpuasa selama sebulan Ramadhan. Mereka berhujahkan bahawa ibadah puasa adalah sama seperti ibadah solat dari sudut memadai niat pada awal rakaat solat.

Kesimpulan

Berdasarkan nas dan keterangan di atas, kami nyatakan bahawa puasa seseorang yang tidur sebelum berbuka dan bangun setelah terbitnya fajar sadiq keesokan harinya adalah tidak sah berdasarkan pandangan jumhur. Dia hendaklah mengqadha’ puasanya tersebut pada hari yang lain. Hal ini juga selaras dengan kaedah fiqh yang menyebut:

الْخُرُوجُ مُنَ الْخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ

Maksudnya: “Keluar daripada khilaf adalah suatu yang dituntut.”

Meskipun begitu, berdasarkan keadaan penyoal di atas, di mana waktu berbukanya yang singkat dan pendek, maka kami berpandangan bahawa sekiranya dia telah pun berniat puasa selama sebulan dengan mengikut mazhab Maliki, maka puasa tersebut adalah sah.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 19 April 2022 bersamaan 17 Ramadhan 1443H

[1] Riwayat Muslim (1907)

[2] Lihat Fath al-Qarib, 1/136

[3] Lihat alMausu’ah al-Fiqhiyyah, 28/26

[4] Riwayat Abu Daud (2454), al-Tirmizi (730), al-Nasa’ie (2333) dan Ibn Majah (1700)

[5] Lihat al-Iqna’, 1/405

[6] Lihat Kifayah al-Akhyar, hlm. 248

[7] Lihat Kifayah al-Akhyar, hlm. 248

[8] Riwayat al-Nasa’ie (2334), al-Baihaqi (8166) dan al-Daraqutni (2/171)

[9] Lihat Syarh Manzumah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 4/10; Ithaf Zawi al-Basa’ir, 6/106; Zahirah al-I’rab, hlm. 45

[10] Riwayat al-Nasa’ie (2334), al-Baihaqi (8166) dan al-Daraqutni (2/171)

[11] Lihat al-Muqaddimah al-Hadramiyyah, hlm. 171

[12] Lihat Kasyifah al-Saja Syarh Safinah al-Naja, 1/280

[13] Lihat Kasyifah al-Saja, 1/280

[14] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/75

Latest articles

Related articles