Soalan
Apakah yang perlu dilakukan oleh seseorang yang melihat rakannya makan ketika berpuasa kerana terlupa? Adakah dengan membiarkannya ataupun menegurnya?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Pada asasnya umat telah bersepakat mengenai haramnya makan dan minum bagi orang yang sedang berpuasa pada siang hari jika ia dilakukan dengan sengaja. Hal ini kerana menahan diri daripada makan dan minum adalah maksud atau tujuan puasa itu sendiri berdasarkan firman Allah SWT:
وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ
Maksudnya: “Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).”[1]
Justeru, sekiranya seseorang itu makan dan minum, dalam keadaan dia sedar atau mengetahui bahawa dia sedang berpuasa, mengetahui tentang haramnya perbuatan itu, dan mempunyai pilihan, maka puasanya terbatal kerana perbuatan makan dan minumnya itu bertentangan dengan tujuan puasa tanpa sebarang keuzuran. Walau bagaimanapun, sekiranya dia makan dan minum pada siang Ramadhan dalam keadaan terlupa bahawa dia sedang berpuasa, maka dalam hal ini, puasanya tidak terbatal dan masih lagi dikira sah.[2]
Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا نَسِيَ فَأَكَلَ وَشَرِبَ فَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ، فَإِنَّمَا أَطْعَمَهُ اللَّهُ وَسَقَاهُ
Maksudnya: “Sekiranya seseorang itu terlupa (bahawa dia sedang berpuasa), lalu dia makan atau minum, maka hendaklah dia menyempurnakan puasanya, kerana sesungguhnya Allah SWT yang telah memberinya makan dan minum.”[3]
Hadith di atas secara jelas menyebutkan bahawa perbuatan makan dan minum dalam keadaan terlupa bagi bagi orang yang berpuasa itu tidak membatalkan puasa. Begitu juga dia tidak perlu menggantikan (qadha’) puasanya semula, mahupun dikenakan kaffarah.[4]
Hal ini sebagaimana riwayat yang lain daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ أَفْطَرَ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ نَاسِيًا , فلَا قَضَاءَ عَلَيْهِ وَلَا كَفَّارَةَ
Maksudnya: “Sesiapa yang berbuka puasa pada bulan Ramadhan dalam keadaan terlupa, maka tiada qadha’ mahupun kaffarah ke atasnya.”[5]
Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyatakan: Berdasarkan hadith di atas, jelas menunjukan bahawa perbuatan makan dan minum dalam keadaan terlupa bagi orang yang berpuasa itu tidak membatalkan puasa, sebaliknya puasa mereka masih dianggap sah. Oleh sebab itu, Baginda mengarahkan supaya golongan yang terlupa ini untuk meneruskan puasa tersebut. Selain daripada itu juga, tidak kira makanan atau minuman itu dalam kuantiti yang sedikit atau banyak berdasarkan kepada keumuman hadith.[6]
Melihat Orang Makan Ketika Puasa Dalam Keadaan Terlupa
Berdasarkan situasi ini, seseorang yang melihat rakannya atau kenalannya yang makan dalam keadaan terlupa ketika sedang berpuasa, hendaklah dia menegur rakannya tersebut.
Dairah al-Ifta’ Jordan menyatakan di dalam fatwanya: Sesiapa yang melihat orang yang sedang berpuasa pada bulan Ramadhan yang makan dan minum dalam keadaan terlupa, hendaklah dia menegur perbuatan tersebut. Hal ini kerana orang yang terlupa itu tidak berdosa dan tidak membatalkan puasanya, tetapi gambaran perbuatan tersebut merupakan gambaran perbuatan munkar. Maka hendaklah ditegur dengan lembut supaya dia berhenti melakukannya.[7]
Kesimpulan
Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami menyatakan bahawa makan dan minum pada siang Ramadhan dalam keadaan terlupa bahawa mereka sedang berpuasa, tidak berdosa serta tidak membatalkan puasanya dan puasa mereka masih lagi dikira sah.
Perkara ini bertepatan dengan riwayat daripada Abdullah bin Abbas R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengampunkan ke atas umatku (perbuatan-perbuatan yang dilakukan) secara tersilap, terlupa, dan juga suatu yang dipaksa ke atas mereka.”[8]
Namun begitu, walaupun perbuatan itu tidak berdosa dan tidak membatalkan puasa, tetapi bagi sesiapa yang melihat rakannya itu makan dan minum dalam keadaan terlupa ketika sedang berpuasa, hendaklah dia menegurnya dan mengingatkan rakannya bahawa dia sebenarnya sedang berpuasa dan perlua meninggalkan apa yang dimakan atau diminumnya.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Bertarikh: 20 April 2022 bersamaan 18 Ramadhan 1443H
[give_form id=”14962″]
[1] Surah al-Baqarah: 187
[2] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/180.
[3] Riwayat al-Bukhari (1933)
[4] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/180.
[5] Riwayat Ibn Hibban (3521)
[6] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/181
[7] Lihat https://aliftaa.jo/ShowContent.aspx?Id=103#.Yl5RCcjP3IV (ماذا يفعل من رأى صائماً في رمضان يأكل أو يشرب ناسياً؟)
[8] Riwayat Ibn Majah (2045), Ibn Hibban (7219), al-Tabrani di dalam al-Mu’jam al-Saghir (765)