#986: Menambah Rakaat Solat Selepas Memberi Salam

[ux_products]

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Selepas saya beri salam, saya diberitahu bahawa solat yang dilakukan tidak cukup satu rakaat. Adakah saya perlu terus bangun dan tambah bilangan rakaat yang tidak cukup, atau perlu solat dari awal semula? Bagaimana pula jika selepas beri salam tadi, saya dah bercakap dan bergerak. Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Solat merupakan di antara ibadah yang paling utama bagi seorang Muslim. Ianya juga merupakan perkara pertama yang akan ditanya oleh Allah SWT kepada hambaNya di akhirat kelak berdasarkan hadith Nabi SAW :

إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ بِصَلَاتِهِ، فَإِنْ صَلَحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ

Maksudnya: “Sesungguhnya perkara pertama yang akan dihisab dengannya oleh seorang hamba itu adalah solatnya. Jika sempurna (solatnya) maka dia akan beruntung dan berjaya. Namun, jika rosak solatnya maka dia binasa dan rugi.”[1]

Solat yang sah dan sempurna adalah yang memenuhi rukun-rukun serta syarat-syaratnya. Rukun adalah bahagian yang asas bagi sesuatu perkara. Contohnya dinding bagi sesebuah bilik. Oleh itu bahagian-bahagian solat adalah rukun-rukunnya. Solat tidak akan sempurna dan tidak sah kecuali dengan menyempurnakan kesemua bahagiannya mengikut cara dan susun atur yang datang daripada Rasulullah SAW sebagaimana yang diterimanya daripada Jibril AS.[2]

Berbalik kepada persoalan di atas, kita boleh merujuk kepada sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

صَلَّى بِنَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الظُّهْرَ أَوْ الْعَصْرَ فَسَلَّمَ فَقَالَ لَهُ ذُو الْيَدَيْنِ الصَّلَاةُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنَقَصَتْ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأَصْحَابِهِ أَحَقٌّ مَا يَقُولُ قَالُوا نَعَمْ فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ أُخْرَيَيْنِ ثُمَّ سَجَدَ سَجْدَتَيْنِ

Maksudnya: “Nabi SAW pernah solat Zohor atau Asar dengan mengimamkan kami. Setelah Baginda memberi salam, lalu Zul Yadain berkata: “Wahai Rasulullah, adakah solat telah berkurang (rakaatnya).?” Maka Nabi SAW pun berkata kepada para sahabat Baginda: “Adakah benar apa yang dikatakan oleh Zul Yadain itu?” Para sahabat menjawab: “Ya, benar.” Lalu Rasulullah menyambung dua rakaat yang berbaki, kemudian Baginda sujud dua kali.”[3]

Daripada hadis ini, dapat kita fahami jika ramai yang bersetuju bahawa imam terkurang rakaatnya dan imam meyakini bahawa memang dia meninggalkan rakaat maka wajib bagi imam untuk menyempurnakan rakaat yang berbaki dan kemudian melakukan sujud sahwi. Adapun jika imam sudah meyakini bahawa dia telah melakukan rakaat dengan sempurna tanpa ada pengurangan dan jumlah yang syak terhadap solatnya itu sedikit maka imam perlu beramal dengan apa yang dia diyakini.[4]

Hadis di atas menerangkan tunjuk ajar Nabi SAW kepada para sahabatnya, dan umat keseluruhannya, tentang tatacara melengkap solat fardu yang tidak sempurna bilangan rakaatnya, kerana lupa atau sebagainya.

Seafdhalnya juga bagi makmum untuk memberitahu imam yang rakaatnya tidak cukup.

Penutup

Berdasarkan nas dan keterangan di atas, kami nyatakan bahawa boleh disambung untuk melengkapkan bilangan rakaat yang belum sempurna jika selepas salam yang tersilap itu tidak diselangi dengan percakapan dan pergerakan yang banyak. Manakala, jika sudah berlalu tempoh yang panjang berserta pergerakan yang banyak (seperti mandi, makan minum) maka perlu ditunaikan semula solat daripada awal.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 20 April 2022 bersamaan 18 Ramadhan 1443H

[1] Riwayat al-Nasa’ie (465)

[2] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/141

[3] Riwayat al-Bukhari (1151)

[4] Lihat al-Bayan fi Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 2/388

Latest articles

Related articles