Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Jika seseorang bersin ketika melakukan solat, bolehkah dia mengucapkan tahmid? Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Secara umumnya, dalam nas menyebut bahawa Allah SWT menyukai orang yang bersin kerana dengan bersin itu dapat mengeluarkan penyakit dari tubuh badannya. Ini sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Sabda Nabi SAW:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْعُطَاسَ وَيَكْرَهُ التَّثَاؤُبَ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT menyukai bersin dan membenci menguap.[1]

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menaqalkan pandangan Khattabi dengan menyebut bahawa maksud Allah SWT menyukai orang yang bersin kerana bersin dapat meringankan badan dan membuka liang-liang roma. [2]

Selain itu, galakan Baginda Nabi SAW kepada seseorang itu apabila bersin mengucapkan kalimah Tasymit dan Tahmid sebagai tanda syukur kepada Allah SWT. Begitu juga sebaliknya, kepada sahabatnya yang mendengari ucapan itu disarankan agar bertasymit dan mendoakan kebaikan kepada sahabatnya yang bersin.

Ini sepertimana saranan hadis daripada Abu Hurairah RA sabda Nabi SAW:

إِذَا عَطَسَ أَحَدُكُمْ فَلْيَقُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ‏.‏ وَلْيَقُلْ لَهُ أَخُوهُ أَوْ صَاحِبُهُ يَرْحَمُكَ اللَّهُ‏.‏ فَإِذَا قَالَ لَهُ يَرْحَمُكَ اللَّهُ‏.‏ فَلْيَقُلْ يَهْدِيكُمُ اللَّهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ

Maksudnya: Apabila salah seorang daripada kamu bersin, maka hendaklah ia menyebut ‘الْحَمْدُ لِلَّهِ’. Dan menjawab bagi saudara atau sahabatnya ‘يَرْحَمُكَ اللَّهُ’. Maka apabila seseorang menyebut kepadanya (orang yang bersin) ‘يَرْحَمُكَ اللَّهُ’ maka hendaklah menyebut ‘يَهْدِيكُمُ اللَّهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ’.[3]

Selain itu, di dalam hadis yang lain yang diriwayatkan oleh Abu Ayyub, sabda Nabi SAW:

إِذَا عَطَسَ أَحَدُكُمْ فَلْيَقُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ وَلْيَقُلِ الَّذِي يَرُدُّ عَلَيْهِ يَرْحَمُكَ اللَّهُ وَلْيَقُلْ هُوَ يَهْدِيكُمُ اللَّهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُم

Maksudnya: Apabila bersin salah seorang daripada kamu, maka sebutlah ‘الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ’. Dan kemudian jawablah saudara yang mendengarinya ‘يَرْحَمُكَ اللَّهُ’. Dan hendaklah ia (orang yang bersin) membalas ‘يَهْدِيكُمُ اللَّهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُم’.[4]

Ini jelas bahawa saranan Baginda Nabi SAW kepada umatnya berkenaan dengan adab ketika bersin supaya menyebut kalimah Tahmid dan kepada yang mendengarnya mengucapkan kalimah Tasymit iaitu mendoakan kepada sahabat yang bersin itu dengan doa kebaikan ke atasnya.

Imam Ibnu Hajar menaqalkan pandangan Imam Nawawi dengan menyatakan bahawa para ulama bersepakat ke atas sunnatnya menyebut lafaz Tahmid iaitu seperti yang dinaqalkan oleh Ibnu Battal dan yang lain tanpa menambah kalimah Alhamdulillah seperti hadis yang disampaikan oleh Abu Hurairah RA. [5]

Dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah menyebut bahawa tasymit dari segi bahasa bermaksud doa dengan kebaikan dan barakah. Dan setiap doa seseorang itu dengan kebaikan maka ia adalah Tasymit. Ibnu Daqiq al-’Id menyebut daripada sebahagian ulamak Syafi’eyyah menyatakan diulangi kalimah al-Tasymit apabila bersin seseorang itu berulang kali, melainkan mengetahui bahawa dia mengidap selsema maka doakan ia akan kesembuhan penyakit itu. Dan ini difahamkan bahawa gugurlah saranan untuk bertasymit sekiranya mengetahui akan seseorang itu bersin disebabkan selsema. [6]

Mengucapkan Tahmid Ketika Bersin dalam Solat

Berbalik kepada persoalan di atas, perkara ini pernah berlaku pada zaman Rasulullah ketika Baginda mengimamkan solat. Ianya diriwayatkan oleh Rifa’ah bin Rafi’ Bin ‘Afra’. Kata beliau :

صَلَّيْتُ خَلْفَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَعَطَسْتُ ، فَقُلْتُ : الحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ ، مُبَارَكًا عَلَيْهِ ، كَمَا يُحِبُّ رَبُّنَا وَيَرْضَى ، فَلَمَّا صَلَّى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ انْصَرَفَ ، فَقَالَ : مَنِ الْمُتَكَلِّمُ فِي الصَّلاَةِ ؟ ، فَلَمْ يَتَكَلَّمْ أَحَدٌ ، ثُمَّ قَالَهَا الثَّانِيَةَ : مَنِ الْمُتَكَلِّمُ فِي الصَّلاَةِ ؟ ، فَلَمْ يَتَكَلَّمْ أَحَدٌ ، ثُمَّ قَالَهَا الثَّالِثَةَ : مَنِ الْمُتَكَلِّمُ فِي الصَّلاَةِ ؟ فَقَالَ رِفَاعَةُ بْنُ رَافِعٍ ابْنُ عَفْرَاءَ : أَنَا يَا رَسُولَ اللهِ ، قَالَ : كَيْفَ قُلْتَ ؟ ، قَالَ : قُلْتُ : الحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ مُبَارَكًا عَلَيْهِ ، كَمَا يُحِبُّ رَبُّنَا وَيَرْضَى ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ ، لَقَدْ ابْتَدَرَهَا بِضْعَةٌ وَثَلاَثُونَ مَلَكًا ، أَيُّهُمْ يَصْعَدُ بِهَا

Maksudnya :” Aku solat di belakang Rasulullah SAW lantas aku bersin. Maka aku mengucapkan ‘الحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ ، مُبَارَكًا عَلَيْهِ ، كَمَا يُحِبُّ رَبُّنَا وَيَرْضَى’ . Apabila Rasulullah SAW selesai solat Baginda memalingkan wajah Baginda seraya bertanya: “Siapa yang bercakap di dalam solat tadi?” Tiada siapa yang menjawab. Kemudian Baginda bertanya lagi: “Siapa yang bercakap di dalam solat tadi?” Tiada siapa yang menjawab. Baginda bertanya untuk kali ketiga: “Siapa yang bercakap di dalam solat tadi?” Rifa’ah bin Rafi’ bin ‘Afra’ menjawab: “Aku wahai Rasulullah.” Baginda bertanya: “Bagaimana engkau menyebut tadi?” Rifa’ah menjawab: “Aku menyebut: ‘الحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ ، مُبَارَكًا عَلَيْهِ ، كَمَا يُحِبُّ رَبُّنَا وَيَرْضَى’. Maka Nabi SAW bersabda: “Demi Tuhan yang mana nyawaku berada di tangan-Nya, sebanyak 30 lebih malaikat berbondong-bondong naik ke langit dengan ucapan tersebut.”[7]

Imam al-Tirmizi ketika memberi komentar berkenaan hadis ini beliau menyebut: “Di sisi sebahagian ahli ilmu hadis ini dibolehkan di dalam solat tatawwu’ kerana kebanyakan para Tabien menyebut: “Jika seseorang bersin di dalam solat fardhu maka dia dibolehkan untuk dia menyebut tahmid sekadar yang didengari oleh dirinya sahaja tidak lebih dari itu.” [8]

Syeikh al-Ramli berkata: “Jika seseorang bersin maka disunatkan untuk menyebut tahmid. Seakan-akan maksud pengarang adalah bermaksud mengucapkan tahmid di dalam selain al-Fatihah. Kerana jika dibaca di dalam al-Fatihah ia akan memutuskan muwalat al-Fatihah.” [9]

Menurut Syeikh Abdul Rahman Bin Muhammad al-Ba’lawi: “Jika seseorang bersin di dalam solat maka disunnatkan untuk mengucapkan tahmid secara sirr (senyap) walaupun ketika al-Fatihah. Akan tetapi ucapan tahmid ketika al-Fatihah memutuskan muwalat maka dia perlu mengulangi bacaan al-Fatihah.” [10]

‘Allamah Syed al-Bakri al-Dimyati berkata: “Dan disunatkan bagi yang bersin untuk mengucapkan tahmid sekadar yang didengari oleh dirinya sahaja. Akan tetapi jika dia mengucapkannya pada pertengahan al-Fatihah ia akan memutuskan muwalat al-Fatihah.” [11]

Syeikh ‘Abd al-Muhsin al-Abbad ketika beliau ditanya tentang hukum mengucapkan tahmid selepas bersin di dalam solat beliau menjawab: “Boleh mengucapkan tahmid akan tetapi tidak boleh membalas ucapan dalam keadaan dia tidak mengangkat suara yang boleh mengganggu orang lain. Dia hanya boleh mengucapkan tahmid dengan kadar yang boleh didengari oleh dirinya.”

Selain itu, terdapat hadith lain yang diriwayatkan daripada Mu’awiyah bin al-Hakam al-Sulami, katanya:

بَيْنَا أَنَا أُصَلِّي، مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِذْ عَطَسَ رَجُلٌ مِنَ الْقَوْمِ فَقُلْتُ يَرْحَمُكَ اللَّهُ ‏.‏ فَرَمَانِي الْقَوْمُ بِأَبْصَارِهِمْ فَقُلْتُ وَاثُكْلَ أُمِّيَاهْ مَا شَأْنُكُمْ تَنْظُرُونَ إِلَىَّ ‏.‏ فَجَعَلُوا يَضْرِبُونَ بِأَيْدِيهِمْ عَلَى أَفْخَاذِهِمْ فَلَمَّا رَأَيْتُهُمْ يُصَمِّتُونَنِي لَكِنِّي سَكَتُّ فَلَمَّا صَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَبِأَبِي هُوَ وَأُمِّي مَا رَأَيْتُ مُعَلِّمًا قَبْلَهُ وَلاَ بَعْدَهُ أَحْسَنَ تَعْلِيمًا مِنْهُ فَوَاللَّهِ مَا كَهَرَنِي وَلاَ ضَرَبَنِي وَلاَ شَتَمَنِي قَالَ: إِنَّ هَذِهِ الصَّلاَةَ لاَ يَصْلُحُ فِيهَا شَىْءٌ مِنْ كَلاَمِ النَّاسِ إِنَّمَا هُوَ التَّسْبِيحُ وَالتَّكْبِيرُ وَقِرَاءَةُ الْقُرْآنِ.

Maksudnya: “Ketika saya sedang menunaikan solat bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba seorang lelaki bersin. Saya pun ucapkan kepadanya ‘يَرْحَمُكَ اللَّهُ’. Lalu semua orang melihat kepada saya. Saya pun bertanya: “Mengapa kamu semua melihat saya?” Mereka pun menepuk tangan mereka ke peha saya. Saya lihat mereka semua menghendaki saya diam. Apabila selesai solat, sungguh saya tidak pernah melihat seorang guru sebelum dan selepas Baginda yang lebih baik pengajarannya daripada Baginda. Demi Allah, Baginda tidak memasamkan muka kepada saya, tidak memukul dan tidak mengata saya. Baginda bersabda: “Sesungguhnya bagi solat itu, tidak wajar di dalamnya dimasukkan perkataan manusia, sebaliknya hanyalah untuk tasbih, takbir dan bacaan al-Quran.” [12]

Penutup

Berdasarkan nas dan keterangan di atas, kami nyatakan bahawa dibolehkan seseorang yang bersin di dalam solat untuk dia mengucapkan tahmid dengan syarat tidak mengangkat suaranya sehingga boleh mengganggu orang lain. Ucapan tersebut perlulah disembunyikan iaitu hanya didengari oleh dirinya sendiri.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 20 April 2022 bersamaan 18 Ramadhan 1443H

[give_form id=”14962″]

[1] Riwayat al-Bukhari (6226)

[2] Lihat Fath al-Bari, 10/607

[3] Riwayat al-Bukhari (6224)

[4] Riwayat al-Tirmizi (2960)

[5] Lihat Fath al-Bari li Ibnu Hajar, 10/600

[6] Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 12/25-32; Fath al-Bari, 10/606

[7] Riwayat al-Tirmizi (404), al-Nasaie (931), Abu Daud (773). Kata Imam al-Tirmizi: Hadis Rifa’ah adalah hadis bertaraf Hasan

[8] Lihat Jami’ al-Tirmizi, 2/165

[9] Lihat Nihayah al-Muhtaj, 4/150

[10] Lihat Bughyah al-Mustarsyidin, 1/90

[11] Lihat I’anah al-Talibin1/256

[12] Riwayat Muslim (537)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *