#996 Membaca Surah Pilihan dalam Rakaat Ketiga dan Keempat

[ux_products]

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Apakah hukum membaca surah pilihan selepas al-Fatihah dalam rakaat ketiga dan keempat? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, solat merupakan salah satu amal ibadat yang paling utama dalam kehidupan kita. Kemudian, dalam solat pula disyariatkan untuk membaca ayat-ayat al-Quran seperti surah al-Fatihah — yang merupakan salah satu rukun qauli — dan ayat-ayat yang lain. Firman Allah SWT:

فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنْهُ وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ

Maksudnya:Maka bacalah mana-mana yang sudah kamu dapat membacanya dari al-Quran; dan dirikanlah solat.[1]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, al-Syirazi ada menyebutkan dalam kitabnya berkenaan perkara ini bahawa terdapat dua pendapat dalam mazhab Syafi‘i. Pendapat pertama iaitu mengikut pendapat qadim Imam Syafi‘i menyatakan, ia tidak disunatkan — dan inilah pendapat muktamad dalam mazhab. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Abu Qatadah:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْرَأُ بِأُمِّ الكِتَابِ وَسُورَةٍ مَعَهَا فِي الرَّكْعَتَيْنِ الأُولَيَيْنِ مِنْ صَلاَةِ الظُّهْرِ وَصَلاَةِ العَصْرِ. وَيُسْمِعُنَا الآيَةَ أَحْيَانًا وَكَانَ يُطِيلُ فِي الرَّكْعَةِ الأُولَى

Maksudnya: “Bahawasanya Nabi SAW membaca Surah al-Fatihah dan satu surah bersama-samanya dalam dua rakaat pertama solat Zuhur dan solat Asar. Terkadang, Baginda memperdengarkan bacaan ayat kepada kami dan Baginda memanjangkan (bacaan) dalam rakaat pertama.”[2]

Manakala dalam riwayat Abu Qatadah yang lain datang dengan lafaz:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْرَأُ فِي الرَّكْعَتَيْنِ الْأُولَيَيْنِ مِنَ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ، بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ وَسُورَةٍ وَيُسْمِعُنَا الْآيَةَ أَحْيَانًا، وَيَقْرَأُ فِي الرَّكْعَتَيْنِ الْأُخْرَيَيْنِ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya: “Bahawasanya Nabi SAW membaca dalam dua rakaat pertama bagi solat Zuhur dan solat Asar dengan surah al-Fatihah dan satu surah (yang lain). Terkadang Baginda memperdengarkan bacaan ayat kepada kami. Baginda membaca dalam dua rakaat akhir dengan (hanya) surah al-Fatihah.”[3]

Pendapat kedua pula menyatakan, ia adalah disunatkan sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Syafi‘i dalam al-Umm. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُومُ فِي الظُّهْرِ فِي الرَّكْعَتَيْنِ الْأُولَيَيْنِ، فِي كُلِّ رَكْعَةٍ قَدْرَ قِرَاءَةِ ثَلَاثِينَ آيَةً، وَفِي الْأُخْرَيَيْنِ فِي كُلِّ رَكْعَةٍ قَدْرَ قِرَاءَةِ خَمْسَ عَشْرَةَ آيَةً، وَكَانَ يَقُومُ فِي الْعَصْرِ فِي الرَّكْعَتَيْنِ الْأُولَتَيْنِ، فِي كُلِّ رَكْعَةٍ قَدْرَ قِرَاءَةِ خَمْسَ عَشْرَةَ آيَةً، وَفِي الْأُخْرَتَيْنِ قَدْرَ نِصْفِ ذَلِكَ

Maksudnya: “Bahawasanya Rasulullah SAW membaca surah dalam dua rakaat pertama solat Zuhur dengan kadar bacaan 30 ayat, dan dalam dua rakaat akhir pula Baginda membaca dengan kadar 15 ayat. Manakala dalam solat Asar, Baginda membaca dalam dua rakaat pertama dengan kadar 15 ayat dan dalam dua rakaat akhir pula dengan kadar separuh daripada itu — yakni dalam dua rakaat pertama.”[4]

Selain itu, hal ini juga kerana dalam rakaat disyariatkan untuk membaca surah al-Fatihah, maka disyariatkan juga untuk membaca surah lain di dalamnya sebagaimana dua rakaat yang pertama.[5]

Selain daripada itu, Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan kenyataan al-Syirazi di atas menjelaskan lagi berkenaan persoalan adakah disunatkan untuk membaca surah pilihan dalam rakaat ketiga dan keempat dengan menyebutkan, di sana terdapat dua pendapat yang masyhur. Pendapat yang pertama dan ia merupakan pendapat qadim Imam al-Syafi‘i menyatakan bahawa perkara itu tidak disunatkan. Ini merupakan pendapat al-Qadhi Abu al-Tayyib, serta al-Buwaiti dan al-Muzani menukilkannya daripada Imam al-Syafi‘i. Manakala pendapat yang kedua menyatakan bahawa ia adalah disunatkan sebagaimana dinaskan oleh Imam al-Syafi‘i dalam al-Umm. Begitu juga al-Syeikh Abu Hamid dan pengarang al-Hawi turut menukilkannya daripada al-Imla’.

Seterusnya, ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i berbeza pendapat mengenai pendapat mana yang lebih sahih daripada kedua-dua pendapat itu. Majoriti ulama dari Iraq berpendapat bahawa pendapat yang lebih sahih ialah hukumnya adalah sunat. Di antara mereka yang mensahihkan pendapat ini adalah seperti al-Syeikh Abu Hamid, al-Mahamili, pengarang al-‘Uddah, al-Syeikh Nasr al-Maqdisi dan al-Syasyi. Selain itu, terdapat juga sebahagian daripada kalangan ulama mazhab Syafi‘i yang mensahihkan pendapat bahawa hukumnya tidak disunatkan. Inilah pendapat yang lebih sahih dan ramai dalam kalangan ulama yang berfatwa dengannya. Ini adalah satu bentuk masalah yang difatwakan dengan pendapat qadim ke atas pendapat jadid. Tambahan lagi, Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan, ia bukan hanya pendapat qadim semata-mata, bahkan terdapat dua nas daripada pendapat jadid — yang menyokong — seperti mana yang dinukilkan mengenainya daripada al-Qadhi Abu al-Tayyib.[6]

Di samping itu, Ibn Qudamah juga ada menyebutkan, tidak disunatkan untuk menambah bacaan selepas surah al-Fatihah dalam dua rakaat selain daripada dua rakaat pertama. Ibn Sirin menyatakan, beliau tidak mengetahui adanya perbezaan pendapat dalam kalangan ulama bahawa dalam dua rakaat pertama dibaca surah al-Fatihah dan surah (yang lain), manakala dalam dua rakaat akhir pula hanya dibaca surah al-Fatihah. Diriwayatkan perkara tersebut daripada Ibn Mas‘ud, Abu al-Darda’, Jabir, Abu Hurairah dan Aisyah. Selain itu, ini juga merupakan pendapat Malik, ashab al-ra’y, dan salah satu pendapat Imam al-Syafi‘i. Manakala dalam satu pendapat Imam al-Syafi‘i yang lain menyatakan bahawa boleh dibaca surah al-Fatihah bersama surah yang lain dalam dua rakaat akhir, berdasarkan riwayat daripada al-Sunabihi, beliau berkata:

صَلَّيْتُ خلفَ أبى بكرٍ الصِّدِّيقِ المغربَ، فدَنَوْتُ منهُ حتى إنَّ ثِيَابِى تكادُ تَمَسُّ ثيابَهُ، فقرأ في الرَّكْعةِ الأخِيرَةِ بِأُمِّ الكِتَابِ، وهذه الآيَةِ: رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا

Maksudnya: “Aku mendirikan solat Maghrib di belakang Abu Bakar al-Siddiq — yakni berimamkannya. Lalu aku semakin rapat dengannya sehingga pakaianku hampir menyentuh pakaiannya. Beliau membaca dalam rakaat terakhir surah al-Fatihah dan ayat ini, ‘رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا’.”

Manakala dalil yang menunjukkan bahawa ia tidak disunatkan adalah berdasarkan kepada hadith Abu Qatadah sebagaimana yang telah dinyatakan di atas. Begitu juga Umar ada menulis — surat — kepada Syuraih bahawa bacaan dalam dua rakaat pertama ialah surah al-Fatihah dan surah yang lain, manakala dalam dua rakaat terkahir punya hanya surah al-Fatihah. Adapun apa yang dilakukan oleh Abu Bakar al-Siddiq itu, sesungguhnya beliau memaksudkannya sebagai doa dan bukannya bacaan al-Quran. Namun, sekiranya beliau tetap memaksudkannya sebagai bacaan al-Quran, maka mengikuti Nabi SAW itu adalah lebih utama. Lebih-lebih lagi pendapat Umar dan selainnya daripada kalangan sahabat menyelisihinya — yakni menyelisihi perbuatan Abu Bakar.[7]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa tidak disunatkan untuk membaca surah pilihan selepas surah al-Fatihah dalam rakaat ketiga dan keempat sebagaimana pendapat muktamad dalam mazhab Syafi‘i dan jumhur ulama.

Sekalipun begitu, kami juga melihat perkara ini adalah luas. Dalam erti kata lain, tiada masalah jika seseorang itu mahu beramal sendiri dengan membaca surah tambahan selain al-Fatihah dalam rakaat ketiga dan keempat sekiranya perkara itu tidak menyebabkannya terlewat daripada mengikuti imam atau ketika solat secara bersendirian. Namun, jika dia seorang imam, maka sebaiknya dia meringkaskannya atau tidak membaca langsung surah tambahan dalam dua rakaat terakhir bagi meraikan keperluan makmum.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 21 April 2022 bersamaan 19 Ramadhan 1443H

[1] Surah al-Muzammil: 20

[2] Riwayat al-Bukhari (778)

[3] Riwayat Muslim (451)

[4] Riwayat Ahmad (11802)

[5] Lihat al-Muhazzab, 1/142.

[6] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/386-387.

[7] Lihat al-Mughni, 2/281-282.

Latest articles

Related articles