Alhamdulillah, segala puji hanya bagi-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW, keluarganya, para sahabatnya dan semua yang mengikut jejak langkahnya sehingga ke Hari Kiamat. 

Pada kali ini, dalam ruangan Tazkirah Harian Ramadhan, kami fokuskan berkenaan dengan peningkatan amalan sebanyak-banyaknya. Justeru kami namakannya sebagai Pecutan Terakhir. Ini kerana, baki yang ada pada Ramadhan ini hanya 7 hari sahaja lagi atau kurang. Justeru, amat wajar kita mempunyai strategi dalam berijtihad dengan sungguh-sungguh dalam ibadah kita kepada-Nya.

Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh yang terbaik denagn bersungguh-sungguh beribadat pada 10 akhir Ramadhan tidak sebagaimana waktu yang lain. Hal ini disebut oleh Aisyah R.Anha, bahkan Rasulullah SAW mengikat pinggangnya dalam erti kata tidak bersama dengan isteri semata-mata untuk beribadat, menghidupkan malamnya dan mengejutkan kaum keluarganya. Inilah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim seperti yang telah kita nyatakan dalam edisi yang lepas.

Rasulullah SAW adalah sebaik-baik ikutan. Justeru, sebolehnya kita melakukan sebagai mana Rasulullah SAW menyatakan dan inilah yang dilakukan oleh generasi sahabah, tabi’in dan salafussoleh. Kami nyatakan di sini sikap yang ditunjukkan oleh mereka yang memahami tentang kelebihan 10 akhir Ramadhan ini.

  • Salafussoleh di zaman dahulu akan mandi setiap malam, 10 akhir Ramadhan inilah yang dilakukan oleh kebanyakkan mereka antaranya Ayyub al-Sukhtiyani, Imam Malik, bahkan digalakkan untuk memakai wangian dan pakaian yang selayaknya dalam beribadat.
  • Ibadat pada 10 akhir Ramadhan bukan hanya terbatas pada waktu malam sahaja. Imam al-Syafi’i berkata, “Aku suka supaya kesungguhan beribadat juga dilangsungkan pada sinag hari sebagai mana bersungguhnya pada malam hari.”
  • Niat dan tekad untuk mendapatkan malam Qadar yang lebih baik daripada 1,000 bulan, iaitu 83 tahun 4 bulan. Ia mewakili umur yang panjang di kalangan umat Muhammad SAW. Seolah-olah mendapatkannya satu malam tersebut menyamai sepanjang hidup seseorang itu.
  • Mungkin kita boleh melihat dan muhasabah berkenaan dengan khatam al-Quran. Adakah sudah selesai atau belum? Jika sudah selesai kita gandakan lagi beberapa kali dengan masa yang berbaki. Jika belum, hendaklah kita berusaha untuk mengkhatamkannya. 
  • Saya nyatakan secara khusus yang bulan Ramadhan adalah bulan al-Quran. Cubalah lihat tokoh-tokoh yang khatam al-Quran:
  1. Imam Syafi’i khatam al-Quran pada setiap Ramadhan 60 kali dan pada bulan biasa 30 kali.
  2. Waki’ Ibn Jarrah membaca al-Quran pada malam hari dengan satu kali khatam dan sepertiga al-Quran. Beliau juga sembahyang 12 rakaat Dhuha. Beliau juga solat sunat daripada Zuhur hingga Asar.

III. Abdul Rahman bin Hurmuz berkata, “Qari-qari bangun membaca surah al-Baqarah dalam solat pada 8 rakaat.”

  1. Ibnu Abi Mulaikah berkata, “Aku menjadi imam kepada manusia di bulan Ramadhan dan aku membaca pada rakaat pertama surah Fatir, aku tidak dapati mana-mana orang pun yang merasa berat, sedangkan surah Fatir mengandungi 46 ayat.”
  2. Isteri kepada Abi Muhammad Habib al-Farisi berkata kepada suaminya pada waktu malam, “Telah pergilah malam sedangkan di hadapan kita jalan yang masih jauh, bekalan kita sedikit, dan kafilah orang-orang soleh telah brrjalan jauh meninggalkan kita. Dan kita masih lagi pada tahap ini.”
  3. Al-Rabi’ Ibn Khushain selepas ditimpa paralyze pada sebelah badannya, masih lagi menuju ke masjid dengan dipapah oleh 2 orang lelaki sedangkan sahabatnya berkata kepadanya, “Ya Aba Yazid, Allah beri rukhsah kepadamu untuk kamu lakukan solat di rumah.” Lantas jawabnya, “Sesungguhnya benar apa yang kamu katakan tetapi bila mana aku mendengar paggilan hayya ‘ala al-falah, maka hendaklah, ia menjawabnya walaupun merangkak.”

VII. Sa’id Ibn al-Musayyib pernah berkata, “Aku tidak pernah luput solat berjemaah sejak 40 tahun dan aku tidak pernah luput tabiratul ihram semenjak 50 tahun, dan aku tidak pernah melihat belakang lelaki (dia berada di saf pertama) pada masa solat sejak 50 tahun.”

  1. Waki’ berkata, “Adalah al-‘Amash hampir 70 tahun tidak pernah luput tabiratul ihram bersama imam dan aku bersamanya hampir 60 tahun dan tidak sekali pun aku melihat dia menambah walaupun satu rakaat (maksudnya beliau bukan makmum masbuq).”
  2. Ibn Wahb berkata, “Aku lihat Sufyan berada di Masjid al-Haram selepas solat Maghrib, beliau solat sunat. Kemudian dia sujud dengan satu sujud dan dia tidak angkat kepalanya sehingga azan Isyak.”
  3. al-Hafiz Ibnu Kathir mengisahkan cara Umar menghabisi malamnya, katanya, “Beliau solat dan menjadi imam kepada orang ramai untuk solat Isyak. Kemudian beliau masuk ke rumahnya dan sentiasalah dia solat sehingga ke fajar.”
  4. Ibnu Mas’ud apabila orang sudah tidur dia bangkit untuk solat dan didengari daripadanya seperti bunyi lebah (membaca al-Quran dengan menangis) hingga sampai ke Subuh.

Sebenarnya, banyak lagi kisah-kisah yang tidak dapat kami nyatakan kerana ruangan yang terhad ini. Yang penting, pecutlah sebagai pecutan terakhir bagi masa yang berbaki di bulan Ramadhan ini.

Akhukum fillah,

Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

23 Ramadhan al-Mubarak 1444 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *