Alhamdulillah, segala puji hanya bagi-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW, keluarganya, para sahabatnya dan semua yang mengikut jejak langkahnya sehingga ke Hari Kiamat.
Pada kali ini, dalam ruangan Tazkirah Harian Ramadhan, kami fokuskan berkenaan zikir.
Daripada Abdullah bin Busr RA, beliau berkata:
أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلٌ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ شَرَائِعَ الْإِسْلَامِ قَدْ كَثُرَتْ عَلَيْنَا، فَبَابٌ نَتَمَسَّكُ بِهِ جَامِعٌ؟ قَالَ: لَا يَزَالُ لِسَانُكَ رَطْبًا مِنْ ذِكْرِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ
Maksudnya: “Telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW dan berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya syariat Islam itu terasa banyak bagiku, maka (ajarilah aku) satu bab (ilmu) yang aku akan berpegang teguh dengannya?. Rasulullah menjawab: Hendaknya lisanmu terus menerus berzikir kepada Allah ‘Azza wa Jalla.”
Riwayat Ahmad (4/188) (190) dengan lafaz sebegini, Ibn Majah (3793), al-Tirmizi (3375), Ibn Hibban (814). Al-Tirmizi mengatakan hasan gharib. Kesemuanya dikeluarkan dari riwayat Amr bin Qais al-Kindi daripada Abdullah bin Busr.
Keistimewaan Hadis
Hadis ini menunjukkan bahawa kemuliaan Nabi SAW yang meraikan hal ehwal para sahabat yang tidak berkemampuan dalam melaksanakan kesemua jenis amalan ibadat (amal ibadat sunat). Maka diberikan kemudahan kepada para sahabat dengan berterusan berzikir kepada Allah.
Sebahagian ulama berkata: “Hadis ini menunjukkan kelebihan dalam istiqamah berzikir kepada Allah.”
Hadyu al-Nabawi dan Istifadah Hadis
Pertama: Ayat-ayat Allah yang menyebut tentang zikir. Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا ﴿٤١﴾ وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا ﴿٤٢﴾ هُوَ الَّذِي يُصَلِّي عَلَيْكُمْ وَمَلَائِكَتُهُ لِيُخْرِجَكُم مِّنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ ۚ وَكَانَ بِالْمُؤْمِنِينَ رَحِيمًا ﴿٤٣﴾ تَحِيَّتُهُمْ يَوْمَ يَلْقَوْنَهُ سَلَامٌ ۚ وَأَعَدَّ لَهُمْ أَجْرًا كَرِيمًا
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya; Dan bertasbihlah kamu kepada-Nya pada waktu pagi dan petang. Dia lah yang memberi rahmat kepada kamu – dan malaikat-Nya pula (berdoa bagi kamu) – untuk mengeluarkan kamu dari gelap-gelita (kufur dan maksiat) kepada cahaya yang terang-benderang (iman dari taat); dan adalah Ia sentiasa Melimpah-limpah rahmat-Nya kepada orang-orang yang beriman (di dunia dan di akhirat). Sambutan penghormatan yang akan diberi Tuhan kepada mereka semasa menemui-Nya ialah ucapan “Salam” (selamat sejahtera); dan Ia telah menyediakan untuk mereka pahala balasan yang mulia.”
Surah al-Ahzab (41-44)
Allah SWT berfirman:
إِنَّنِي أَنَا اللَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي
Maksudnya: “Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.”
Surah Taha (14)
Allah SWT berfirman:
الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
Maksudnya: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.”
Surah al-Ra’d (28)
Kedua: Sesungguhnya berzikir kepada Allah SWT merupakan ibadat yang menjauhkan kita dari kelalaian kepada-Nya, dan mendekatkan kita kepada-Nya. Islam menitikberatkan kepentingan zikir kepada Allah.
Ketiga: Seorang muslim yang berakal sudah semestinya akan mendahulukan semulia-mulia amal di dalam kehidupannya dan beramal dengannya, iaitu zikir kepada Allah SWT. Ini bertepatan dengan hadis sahih daripada Abi Darda’ RA, beliau berkata, bahawa Nabi SAW bersabda:
أَلَا أُنَبِّئُكُمْ بِخَيْرِ أَعْمَالِكُمْ، وَأَزْكَاهَا عِنْدَ مَلِيكِكُمْ، وَأَرْفَعِهَا فِي دَرَجَاتِكُمْ، وَخَيْرٌ لَكُمْ مِنْ إِنْفَاقِ الذَّهَبِ وَالْوَرِقِ، وَخَيْرٌ لَكُمْ مِنْ أَنْ تَلْقَوْا عَدُوَّكُمْ فَتَضْرِبُوا أَعْنَاقَهُمْ وَيَضْرِبُوا أَعْنَاقَكُمْ؟ قَالُوا: بَلَى، قَالَ: ذِكْرُ اللَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Mahukah kamu aku khabarkan kepada kamu dengan amalan yang terbaik, lebih suci di sisi raja kamu, akan mengangkat darjat kamu, dan lebih baik daripada kamu menginfaqkan emas dan perak, lebih baik bagi kamu jika kamu berhadapan dengan musuh kamu lalu kamu memenggal lehernya atau mereka memenggal leher kamu? Mereka (sahabat) menjawab: “Ya.” Rasulullah SAW bersabda: “Berzikir kepada Allah SWT.”
Riwayat al-Tirmizi (3299) dan Ahmad (20713)
Keempat: Imam Ibn Qayyim dalam kitabnya al-Wabil al-Sayyib menyebut tentang kelebihan-kelebihan zikir:
فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ
Maksudnya: “Maka ingatlah pada-Ku, maka Aku akan mengingati kamu.”
Surah al-Baqarah (152)
الذِّكْرُ لِلْقَلْبِ مِثْل الْمَاء لِلسَمَكِ فَكَيْفَ يَكُوْن حَال الْسَمَك إِذَا فَارقَ الْمَاء؟
Maksudnya: “Zikir pada hati seperti air yang diperlukan ikan. Lihatlah apa yang akan terjadi jika ikan tersebut berpisah dari air?”
وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ نَسُوا اللَّهَ فَأَنسَاهُمْ أَنفُسَهُمْ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada diri mereka sendiri. Mereka Itulah orang-orang yang fasik.”
Surah al-Hasyr (19)
Semoga Allah SWT menjadikan kita termasuk di kalangan ahli zikir. Sementelahan lagi pada bulan Ramadhan al-Mubarak ini dan pada 10 akhir Ramadhan ini untuk kita basahkan lidah kita dengan zikrullah. Amin.
Akhukum fillah,
Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
24 Ramadhan al-Mubarak 1444 H