Mukadimah

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga, sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi. Aidiladha sememangnya sinonim dengan kisah pengorbanan dan ibadah korban dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Semalam, (Sabtu, 4 Julai 2020), semasa menyampaikan agihan daging anjuran Mitron Group Sdn. Bhd. dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan, saya ditanya berkenaan pelaksanaan ibadah korban dengan menggunakan lembu Wagyu. Saya menjawab bahawa hukumnya harus dan dibolehkan jika menepati kesemua syarat-syaratnya. Walaupun begitu, saya terpanggil untuk memperincikan jawapan ini dalam ruangan al-Bayan agar kefahaman kita lebih jelas dan dalam masa yang sama dapat memahami realiti dan waqi’ semasa ketika ini di Malaysia.

Saya katakan: Allah SWT telah mensyariatkan ibadah korban kepada golongan yang berkemampuan untuk melaksanakannya. Firman Allah SWT:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai tanda bersyukur).

Surah al-Kauthar (2)

Antara tafsiran ayat ini adalah, “Lakukanlah korban pada hari raya Aidil Adha (yaum al- nahr)”. Tafsiran ini diriwayatkan daripada ‘Ali bin Abi Talhah daripada Ibn ‘Abbas. Ia juga merupakan pendapat ‘Atho’, Mujahid dan jumhur (majoriti) ulama. (Lihat Zad al-Masir, 9/249)

Al-Maraghi berkata: Sembelihlah haiwan korbanmu serta apa yang menjadi ibadatmu semata-mata kerana Allah. Ini disebabkan Dia yang memelihara kamu, menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu, bukan selain-Nya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 15/7722)

Manakala dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Anas Ibn Malik RA, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُضَحِّي بِكَبْشَيْنِ وَأَنَا أُضَحِّي بِكَبْشَيْنِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW melaksanakan korban dengan dua ekor kambing dan aku sendiri (Anas RA) juga melaksanakan korban dengan dua ekor kambing.”

Riwayat al-Bukhari (5233)

Udhiyyah menurut istilah syarak adalah sesuatu yang disembelih dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah SWT pada hari nahr (Idul Adha) dengan syarat-syarat yang khusus. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 5/74)

Hukum melaksanakan ibadah korban bagi mazhab Syafi’ie ialah sunat muakkad. Ini kerana ia merupakan syiar Islam yang wajib ke atas orang muslim yang berkemampuan demi untuk menjaga syiar tersebut. (Lihat al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie, 2/478)

 

Takrif Lembu Wagyu

Istilah Wagyu berasal dari dua perkataan iaitu “Wa” bermakna Jepun dan “gyu” bermakna “daging lembu.” Justeru secara ringkasnya daging Wagyu bermaksud daging lembu Jepun. Di Jepun, terdapat empat jenis baka lembu yang menghasilkan daging wagyu iaitu Japanese Black, Japanese Brown, Japanese Shorthorn dan Japanese Polled. Salah satu jenis wagyu yang paling mahal adalah daging Kobe. Ia merujuk kepada daging lembu Jepun yang datang dari wilayah Hyogo yang mana ibu negerinya adalah Kobe. Daging jenis ini berasal daripada baka lembu Japanese Black, dilahirkan dan dibesarkan di wilayah Hyogo, Jepun.

Untuk layak mendapat label Wagyu, lembu-lembu perlu dibesarkan dan diberikan makanan berdasarkan garis-garis panduan terperinci. Mana-mana lembu yang sudah bersedia untuk diproses akan dipastikan mempunyai berat keseluruhan 780 hingga 800 kg dengan berat rangkanya selepas dilapah, kurang daripada 470kg. Setelah dilapah, daging yang ada akan digredkan mengikut tahap kualiti kandungan lemak itu. Ada empat kategori diambil kira iaitu tahap lemak, warna, kepejalan dan kualiti lemak dalam daging itu. Semua daging akan diberikan gred A, B dan C, dengan markah 1 ke 5 akan menentukan tahap kualiti daging itu mengikut gred. Selain itu, semua daging turut sama akan dinilai tahap yang digelarkan ‘Beef Marbling Score’ (BMS), yang akan menentukan tahap kecairan daging itu ketika dimakan, dengan skor 1 hingga 12. Kebanyakan daging Wagyu mempunyai pencapaian sekitar A4 – A5.[1]

Kami difahamkan, harga satu bahagian korban dengan lembu wagyu ini boleh mencecah sehingga RM30,000. Lembu wagyu tersebut adalah daging bergred A5 dan berat hidup sekitar 800kg. Manakala setiap peserta akan menerima 50 kg daging apabila selesai proses sembelihan.[2] Justeru, setiap peserta akan membayar dengan harga RM600 bagi 1 kilogram daging wagyu.

 

Ibadah Korban dengan Lembu Wagyu

Pada asasnya, ibadah korban dengan lembu wagyu adalah tidak menjadi masalah. Ini dalam keadaan sekiranya individu itu benar-benar berkemampuan. Seseorang itu dibolehkan untuk melakukan ibadah korban dengan unta, lembu wagyu dan sebagainya, tetapi ia dengan syarat mestilah berkemampuan, dan tidak sampai pada tahap berhutang.

Sesungguhnya, Islam amat menggalakkan penggunaan haiwan yang terbaik dan sihat dalam melakukan ibadah korban.

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, beliau berkata:

ضَحَّى النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ، ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ، وَسَمَّى وَكَبَّرَ وَوَضَعَ رِجْلَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا

Maksudnya: “Nabi SAW menyembelih dua ekor kambing kibasy putih bagus yang bertanduk besar sebagai korban dengan tangannya sendiri sambil menyebut nama Allah dan bertakbir, serta meletakkan kaki Baginda di tengkuk kibasy tersebut.”

Riwayat al-Bukhari (5565) dan Muslim (1966)

Dalam menjelaskan maksud “أَمْلَحَيْنِ”, Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut: Perkataan amlah (أَمْلَح) bermaksud yang berwarna hitam dan putih, tetapi warna putihnya lebih banyak, dan kadang disebut aghbar. Demikian menurut al-Ashma’i. Al-Khattabi pula menambahkan, “Ia adalah yang putih dan terdapat warna hitam di sela-sela bulunya.” Ada pula yang berpendapat bahawa ia adalah yang putih bersih, sepertimana pendapat Ibn al-A’rabi. Pendapat ini dijadikan dasar ulama mazhab Syafi’i yang mengutamakan haiwan putih untuk dijadikan korban. Menurut sebahagian ulama’ lain, ia adalah yang banyak warna merahnya.

Al-Hafiz Ibn Hajar kemudian menjelaskan: Berlaku perbezaan berkenaan sebab pemilihan sifat amlah (أَمْلَح) untuk haiwan korban. Dikatakan ia kerana bagus penampilannya atau kerana banyak lemak dan dagingnya. Hal ini dijadikan dalil oleh mereka yang mengutamakan jumlah dalam berkorban. Atas dasar itu, para ulama mazhab Syafi’i berkata, “Sesungguhnya melakukan korban dengan tujuh ekor kambing lebih utama daripada seekor unta, kerana darah yang ditumpahkan lebih banyak, dan pahalanya bertambah sesuai dengan jumlahnya. Barangsiapa yang ingin melakukan korban lebih daripada seekor, hendaklah dia menyegerakannya.” (Lihat Fath al-Bari, 27/225)

Al-Mawardi berkata, apabila bagusnya fizikal dan baiknya daging telah berkumpul, maka ia lebih utama. Jika tidak, maka yang lebih diutamakan adalah yang bagus dagingnya daripada sekadar penampilan luarannya. (Lihat Fath al-Bari, 27/225)

Di dalam kitab al-Fatawa al-Kubra, turut dijelaskan berkenaan kelebihan pemilihan haiwan korban yang terbaik. Disebut:

وَالأَجْرُ فِي الأُضْحِيَّةِ عَلَى قَدْرِ القِيْمَةِ مُطْلَقًا

Maksudnya: “Pahala korban (udhiyah) dilihat dari sudut semakin berharganya haiwan yang dikorbankan.” (Lihat Fatawa al-Kubra, 5/384). Justeru, dapat difahami di sini bahawa semakin berharga haiwan korban yang dipilih, semakin besar pahala yang diperolehi.

Berdasarkan pendapat al-Mawardi dan juga pengarang al-Fatawa menunjukkan bahawa tiga keutamaan menjadikan sesuatu binatang korban itu lebih afdhal iaitu: Semakin berharga (mahal), semakin baik fizikalnya dan dagingnya. Justeru, korban dengan lembu Wagyu adalah lebih baik. Walaupun begitu, syarat kemampuan dan niat yang ikhlas untuk sedekah dan melaksanakan perintah Tuhan menjadikan ia adalah sebaik-sebaiknya dalam melaksanakan ibadat Korban.

Rasulullah SAW sendiri memilih haiwan korban yang terbaik semampu Baginda. Baginda memilih haiwan yang terbaik dalam rangka pengagungan kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:

ذَٰلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّـهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ

Maksudnya: Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati Syiar-syiar agama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan daripada sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.

Surah al-Hajj (32)

Ibn ‘Abbas R.Anhuma dalam menjelaskan ayat ini menyebut:

تَعْظِيمهَا : اِسْتِسْمَانهَا وَاسْتِحْسَانهَا

Maksudnya: “Mengagungkan syiar Allah (haiwan korban) adalah menggemukkannya dan membaguskannya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 10/53)

Ayat ini dengan tafsiran Ibn Abbas di atas, jelas menggalakkan umat Islam untuk memilih lembu atau binatang korban yang gemuk dan yang paling baik.

Abu Umamah bin Sahl R.A pula berkata:

كُنَّا نُسَمِّنُ الْأُضْحِيَّةَ بِالْمَدِينَةِ وَكَانَ الْمُسْلِمُونَ يُسَمِّنُونَ

Maksudnya: “Kami menggemukkan haiwan korban di Madinah. Kaum muslimin biasanya menggemukkan haiwan korban.” (Lihat Fath al-Bari, 10/12)

Inilah yang dilakukan oleh generasi Sahabat ketika mahu melaksanakan ibadat korban. Hal seperti ini banyak dilakukan penternak lembu sebelum menjelangnya ibadat korban di kampung-kampung.

Konsep Korban Mengikut Keutamaan

Namun dalam situasi semasa yang melanda iaitu dalam keadaan pandemik wabak Covid-19 yang merebak, maka ia perlulah diteliti dengan sebaiknya.

Jika dilihat, dengan nilai RM30,000 itu, sekiranya dihitung menggunakan jumlah nilai semasa lembu iaitu lebih kurang RM5000 bagi seekor lembu, maka kita dapat memperolehi sekitar 6 ekor lembu. Daripada jumlah 6 ekor lembu ini, sudah tentu ia dapat memberikan manfaat yang lebih besar dan ramai orang miskin akan dapat merasainya.

Justeru, kami katakan, tidak salah untuk melakukan ibadah korban dengan Lembu Wagyu tersebut. Tetapi dari sudut perolehan manfaat yang lebih ramai dan besar, maka sudah tentu melakukan ibadah korban dengan lembu biasa tersebut adalah lebih utama dalam situasi seperti ini.

Mengikut pengamatan kami, terlalu ramai individu yang memerlukan bantuan terutamanya untuk merasai daging yang nilainya sekarang ini melebihi RM30 sekilo. Justeru, sekali lagi kami tegaskan bahawa lebih aula (utama) dari sudut Fiqh Aulawiyyatnya[3] untuk memberi makan seramai mungkin kepada golongan asnaf dan yang memerlukan. Dengan cara ini, jelas kita akan dapat membantu golongan masyarakat dalam bilangan yang lebih ramai. Faedah merasa daging lembu dan korban juga dapat dikongsi bersama dengan lebih meluas.

Semoga pencerahan ini menjadikan kita sentiasa peka dalam isu agama terutamanya dalam melaksanakan ibadat kepada Allah seperti berkorban. Kami akhiri dengan pesanan daripada Allah kepada Nabi-Nya SAW:

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّـهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

Maksudnya: Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

Surah al-An’am (162)

Nota Hujung:

[1] Lihat Daging Wagyu – Warisan Jepun yang sangat mahal harganya oleh Namri Sidek. Lihat juga A bluffer’s guide to Wagyu beef: Why is it so expensive? And how do you choose good meat? oleh May Chong. Diterbitkan pada 28 Oktober 2017. [metro.co.uk/2017/10/28/a-bluffers-guide-to-wagyu-beef-why-is-it-so-expensive-and-how-do-you-choose-good-meat-7027611/]

[2] Lihat Korban Lembu Wagyu RM29,999 Satu Bahagian oleh Farhana Joni di portal Astro Awani. Diterbitkan pada Jun 29, 2020. [http://www.astroawani.com/berita-malaysia/korban-lembu-wagyu-rm29-999-satu-bahagian-249107]

[3] Dr. Yusuf al-Qaradawi mendefinisikan Fiqh al-Awlawiyyat sebagai: “Menetapkan sesuatu pada martabatnya, tidak mengkemudiankan apa yang perlu didahulukan atau mendahulukan apa yang berhak dikemudiankan, tidak mengecilkan perkara yang besar atau membesarkan perkara yang kecil.” (Lihat Fi Fiqh al-Awlawiyyathlm. 9)

Antara dalilnya adalah, firman Allah SWT:

أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ الْحَاجِّ وَعِمَارَةَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ كَمَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَجَاهَدَ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ لَا يَسْتَوُونَ عِندَ اللَّـهِ ۗ وَاللَّـهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ ﴿١٩﴾ الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِندَ اللَّـهِ ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ

MaksudnyaAdakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji, dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjid Al-Haraam itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim. (19) (Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.

Surah al-Taubah (19-20)

Begitu juga hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, sabda Rasulullah SAW:

الإِيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُونَ أَوْ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً فَأَفْضَلُهَا قَوْلُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَدْنَاهَا إِمَاطَةُ الأَذَى عَنِ الطَّرِيقِ وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الإِيمَانِ

MaksudnyaIman itu mempunyai 70 lebih atau 60 lebih cabang iman. Yang paling afdhalnya ialah ucapan “لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ” dan paling rendahnya membuang apa yang menyakitkan dari jalan. Dan malu sebahagian daripada iman.

Riwayat Muslim (162)

Justeru tidak pelik para sahabat sentiasa bersungguh-sungguh bertanyakan kepada Rasulullah SAW untuk mengetahui amalan yang paling baik agar mereka dapat mendekatkan diri kepada Allah. Perkara ini dapat kita lihat dalam banyak hadis berkenaan dengan seafdhal, sebaik-baik, semulia-mulia dan ibarat yang seumpamanya.

PENAFIAN: Al-Bayan adalah siri pandangan hukum yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Ianya tidak berperanan sebagai fatwa dalam konteks akta, enakmen atau ordinan.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini