Mukadimah
Pada 18 Mac 2020, seiring dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, YB Senator Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri telah melancarkan misi Musa’adah Covid-19. Misi ini bertujuan menggerakkan semua agensi yang berada di bawah Menteri (Hal Ehwal Agama) Jabatan Perdana Menteri untuk membantu golongan yang terkesan dengan situasi semasa ekoran penularan wabak Covid-19. Misi ini dipacu lagi dengan pelancaran Tabung Musa’adah Covid-19 oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bagi mengajak seluruh rakyat turut menyumbang dalam menghulurkan bantuan.
Sehingga kini dianggarkan lebih RM81 juta telah disumbangkan kepada pihak berkenaan sama ada melalui pemberian wang tunai, paket makanan, barang keperluan asas, peralatan hospital, peralatan sokongan dan lain-lain. Pihak yang mendapat manfaat daripada inisiatif ini termasuk golongan asnaf, para petugas barisan hadapan, para pelajar, golongan gelandangan dan mereka yang dikenalpasti terjejas dengan situasi yang berlaku. Cakupan sumbangan pula tidak terbatas di Wilayah-Wilayah Persekutuan sebaliknya meliputi negeri-negeri yang lain di seluruh negara.
Sesungguhnya apa yang dilakukan oleh kerajaan ini, tidak mungkin akan mampu dilakukan jika tidak mendapat kerjasama daripada semua pihak terutama rakyat sendiri. Di sinilah peranan sadaqat yang sangat-sangat dituntut dalam syariat Islam. Justeru, artikel ini akan cuba membahaskan kepentingan sadaqat agar kita dapat memahaminya dengan baik seterusnya mengaplikasikannya dalam kehidupan kita.
Sadaqat antara sumber kewangan negara Islam
Sadaqat merupakan sumber terpenting kewangan negara pada zaman Rasulullah SAW di Madinah. Ia adalah sumbangan sukarela daripada umat Islam untuk membiayai perbelanjaan negara menerusi penubuhan beberapa tabung khas. Daripada sumber sadaqat, keseluruhan keperluan negara dan umat Islam dibiayai. Pada hakikatnya sejak sebelum kedatangan Islam lagi, sumbangan sukarela bagi kebajikan masyarakat setempat telah pun diamalkan. Sebagai contoh, sebuah institusi untuk membekalkan segala kemudahan telah diwujudkan dikenali sebagai al-rifadah. Menerusi institusi tersebut, para jemaah haji yang datang mengerjakan haji di Mekah dilengkapkan dengan pelbagai kemudahan menggunakan hasil daripada sumbangan orang ramai di Mekah. (Lihat Tarikh al-Tabari, 2368)
Dalam peperangan Khandaq (al-Ahzab), orang Quraisy Mekah telah melancarkan tabung bagi mengutip sumbangan untuk menampung persediaan perang menghapuskan agama Islam dan umatnya di Semenanjung Tanah Arab. (Lihat al-Maghazi, 2/440-444)
Pada zaman Islam pula, Rasulullah SAW pernah menghantar beberapa orang wakil keluar dari Madinah untuk memungut sumbangan sukarela bagi membantu pelaksanaan mana-mana projek yang dirancang baginda. Dalam isu kekurangan air, Rasulullah SAW mengambil pendekatan menyelesaikannya dengan meminta para sahabat yang kaya untuk membeli perigi di sekitar Madinah. (Lihat Tarikh al-Madinah al-Munawwarah, 152-155) Antara sahabat yang menyahut seruan baginda adalah Uthman bin Affan yang membeli Telaga Rumah di Madinah lalu dijadikan sebagai perigi untuk semua penduduk Madinah. Selain itu, Rasulullah SAW pernah didatangi oleh serombongan orang daripada Kabilah Mudhar yang tidak memakai selipar, dan hanya berpakaian selembar kain di badan mereka. Ketika melihat mereka, wajah Rasulullah SAW berubah kerana terharu dengan kemiskinan mereka. Lalu Rasulullah SAW memerintahkan agar para sahabat mengumpulkan derma buat mereka. Maka serta merta seorang lelaki menyedekahkan wangnya, pakaiannya, segantang gandum dan segantang kurma. Kemudian datang pula seorang lelaki Ansar membawa sebuah kantong yang berat dan disusuli dengan para sahabat yang lain. Riwayat Sahih Muslim (974)
Rasulullah SAW juga pernah membuat kutipan wang diyat (wang darah) daripada Bani Nadhir untuk membantu pembayaran pampasan kepada dua orang kafir zimmi dari Bani Kilab yang telah dibunuh oleh orang Islam. (Lihat Tarikh al-Tabari, 1/1448) Dalam menghadapi perang Tabuk, baginda memerintahkan para sahabat supaya menghulurkan derma semampu mungkin sebagai persediaan menghadapi perang. Perang tersebut amat signifikan kerana menjadi petunjuk kepada kekuatan umat Islam dalam menghadapi tentera Rom. Ia turut menjadi kayu ukur bagi menguji keimanan beberapa kabilah yang baru memeluk Islam. Dalam peristiwa ini, sebilangan para sahabat telah menderma sebahagian besar daripada harta mereka bagi membuktikan kesetiaan mereka terhadap Islam seperti Abu Bakar, Umar dan Uthman. Hasilnya seramai 30 ribu orang tentera berjaya dikumpulkan, dilengkapi dengan 10 ribu kuda dan kelengkapan senjata. (Lihat al-Maghazi, 3/1002)
Dengan kata lain, sadaqat atau sumbangan sukarela termasuk antara sumber pendapatan negara pada zaman Rasulullah SAW. Ia wujud di samping sumber-sumber pendapatan yang lain seperti zakat, fay’ (harta yang diperoleh oleh kaum muslimin bertanpa perang), ghanimah (harta rampasan hasil kemenangan selepas berperang), jizyah (cukai yang dikenakan oleh negara Islam ke atas ahli zimmah), kharaj (cukai yang dikenakan daripada hasil tanah) dan lain-lain. Pada zaman Rasulullah SAW semua hasil ini diletakkan bersama di dalam Baitul Mal. Pada masa kini sadaqat tidak lagi menjadi sumber perbendaharaan yang bersepadu, sebaliknya ia diuruskan secara berasingan oleh pelbagai pihak. Namun demikian, jika berlaku situasi darurat dan kecemasan yang boleh menjejaskan kedudukan ekonomi seluruh rakyat, sadaqat tetap menjadi alternatif utama pihak pemerintah.
Justeru, langkah Menteri (Hal Ehwal Agama) di Jabatan Perdana Menteri (JPM) melancarkan Musa’adah Covid-19 pada 18 Mac lalu adalah amat bertepatan dengan prinsip sadaqat. Ia bukan sahaja membabitkan peruntukan zakat dan lain-lain peruntukan di bawah agensi-agensi Menteri (Hal Ehwal Agama) di JPM, tetapi turut mengajak seluruh masyarakat termasuk badan-badan korporat dan orang perseorangan untuk menyumbang. Sekaligus ini dapat meringankan beban kerajaan dalam menangani krisis ekonomi yang sedang berlaku ekoran daripada penularan wabak Covid-19 dan arahan PKP.
Kelebihan sadaqat
Berdasarkan prinsip Islam, apa jua derma atau sumbangan yang dihulurkan dengan tujuan kebajikan dan niat yang murni, sambil mengharapkan balasan Allah SWT di akhirat kelak adalah suatu ibadah dan termasuk dalam erti kata infaq pada jalan Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 272:
وَمَا تُنفِقُوا مِنْ خَيْرٍ فَلِأَنفُسِكُمْ ۚ وَمَا تُنفِقُونَ إِلَّا ابْتِغَاءَ وَجْهِ اللَّـهِ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِنْ خَيْرٍ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ
Maksudnya: “Dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.”
Terdapat banyak nas-nas syarak yang menjelaskan berkenaan kelebihan bersedekah, antaranya seperti berikut:
Pertama: Allah SWT melipat-gandakan pahala orang yang bersedekah
Firman Allah SWT:
مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍۗ وَاللَّـهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُۗ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.
Surah al-Baqarah (261)
Kedua: Pahala untuk diri sendiri
Firman Allah SWT:
وَمَا تُنفِقُوا مِنْ خَيْرٍ فَلِأَنفُسِكُمْۚ وَمَا تُنفِقُونَ إِلَّا ابْتِغَاءَ وَجْهِ اللَّـهِۚ وَمَا تُنفِقُوا مِنْ خَيْرٍ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ
Maksudnya: Dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.
Surah al-Baqarah (272)
Ketiga: Sedekah dibalas dengan kecukupan
Firman Allah SWT:
وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ
Maksudnya: Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.
Surah al-Anfal (60)
Keempat: Darjat lebih tinggi di sisi Allah SWT
Firman Allah SWT:
الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِندَ اللَّـهِ ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ
Maksudnya: (Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.
Surah al-Taubah (20)
Kelima: Mendekatkan diri kepada Allah SWT
Firman Allah SWT:
وَمِنَ الْأَعْرَابِ مَن يُؤْمِنُ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَيَتَّخِذُ مَا يُنفِقُ قُرُبَاتٍ عِندَ اللَّـهِ وَصَلَوَاتِ الرَّسُولِۚ أَلَا إِنَّهَا قُرْبَةٌ لَّهُمْۚ سَيُدْخِلُهُمُ اللَّـهُ فِي رَحْمَتِهِۗ إِنَّ اللَّـهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: Dan sebahagian dari orang-orang Arab itu ada yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan memandang apa yang mereka dermakan (pada jalan Allah itu) sebagai amal-amal bakti (yang mendampingkan) di sisi Allah dan sebagai (satu jalan untuk mendapat) doa dari Rasulullah (yang membawa rahmat kepada mereka) Ketahuilah, sesungguhnya apa yang mereka dermakan itu adalah menjadi amal bakti bagi mereka (yang mendampingkan mereka kepada Allah); Allah akan masukkan mereka ke dalam rahmatNya; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Surah al-Taubah (99)
Berdasarkan kepada ayat-ayat al-Quran di atas, jelas menunjukkan bahawa Islam merupakan agama yang mendidik umatnya agar saling bertolong bantu antara satu sama lain termasuk dalam aspek sokongan ekonomi. Manfaatnya bukan sahaja dari sudut sosio-ekonomi umat Islam, tetapi dijanjikan dengan ganjaran yang besar di sisi Allah SWT di akhirat kelak buat para penyumbang yang terlibat.
Kesimpulan
Secara keseluruhannya, inisiatif Musa’adah Covid-19 yang sedang berjalan ini amat menepati prinsip-prinsip Maqasid al-Syariah yang terangkum dalam tiga kategori iaitu dharuriyyat, hajiyyat, dan tahsiniyyat. Dharuriyyat merangkumi lima perkara iaitu menjaga agama, nyawa, akal, harta dan keturunan (maruah). Kelima-lima perkara ini adalah keperluan asasi yang amat diperlukan oleh setiap manusia. Seandainya salah satu daripada keperluan ini tidak dipenuhi, maka kehidupan manusia tidak bermakna lagi. Adapun Musa’adah Covid-19 termasuk dalam kategori dharuriyyat iaitu sesuatu yang sangat penting bagi memastikan kelangsungan hidup manusia dalam keadaan terhalang untuk meraih sumber pencarian akibat penularan wabak penyakit dan arahan pergerakan terhad. Bak kata YB Menteri, “Jangan sampai ada yang tiada makanan di atas meja!”
Unit Penyelidikan Ilmiah
Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
Jabatan Perdana Menteri
PENAFIAN: Al-Bayan adalah siri pandangan hukum yang dikeluarkan oleh Unit al-Bahth al-‘Ilmi (Penyelidikan Ilmiah) Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Ianya tidak berperanan sebagai fatwa dalam konteks akta di Wilayah-Wilayah Persekutuan dan enakmen di peringkat Negeri.