AL-BAYAN SIRI 4: DARI HANG LI PO KE GLOBAL HEALTH DIPLOMACY (GDH)

Hubungan Tamadun Islam dengan Empayar China bukanlah kisah baharu yang bermula pada zaman Abbasiyyah seperti yang termaktub dalam Kitab Alf Layla wa Layla (Hikayat 1001 Malam). Hubungan persahabatan Islam-China wujud secara aktif sejak dari zaman Khulafa’ al-Rasyidin lagi dengan bukti wujudnya maqam Para Sahabat ridhwanullahu ‘alaihim ajma’in di sekitar dan hujung Laluan Sutera.

Kami soroti dalam beberapa hari kebelakangan ini susur galur sejarah hubungan dagang dan politik yang dijalin antara Sultan Melaka, Parameswara dengan Maharaja China, Yung Lo pada 28 Oktober 1403 yang  merupakan titik pertama bermulanya bibit keakraban pertama dengan negara luar yang pernah dibuat oleh seorang Sultan di Tanah Melayu. Ia bukan sahaja bercerita tentang persaudaraan dua kuasa politik berpengaruh malah ia adalah suatu fasa untuk menghayati keinsanan rentas sempadan. Kita susah dan senang bersama tanpa mengira bangsa, budaya dan warna kulit sehingga ke hari ini.

Pada ketika itu juga Laksamana Yin Ching yang diutuskan oleh Maharaja Yung Lo dari Dinasti Ming berfungsi sebagai duta yang bertanggungjawab memeteraikan persetujuan dagangan dua hala itu. Kita juga membaca teks sejarah yang tertulis Parameswara iaitu Sultan Iskandar Shah merasa wujudnya keperluan menjalinkan persahabatan dengan Negeri China nun jauh yang terkenal dengan kuasa besarnya sebagai pendinding dari ancaman kuasa sekeliling.

Dalam konteks ini kita juga perlu sedar bahawa Tanah Melayu yang kita junjung langitnya dan namanya Malaysia pada hari ini dikelilingi oleh lautan terbuka dari arah timur, barat dan selatan. Bahkan kuasa agak dominan rantau ini, Siam berada di utara kita. Dari sudut geopolitik, kita berada di tengah-tengah jalan dagang, infrastruktur dan fasiliti yang baik, kedudukan fiskal serta dasar monetari baik dan ditambah dengan kestabilan politik. Ini memberi kelebihan kepada Melaka untuk menjadi rakan dagang utama China di rantau ini.

Sejarah yang dinukilkan oleh nenek moyang kita dulu juga ada mencatatkan susulan dari termeterainya persahabatan ini, wujudnya kesalingan interaksi rentas lautan. Wujudnya juga pemindahan kepintaran (knowledge transfer) dan pemindahan teknologi (technology transfer) seperti Melaka menghantar tukang dan pandai kayunya bagi mengajar China membina jong dan kapal besar. Suatu kepintaran yang masih belum ada di timur mahupun di barat pada ketika itu. Jika ada pun hanya kapal bersaiz kecil dan bukanlah sesuai untuk menzahirkan kekuasaaan besar dimiliki China pada waktu itu. Sebagai balasan, China menjadi rakan dagang antara terbesar bagi Melaka yang membolehkan nenek moyang kita dahulu menikmati kemakmuran dan kekayaan hasil kekukuhan ekonomi negara.

Dahulu, Sultan Melaka sendiri yang meminta China menjadi penaungnya. Oleh itu, Melaka aman dari sebarang ancaman terutama dari Siam. Kemudian perkahwinan Sultan Mansur Shah dengan Puteri Hang Li Po juga merupakan titik mula perkahwinan campur di Melaka ketika itu. Sebagai hadiah perkahwinan pula, Sultan menghadiahkan kepada rakyat China seramai 500 orang yang menemani perjalanan Puteri Hang Li Po ke Melaka dengan sebuah bukit, dinamakan Bukit China di Melaka dan letaknya di situ sebuah perigi. Dipanggil Perigi Raja atau Perigi Hang Li Po pada hari ini.

DIMENSI BAHARU HUBUNGAN DIPLOMATIK MALAYSIA-CHINA

Tahun 1971 sekitar bulan Mei, Tengku Razaleigh Hamzah (Yang Berhormat Mulia) selaku Pengerusi Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) mengetuai rombongan perdagangan Malaysia menyertai Ekspo Perdagangan Guangzhou di China. Perdana Menteri China ketika itu, Zhou Enlai, dan Naib Perdana Menteri, Li Xiannian, telah mengadakan pertemuan dengan rombongan Malaysia itu. Pertemuan itu menandakan bahawa China telah mengubah pendirian dan mengiktiraf kedudukan Malaysia sebagai negara yang berdaulat. Sebagai lanjutan pertemuan itu, China menghantar rombongan pertama ke Malaysia pada bulan Ogos 1971. Rombongan itu mewakili Persatuan Penggalakan Perdagangan Antarabangsa China.

Dalam lawatan rombongan China tersebut, kedua-dua pihak telah menandatangani beberapa perjanjian perdagangan dua hala. Lawatan tersebut memainkan peranan besar dalam mendorong proses penjalinan hubungan diplomatik China–Malaysia. Ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang diadakan pada bulan Oktober tahun itu, Malaysia menyokong pemulihan kerusi Republik Rakyat China dalam organisasi tersebut.

Dalam sejarah diplomatik China, tindakan yang disebut sebagai “diplomasi pingpong” sangat terkenal dengan peranan pentingnya dalam usaha menjalin hubungan diplomatik China–Amerika Syarikat . Sebenarnya, diplomasi pingpong juga pernah memainkan peranan penting dalam penjalinan hubungan diplomatik China–Malaysia. Pada tahun 1971, Pengerusi Persatuan Pingpong Malaysia, yang juga rakan baik Abdul Razak, Tan Sri Michael Chen Wing Sum, mengetuai pasukan pingpong Malaysia menyertai Kejohanan Pingpong Asia, Afrika, dan Amerika Latin yang diadakan di Beijing. Beliau mengambil peluang menyampaikan surat Perdana Menteri Malaysia itu, yang ditulis atas nama Pengerusi Majlis Olimpik Malaysia, kepada Zhou Enlai.

Diplomasi pingpong bukan sahaja meningkatkan hubungan antara rakyat kedua-dua buah negara, malah terus mendorong proses jalinan hubungan diplomatik China–Malaysia. Bermula pada bulan Jun tahun itu, rundingan bagi menjalin hubungan diplomatik antara China dengan Malaysia diadakan di New York. Sebagai hasilnya, beberapa persetujuan besar berjaya dicapai.

DIPLOMASI DARI PERSPEKTIF ISLAM

Apabila kami menyelak helaian-helaian karya sejarawan terkenal di timur atau barat, Rasulullah SAWjuga menzahirkan diri Baginda dan bertindak dengan fungsi atau metod diplomat. Kita lihat sahaja cara fikir dan tindakan Baginda Nabi mengutus surat kepada ketua-ketua kabilah, malah kepada maharaja-maharaja kuasa besar dunia ketika itu. Antaranya Hercules di Rom, Najasyi di Ethiopia serta kepada Khosrau. Banyak buku-buku yang mengupas perihal ini antaranya Fiqh al-Da’wah fi Rasa’il al-Rasul ila al-Muluk wa al-‘Umara’ tulisan ‘Ali bin Hafiz al-Wadi’i.

Selain itu bagi menyelesaikan konflik atau perang saudara antara ‘Aus dan Khazraj, Baginda menggubal Perlembagaan Madinah seretusnya menjadi serampang dua mata bagi pembentukan negara Madinah al-Munawwarah yang makmur, manifestasi dari firman-Nya, baldatun tayyibatun wa rabbu ghafur (Negara yang baik dan Tuhan yang Maha Pengampun). Dengan kebijaksanaan Baginda, dimensi perpaduan sosial dapat ditangani seterusnya mampu mencipta momentum kemajuan dan menjadi pemangkin perubahan-perubahan signifikan kepada negara.

Baginda juga pernah mengepalai Bai’ah al-‘Aqabah yang juga disebut Bai’ah ar-Ridhwan yang menzahirkan kebijakan diplomasi dan meletakkan Muslim sebagai satu blok sosial yang memiliki kuasa tawar-menawar (bargain power). Inilah jati diri seorang Muslim. Keperluan untuk kita memahami konsep tunduk dan berserah kepada-Nya,  mendidik untuk tidak sentiasa harus tunduk, rela dan berserah kepada selain daripada-Nya.

KONSEP DIPLOMASI YANG HARUS DIFAHAMI OLEH MUSLIM

Islam menghargai persahabatan dan diplomasi terbuka dimana rakyat kedua-dua pihak mengetahui butir-butir persetujuan yang dicapai bersama oleh pemimpin-pemimpin mereka walau bagaimana sekali pun senario bilik perbincangannya. Sejajar dengan semangat transparency dan integriti tinggi yang dipegang oleh umat Islam, kita percaya kepada kebaikan itu datangnya bersama dengan keharmonian perbincangan. Ia dapat diperoleh dengan membina hubungan erat, berbincang untuk kebaikan bersama dan common interest atau common ground, selesaikan pertikaian dengan keadaan situasi menang-menang, menjadi mediator bagi pihak yang berkonflik serta konsisten menunjukkan prestasi terbaik tanpa melupakan tugas menyampaikan risalah as-salam ke seluruh ceruk dunia.

Asasnya, mendoakan kebaikan untuk non Muslim seperti mendapat kesejahteraan kesihatan, anak, harta adalah dibolehkan selagimana non Muslim tersebut bukan dari kalangan mereka yang bermusuh dengan Islam. Allah SWT berfirman:

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّـهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ ﴿٨﴾ إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّـهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَىٰ إِخْرَاجِكُمْ أَن تَوَلَّوْهُمْ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Maksudnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (8) Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. Surah al-Mumtahanah (8-9)

Ibn Kathir berkata: Maksudnya, Allah SWT tidak melarang kamu berbuat baik kepada orang-orang kafir yang tidak memerangi kamu kerana agama, seperti kaum wanita dan orang-orang yang lemah di antara mereka. Allah hanya melarang kamu bersahabat dengan orang-orang yang telah melancarkan permusuhan terhadap kamu, kemudian mereka memerangi dan mengusir kamu dan membantu mengusir kamu. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-Azim, 8/135)

Nabi SAW menyuruh agar kita membalas kepada pelaku kebaikan dengan ucapan yang baik. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Usamah bin Zaid R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صُنِعَ إِلَيْهِ مَعْرُوفٌ فَقَالَ لِفَاعِلِهِ (جَزَاكَ اللَّهُ خَيْرًا) فَقَدْ أَبْلَغَ فِي الثَّنَاءِ

Maksudnya: “Sesiapa yang dilakukan padanya kebaikan, lalu dia berkata kepada orang tersebut: “Jazakallah khairan (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka sesungguhnya dia telah benar-benar meninggikan pujian.” Riwayat al-Nasa’ie (9937) dan al-Tirmizi (2035)

Imam al-Munawi berkata: Doa yang disebutkan di dalam hadis di atas hanya untuk seorang Muslim. Adapun sekiranya jika seorang bukan Muslim berbuat kebaikan kepada seorang Muslim, maka doakanlah agar dia mendapat harta, anak, kesihatan dan ‘afiyah. (Lihat Faidh al-Qadir oleh al-Munawi, 1/526)

Dalam konteks kita hari ini pula, saya berkeyakinan bahawa kita memahami aspirasi negara untuk menjadi sparring partner kepada kuasa besar dunia. Sudah pastinya jalan itu tidak mudah tetapi menjadi tidak  mustahil sekiranya kita itqan dalam bekerja, istiqamah dan result driven  serta mengutamakan merit dalam apa jua kerja buat. Untuk menjadi kawan kepada nama besar perlu kita meletakkan diri kitasetara dengan mereka. Setiap kebaikan mereka kita balas dengan kebaikan juga. Dan inilah kesimpulan saya untuk tulisan kali ini.

Kita sedang memasuki gerbang episod baharu dalam istilah diplomatik; iaitu Diplomasi Kesihatan Global (Global Health Diplomacy) yang harus dijuarai oleh masyarakat Muslim seluruh dunia. Kita bantu jika mereka perlu, dan kita terima apabila mereka beri bersama ucapan terima kasih.

Semoga bermanfaat kepada rakyat Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *