KALAMUNA SIRI 5: TENTANG ARAK

Pandangan saya tentang arak adalah konsisten tanpa sebarang kompromi. Ianya adalah haram di sisi Islam. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” Surah al-Maidah (90)

Anda boleh merujuk penulisan-penulisan saya berkenaan arak semasa menjadi Mufti Wilayah Persekutuan. Teguran dan nasihat saya ada tulus ikhlas dari hati dan bukan memilih-milih. Arak atau minuman beralkohol bukan sahaja dilarang dalam Islam, malah ianya digambarkan dengan keburukan dan bahayanya dalam agama Hindu, Buddha, Kristian, Sikh dan lain-lain. Apalah erti kehidupan kita jika masing-masing tidak berpegang teguh dengan nilai-nilai yang diajarkan dalam agama?

Tragedi kemalangan jalanraya akibat mabuk bukanlah asing dalam dada akhbar di Malaysia. Ia akan kekal menjadi igauan ngeri rakyat Malaysia jika hal ini tidak diteliti dengan baik.

Berhubung surat yang tersebar berkenaan kilang arak yang dibenarkan beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan tersebut, umum sudah mengetahui natijahnya. Cuma, saya amat berharap ianya tidak lagi berlaku.

Mengapa saya tidak membuat apa-apa ulasan? Mereka yang mengenali saya sejak menjawat jawatan Mufti Wilayah Persekutuan 6 tahun lalu, pasti faham akan sikap saya. Apabila Imam al-Syafie ditanya berkenaan suatu perkara, adakalanya beliau diam sejenak dan berfikir. Dikatakan kepadanya: “Tidakkah kau mahu menjawab?” Beliau membalas:

حَتَّى أَدْرِيَ الْفَضْلُ فِي سُكُوتِي أَوْ فِي الْجَوَابِ

Maksudnya: “Sehingga aku tahu kebaikan itu pada diamnya aku atau pada jawapanku.”

Hal ini bukan sahaja menggambarkan kebijaksanaan Imam al-Syafie dalam berfatwa, bahkan seni komunikasi ini juga boleh diterima pakai dalam apa jua keadaan yang sesuai. Tambahan pula sekarang, sepatah jawapan sahaja sudah boleh diandaikan kepada 1001 kefahaman.

Justeru, apabila semua sudah mengetahui pendirian saya tentang arak, fahamlah bahawa apa sahaja berkaitan dengannya, saya tetap dengan tegas menolaknya.

Saya juga amat tidak selesa untuk menjawab bagi pihak kementerian lain. Boleh jadi jawapan saya tepat atau salah. Malah, saya juga tidak mengetahui adakah apa yang saya fahami, benar-benar seperti yang dikatakan orang atau sebaliknya.

Soalan-soalan yang berbaur kontroversi atau bertujuan melaga-lagakan saya dengan sesiapa sahaja, itulah yang terutamanya saya elakkan. Ini kerana, kalau saya tergesa-gesa menjawabnya, boleh jadi ia menjatuhkan maruahnya. Inilah antara pesan guru saya Syeikh Al-‘Allamah Dr. Muhammad Muhammad Al-Mukhtar Al-Syanqiti.

Saya mengambil kecaknaan sebarang bentuk nasihat dan cadangan dari semua pihak terutamanya Ashab al-Samahah para Mufti, cendekiawan Islam dan sesiapa sahaja. Nasihat itu akan saya semat pada hati sanubari ini dan cuba mencari jalan yang terbaik dalam menyelesaikannya. Terima kasih semua.

Saya doakan semoga kita semua saling nasihat menasihati sesama kita. Saya juga sedia mendengarnya mengikut kapasiti dan kemampuan yang saya ada dalam melaksanakan amanah yang cukup besar ini. Jazakumullahu khairal jaza’.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *