AL-BAYAN SIRI 6: MALAYSIA NEGARA AHLI SUNNAH WAL-JAMAAH : SATU PENEGASAN

Mukadimah

Sejak sekian lama Malaysia adalah sebuah Negara Islam yang berteraskan dasar Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Aqidah, syariah dan akhlak ummah sentiasa dipelihara agar selari dengan prinsip-prinsip yang terkandung di dalam dasar tersebut. Dasar ini jelas termaktub di dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan. Manakala tafsiran ‘Islam’ dalam perlembagaan telah diperincikan lagi menerusi keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-8 yang telah diadakan pada 24 dan 25 September 1984 [Kertas Bil. 2/8/84, Perkara 4.2. (2)] mengenai aliran Syiah yang antara lain juga telah memutuskan seperti berikut:

   a) Menetapkan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah dari segi Aqidah, Syariah dan Akhlak.

 b) Menyokong dan menerima cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri-Negeri bagi memperuntukkan dengan nyata bahawa agama bagi Persekutuan dan Negeri-Negeri hendaklah agama Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah dari segi Aqidah, Syariah dan Akhlak.

Manakala Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 5 Mei 1996 telah telah memutuskan bahawa:

i. Menetapkan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi aqidah, syariah dan akhlak

ii. Memperakukan pindaan kepada semua Undang-undang Negeri yang berhubung dengan hukum Syarak bagi menyelaraskan takrif “Hukum Syarak” atau “Undang-undang Isam” seperti berikut:

“Hukum syarak” atau “Undang-undang Islam” ertinya Undang-undang Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi aqidah, syariah dan akhlak”

iii. Memperakukan bahawa ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah bercanggah dengan Hukum Syarak dan Undang-undang Islam; dan dengan demikian penyebaran apa-apa ajaran yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah dilarang

iv. Menetapkan bahawa semua umat Islam di negara ini adalah tertakluk kepada Undang-undang Islam Hukum Syarak yang berasaskan pegangan kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah sahaja

v. Menetapkan bahawa penerbitan, penyiaran dan penyebaran apa-apa buku, risalah, filem video dan lain-lain bebrhubung dengan ajaran Islam yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah diharamkan

Dalam Mesyuarat Panel Pakar Aqidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertarikh 28 Disember 2010 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Bangi, panel telah memutuskan bahawa definisi Ahli Sunnah Wal-Jamaah ialah:

“Golongan yang memahami dan berpegang kepada al-Qur’an dan Sunnah Nabi SAW menerusi  para sahabat, tabi’in dan tabi’ tabi’in yang setia bersama mereka dalam prinsip-prinsip aqidah, syariah dan akhlak”.

Penjelasan definisi:

a) Mereka adalah golongan yang memahami dan berpegang kepada al-Qur’an dan Sunnah Nabi SAW mengikut manhaj dan kaedah salaf dan khalaf (Asya’irah dan Maturidiyyah).

b) Mereka adalah golongan berfahaman sederhana (wasatiyyah), tidak melampau dan tidak terlalu longgar, ini mengeluarkan Khawarij, Syi’ah Rafidhah, Qadariyyah, Jabariyyah, Mu’tazilah, Anti-hadis, Islam liberal, pluralisme agama dan seumpamanya.

c) Mereka ialah golongan yang mengutamakan perpaduan dan persaudaraan Islam bukan permusuhan, perdamaian bukan peperangan, berpegang kepada prinsip tidak memuja pemimpin, tidak taksub sehingga mengkafir atau menyesatkan sesama Islam.

Selain itu, pentafsiran Islam dalam perlembagaan dapat ditentukan dengan meneliti peruntukan Enakmen Syariah di negeri-negeri atau melihat keputusan mahkamah di Malaysia terhadap sesuatu kes berkaitan dengan agama Islam. Kenyataan ini berpandukan kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam beberapa negeri di Malaysia yang memasukkan Ahli Sunnah Wal-Jamaah sebagai mazhab rasmi negeri. Antara negeri tersebut ialah Kedah, Kelantan, Johor dan Perlis. Negeri-negeri ini telah mengistiharkan agama Islam bermazhab Ahli Sunnah Wal-Jamaah sebagai agama negeri, malah Duli Yang Teramat Mulia Sultan juga mesti bermazhab tersebut.

Dalam Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Negeri Kelantan contohnya, menyatakan bahawa: Ahli Sunnah Wal Jamaah maknanya ialah mazhab Abu Al-Hassan Al-Asha’ri dan Abu Mansur Al-Maturidi dan orang yang mengikut jejak langkah keduanya. Manakala bagi Negeri Sembilan, Pahang, Selangor, Melaka dan Terengganu hanya menyatakan agama Islam adalah agama negeri tanpa menyebut mazhab Ahli Sunnah wa al-Jama’ah. Walaupun begitu, fatwa dan amalan yang digunapakai di negeri-negeri tersebut adalah terikat dengan Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Negeri Perak pula meletakkan Islam bermazhab Shafi’i sebagai mazhab negeri (Seksyen 39). Mazhab Shafi’i juga adalah salah satu mazhab dalam Ahli Sunnah Wal-Jama’ah. Terkini, negeri Johor turut menambah baik Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri dengan memasukkan Islam yang menjadi pegangan atau mazhab rasmi di negeri Johor adalah berasaskan Ahli Sunnah Wal-Jama’ah aliran al-Ash’ari (Asha’irah) dan al-Maturidi (Maturidiyyah) dari aspek akidah, mazhab al-Shafi’i dari aspek fikah dan al-Junayd serta al-Ghazali dari aspek tasawuf. Malah terdapat usaha berterusan dari negeri-negeri lain untuk memasukkan perkataan Ahli Sunnah Wal-Jamaah sama ada secara umum atau khusus berdasarkan mazhab Asha’irah dan Shafi’i sebagaimana di negeri Johor. (Lihat Jurnal Penyelidikan Jakim, Bil. 30/2018, 27-28)

 

Pengenalan Terhadap Ahli Sunnah Wal-Jamaah

Istilah Ahli Sunnah Wal-Jamaah bukanlah nama sebuah parti politik atau mazhab baharu yang diasaskan oleh ulama. Sebaliknya ia merupakan istilah yang berpunca daripada nas-nas syarak yang banyak. Bagi istilah al-Sunnah, Rasulullah SAW pernah mengungkapkannya dengan makna wahyu yang selain daripada al-Qur’an. Baginda SAW bersabda:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنِّى قَدْ تَرَكْتُ فِيكُمْ مَا إِنِ اعْتَصَمْتُمْ بِهِ فَلَنْ تَضِلُّوا أَبَدًا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku telah tinggalkan buat kamu (dua perkara) selagimana kamu berpegang dengannya, maka kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Kitabullah dan sunnah Nabi-Nya.”

Riwayat al-Baihaqi (20123)

Istilah al-Sunnah juga digunakan untuk merujuk kepada perkara yang mempunyai dalil syarak, sama ada daripada al-Qur’an mahupun sunnah Rasulullah SAW dan ijtihad para sahаbat. Antaranya sabda Baginda SAW:

فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ

Maksudnya: “Hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah para Khulafа’ al-Rаshidіn al-Mahdiyyіn.

Riwayat al-Tirmizi (2676)

Pada ketika yang lain, al-Sunnah diucapkan oleh Rasulullah SAW bagi menyerlahkan maksud lawan kepada bid‘ah yang dilarang. Antaranya hadis yang menegah tiga orang al-sahаbah yang berhasrat untuk bersolat sepanjang malam, berpuasa sepanjang tahun dan menegah diri daripada berkahwin. Baginda SAW lalu bersabda:

أَمَا والله إني لَأَخْشَاكُمْ لِلَّهِ وَأَتْقَاكُمْ له لَكِنِّي أَصُومُ وَأُفْطِرُ وَأُصَلِّي وَأَرْقُدُ وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ فَمَنْ رَغِبَ عن سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي

Maksudnya: “Adapun demi Allah, sesungguhnya aku orang yang paling takut kepada Allah dalam kalangan kamu, paling bertaqwa dalam kalangan kamu kepada-Nya, namun begitu, aku berpuasa dan berbuka, bersolat dan tidur dan mengahwini wanita. Maka sesiapa yang membenci sunnahku, ia bukan daripada kalanganku.

Riwayat al-Bukhari (4776)

Demikian juga hadis Rasulullah SAW mengenai golongan yang menunggu bintang-bintang muncul sebagai waktu berbuka puasa menerusi sabdanya:

لا تَزَالُ أُمَّتِي عَلَى سُنَّتِي مَا لَمْ تَنْتَظِرْ بِفِطْرِهَا النُّجُومَ

Maksudnya: “Umatku sentiasa berpegang dengan sunnahku selagi mana ia tidak menunggu bintang-bintang keluar untuk membuka puasanya.

Riwayat Ibn Hibban (3510)

Berpandukan dalil-dalil tersebut, jelas menunjukkan perkataan al-Sunnah bukan istilah yang datang kemudian, sebaliknya ia bersumberkan lisan Rasulullah SAW sendiri. Walaupun istilah tersebut tidak terkandung dalam al-Qur’an, namun begitu, terdapat konotasi al-Sunnah yang jelas dalam setiap ayat yang merujuk kepada perintah mengikuti Rasulullah SAW sama ada berbentuk suruhan mahupun larangan. Antaranya, firman Allah SWT:

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا ۚوَاتَّقُوا اللَّـهَ ۖ إِنَّ اللَّـهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya: “Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (SAW) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya, dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang yang melanggar perintah-Nya).

(Surah al-Hasyr: 7)

Adapun istilah al-Jamа‘ah, ia kerap kali digunakan oleh Rasulullah SAW dalam hadis-hadis Baginda. hadis yang paling masyhur adalah sabda Baginda:

وَإِنَّ هَذِهِ الْأُمَّةَ سَتَفْتَرِقُ عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ مِلَّةً يَعْنِي الْأَهْوَاءَ كُلُّهَا فِي النَّارِ إِلَّا وَاحِدَةً وَهِيَ الْجَمَاعَةُ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya umat ini akan berpecah kepada tujuh puluh tiga golongan (mengikut hawa nafsu), semuanya di dalam neraka kecuali satu iaitu al-Jamа‘ah.”

Riwayat Ibn Majah (3993)

Berdasarkan hadis ini dan beberapa hadis lain, para ulama telah menjelaskan siapakah golongan yang dimaksudkan dengan al-Jamа‘ah tersebut. Menurut al-Syаtibі, pada umumnya pendapat para ulama mengenai al-Jamа‘ah berkisar kepada beberapa pengertian. Pertama, ia bererti golongan majoriti dalam kalangan umat Islam yang terdiri daripada imam mujtahid, para ulama dan ahli syariah dan umat yang mengikuti mereka. Sebahagian hadis menyebut mereka sebagai al-sawаd al-a‘zam. Kedua, kumpulan para ulama mujtahid. Ketiga, para sahabat Rasulullah SAW. Keempat, umat Islam yang bersepakat atau berijmak atas sesuatu perkara. Ia juga kembali kepada golongan pertama atau kedua. Kelima, umat Islam yang bersatu mentaati seorang pemimpin. (Lihat al-I’tisam, 2/260-265) Setelah menukilkan pendapat-pendapat tersebut, beliau merumuskan bahawa apa yang dimaksudkan dengan al-Jamа‘ah adalah merujuk kepada perhimpunan yang bersatu di bawah pemimpin atau imam yang menepati petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah. (Lihat al-I’tisam, 2/260-265)

Ini jelas menunjukkan bahawa perhimpunan ramai yang bersatu bukan atas dasar kedua-duanya adalah terkeluar daripada apa yang dimaksudkan dengan al-Jamа‘ah. Dengan kata lain, seandainya sesebuah kumpulan yang ramai itu tidak berada di atas petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah, maka ia tidak boleh dikategorikan sebagai al-Jamа‘ah. Sebagaimana ungkapan Ibn Mas‘ud, “Al-Jamа‘ah adalah apa yang menepati kebenaran, sekalipun engkau berseorangan.” (Lihat I‘lam al-Muwaqqi‘іn, 3/397) Walau bagaimanapun, ungkapan Ibn Mas‘ud tersebut dalam konteks sekiranya majoriti umat Islam benar-benar telah rosak dan terkeluar daripada mengikuti manhaj generasi terdahulu yang masih kekal di atas kebenaran. (Lihat I‘lam al-Muwaqqi‘іn, 3/397)

Hal ini mustahil berlaku apabila melibatkan kesepakatan para ulama mujtahid dalam kalangan umat Muhammad SAW seperti mana sabda Baginda, “Umatku tidak akan bersepakat atas kesesatan.” (Riwayat Ahmad: 27267) Hadis ini menjadi dalil ke atas keautoritian ijmak para ulama sebagai salah satu daripada sumber hukum yang muktabar di sisi Ahli Sunnah Wal-Jamаah. (Lihat al-Faqih wa al-Mutafaqqih, 1/408-410) Ini bermakna Ahli Sunnah Wal-Jamаah tidak menjadikan bilangan majoriti semata-mata sebagai hujah kebenaran sesuatu golongan. Ini kerana, Ahli Sunnah Wal-Jamаah tidak mengambil kira bilangan majoriti sekiranya ia bertentangan dengan petunjuk al-Quran dan al-Sunnah dan tidak diwakili oleh para ulama mujtahid.

Berdasarkan perbahasan ringkas di atas, dapat disimpulkan Ahli Sunnah Wal-Jamaah itu secara umumnya adalah golongan yang bermanhaj seperti berikut:

هم المتمسكون بسُنٌة النَّبِيِّ- صلى الله عليه وعلى آله وسلم- وأَصحابه ومَن تبعهم وسلكَ سبيلهم في الاعتقاد والقول والعمل، والذين استقاموا على الاتباع وجانبوا الابتداع، وهم باقون ظاهرون منصورون إِلى يوم القيامة فاتَباعُهم هُدى، وخِلافهم ضَلال  

Maksudnya: “Mereka yang berpegang dengan sunnah Nabi SAW, para sahabatnya dan yang mengikut mereka serta berjalan mengikut perjalanan mereka dalam aqidah, ucapan dan amalan. Mereka juga beristiqamah dalam mengikut (sunnah) dan menjauhi bid’ah (munkarah). Mereka kekal, zahir dan didukung sehingga hari kiamat. Maka mengikuti mereka mendapat petunjuk sedangkan menyalahi mereka adalah kesesatan”. (Lihat al-Wajiz fi ‘Aqidah al-Salaf, 36)

Adapun penyandaran istilah Ahli Sunnah Wal-Jamаah terhadap Imam Abu al-Hasan al-Ash‘arі, bukan bermakna beliau merupakan pengasas Ahli Sunnah Wal-Jamаah, sebaliknya ia sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam mempertahankan kesinambungan akidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamа‘ah sebagaimana yang dibawa oleh Rasulullah SAW, para sahabat dan salafussoleh daripada segala penyelewengan dan kesesatan. Demikian juga Abu Manѕur al-Mаturіdі dan Mаturіdiyyah yang hampir seiring dengan kemunculan Ashа‘irah, turut membawa manhaj yang sama. Kedua-dua tokoh dan kumpulan ini kemudiannya telah menjadi pegangan majoriti umat Islam selepas mereka sehingga apabila disebut istilah Ahli Sunnah Wal-Jamaah secara mutlak, maka mereka yang dimaksudkan adalah golongan Ashа‘irah dan Mаturіdiyyah. (Lihat Ittihaf al-Sadah al-Muttaqin, 2/5)

Menurut Tаj al-Dіn al-Subkі, seluruh Ahli Sunnah Wal-Jamаah bersepakat bahawa iktikad mereka adalah satu walaupun berbeza dari sudut pendekatan dan disiplin yang disusun. Mereka boleh dirumuskan kepada tiga kelompok utama. Pertama, ahl al-hadіth yang prinsip pegangan mereka adalah berteraskan dalil-dalil naqli iaitu al-Qur’an, al-Sunnah dan ijmak. Kedua, ahl al-nazar al-‘aqlі wa al-ѕinа‘ah al-fikriyyah yang terdiri daripada golongan Ashа‘irah pimpinan Abu al-Hasan al-Ash‘arі dan golongan Mаturіdiyyah pimpinan Abu Manѕur al-Mаturіdі. Ketiga, ahl al-wujdаn wa al-kashf yang terdiri daripada golongan sufi yang pada dasarnya turut berpegang kepada prinsip kumpulan pertama dan kedua. (Lihat Ittihaf al-Sadah al-Muttaqin, 2/5)

Al-Baghdаdі ketika menjelaskan mengenai maksud hadis kumpulan yang selamat (al-firqah al-nаjiyah) mengatakan mereka adalah kelompok Ahli Sunnah Wal-Jamаah. Ia terdiri daripada kedua-dua madrasah ahli al-ra’y dan ahli hadis sama ada daripada kalangan fuqahа’, muhaddithіn, qurrа’ dan mutakallimin yang bersepakat di atas prinsip akidah yang sama. Keimanan mereka tidak dicemari dengan pegangan ahli bid‘ah seperti golongan Khawаrij, Rаfidah, Qadariyyah dan keseluruhan pengikut hawa nafsu yang lain. Termasuk dalam kelompok ini adalah jumhur umat Islam yang mengikuti imam-imam mazhab fiqah seperti al-Shаfi‘і, Mаlik, Abu Hanіfah, al-‘Uzа‘і dan lain-lain. (Lihat al-Farq bayn al-Firaq, 19-20)

Walau bagaimanapun, mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jamа‘ah menjadi semakin terkenal dengan kemunculan Abu al-Hasan al-Ash‘arі yang digelar sebagai Shaykh al-Nazar dan imam dalam ilmu perbahasan dan tahqіq. Beliau berjaya mematahkan hujah-hujah golongan bid‘ah seperti Qadariyyah, Najjаriyyah, Jahmiyyah, Jismiyyah, Rawаfid dan Khawаrij. Karya-karya beliau bertebaran ke serata tempat dan menjadi rujukan ramai ulama selepasnya. Di samping itu, beliau dikurniakan dengan pengikut yang ramai sehingga keseluruhan ahli hadis dan ahli al-ra’y yang tidak terpengaruh dengan Mu‘tazilah berada di atas mazhab beliau. (Lihat Usul al-Din, 309-310)

 

Perkembangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah di Malaysia

Berdasarkan mukadimah di atas, dapat kita fahami bahawa Malaysia merupakan negara Islam yang secara tradisinya berpegang dengan Ahli Sunnah Wal-Jamaah menurut kefahaman Mazhab Shafi‘i dalam fiqah, Mazhab Asha‘irah-Maturidiyyah dalam akidah manakala dari segi akhlak atau rohaniahnya dipengaruhi oleh pandangan-pandangan Imam al-Ghazali (505H).

Kenyataan ini berasaskan realiti yang berlaku sekurang-kurangnya bermula pada abad ke-17 Masihi. Ketika zaman keagungan Acheh, aliran ‘Ilm al-Kalam dalam pengajian akidah berdasarkan fahaman Asha‘irah mahupun Maturidiyyah berkembang dengan begitu pesat. Antara tokoh yang mempeloporinya ialah Bukhari al-Jawhari pengarang kitab Taj al-Salatin yang membahaskan tentang mengenal diri dan Tuhan sebagaimana yang terkandung dalam ajaran Imam al-Ghazali. Lihat Taj al-Salatin, 28-34) Kitab ini bukan sahaja dianggap sebagai kitab pertama yang menonjolkan fahaman Asha‘irah menurut tafsiran Imam al-Ghazali bahkan mungkin merupakan kitab pertama dalam Bahasa Melayu yang diketahui nama penyusunnya.

Selain itu terdapat dua orang ulama besar yang membahaskan persoalan akidah di Alam Melayu, iaitu Nur al-Din al-Raniri (1658) dan ‘Abd al-Ra’uf Fansuri (1620-1693). Mengenai Nur al-Din, beliau membincangkan fahaman Maturidiyyah yang bermazhab Hanafi dengan menterjemahkan kitab Sharh al-‘Aqa’id al-Nasafiyyah oleh Sa’d al-Din al-Taftazani dan diberi judul Durrah al-Fara’id bi Sharh al-‘Aqa’id. (Lihat perbahasannya dalam Syed Muhammad Naquib al-Attas, The Oldest Known Malay Manuscript: A 16th Century of the ‘Aqaid of Al-Nasafi) Pengaruh ajaran Maturidiyyah juga dapat dilihat dalam karya Nur al-Din al-Raniri yang berjudul Hidayah al-Imam yang membincangkan masalah zat, sifat dan perbuatan Allah SWT serta kebenaran rasul dan rukun Islam yang lima. (Lihat Kitab Jawi: Islamic Thought of the Malay Scholars, 5) Manakala ‘Abd al-Ra’uf Fansuri yang juga dikenali dengan nama ‘Abd al-Ra’uf Singkil mengupas ilmu akidah yang terkandung dalam kitab tasawwufnya berjudul ‘Umdah al-Muhtajin yang dianggap sebagai ulama pertama mengajarkan Sifat Dua Puluh. Beliau mengupas sifat wajib, mustahil dan harus bagi Allah SWT. (Lihat “Asal-Usul, Pengaruh dan Kesan Aliran al-Ash’ari dan Asya’irah di Malaysia dan Kepulauan Melayu”, dalam Malaysia Dari Segi Sejarah, 84-106)

Pada abad ke-18, Muhammad Zayn Faqih Jalal al-Din al-Ashi telah menterjemahkan serta mengubahsuai kitab yang bertajuk Umm al-Barahin oleh al-Sanusi yang membahas tentang ajaran Sifat Dua Puluh kemudiannya diberi tajuk Bidayah al-Hidayah. Selepas itu muncul beberapa buah kitab tentang akidah yang berasaskan kitab Umm al-Barahin tersebut seperti Zuhrah al-Murid fi Bayan Kalimah al-Tawhid oleh ‘Abd al-Samad al-Falimbani dan Zari’ah al-Yaqin oleh Nawawi al-Bantani. Pada abad ke-19, kitab-kitab akidah yang membahaskan tentang ajaran Sifat Dua Puluh semakin bertambah. Antara yang terpenting adalah Ini Kitab Sifat Dua Puluh oleh Sayyid ‘Uthman bin Yahya al-Betawi. Begitu juga kitab bertajuk Siraj al-Huda susunan Muhammad Zayn al-Din bin Muhammad Badawi al-Sambawi dan kitab ‘Aqidah al-Najin karangan Zayn al-‘Abidin Muhammad al-Fatani. (Lihat “The Umm al-Barahin of al-Sanusi”, Jurnal Nusantara, bil. 2, 157-158.

Pada abad ke-20, lahir seorang alim yang produktif dalam bidang penulisan iaitu Shaykh Dawud bin ‘Abd Allah al-Fatani. Antara kitab-kitab beliau yang terkenal adalah al-Durr al-Thamin dan Sifat Dua Puluh. Di Kelantan terdapat tokoh yang terkenal dengan gelaran Tuan Tabal turut membahaskan masalah Sifat Dua Puluh dalam kitabnya yang bertajuk Bi Kifayah al-‘Awwam. Di Kedah pula terdapat seorang ulama daripada keturunan Muhammad Arshad al-Banjari iaitu Muhammad Tayb bin Mas‘ud al-Banjari yang membahaskan ajaran Sifat Dua Puluh dalam kitabnya bertajuk Miftah al-Jannah. (Lihat Islam di Kelantan, 22-25)

Berdasarkan fakta-fakta ini jelas menunjukkan betapa umat Melayu Islam di Tanah Melayu telah turun temurun menganut fahaman Ahli Sunnah Wal-Jamaah berteraskan Asha‘irah atau Maturidiyyah dalam berakidah. Aliran ini jelas terbukti menjadi anutan yang sangat kukuh dan konsisten dalam masyarakat Melayu Islam sejak zaman berzaman.

 

Pengalaman Menteri Agama dalam mengangkat kedudukan Ahli Sunnah Wal-Jamaah di Malaysia

YB Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri sebelum dilantik sebagai Menteri (Hal Ehwal Agama) di Jabatan Perdana Menteri merupakan Mufti Wilayah Persekutuan dari 23 Jun 2014 hingga 9 Mac 2020. Sepanjang tempoh menjadi mufti, beliau telah berusaha gigih memperkasakan lagi bidang kefatwaan sehingga akhirnya Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjadi sebuah institusi fatwa yang terkenal dan disegani bukan sahaja di dalam negara bahkan di luar negara, sekaligus mengangkat martabat Ahli Sunnah Wal-Jamaah di Malaysia.

Berbekalkan latar belakang pendidikan formal sehingga ke peringkat doktor falsafah dan pengajian turath yang luas, beliau mampu menguasai banyak bidang ilmu Islam termasuk fiqh, akidah dan tasawuf. Antara guru-guru beliau adalah para ulama Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang terkenal dalam dunia Islam seperti Syeikh Rusdi Bin Salim Qalam, Syeikh Dr. Muhammad al-Mukhtar bin Muhammad al-Amin Al-Shanqiti, Syeikh Sadiq Habannakah, Syeikh Al-Muhaddith Abdul Qadir Al-Arnaut, Syeikh Prof. Dr. Muhammad Abd Latif Soleh Al-Farfour, Syeikh Prof. Dr. Mustafa al-Khin, Syeikh Prof. Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan al-Bouti dan Syeikh Prof. Dr. Wahbah Mustafa al-Zuhayli.

Bersama dengan para ulama tersebut, beliau berkesempatan bertalaqqi banyak karya turath Ahli Sunnah Wal-Jamaah dalam pelbagai disiplin ilmu seperti Sharh al-‘Allamah ‘Abd al-Salam ‘ala Jauharah al-Tauhid, Sharh al-‘Aqidah al-Tahawiyyah oleh al-‘Allamah Imam ‘Abd al-Ghani al-Ghunaymi, Sharh al-‘Aqa’id al-Nasafiyyah oleh Imam Sa’ad al-Din Mas’ud ibn ‘Umar ibn ‘Abdullah al-Taftazani, Rasa’il al-Tauhid oleh Imam al- ‘Izz ‘Abd al-Salam, Hasyiah I’anah al-Thalibin ‘ala Hall Alfaz Fath al-Mu’in oleh al-‘Allamah ‘Abu Bakr Utsman bin Muhammad Syata al-Dimyathi al-Bakri (sebahagian), Kifayah al-Akhyar fi Hall Ghayah al-Ikhtisar oleh Imam Taqiyuddin Abu Bakr bin Muhammad al-Husaini al-Hishni (sebahagian), al-Luma’ fi Usul al-Fiqh oleh Imam al-Syirazi, al-Qawaid al-Fiqhiyah ma’a as-Syarh al-Mujaz oleh Syeikh Izzat Ubaid ad-Di’as, Sharh Al-Hikam al-‘Ata’iyyah oleh Syeikh ‘Abd al-Majid Al-Syurnubi, al-Risalah al-Qusyairiyyah oleh Imam Abd Karim Al-Qusyairi dan Taj Al-‘Arus oleh Ibn ‘Ataillah Al-Sakandari.

Hasil kegigihan beliau menuntut ilmu terserlah menerusi sumbangan beliau dalam penulisan dan penterjemahan karya-karya Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Antara karya-karya yang beliau hasilkan adalah seperti Azab dan Nikmat Kubur Menangkis Dakwaan Golongan Aties, Zindiq dan Muktazilah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Keabsahan Penggunaan Nama Allah, Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD) USIM, Murtad: Punca dan Penyelesaiannya, Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Mazhab al-Asy’ariah: Prinsip & Sejarahnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Makrifah Rasulullah SAW, Pustaka Cahaya Kasturi, Biografi Abu Hasan al-Asy’ari (terjemahan karya Abul Hasan al-Nadwi). Pustaka Cahaya Kasturi, Ahli Sunnah wal Jama’ah dan Usulnya Pustaka Cahaya Kasturi, Prinsip Mazhab Asya’irah dan Sejarahnya (terjemahan karya Prof. Dr. Muhammad al-Zuhaili). Pustaka Cahaya Kasturi, Perbezaan Pendapat Di Kalangan Mazhab, Sebab-sebab, Adab dan Penyelesaiannya, Darul Fuqaha, Iktibar Dan Hikmah Maulidur Rasul (Syarahan Perdana), Darul Syakir Enterprise, Istilah-Istilah Fiqah dan Usul: Empat Mazhab, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kewangan Islam dalam Fiqh Syafie, Islamic Banking and Finance Institute Malaysia (IBFIM), Pengurusan Harta Pusaka dalam Fiqh Syafi’i, IBFIM, al-Fiqh Manhaji Ibadat Dalam Fiqh Al Syafie, Darul Syakir Enterprise, Solat dalam Mazhab al-Syafie, MAIDAM, Ahasin Al-Kalim, Syarah Al-Hikam, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan dan Bahjah Al-Nufus Syarah Taj Al-‘Arus, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan dan al-Ihkam Syarah al-Hikam, Pustaka Cahaya Kasturi dan banyak lagi.

Semasa menjawat jawatan Mufti Wilayah, beliau mengambil inisiatif menerbitkan semula dua buah karya yang menjadi rujukan penting kepada penganut Mazhab Shafie di Nusantara. Pertama, kitab Matla’ al-Badrain wa Majma’ al-Bahrain karangan Syeikh Muhammad Bin Ismail Daud Al-Fatoni yang ditampilkan dengan Bahasa Melayu moden, penampilan yang lebih menarik dan nota kaki tambahan. Kedua, syarah kepada kitab Safinah al-Naja fi ma Yajibu ‘ala al-’Abd li Maulah karangan Syeikh Salim bin Abdullah al-Hadhram yang dinamakan dengan al-Mujtaba fi Syarh Safinah al-Naja. Ini mengambil kira sesuatu matan atau teks asal sesebuah karya itu kadang-kadang memerlukan kepada syarahan agar ianya dapat memberikan manfaat kepada para pembaca.

Bukan sekadar aktif dalam bidang penulisan, beliau malah terkenal sebagai seorang ulama yang istiqamah dan konsisten dalam menyampaikan ilmu di masjid dan surau. Sekurang-kurangnya terdapat dua kuliah tetap secara berkitab yang beliau sampaikan pada setiap hujung minggu. Pertama, kuliah dhuha pada setiap hari Sabtu di Masjid Jamek Sultan Hisamuddin, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor. Kedua, kuliah dhuha pada setiap hari Ahad di Masjid Dato’ Klana Petra, Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan. Kedua-dua kuliah ini kebiasaannya bermula jam 8.30 pagi sehingga jam 9.30 pagi dengan menggunakan tiga kitab berbeza merangkumi disiplin ilmu akidah, fiqh dan tasawuf.

Bagi pengajian akidah, beliau menggunakan kitab Risalah al-Tauhid, sebuah kitab jawi terkenal yang sering diajar di pondok-pondok. Beliau juga mengajar kitab Syarah Jauharah al-Tauhid karangan Syeikh Syihabuddin al-Haji. Kedua-dua kitab ini tidak asing lagi merupakan karya yang sering dijadikan subjek pengajian bagi menjelaskan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah berasaskan manhaj Asha’irah.

Bagi pengajian fiqh pula, beliau menggunakan kitab fiqh Mazhab Shafie yang terkenal di Alam Melayu iaitu Matla’ al-Badrain wa Majma’ al-Bahrain. Sebagaimana disebutkan sebelum ini bahawa kitab ini telah diterbitkan dalam bentuk yang lebih menarik atas inisiatif beliau ketika menjadi Mufti Wilayah Persekutuan. Selain itu beliau turut menggunakan fiqh Shafie berjudul Safinah al-Naja yang disyarahkan oleh beliau sendiri dan diberikan nama al-Mujtaba fi Syarh Safinah al-Naja dan telah diterbitkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Di samping kitab-kitab turath, beliau mempelbagaikan pengajaran Mazhab Shafie dengan menggunakan kitab kontemporari iaitu kitab al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafie yang dikarang oleh Syeikh Dr. Mustafa al-Khin dan Syeikh Dr. Mustafa al-Bugha. Sudah tentu usaha beliau ini bertujuan untuk menambah kefahaman umat Islam terhadap  Mazhab Shafie di negara ini.

Manakala bagi pengajian tasawuf beliau menggunakan kitab al-Hikam oleh Ibn Atha’illah al-Sakandary. Kitab ini merupakan kitab yang mengandungi intisari yang padat berkenaan ilmu tauhid dan tasawuf. Kitab ini diterjemah dan disyarahkan sendiri oleh beliau dan diberi nama Ahasin al-Kalim Syarah Al-Hikam terbitan Pustaka Cahaya Kasturi. Kitab ini juga pernah diterjemah dan disyarah oleh Tokku Pulau Manis. Ini secara tidak langsung merupakan usaha beliau bagi menjelaskan kepada masyarakat mengenai kedudukan ilmu tasawuf dan disiplinnya menurut Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

Tidak terhenti setakat itu, ketokohan beliau sebagai salah seorang ulama Ahli Sunnah Wal-Jamaah juga terserlah apabila sering mendapat jemputan dalam seminar-seminar antarabangsa bagi mewakili negara. Antaranya menerima jemputan khas daripada Mufti Mesir, Syeikh Dr. Shawqi ‘Allam dalam Muktamar Sedunia Sekretariat Umum Bagi Organisasi Kefatwaan bertemakan al-Takwin al-’Ilmi wa al-Ta’hil al-Ifta’i li A’immah al-Masajid li al-Aqalliyyat al-Muslimah pada Oktober 2016; jemputan membentangkan kertas kerja bertajuk “Peranan Pemimpin dan Tokoh Agama dalam Menyebarkan Thaqafah Islam” dalam “Seminar Peranan Pemimpin dan Pembuat Keputusan Dalam Menyebarkan Budaya Keamanan Bagi Memerangi Terorisme dan Cabaran-Cabaran Lain” yang dianjurkan oleh Kementerian Wakaf Mesir pada 2017; jemputan ke Muktamar Kesatuan Islam: Bahaya Berpecah Belah dan Berpuak anjuran Majma’ al-Fiqh al-Islami, Rabitah al-’Alam al-Islami, Makkah pada Disember 2018; jemputan membentangkan tajuk “Kesederhanaan Dalam Sejarah Islam dan Turath Fiqhi” di Muktamar Sedunia anjuran Rabitah al-’Alam al-Islami bertemakan “Nilai Kesederhanaan” di Makkah pada Mei 2019 dan jemputan ke Muktamar Fiqh Pembentukan Negara menurut Perspektif Fiqh Semasa anjuran Kementerian Wakaf Mesir pada Septemberi 2019.

Atas keprihatinan yang mendalam terhadap keberlangsungan dan kesinambungan generasi Ahli Sunnah Wal-Jamaah akan datang, beliau telah mencetuskan idea untuk menubuhkan dua institusi pendidikan baharu di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. Pertama, Ma’alim Al-Sunan Li Dirasati Al-Sunnah Al-Nabawiyyah yang memberi penekanan kepada pengajian ilmu hadis. Kedua, Pondok Moden al-’Abaqirah yang bermatlamat melahirkan barisan ulama yang menguasai pelbagai disiplin ilmu dan pendidikan yang bersepadu tanpa mengabaikan pengajian turath. Buktinya antara karya-karya turath yang diajar adalah Matan Abi Syuja’, ‘Aqidah Al-’Awwam, Hidayah Al-Salikin, Bidayatul Hidayah, Tanbih Al-Ghafilin, Muniyatul Musholli, Sairus Salikin, Bahrul Mazi, Furu’ Al-Masail, Penawar Bagi Hati dan Pelita Penuntut.

Dalam pada itu, sebagai melaksanakan amanah sebagai Mufti Wilayah Persekutuan, beliau bersikap tegas demi memelihara umat Islam khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan daripada sebarang ajaran dan pemikiran yang menyeleweng. Justeru beberapa fatwa berkenaan beberapa individu dan kumpulan telah dikeluarkan. Antaranya Fatwa Berkenaan Dengan Larangan Mengamalkan Ajaran Dan Amalan Fahaman Syiah (2015), Fatwa Berkenaan Aktiviti Dan Kedudukan Raja Bomoh Sedunia Ibrahim Mat Zin (2017), Fatwa Berkenaan Hukum Ajaran Ilmu Syahadah , Zikir Nafas Dan Lain-Lain Yang Berkaitan Dengan Kedudukannya Oleh Ismail Bin Kassim (2017), Fatwa Berkenaan Dengan Ajaran Hizbut Tahrir (2018)  Ajaran Ilmu Makrifat Mohd Yusof Cik Wook Oleh Shaari Mohd Yusof (2019) dan Garis Panduan Penglibatan Orang Islam Dalam Hari Kebesaran / Perayaan Orang Bukan Islam (2019).[1]

Kesimpulan

Berdasarkan sorotan ringkas ini, dapat kita rumuskan bahawa Malaysia akan tetap kekal berada di atas landasan Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Sejarah telah menjadi saksi, Ahli Sunnah Wal-Jamaah merupakan aliran Islam yang terawal bertapak di Tanah Melayu sehingga anutannya menjadi tradisi orang Melayu sejak zaman berzaman. Ia disokong kemudiannya dengan sistem perundangan Islam yang berteraskan Mazhab Ahli Sunnah Wal-Jamaah sama ada dari sudut akidah mahupun syariah. Moga-moga dengan kedudukan YB Senator Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad sebagai Menteri Agama, akan mengukuhkan lagi kedudukan Ahli Sunnah Wal-Jamaah di Malaysia. Ini berpandukan ilmu pengetahuan beliau yang mendalam dan pengalamannya yang luas dalam berdakwah, menulis, memimpin seterusnya mengangkat institusi fatwa dan mengharumkan imej Islam di negara ini.

 

Unit Penyelidikan Ilmiah
Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
Jabatan Perdana Menteri

_______________________________

Nota Hujung:

[1] Sila rujuk http://efatwa.muftiwp.gov.my/ untuk mengetahui status pewartaan setiap fatwa.

 

PENAFIAN: Al-Bayan adalah siri pandangan hukum yang dikeluarkan oleh Unit al-Bahth al-‘Ilmi (Penyelidikan Ilmiah) Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Ianya tidak berperanan sebagai fatwa dalam konteks akta, enakmen atau ordinan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *