AL-BAYAN SIRI 9: HORMATI ISLAM, HORMATI INSTITUSI RAJA

Mukadimah

Hari ini merupakan sambutan ulang tahun hari keputeraan rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Sesungguhnya rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama amat bertuah kerana memiliki raja berjiwa rakyat yang tersemai subur dalam pemerintahan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong sehingga menjadi kesayangan jutaan rakyat Malaysia atas limpah kasih yang baginda berdua tumpahkan.

Sebagai umat Islam, tidak syak lagi bahawa DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menjadi lambang kepada kemuliaan dan ketinggian syiar Islam di negara ini. Nashkah al-Quran yang dikucup oleh baginda pada hari pengisytiharan pertabalan sebagai Yang di-Pertuan Agong adalah simbol amanah tertinggi dalam memelihara agama Allah. Disusuli dengan bacaan lafaz ikrar Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk memelihara dengan sempurna agama Islam pada setiap saat dan ketika.

Namun demikian, sesuatu yang mengecewakan apabila masih kedapatan segelintir rakyat Malaysia yang tidak tahu menghargai anugerah Allah SWT atas kepelbagaian agama dan bangsa yang wujud di negara ini. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ

Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan..

Kerencaman bangsa dan agama yang telah wujud sejak awal penubuhan negara ini sepatutnya menjadikan kita sebuah masyarakat multi-etnik yang matang dan berjiwa besar. Prinsip-prinsip persefahaman yang menjadi tonggak perpaduan rakyat dan keamanan negara sebagaimana yang diperjuangkan oleh generasi terdahulu perlu dipertahankan dan dipelihara sampai bila-bila.

Jangan disebabkan oleh sikap rasis, cauvinis dan fanatisme yang membabi buta terhadap kepercayaan atau pegangan masing-masing, lalu masing-masing mengambil sikap memperlecehkan kepercayaan atau pegangan orang lain. Ini akhirnya akan menjadi punca timbulnya isu-isu penghinaan terhadap agama sekaligus boleh meruntuhkan asas-asas perpaduan yang telah dibina selama ini.

Islam sendiri merupakan agama yang amat tegas dalam menolak sikap ekstrem dan melampau dalam berinteraksi dengan penganut agama lain. Ini terzahir menerusi firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 40:

وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّـهِ النَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍ لَّهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّـهِ كَثِيرًا ۗ

Maksudnya: “Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya.

Justeru, laporan-laporan mengenai beberapa kes menghina agama Islam sama ada yang dilakukan oleh orang bukan Islam atau orang Islam sendiri adalah sesuatu yang amat mendukacitakan. Lebih-lebih lagi dengan kedudukan agama Islam yang merupakan agama bagi persekutuan sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara. Artikel ini akan mengulas lanjut bagaimana peri pentingnya kita menghormati agama Islam yang menjadi lambang kepada penghormatan kita terhadap Institusi Raja.

 

Institusi Raja dan Agama Islam Berpisah Tiada

Memetik pandangan Raja  Ali  Haji, seorang  tokoh  intelektual  Alam  Melayu  abad  ke-19  Masehi  (1999) dalam  kitab  Thamarat  al-Muhimmah, beliau menjelaskan terdapat tiga makna perkataan raja iaitu:

  1. Khalifah atau khalifah Rasulillah SAW yang bertanggungjawab mendirikan Islam dan menghukumkan hamba Allah  (rakyat)dengan  hukum  al-Quran,  hadis  dan ijma‘;
  2. Sultan iaitu mengeraskan hukuman atas segala rakyatnya dengan hukuman yang adil yang datang daripada Allah dan rasul-Nya;
  3. Imam (imamah) iaitu ikutan segala  rakyatnya  pada  segala  hukuman  dan  perintahnya  yang tiada membawa kufur dan maksiat.

Istilah raja seperti yang termaktub dalam definisi yang dikemukakan oleh Raja Ali Haji di atas bertepatan dengan apa yang diusulkan oleh para ulama Siyasah Syar’iyyah dalam karya-karya turath mereka.

Imam al-Mawardi mendefinisikan imamah seperti berikut:

الإمامة موضوعة لخلافة النبوة في حراسة الدين وسياسة الدنيا به

Maksudnya: “Imamah ditetapkan sebagai pengganti/khilafah kenabian dalam memelihara agama dan mengatur urusan dunia dengan agama. (Lihat Al-Ahkam al-Sultaniyyah, 3)

Imam al-Haramain pula mendefinisikan imamah sebagai berikut:

الإمامة رياسة تامة ، وزعامة تتعلق بالخاصة والعامة في مهمات الدين والدنيا

Maksudnya: “Imamah adalah kepemimpinan menyeluruh dan kepemimpinan yang berkaitan dengan urusan khusus dan umum dalam kepentingan agama dan dunia.” (Lihat Ghiyath al-Umam,15) .

Ini bermakna perkataan raja di Alam Melayu itu sendiri tidak boleh dipisahkan dengan agama Islam. Ini kerana, istilah raja di Alam Melayu telah pun dikenali sebagai individu tertinggi yang menjalankan pemerintahan negara berlandaskan agama Islam. Dalam  aspek  politik  dan  pentadbiran  Melayu,  peranan  serta  fungsi  raja  dilihat memenuhi huraian al-Mawardi dan al-Haramain berkenaan dengan dwi peranan pemimpin Islam  iaitu menjaga agama dan mentadbir dunia (hirasah al-din wa siyasah al-dunya). Hal ini dapat  dilihat  dalam  struktur  sistem  pemerintahan  Kerajaan  Melayu  Riau  Lingga  yang secara    umumnya    terbahagi    kepada    dua    badan    utama    iaitu, badan    yang bertanggungjawab  untuk  pentadbiran  negara  dan  badan  yang  bertanggungjawab dalam  hal  ehwal  agama  serta  perundangan. (Lihat al-Qanatir: International Journal of Islamic Studies, Vol. 8, 13-23)

Pemerintahan beraja telah mendarah daging dalam sistem sosial di Tanah Melayu sejak berkurun-kurun lamanya. Pada peringkat awal, sistem beraja memiliki kuasa mutlak dalam menjalankan pemerintahan khususnya sebelum era penjajahan Inggeris. Walau bagaimanapun, apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, institusi beraja kekal dipertahankan dengan mengamalkan konsep demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan. Kedudukan institusi beraja yang diangkat tinggi dalam Perlembagaan Persekutuan secara tidak langsung turut mengangkat kedudukan agama Islam.

Jika ditekuni dengan mendalam, perkara-perkara yang berkaitan dengan agama Islam sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam Perlembagaan Persekutuan seperti Perkara 3, Perkara 11, Perkara 12 dan Perkara 121 (1A) tidak boleh dibuat pindaan atau pemansuhan tanpa mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja Melayu. Hal ini jelas termaktub dalam perlembagaan melalui Perkara 159 (5) yang menyatakan sebarang pindaan perlembagaan perlu mendapat sokongan dua pertiga setiap dewan dan perkenan Majlis Raja-Raja dalam hal-hal yang melibatkan kedaulatan raja-raja, kedudukan istimewa orang Melayu, bumiputera Sabah dan Sarawak, bahasa kebangsaan dan agama Islam. Peruntukan ini menzahirkan betapa signifikannya kedudukan agama Islam dengan Raja-Raja Melayu.

Dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, Raja-Raja dimaktubkan sebagai Ketua Agama Islam. Kuasa budi bicara Raja mengenai Islam adalah kuasa mutlak yang hanya baginda Raja yang mempunyai kuasa. Kuasa ini tidak boleh dihakis walau dalam keadaan darurat sekalipun. Ini jelas di dalam Perkara 150(6A) Perlembagaan Persekutuan yang menegaskan, terdapat enam hak yang tidak boleh digugat walaupun negara dalam keadaan darurat iaitu hak berkaitan undang-undang Islam, adat Melayu, kebebasan beragama, hak kewarganegaraan, undang-undang adat di Sabah dan Sarawak serta hak berkaitan bahasa.

Seperkara yang penting difahami, Raja-Raja bukan sekadar menjadi simbol dalam pemerintahan negara khususnya yang berkaitan dengan agama Islam. Ini dapat dilihat dalam Fasal (1) Perkara 3 yang meletakkan agama Islam sebagai agama utama dan dominan dalam Perlembagaan Persekutuan. Berdasarkan Fasal (2) dan Fasal (5) Perkara 3, Sultan di Negeri-Negeri menjadi Ketua Agama Islam Negeri masing-masing dan Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) menjadi Ketua Agama Islam di negeri-negeri yang tidak mempunyai Sultan seperti di Sabah, Sarawak, Penang, Melaka dan Wilayah-Wilayah Persekutuan. Kedudukan istimewa Islam sebagai agama utama dan dominan turut dikukuhkan melalui Fasal (1) dan Fasal (4) Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. Fasal (4) Perkara 11 memperuntukkan kuasa Negeri-Negeri untuk menggubal dan menguatkuasakan undang-undang bagi memelihara agama Islam daripada penyebaran pengaruh kepercayaan, ajaran dan amalan agama bukan Islam kepada orang Islam atau ajaran yang menyimpang dalam agama Islam sendiri.

Hubungan istimewa Islam dengan Raja-Raja juga terserlah melalui sumpah jawatan YDPA [Jadual Keempat dibaca bersama Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan]. Berdasarkan peruntukan tersebut, YDPA mempunyai tugas dan tanggungjawab untuk memelihara Islam pada setiap masa di negara ini. Oleh yang demikian, tugas dan tanggungjawab ini turut terpakai kepada Kerajaan Persekutuan dalam menjalankan fungsi eksekutifnya. Peruntukan Perlembagaan secara jelas menyatakan kedudukan dan fungsi YDPA dan Sultan-Sultan atau Raja-Raja sebagai ketua agama Islam bagi negeri masing-masing di bawah Fasal (2), (3) dan (5) Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan kesemua hak, hak keistimewaan dan kuasa prerogatif YDPA dan Sultan-Sultan atau Raja-Raja sebagai Ketua Agama Islam hendaklah dihormati, bukan sahaja oleh orang Islam bahkan juga semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.

Sehubungan itu, sebarang tindakan YDPA dan Sultan-Sultan atau Raja-Raja dalam menjalankan kuasa prerogatifnya untuk memperkenankan apa jua perkara yang berkaitan dengan agama Islam, hendaklah dipatuhi dan dihormati oleh seluruh rakyat. Mana-mana tindakan penghinaan terhadap agama Islam, akan dianggap sebagai ketidaksetiaan dan ketidakhormatan terhadap kedudukan YDPA dan Sultan-Sultan atau Raja-Raja.

Justeru, sebarang bentuk pertikaian atau penghinaan terhadap agama Islam dan institusinya dalam konteks di negara ini, secara tidak langsung turut menyentuh kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai penaung dan pemelihara kesucian agama Islam. Sebagai warganegara Malaysia, kita sudah tentu berkewajipan mengangkat dan mempertahankan prinsip Rukun Negara iaitu “Kesetiaan kepada Raja dan Negara” dan “Keluhuran Perlembagaan”.

 

Penghinaan Terhadap Agama Islam

Dalam Bahasa Arab, menghina agama disebut sebagai al-istihza’ bi al-din. Lafaz istihza’ berasal daripada perkataan huzu’ yang bermakna ejekan atau cemuhan. (Lihat Lisan al-’Arab, 1/183) Oleh itu, terma-terma seperti mempersenda, memperolok-olokkan, mengejek, mencemuh, mencela, mencaci, memaki, mencerca dan menyumpah adalah temasuk dalam maksud perbuatan menghina atau istihza’. Dari segi istilah pula, al-Juzdani sebagaimana dipetik dalam al-Qurashi mendefinisikan istihza’ sebagai menzahirkan setiap pegangan, perbuatan atau kata-kata yang mempunyai maksud atau bertujuan untuk melakukan penghinaan terhadap agama, merendah-rendahkannya atau mencela Allah SWT dan para rasul-Nya. (Lihat al-Istihza’ bi al-Din, Ahkamuhu wa Atharuhu, 77)

Penghinaan terhadap agama Islam terakam dalam banyak ayat al-Qur’an. Antaranya adalah penghinaan yang dilakukan oleh golongan bukan Islam yang memusuhi Islam dan umat Islam. Sebagai contoh firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 12:

 وَإِن نَّكَثُوا أَيْمَانَهُم مِّن بَعْدِ عَهْدِهِمْ وَطَعَنُوا فِي دِينِكُمْ فَقَاتِلُوا أَئِمَّةَ الْكُفْرِ ۙ إِنَّهُمْ لَا أَيْمَانَ لَهُمْ لَعَلَّهُمْ يَنتَهُونَ 

Maksudnya: “Dan jika mereka mencabuli sumpahnya sesudah mengikat perjanjian setia, dan mereka pula mencela ugama kamu, maka perangilah ketua-ketua dan pemimpin-pemimpin kaum yang kafir itu, kerana sesungguhnya mereka tidak menghormati sumpah janjinya, supaya mereka berhenti (dari kekufuran dan bertaubat).”

Ayat ini membahaskan berkenaan pembesar-pembesar musyrikin yang telah memungkiri janji mereka seperti Abu Sufyan bin Harb, Harith bin Hisham dan Sahl bin Amr. (Lihat Tafsir Zad al-Masir, 2/240). Pada asalnya orang-orang bukan Islam yang memohon perlindungan di bawah negara Islam (kafir mu’ahad) hendaklah diperlakukan sebagaimana orang-orang Islam. Namun, jika mereka mencabuli perjanjian lalu menghina agama  Islam, maka mereka boleh diambil tindakan keras termasuk dibunuh kerana perjanjian telah berakhir dan mereka tidak lagi dilindungi. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 2/321). Kefahaman daripada ayat ini, menghina Islam merupakan suatu perkara yang amat serius sehingga hukuman yang boleh dikenakan juga amat berat. Dalam contoh yang lain, firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 65:

وَلَئِن سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ ۚ قُلْ أَبِاللَّـهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ 

Maksudnya: “Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main”. Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?

Ayat ini diturunkan sebelum berlaku peperangan Tabuk. Pada ketika itu terdapat dua orang munafik yang menghina al-Qur’an dan Rasulullah SAW manakala seorang lagi mentertawakannya. Lalu Allah SWT menyampaikan hal tersebut kepada Rasulullah SAW. Baginda memanggil mereka bertiga lalu bertanya hal tersebut dan mereka menjawab sambil mengatakan perbuatan itu sekadar suatu gurauan atau permainan. Dengan itu, Allah SWT menurunkan ayat ini menempelak perbuatan mereka. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 8/196).

Daripada dua contoh ayat di atas, dapat fahami bahawa agama Islam tidak boleh sama sekali dihina. Termasuk dalam erti kata menghina Islam adalah menghina segala perkara yang berkaitan langsung dengan agama Islam seperti menghina Allah SWT, Rasulullah dan para nabi, al-Qur’an, al-Sunnah dan lain-lain.

Bukan sekadar itu, bahkan Islam turut melarang umatnya sendiri untuk menghina agama bukan Islam. Hal ini bersandarkan firman Allah dalam surah al-An’am ayat 108:

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّـهِ فَيَسُبُّوا اللَّـهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ ۗ كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِم مَّرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ 

Maksudnya: “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.

Jika diperhatikan sepintas lalu, larangan mencela tuhan agama lain itu seolah-olah tidak tepat. Ini kerana, tuhan yang disembah oleh mereka itu adalah batil menurut aqidah Islam. Walau bagaimanapun, sekiranya diteliti dengan lebih cermat, alasan larangan itu dinyatakan sendiri oleh al-Qur’an. Larangan menghina tuhan sembahan golongan kafir itu adalah bagi mengelakkan mereka membalas penghinaan atau cercaan itu dengan menghina atau mencerca Allah SWT sedangkan Allah SWT adalah Tuhan yang sebenar-benarnya. Ini bermakna, Islam merupakan agama yang tidak akan berkompromi sama sekali dengan mana-mana pihak yang menghina agama tanpa mengambil kira sama ada agama yang dihina itu adalah Islam atau selainnya.

 

Bentuk-bentuk Penghinaan Terhadap Islam

Dalam konteks penghinaan terhadap Islam, dinyatakan di sini beberapa bentuk atau kategori penghinaan itu dilakukan seperti mana berikut:

  1. Menghina Allah SWT

Allah SWT merupakan pencipta segala makhluk. Apa yang  dimaksudkan dengan makhluk  adalah segala sesuatu selain Allah. Allah SWT bersifat dengan segala sifat kesempurnaan, dan tidak sesekali bersifat dengan sifat kekurangan, keburukan dan kecacatan. Apabila seseorang menyandarkan kepada Allah SWT sifat-sifat yang tidak layak bagi-Nya, bermakna ia telah menghina Allah SWT. Termasuk dalam erti kata menghina Allah SWT juga seperti menghina perintah-Nya, janji-Nya, ancaman dan ketentuan-Nya.

  1. Menghina Para Nabi

Allah SWT mengutuskan nabi dan rasul sebagai penyampai kepada risalah dan petunjuk-Nya agar manusia dibimbing untuk memahami segala perintah dan larangan yang ditetapkan oleh  Allah SWT. Sebagai nabi dan rasul yang merupakan utusan Allah SWT, mereka dikurniakan sifat-sifat atau kemampuan yang  tidak  dimiliki  oleh  yang  lain, walaupun mereka sama dari sudut kemanusiaannya. Oleh itu, seseorang yang meletakkan sifat yang bertentangan dengan sifat-sifat yang tetapkan oleh Allah SWT ke atas nabi dan rasul seperti maksum, amanah, jujur dan bijaksana, maka ia telah menghina nabi dan rasul, dan pada hakikatnya juga telah menghina Islam secara umumnya.

  1. Menghina al-Qur’an

Ketika  para nabi dan rasul  diutuskan oleh Allah SWT kepada umatnya, setiap mereka akan dibekalkan dengan wahyu sebagai rujukan, sebagaimana Nabi Muhammad SAW dikurniakan dengan al-Qur’an. Dengan demikian, al-Qur’an memiliki kedudukan yang cukup mulia di dalam Islam. Al-Qur’an adalah pedoman dan petunjuk buat seluruh umat akhir zaman. Justeru, seseorang yang menghina Qur’an bermakna ia telah menghina seluruh agama  Islam. Antara bentuk penghinaan terhadap al-Qur’an seperti mempertikaikan hukum hakamnya, menafikan ia sebagai wahyu Tuhan dan melakukan perbuatan-perbuatan yang memperlecehkan mushaf al-Qur’an dengan sengaja seumpama memijak, meludah dan lain-lain.

  1. Menghina Para Sahabat

Para sahabat merupakan orang yang bertemu dengan Nabi SAW, beriman dengannya dan meninggal dunia dalam keadaan beriman. Mereka adalah orang-orang terpilih yang bersama-sama dengan Nabi SAW dalam susah dan senang memperjuangkan ajaran Islam. Di dalam al-Qur’an, Allah SWT beberapa kali menyatakan kedudukan para sahabat yang terdiri daripada kalangan Ansar dan Muhajirin yang diredhai oleh-Nya. Oleh yang demikian, menghina para sahabat termasuk menghina al-Qur’an, Rasulullah SAW, bahkan menghina Islam itu sendiri.

  1. Menghina Syiar Islam

Syiar Islam merupakan perkara-perkara yang menjadi lambang kemulian dan kebesaran agama Islam seperti tauhid, solat lima waktu, zakat, puasa Ramadhan dan menunaikan haji. Secara lebih terperinci ia juga termasuk solat berjemaah, solat Jumaat, laungan azan, perayaan Aidil Fitri dan Aidil Adha, tempat-tempat suci Islam seperti masjid-masjid, tempat-tempat manasik haji, Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan seumpamanya. Seseorang yang menghina syiar Islam bermakna secara tidak langsung telah menghina agama Islam dan sudah pasti akan menyinggung perasaan seluruh umat Islam.

 

Peruntukan Undang-Undang Berkaitan Penghinaan Agama

Dalam konteks peruntukan undang-undang, kita melihat isu penghinaan terhadap agama Islam boleh ditangani menerusi perundangan sivil dan perundangan syariah. Ini kerana, kedua-dua perundangan tersebut ada menyatakan peruntukan bagi kesalahan menghina agama. Namun demikian, bidang kuasa Mahkamah Syariah hanya terbatas kepada membicarakan kes-kes yang melibatkan orang Islam, berbeza dengan Mahkamah Sivil yang boleh membicarakan mana-mana orang yang melakukan kesalahan di negara ini tanpa mengira kaum dan agama.

Dari sudut perundangan sivil, terdapat beberapa peruntukan yang boleh digunapakai dalam menangani isu penghinaan terhadap agama Islam. Pertama, Seksyen 298A Kanun Keseksaan atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun. Kedua, Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan pula merujuk kepada kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak mengapikan atau mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain. Jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya. Ketiga, Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, seseorang yang menggunakan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain jika didapati bersalah mereka boleh didenda RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Dari sudut perundangan syariah, Akta 559 Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, di bawah Bahagian III – Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Kesucian Agama Islam dan Institusinya memperuntukan beberapa seksyen berkaitan. Pertama, Seksyen 7. Menghina, atau menyebabkan dipandang hina agama Islam. Denda tidak melebihi RM3000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. Kedua, Seksyen 8. Mempersendakan ayat Al-Quran atau Hadith. Mana-mana orang yang, dengan kata-katanya atau perbuatannya, mempersendakan, menghina, mencemuh atau menyebabkan dipandang hina ayat-ayat Al-Quran atau Hadith adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. Ketiga, Seksyen 9. Menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama. Mana-mana orang yang bertindak dengan cara yang menghina pihak berkuasa agama atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam, Majlis atau Mufti, yang dinyatakan atau diberikan melalui fatwa, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Jika diteliti secara keseluruhan, kita dapati bahawa peruntukan undang-undang sedia ada amat komprehensif dalam menangani penghinaan terhadap agama Islam kerana ia meliputi semua aspek, medium dan sasaran. Namun demikian, tidak dinafikan keperluan untuk mengkaji dari semasa ke semasa aspek hukuman yang dikenakan agar ia kekal relevan dan efektif dalam mendepani cabaran masa kini. Selain itu, aspek penguatkuasaan juga perlu diperkasakan. Ini kerana, tanpa penguatkuasaan yang efisien dan konsisten, undang-undang tidak akan mampu dimartabatkan sebagaimana yang menjadi aspirasi seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia.

 

Kesimpulan

Islam merupakan agama yang sentiasa mengajar manusia berakhlak mulia. Bukan sahaja kepada sesama muslim tetapi jua dengan bukan muslim. Bukan setakat itu, Islam turut menitikberatkan etika dalam berinteraksi dengan semua makhluk-Nya termasuk haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Semua ini menunjukkan bagaimana Islam merupakan agama yang amat mementingkan ketertiban dalam menjalani kehidupan.

Sikap gemar menghina, mengutuk, mencaci dan memperlecehkan agama adalah amat jauh daripada akhlak Islam bahkan bertentangan dengan fitrah kemanusiaan yang cintakan kedamaian. Ia juga bukan cara untuk meluahkan pandangan atau kritikan kerana natijahnya hanya mengundang perbalahan dan perpecahan sama ada antara sesama penganut agama atau dengan penganut agama yang lain.

Justeru, sebagai rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama yang berpayung di bawah naungan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, marilah kita menjadi rakyat yang lebih bertanggungjawab dalam memelihara keharmonian beragama. Islam adalah agama bagi persekutuan, manakala agama lain bebas untuk diamalkan. Maka, hormatilah kedudukan agama Islam, sebagai lambang kesetiaan dan penghormatan terhadap Institusi Raja di negara ini.

Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Hal Ehwal Agama)
Jabatan Perdana Menteri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *