#26 Keistimewaan dan Fadhilat 10 Awal Zulhijjah: Petikan Daripada

Alhamdulillah, kita berada dalam 10 hari awal Zulhijjah yang mana keistimewaannya amat hebat dan besar. Bagi memahami kelebihan, fadhilat dan keistimewaannya, cukuplah kita menekuni karya besar Ibn Rajab al-Hanbali iaitu Lata’if Al-Ma’arif.

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ ، قَالُوا : يَا رَسُولَ اللهِ ، وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ ؟ قَالَ : وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ ، إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ ، فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ.

Maksudnya: “Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini-baginda memasukkan: 10 hari terawal Zulhijjah-.”Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?”Baginda bersabda,”Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang  lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.”

Riwayat Abu Daud (2438), al-Tirmizi (757) dan Ibn Majah (1727)

Menurut Syeikh al-Mubarakfuri, berdasarkan hadith di atas, kita memahami bahawa tidak ada amalan yang dilakukan pada hari-hari yang lain melebihi sepuluh hari pertama di bulan Zulhijjah ini kerana ia dinyatakan oleh Allah SWT sendiri bahawa ia adalah hari yang paling disukai oleh-Nya dan ia juga adalah hari yang paling afdhal. Dikatakan bahawa 10 pertama bulan Zulhijjah merupakan hari yang paling disukai dan paling baik kerana padanya terdapat ziarah baitullah, Oleh kerana ia adalah hari yang lebih baik dan mulia berbanding hari-hari yang lain maka amalan soleh padanya juga adalah lebih afdhal berbanding hari-hari yang lain. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/386)

Perbahasan tentang kelebihan 10 hari terawal Zulhijjah terdapat dalam 2 fasal: Kelebihan beramal pada 10 hari awal Zulhijjah, dan kelebihan 10 hari awal Zulhijjah berbanding bulan-bulan lain.

Fasal Pertama : Kelebihan Beramal Soleh Pada 10 Hari Tersebut.

Hadith ini menjadi dalil kepada beramal pada 10 hari ini lebih disukai oleh Allah berbanding amalan-amalan pada hari yang lain tanpa sebarang pengecualian. Apabila ia adalah perkara yang paling disukai oleh Allah, maka ia adalah sesuatu yang afdal disisi-Nya.

Hadith ini juga turut diriwayatkan dengan lafaz:

مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ أَفْضَلُ مِنْ أَيَّامِ الْعَشْرِ

Maksudnya: “Tiada hari-hari amalan yang dilakukan padanya menjadi afdal berbanding 10 hari awal Zulhijjah.”

Apabila sesuatu amalan dalam 10 hari ini dan lebih disukai oleh Allah berbanding amalan yang dilakukan pada hari-hari yang lain dalam setahun, maka jadilah amalan yang kurang utama yang dikerjakan dalam 10 hari ini afdal daripada amalan yang lebih utama yang dikerjakan pada selainnya.

Sebab itulah, para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah,walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?” Baginda bersabda, “Walaupun jihad, ia tidak menandinginya.”Kemudian, Baginda mengecualikan satu jenis jihad yang merupakan sebaik-baik jihad kerana baginda juga pernah ditanya, “Manakah jihad yang afdal?”,Baginda menjawab, “Jihad seseorang yang kudanya ditikam mati dan dia pun mati syahid. “Orang demikian mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah.

Nabi SAW telah mendengar seorang lelaki berdoa,

اللَّهُمَّ اعْطِني أَفْضَلُ ما تُعطِيْ عِبَادَكَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya : “Ya Allah, Berikanlah kepadaku sebaik-baik pemberian yang engkau berikan kepada hamba-Mu yang soleh.”

Lalu baginda bersabda kepadanya,

إِذَنْ يُعْقَرُ جَوَادُكَ ، وَتَسْتَشْهِدُ

Maksudnya : “Oleh itu, pastikan (Kamu berjihad sehingga) kudamu mati ditikam dan kamu mati syahid.”

Riwayat Ibnu Hibban (4639), al-Hakim (2/74) di dalam al-Mustadrak

Ibn Rajab Hanbali menyatakan: Jihad di jalan Allah lebih utama berbanding beramal pada 10 awal zulhijjah. Adapun antara Jenis Jihad yang lain ialah beramal pada 10 awal Zulhijjah. Ia disukai oleh Allah SWT begitu juga amalan -amalan yang lain. Ini menunjukkan bahawa amalan  yang diberi keutamaan pada waktu yang afdal  digabungkan dengan amalan yang afdal pada waktu-waktu yang lain  ialah sebagai melipatgandakan pahala serta ganjarannya. (Lihat Lataif al-Ma’rif, hlm 261)

Secara khususnya, Jihad sebegini lebih baik daripada amalan yang dilakukan pada 10 hari terawal Zulhijjah.

Manakala jihad yang lain, amalan dalam 10 hari terawal Zulhijjah menjadi afdal dan lebih disukai oleh Allah SWT daripadanya, malah termasuk semua amalan yang lain. Hal ini menunjukkan bahwa amalan yang kurang utama, yang dikerjakan dalam tempoh yang terbaik akan diberi kelebihan yang seperti amalna yang lebih utuama yang dikerjakan dalam tempoh selainnya, bahkan amalan yang pertama tadi mengatasinya disebabkan ganjaran yang dilipat ganda. Penambahan ini disebutkan dalam hadith riwayat Ibnu Abbas R.A, iaitu :

وَالْعَمَلَ فِيهِنَّ يُضَاعَفُ سَبْعمِائَةِ ضِعْفٍ

Maksudnya: “Dan amalan yang dikerjakan dalam tempoh ini akan digandakan pahalanya sehingga 700 kali”

Riwayat al-Tabarani (11116); al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (3758); dan al-Munziri dalam al-Targhib wa al-Tarhib (2/191) menyatakan, sanadnya adalah sahih, hasan atau apa yang menghampiri kedua-duanya. Namun, Ibn Rejab dalam Lata’if al-Ma‘arif (hlm. 261) menilai sanadnya sebagai dhaif.

Selain itu, kadar gandaan pahala dinyatakan dalam banyak riwayat yang berbeza. Al-Tirmizi dan Ibnu Majah meriwayatkan hadith daripada al-Nahhas Bin Qahm, daripada Qatadah, daripada Ibnu Al-Musayyab , daripada Abu Hurairah, Daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

مَا مِن أَيَّامٍ من أيام الدٌّنْياَ أَحَبُّ إِلىَ اللهِ أَنْ يُتَعَبّدَ له فيها من أيام العَشْرِ، يَعْدِلُ صِيامُ كُلُّ يَوْمٍ مِنْهَا بِصِيَامِ سَنَةٍ وَقِيَامِ كُلُّ لَيلةٍ مِنْهَا بقيام ليلة القَدْرِ

Maksudnya: “Tiada hari-hari yang paling disukai oleh Allah untuk seseorang melakukan ibadah kepada-Nya selain 10 hari dalam Zulhijjah. Puasa setiap harinya menyamai puasa setahun, dan qiamullail setiap malamnya menyamai qiamullail pada malam Al-Qadr.”

Riwayat al-Tirmizi (758), Ibn Majah (1728)

Namun, ulama  hadith melemahkan Al-Nahhas Bin Qahm. Al-Tirmizi menyebutkan daripada Al-Bukhari bahawa hadith tersebut diriwayatkan daripada Qatadah daripada Sa’id, secara mursal. Thuwair Bin Fakhitah – seorang perawi yang lemah – turut meriwayatkannya daripada mujahid, daripada Ibnu Umar R.A, Katanya :

لَيْسَ يَوْمٌ أَعْظَمَ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ لَيْسَ الْعَشْرُ، فَإِنَّ الْعَمَلَ فِيهَا يَعْدِلُ عَمَلَ سَنَةٍ

Maksudnya: “Tiada suatu hari yang paling agung di sisi Allah selain hari Jumaat bukannya 10 hari (terawal Zulhijjah), maka sesungguhnya suatu amalan yang dikerjakan pada hari itu menyamai amalan selama setahun.” 

Abu Amru al-Naisaburi meriwayatkan dalam kitab Al-Hikayat dengan sanadnya, daripada Humaid, beliau berkata,”Aku mendengar ibnu Sirin dan Qatadah berkata, Puasa setiap hari daripada 10 hari Zulhijjah menyamai puasa setahun.”Sebenarnya, banyak lagi hadith yang diriwayatkan dengan gandaan ganjaran pahala, antaranya: Harun Bin Musa al-Nahwi meriwayatkan dengan berkata, ” Aku mendengar Al-Hassan menceritakan daripada Anas bin Malik, Katanya, pernah disebutkan tentang 10 hari tersebut : Setiap harinya menyamai seribu hari, dan hari Arafah menyamai 10 000 hari.”

Al-Hakim berkata, “Semua ini adalah sejumlah hadith yang tidak disebutkan sanadnya daripada Rasulullah SAW .”

Terdapat juga riwayat tentang gandaan pahala yang kurang daripada setahun. Humaid bin Zanjawaih berkata, Yahya bin Abdullah Al-Harrani menceritakan kepada kami, Abu Bakr bin Abu Mariam, menceritakan kepada kami, daripada Rasyid Bin Sa’ad, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

صِيَامُ كُلِّ يَوْمٍ مِنْ أَيَّامِ الْعَشْرِ كَصِيَامِ شَهْرٍ

Maksudnya: “Puasa setiap hari daripada 10 hari (terawal Zulhijjah ) menyamai puasa sebulan.”

Hadith ini disandarkan kepada Ibnu Zanjawaih di dalam Kanz al-‘Ummal (12117). hadith ini mursal dengan sanad yang lemah.

Abd al-Razzaq turut meriwayatkan dalam kitabnya daripada Ja’far, daripada Hisyam,daripada al-Hassan, katanya, “Puasa sehari daripada 10 hari (terawal Zulhijjah) menyamai puasa dua bulan.” Abdul Karim meriwayatkan daripada Mujahid, katanya, “Amalan yang dilakukan dalam 10 hari tersebut akan digandakan pahalanya.”

Berkenaan gandaan pahala juga,terdapat banyak lagi hadith marfu’ yang lain tetapi palsu. Oleh itu, kami abaikannya serta hadith-hadith lain yang menyerupai palsu yang menyebutkan kelebihan 10 hari itu.

Hadith riwayat Ibn ‘Abbas berkenaan gandaan pahala seluruh amal soleh dalam 10 hari terawal Zulhijjah tanpa sebarang pengecualian pun sudah menjadi dalil dalam perkara ini.

Di samping itu, terdapat hadith yang diriwayatkan secara khusus berkenaan puasa, qiamullail, dan memperbanyakkan zikir pada tempoh tersebut. Apa yang disebutkan adalah kelompok dalil yang baik untuk diceritakan, tanpa mengambil dalil yang tidak baik untuk diceritakan kerana statusnya tidak sahih. Hal ini terdapat dalam hadith riwayat Abu Hurairah yang lalu, hadith mursal Rasyid bin Sa’d, suatu riwayat daripada hadith al-Hasan , Ibnu Sirin, dan Qatadah tentang ibadah puasa pada tempoh itu.

 Diriwayatkan dalam kitab al-Musnad dan Sunan, daripada Hafsah:

كَانَ لَا يَدَعُ صِيَامَ عَاشُورَاءَ وَالْعَشْرِ وَثَلَاثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ

Maksudnya: Bahawa Nabi SAW tidak meninggalkan puasa pada hari Asyura, 10 hari (terawal Zulhijjah), dan tiga  hari setiap bulan.”

Riwayat Imam Ahmad (6/287), al-Nasaie (4/220). Kata al-Zaila’i di dalam Ansab al-Rayah: hadith ini daif 

Hadith ini menunjukkan bahawa empat perkara yang mana tidak ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW iaitu Puasa ‘Asyura, puasa 10 awal Zulhijjah. Dikatakan juga : Iktikaf pada 10 akhir Ramadhan walaupun pada bulan itu ada hari yang berkurangan atau dikecualikan disebabkan jatuh pada hari raya sebagaimana yang ditetapkan oleh syara’.Selain itu, Nabi Muhammad SAW tidak meninggalkan dua rakaat sebelum fajar dan berpuasa tiga hari pada setiap bulan. (Lihat Mirqah al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, 4/1428)

Tetapi, terdapat perselisihan dalam kalangan ulama pada sanadnya. Diriwayatkan juga daripada salah seorang isteri Nabi SAW:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ تِسْعَ ذِي الْحِجَّةِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW sering berpuasa pada sembilan Zulhijjah.”

Riwayat Abu Dawud (2437), al-Nasa’ie (2372) dan Ahmad (22690). Hadith ini dinilai Sahih oleh al-Albani dalam Sahih Abi Dawud, namun dinilai dhaif oleh Syeikh Syuaib al-Arnaut dalam takhrij Sunan Abi Dawud (2437)

Ungkapan كَانَ يَصُومُ membawa maksud al-Istimrar iaitu berterusan yakni baginda seringkali berpuasa antaranya pada 9 Zulhijjah. Hadith ini menunjukkan baginda telah berpuasa 9 zulhijjah sebelum berlakunya Haji Wada’. 

Syeikh Abd al-Muhsin al-’Abbad berkata: “Imam Abu Dawud menamakan hadith ini dalam Bab pada Puasa Sepuluh Hari (باب في صوم العشر), iaitu sepuluh hari pada bulan Zulhijjah. Namun, yang dimaksudkan sebenarnya adalah sembilan hari. Nama ini telah dikenal secara umum, hal ini kerana sebenarnya hari kesepuluh adalah hari raya, dan tidak boleh berpuasa pada hari itu dalam keadaan apa pun, kerana pada terdapat larangan berpuasa pada dua hari raya dan hari-hari Tasyriq. Berpuasa pada hari-hari Tasyriq hanya diperbolehkan bagi mereka yang tidak menemukan haiwan hadyu untuk disembelih. Sedangkan untuk dua hari raya, tidak boleh berpuasa pada keduanya dan wajib berbuka pada kedua hari tersebut. (Lihat Syarh Sunan Abi Dawud li al-’Abbad, 286/3)

Antara individu yang berpuasa selama 10 hari terawal Zulhijjah ialah Abdullah bin Umar R.A. Riwayat daripada al-Hasan, Ibn Sirin, dan Qatadah tentang kelebihan puasa dalam tempoh tersebut telah dinyatakan sebelum ini, dan ia juga adalah pandangan kebanyakan atau ramai daripada kalangan ulama.

مَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَائمًا فِي العَشْرِ قَطٌّ

Maksudnya: “Aku sama sekali tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa pada 10 hari (terawal Zulhijjah).”

Riwayat Muslim (1176), Abu Daud (2439), al-Tirmizi (756), Ibn Khuzaimah (2103), Ibn Majah (1729)

Imam al-Nawawi dalam syarahnya ke atas Sahih Muslim menaqalkan perkataan ulama’ bahawa yang dimaksudkan dengan (العَشْرِ) di dalam hadith ini adalah 9 hari pada awal Zulhijjah, inilah antara yang boleh takwilkan (berdasarkan lafaz hadith). Maka berpuasa pada 9 hari ini tidaklah ditegah, bahkan ia amatlah dituntut terutamanya pada hari kesembilan kerana ia merupakan hari ‘Arafah. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 8/71)

Jawapan Imam Ahmad kepada hadith ini dilihat berbeza. Satu ketika beliau mengatakan ada hadith lain yang diriwayatkan bertentangan dengannya lalu menyebutkan hadith diriwayatkan Hafsah. Beliau juga menyatakan bahawa wujud perselisihan pendapat ulama’ berkenaan kedudukan sanad hadith riwayat Aisyah yang diriwayatkan oleh al-A’masy secara bersambung, namun Mansur meriwayatkannya daripada Ibrahim secara mursal.

Selain itu, ulama selain beliau menjawab, apabila berlaku perselisihan antara Aisyah dan Hafsah ketika menafikan atau mengisbatkan suatu perkara, pandangan yang mengisbatkan diambilkan kerana orang tersebut mengetahuinya berbanding orang yang menafikan. Satu ketika yang lain, Imam Ahmad menjawab bahawa Aisyah memaksudkan Baginda tidak berpuasa 10 hari secara sempurna, manakala Hafsah memaksudkan Baginda berpuasa pada kebanyakan harinya. Maka, ada hari yang Baginda berpuasa , dan ada hari yang Baginda tidak berpuasa. Cara penggabungan ini bersesuaian dengan riwayat yang menyatakan,” Aku tidak pernah melihatnya berpuasa 10 hari.”

Adapun perawi yang meriwayatkan,”Aku tidak pernah melihatnya berpuasa dalam tempoh 10 hari ini,” kaedah gabungan hadith sukar atau tidak dapat  dilakukan. Ibnu Sirin tidak suka apabila dikatakan, “Seseorang berpuasa pada 10 hari (alam Zulhijjah),” kerana ditakuti memasukkan hari raya korban ke dalamnya,tetapi hendaklah disebut, “Seseorang berpuasa pada Sembilan hari.” Namun, apabila ibadah puasa disandarkan pada 10 hari tersebut, maksudnya puasa yang dibenarkan untuk dilakukan sahaja. Sebelum ini, telah disebutkan sebuah hadith yang menyatakan bahawa Nabi SAW berpuasa pada 10 hari terawal Zulhijjah. Jika ada orang yang bernazar untuk berpuasa pada 10 hari tersebut , maka dia hendaklah mengerjakan sebanyak Sembilan hari sahaja. Dia juga tidak dikenakan qadha’ atau kaffarah apabila tidak berpusa pada hari raya korban kerana penggunaan kalimah 10 hari ini difahami sebagai sembilan hari menurut ‘uruf.

Boleh jadi perbahasan tentang kewajipan qadha’ dan kaffarah ini menimbulkan khilaf dalam kalangan ulama. Ahmad mengatakan bahawa sesiapa yang bernazar untuk berpuasa dibulan Syawal, kemudian tidak berpuasa pada hari raya fitrah dan berpuasa pada baki harinya,maka dia hendaklah mengatakan puasa sebanyak dan dikenakan kafarah. Al-Qadhi Abu Ya’la berkata ,’ keadaan tersebut adalah apabila seseorang yang berniat puasa penuh pada bulan Syawal . Jika niatnya mutlak,dia tidak dikenakan apa-apa kerana hari raya fitrah dikecualikan di sisi syarak. Ini adalah satu kaedah daripada sejumlah kaedah fiqah, iaitu adakah satu yang umum dikhusukan dengan syarak atau tidak? Dalam masalah ini, terdapat khilaf yang masyhur.

Berkenaan qiamullail pada 10 malam terawal Zulhijjah, ia sangat digalakkan dan hadith berkenaannya telah dinyatakan sebelum ini . Terdapat juga pelbagai riwayat menyatakan secara khusus tentang kelebihan menghidupkan malam dua hari raya, namun tidak sahih. Ada juga riwayat tentang doa yang dimustajabkan pada dua malam itu, Dan al-Syafi’i serta ulama lain menggalakkannya. Kebiasaan Sa’id Bin Jubair, perawi yang meriwayatkan hadith ini daripada Ibnu Abbas R.A , apabila tiba 10 hari terawal Zuhijjah, beliau sangat bersungguh-sungguh beramal sehingga hampir-hampir tidak berdaya melakukannya. Diriwayatkan daripadanya lagi, katanya, “Janganlah kamu memadamkan pelita pada waktu malam selama 10 hari ini kerana ibadah sangat disukai untuk dilakukan saat itu.” Adapun galakan memperbanyakkan Zikir, maka firman Allah SWT berikut menjadi dalil kepadanya:

وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّـهِ فِي أَيَّامٍ مَّعْلُومَاتٍ

Maksudnya:Dan supaya menyebut nama Allah pada hari-hari yang dimaklumi.”

(Surah al-Hajj : 28)

‘Ikrimah menafsirkan ayat tersebut dengan makna bertakbir pada hari-hari tasyriq selepas mendirikan solat fardhu (dengan mengucapkan), “Allahu Akbar, Allahu Akbar,” berdasarkan kepada hadith:

أَيَّامُ التَّشْرِيقِ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ

Maksudnya: “Hari-hari tasyriq adalah hari makan dan minum serta mengingati Allah (berzikir kepada-Nya).”

Riwayat Muslim (1141)

Begitu juga hadith daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW mengutus Abdullah bin Huzafah ke Mina untuk menyampaikan:

 لَا تَصُومُوا هَذِهِ الْأَيَّامَ، فَإِنَّهَا أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ وَذِكْرِ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya: “Janganlah kamu berpuasa pada hari-hari ini kerana sesungguhnya ia adalah hari-hari makan, minum dan mengingati Allah ‘Azza wa Jalla — yakni berzikir kepada-Nya.”

Riwayat Ahmad (10664)

Begitu juga riwayat daripada Aisyah R.Anha, katanya: Rasulullah SAW melarang daripada berpuasa pada hari-hari tasyriq dan Baginda bersabda:

هيَ أيّامُ أَكْلٍ وشُربٍ وذِكْرِ اللهِ

Maksudnya: “Ia adalah hari-hari makan, minum dan mengingati Allah.” 

Riwayat Ahmad (708) dan al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (2887). Syeikh Ahmad Syakir menilai sanadnya sebagai sahih dalam ‘Umdah al-Tafsir (1/252). Syeikh Ahmad Syakir menyatakan isnadnya hasan dalam takhrij al-Musnad (708). 

Hari-hari yang dimaklumi itu ialah 10 hari terawal Zulhijjah menurut jumhur ulama dan perbahasan tentangnya akan disebutkan selepas ini, Insya-Allah.

Diriwayatkan dalam Musnad Al-Imam Ahmad daripada Ibnu Umar RA, daripda Nabi SAW, Baginda bersabda,

مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ وَلَا أَحَبُّ إلِيْهِ الْعَمَلُ فِيهِنَّ مِنْ أَيَّامِ عَشْرِ ذِي الْحِجَّةِ أَوْ قَالَ : هَذِه الْأيَّامِ فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنَ التَّسْبِيح وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ وَالتَّهْلِيلِ

Maksudnya: “Tiada hari-hari yang lebih agung dan disukai oleh Allah untuk beramal soleh selain 10 hari ini. Maka, perbanyakanlah tahlil, takbir, dan tahmid pada-Nya.

Riwayat Ahmad (6154) 

Jika ada orang yang berkata, “Apabila suatu amalan yang dilakukan pada 10 hari tersebut lebih utama berbanding amalan yang dilakukan pada waktu selainya walaupun ia sendiri afdhal daripada amalan yang dilakukan pada 10 hari itu disebabkan keistimewaan masanya, maka jadilah amalan yang kurang utama tadi lebih utama menandingi jihad yang merupakan sebaik-baik amalan seperti yang dinyatakan dalam banyak dalil. Inilah pandangan Imam Ahmad dan Ulama yang lain. Seharusnya haji afdal daripada jihad kerana haji hanya boleh dilakukan dalam tempoh 10 hari itu, dan ia juga adalah di antara atau sebaik-baik amalan yang dilakukan dalam masa tersebut. Namun, bagaimanakah jihad boleh menjadi afdhal daripada haji, sedangkan telah disabitkan al-Sahihain, daripada Abu Hurairah R.A:

سُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الأَعْمَالِ أَفْضَلُ؟ قَالَ: «إِيمَانٌ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ» قِيلَ: ثُمَّ مَاذَا؟ قَالَ: «جِهَادٌ فِي سَبِيلِ اللَّهِ» قِيلَ: ثُمَّ مَاذَا؟ قَالَ: «حَجٌّ مَبْرُورٌ»

Maksudnya: Nabi SAW pernah ditanya, amalan apakah yang paling utama? Baginda bersabda: “Beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.” Baginda ditanya lagi: “Kemudian apa lagi?” Baginda bersabda: “Jihad di jalan Allah.” Baginda ditanya lagi: “Kemudian apa lagi?” Nabi bersabda: “Haji yang mabrur.”

Riwayat al-Bukhari (1519) dan Muslim (83)

Hamzah Qasim berkata: “Kemudian, apa amalan yang utama selepas jihad? Rasulullah SAW menjawab, ‘Haji yang mabrur.’ Haji yang mabrur adalah haji yang dilakukan dengan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT dan yang diterima oleh-Nya, yang bebas daripada riya’, ingin dipuji, dan daripada harta yang haram. Dalam riwayat ini, jihad ditempatkan di atas haji. Namun, dalam riwayat lain, haji ditempatkan di atas jihad. Keutamaan antara keduanya bergantung pada perbezaan keadaan dan situasi. Pada awal Islam, jihad diberikan keutamaan dalam hal ini.” (Lihat Manar al-Qari Syarh Mukhtasar Sahih al-Bukhari, 1/108)

Syams al-Din al-Safiri berkata: “Zahir hadith ini menunjukkan bahawa jihad lebih utama berbanding haji, dan ini berkaitan dengan haji sunat. Namun, yang melibatkan haji wajib dalam Islam, maka ia lebih utama berbanding jihad. Ini berlaku jika jihad adalah fardhu kifayah sedangkan haji wajib adalah fardhu ain , maka haji wajib pasti diberikan keutamaan berbanding jihad kerana kewajibannya untuk dilakukan dengan segera.” (Lihat al-Majalis al-Wa’ziyah fi Syarh Ahadith Khair al-Bariyyah, 2/28)

Jawapannya: Keluar berjihad sunat lebih afdal daripada keluar menunaikan haji sunat disisi jumhur ulama, dan hal ini disebutkan oleh Imam Ahamad melalui hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin Al-ash. Ada juga hadith-hadith marfu’ tentangnya , tetapi sanadnya dikritik, namun hadith riwayat Abu Hurairah diatas jelas menyatakan sedemikian.

Hadith ini boleh digabungkan dengan hadith Ibnu Abbas melalui dua cara.

  1. Jihad orang yang keluar bersama hartanya serta tidak kembali lebih afdal.

Hadith Ibnu Abbas menyebutkan secara jelas bahawa jihad orang yang keluar bersama hartanya serta tidak kembali afdal daripada amalan yang dilakukan pada 10 hari terawal Zulhijjah. Maka, Kesimpulannya haji afdal daripada jihad kecuali jihad orang yang keluar bersama hartanya dan tidak kembali.Itulah maksud yang terdapat pada hadith Abu Hurairah dan saat itu, Maksud dua hadith ini dapat digabungkan.

 

  1. Amalan yang kurang utama kadangkala disertai dengan perkara lain yang membolehkannya menjadi afdal.

Pandangan yang lebih tepat ialah amalan yang kurang utama kadangkala disertai dengan perkara lain yang membolehkannya menjadi afdhal daripada amalan yang lebih utama, seperti yang dijelaskan sebelum ini.Ketika itu, haji boleh disertai dengan perkara lain yang menjadikannya afdhal daripada jihad, dan boleh jadi juga ia bersendirian lalu jihad menjadi afdal daripadanya. Sekiranya hai yang dikerjakan adalah fardhu, maka ia lebih afdal daripada jihad sunat kerana amalan fardhu ain afdal daripada amalan fardhu kifayah menurut jumhur ulama’.

Terdapat hadith berkenaan hal ini yang menyebutkan haji dan jihad secara khusus yang diriwayatkan daripada Abdulllah bin Amru bin al-Ash’, serta diriwayatkan juga secara marfu’ melalui pelbagai jalan periwayatan, namun sanad-sanadnya lemah. Suatu riwayat berikut yang diceritakan oleh Nabi SAW daripada Tuhannya sudah cukup menjadi dalil kepadanya, firman-Nya di dalam hadith Qudsi:

وَمَا تَقَرَّبَ إِلَيَّ عَبْدِي بِشَيْءٍ أَحَبَّ إِلَيَّ مِمَّا افْتَرَضْتُ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Hambaku tidaklah mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku sukai daripada apa yang Aku fardukan ke atasnya.”

Riwayat al-Bukhari (6502)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Termasuk dalam kalimat ini adalah semua amalan fardhu/wajib, sama ada fardhu ain mahupun fardhu kifayah. Secara zahir adalah khusus apa yang pada asalnya memang diwajibkan Allah. Sedangkan cakupannya terhadap kewajiban yang diwajibkan sendiri oleh hamba, maka ini perlu diteliti lebih jauh, kerana lafaznya menyatakan, ‘افْتَرَضْتُ عَلَيْهِ’ (Yang Aku wajibkan kepadanya). Kecuali apabila diambil dari makna yang lebih umum. Jadi, melaksanakan amalan-amalan fardhu/wajib adalah amalan yang paling dicintai Allah. 

Al-Tufi berkata: “Perintah melaksanakan amalan yang fardhu/wajib adalah pasti, dan akibat meninggalkannya adalah hukuman. Berbeza halnya dengan amalan sunat, sama ada perintah melaksanakannya mahupun akibat meninggalkannya, walaupun sama dalam hal perolehan pahala. Amalan fardhu/wajib lebih sempurna daripada amalan sunat. Kerana itulah amalan wajib lebih dicintai Allah dan lebih dapat mendekatkan diri kepada-Nya.

Selain itu, amalan yang fardhu/wajib laksana asas/tiang utama/teras, sedangkan amalan sunat laksana cabang dan bangunan. Melaksanakan amalan wajib sesuai dengan perintah bererti telah melaksanakan perintah, menghormati yang memerintahkan, mengagungkan-Nya dengan ketundukan kepada-Nya, dan menampakkan keagungan ketuhanan serta kehinaan penghambaan. Oleh kerana itu, mendekatkan diri dengan melaksanakan amalan wajib merupakan amalan yang paling agung, dan orang yang melaksanakan amalan wajib terkadang melaksanakannya kerana takut hukuman. Sementara orang yang melaksanakan amalan sunat terkadang tidak melaksanakannya, kecuali kerana ingin mendapat kebaikan, sehingga diganjarkan dengan kecintaan yang merupakan puncak keinginan setiap orang yang mendekatkan diri dengan amal baiknya.” (Lihat Fath al-Bari, 18/342)

Jika orang yang menunaikan haji bukan daripada kalangan orang yang berjihad, maka hajinya afdhal daripada jihadnya seperti wanita. Diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari daripada Aisyah R.A, katanya:

يَا رَسُولَ اللَّهِ نَرَى الْجِهَادَ أَفْضَلَ الْعَمَلِ أَفَلاَ نُجَاهِدُ مَعَكَ؟ قَالَ : لاَ وَلَكُنَّ أَفْضَلُ الْجِهَادِ حَجٌّ مَبْرُورٌ

Maksudnya : “Wahai Rasulullah, Kami melihat bahawa jihad adalah amalan yang paling utama, maka bolehlah kami berjihad?” Baginda bersabda, “Sebaik-baik jihad adalah haji yang mabrur.” Dalam salah satu riwayatnya dinyatakan : Jihad kamu adalah haji. Dalam riwayatnya yang lain juga dinyatakan : sebaik-baik jihad adalah haji.

Riwayat al-Bukhari (1520)

Hadis ini  menunjukkan bahwa perang bersenjata tidak diwajibkan bagi kaum wanita, dan ia bukanlah amalan terbaik bagi mereka. Jika kamu ingin mengetahui amalan terbaik dan jihad yang paling mulia bagi kaum wanita, maka ia adalah “haji yang mabrur”, iaitu haji yang diterima oleh Allah SWT dengan memenuhi peraturan-peraturannya, bebas dari riak, berkelakuan buruk,  dan  bebas dari harta  yang haram.” (Lihat Manar al-Qari, 3/70)

Begitu juga apabila 10 hari terawal Zulhijjah mencakupi seluruh perbuatan dalam haji dan dilaksanakan dengan cara yang sempurna iaitu melakukan amalan wajib dan meninggalkan iaitu melakukan amalan wajib denga meninggalkan yang haram;ditambah pula dengen berbuat baik kepada manusia dengan menyebarkan salam, memberi maka; serta disertai dengan banyak mengingati Allah SWT, meninggikan suara ketika talbiah dan menyembelih binatang korban; maka haji seperti ini boleh melebihi jihad. Jika amalan haji dilakukan dalam suatu tempoh dalam 10 hari tersebut dan tidak dilakukan dengan cara yang sempurna tadi, maka jihad afdal daripadanya. Ada suatu riwayat daripada Umar, Ibnu Umar, Abu Musa al-Asy’ari, dan Mujahid yang menunjukkan bahawa haji melebihi jihad dan haji mabrur yang dilaksanakan dengan cara yang sempurna serta segala perbuatannya dibuat dalam tempoh 10 hari itu lagi. Wallahu a’lam.

Jika ada orang berkata,”Sabda Baginda SAW, tidak ada hari-hari yang amalan soleh lebh disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini(10 hari terawal Zulhijjah).” Adakah ia bermaksud semua amalan soleh yang dilakukan pada suatu tempoh dalam 10 hari ini melebihi seluruh amal soleh yang dikerjakan pada waktu lain walaupun lebih lama atau sekejap?”

 

Jawapannya: Pandangan yang tepat- Wallahua’lam – ialah amalan yang dilakukan dalam tempoh 10 hari ini lebih afdal daripada amalan yang dilakukan pada 10 hari dibulan lain. Oleh itu, setiap amal soleh yang dilakukan dalam  10 hari terawal Zulhijjah afdal daripada mana-mana amalan yang dilakukan dalam 10 hari lain dalam mana-mana bulan sekalipun.Maka, hadith itu melebihkan amalan yang dikerjakan pada setiap harinya ke atas amalan yang dilakukan pada mana-mana hari lain dalam setahun.

Sudah jelas sebelum ini; amalan yang dilakukan dalam tempoh 10 hari terawal Zulhijjah melebihi jihad apabila amalan yang dikerjakan merangkumi seluruh waktu di dalamnya. Maka, ia afdal berbanding jihad dalam tempoh yang sama selain 10 hari tersebut.Jika suatu amalan yang dilakukan pada beberapa hari dari 10 hari terawal Zulhijjah ia afdal daripada jihad dalam tempoh yang sama selain 10 hari tersebut.

Dalilnya ialah Nabi SAW menjadikan puasa dan solat yang berterusan tanpa henti bersamaan dengan jihad yang dilakukan pada bila-bila masa. Apabila puasa dan solat tadi dibuat pada masa 10 hari terawal Zulhijjah, ia afdal daripada jihad dalam tempoh masa yang sama disebabkan keistimewaan dan kemulian 10 hari tersebut.

Diriwayatkan dalam al-Sahihain, daripada Abu Hurairah, katanya,

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ عَلِّمْنِي عَمَلًا يَعْدِلُ الْجِهَادَ. قَالَ: لَا أَجِدُهُ. قَالَ: هَلْ تَسْتَطِيعُ إِذَا خَرَجَ الْمُجَاهِدُ أَنْ تَدْخُلَ مَسْجِدًا فَتَقُومَ لَا تَفْتُرُ، وَتَصُومَ لَا تُفْطِرُ؟ قَالَ: وَمَنْ يَسْتَطِيعُ ذَلِكَ؟

Maksudnya : “Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW, lalu berkata: ‘Tunjukkan kepadaku suatu amalan yang menyamai jihad.’ Dia berkata lagi: ‘Aku tidak menjumpainya.’ Baginda bersabda: ‘Apabila seorang yang berjihad keluar, adakah kamu datang ke masjid kemudian solat tanpa henti dan puasa sepanjang masa?’ Dia menjawab: ‘Siapakah yang mampu lakukan sedemikian?’

Riwayat al-Bukhari (2785) dan Muslim (1878)

Imam al-Nawawi menyebutkan: “Di dalam hadith ini mengisyaratkan besarnya fadhilat berjihad, Hal ini kerana solat, puasa dan melaksanakan perintah Allah adalah sebaik-baik amalan. Dan orang yang berjihad diibaratkan seperti mereka yang tidak berhenti daripada melakukan amalan-amalan tersebut walaupun hanya seketika, dan diketahui (oleh semua orang) tiada siapa yang mampu melakukan amalan-amalan tersebut tanpa henti.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/25)

Lafaz hadith ini adalah di sisi al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan dengan makna beserta tambahan lafaz:

مَثَلُ الْمُجَاهِدِ فِي سَبِيلِ اللهِ كَمَثَلِ الصَّائِمِ الْقَائِمِ الْقَانِتِ بِآيَاتِ اللهِ لاَ يَفْتُرُ مِنْ صِيَامٍ، وَلاَ صَلاَةٍ حَتَّى يَرْجِعَ الْمُجَاهِدُ إِلَى أَهْلِهِ

Maksudnya: “Baginda bersabda, ‘Perumpamaan orang yang berjihad di jalan Allah adalah seperti orang yang berpuasa, solat, membaca ayat-ayat Allah, tanpa berasa penat menunaikan solat dan puasa, sehinggalah orang yang berjihad di jalan Allah itu pulang.”

Riwayat al-Bukhari (2785), Muslim (1878), al-Tirmizi (1619) dan Ahmad (10000)

Al-Qastalani berkata: Baginda SAW memperumpamakan dengan orang yang berpuasa kerana orang berpuasa berpegang teguh daripada makan, minum dan kelazatan-kelazatan lain. Demikian juga orang yang berjihad berpegang teguh dalam memerangi musuh serta mempertahankan dirinya daripada orang yang memeranginya. (Lihat Irsyad al-Sari, 5/35)

Manakala, lafaz di sisi al-Bukhari pula ialah :

مَثَلُ الْمُجَاهِدِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَاللَّهُ أَعْلَمُ بِمَنْ يُجَاهِدُ فِي سَبِيلِهِ كَمَثَلِ الصَّائِمِ الْقَائِمِ

Maksudnya: “Perumpamaan orang yang berjihad dijalan Allah- Allah lebih mengetahui siapakah yang berjihad di jalan-Nya-adalah sama seperti orang yang berpuasa serta menunaikan solat.”

Riwayat al-Bukhari (2787)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Keadaan orang yang berpuasa dan solat disamakan dengan keadaan orang yang berjihad di jalan Allah dalam mendapatkan pahala pada setiap gerak dan diamnya. Kerana yang dimaksudkan dengan orang yang berpuasa dan solat adalah orang yang tidak pernah berhenti ibadah sehingga pahalanya terus-menerus. Demikian juga orang yang berjihad, tidak sesaat pun waktunya yang tersia-sia tanpa ada pahala, berdasarkan keterangan dalam hadith: ‘أَنَّ الْمُجَاهِد لَتَسْتَنّ فَرَسه فَيُكْتَب لَهُ حَسَنَات’ (“Sesungguhnya seorang mujahid, setiap gerakan kudanya ditulis kebaikan-kebaikan untuknya.”) Lebih tergas, firman Allah SWT: ‘ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ لَا يُصِيبُهُمْ ظَمَأٌ وَلَا نَصَبٌ’ (“Yang demikian itu adalah kerana mereka tidak ditimpa kehausan dan kepayahan.”) (Surah al-Taubah: 120) (Lihat Fath al-Bari, 8/373)

Lafaz di sisi al-Nasaie ialah :

كَمَثَلِ الصَّائِمِ الْقَائِمِ الْخَاشِعِ الرَّاكِعِ السَّاجِدِ

Maksudnya: “Adalah sama seperti orang yang berpuasa, solat, khusyuk, rukuk dan sujud.”

Riwayat al-Nasaie (4320) di dalam Sunan al-Kubra

Antara dalil khusus kepada kelebihan suatu amalan dalam tempoh 10 hari terawal Zulhijjah ke atas jihad yang sama tempohnya ialah hadith yang diriwayatkan dalam Sahih Ibn Hibban daripada Jabir, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

مَا مِنْ أَيَّامٍ أَفْضَلُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ أَيَّامِ عَشْرِ ذِي الْحِجَّةِ، قَالَ: فَقَالَ رَجُلٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، هُنَّ أَفْضَلُ أَمْ عِدَّتُهُنَّ جِهَادًا فِي سَبِيلِ اللَّهِ، قَالَ: هُنَّ أَفْضَلُ مِنْ عِدَّتِهِنَّ جِهَادًا فِي سَبِيلِ اللَّهِ

Maksudnya: “Tidak ada hari-hari yang afdal di sisi Allah berbanding 10 hari dalam bulan Zulhijjah.” Seorang lelaki berkata, “Wahai Rasulullah, adakah hari-hari itu afdal atau jihad di jalan Allah dalam tempoh tersebut?” Baginda bersabda, “Ia afdal berbanding jihad di jalan Allah dala tempoh tersebut.”

Riwayat Ibn Hibban (3853) dan Abu Ya’la (2090). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan ia adalah sahih dalam takhrij Sahih Ibn Hibban (3853)

Justeru, amalan yang dilakukan pada 10 hari ini dilebihkan keatas jihad yang dilakukan pada 10 hari juga, bukannya secara mutlak.

Adapun perbahasan lalu mengenai setiap harinya menyamai setahun, sebulan, atau 1000 hari, maka semuanya termasuk daripada hadith-hadith yang lemah tentang kelebihan beramal. Kebanyakannya menceritakan tentang kelebihan puasa dalam tempoh 10 hari terawal Zulhijjah, sedangkan puasa juga mempunyai keistimewaan dalam gandaaan pahalanya. Puasa bagi Allah, dan Allah berhak memberi ganjarannya jika ada orang berkata, “ia tidak khusus kepaada puasa bahkan meliputi semua amalan sebenarnya hadith itu menjadi dalil kepada setiap malam yang dilakukan pada 10 hari tersebut lebih utama daripada amalan yang sama yang dilakukan selain daripada tempoh itu dalam suatu tahun. Maka, maksudnya adalah orang yang berjihad pada 10 hari terawal Zulhijjah lebih utama berbanding orang yang berjihad ada waktu selainnya dalam suatu tahun.”

Apabila dikatakan lagi,”oleh itu, berdasarkan konsep amalan yang dilakukan dalam tempoh 10 hari terawal Zulhijjah lebih utama daripada tempoh 10 selainnya, puasa pada 10 hari tersebut afdhal daripada puasa pada 10 dalam bulan Ramadhan, dan Qiamulailnya afdhal daripada Qiamullail dalam bulan ramadhan.” Maka, dijawab, “Berkenaan puasa di bulan Ramadhan, ia sememangnya afdhal daripada pada 10 hari terawal Zuhijjah kerana sudah pasti puasa fardhu afdhal daripada puasa sunat. Ketika itu, amalan fardhu yang dilaksanakan pada 10 hari tersebut afdhal daripada amalan fardhu yang dilaksana pada 10 hari selainnya.

Sesungguhnya solat fardhu dalam 10 hari ini digandakan pahalanya berbanding solat fardhu pada 10 hari pada bulan Ramadhan. Manakala amalan sunat yang dilakukan dalam tempoh 10 hari ini juga afdhal daripada  amalan sunat yang dilakukan pada 10 hari selainnya. Umar dan Ali R.Anhuma pernah berselisih pandangan tentang isu menggantikan puasa Ramadhan pada 10 hari terawal Zulhijjah. Umar menggalakkannya kerana keistimewaannya hari-harinya, maka jadilah puasa ganti di dalam bulan Ramadhan itu afdal berbanding jika dilakukan dalam tempoh 10 hari yang lain.

Hal ini menunjukkan bahawa amalan fardhu dilipat ganda pahalanya ke atas amalan sunat dalam tempoh 10 hari tersebut. Sedangkan Ali melarang perkara yang sedemikian dan terdapat dua riwayat daripada Ahmad dalam hal ini . Alasan kepada pandangan Ali ialah puasa qadha pada hari tersebut menyebabkan hilangnya kelebihan waktu berpuasa sunat padanya. Begitu juga alasan yang digunakan oleh Imam Ahmad dan ulama’ selainnya.

Sebelum ini telah dinyatakan bahawa cara sebegitru tetap menghasilkan kelebihan puasa sunat. Ini adalah pandangan orang yang mengatakan, “jika seseorang bernazar puasa sebulan, lalu berpuasa pada bulan Ramadhan dia telah melaksanakan nazarnya dan fardhunya tetap terlaksana.” Namun, terdapat juga alasan lain bagi pandangan ini.

Adapun Qiamullail pada 10 hari terawal Zuhijjah dan keutamaanya keatas Qiamullail pada 10 malam dibulan ramadhan, perbahasan tentang nya akan menyusul insyaAllah. 

 

FASAL KEDUA: KELEBIHAN 10 HARI AWAL ZULHIJJAH BERBANDING 10 HARI DALAM BULAN LAIN

Hadith marfu’ riwayat Ibn Umar sebelum ini menyatakan:

مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَم عِندَ اللهِ وَلَا أحبّ إليه العملُ فيهن من أيامِ العشرِ

Maksudnya: “Tidak ada hari-hari yang besar ganjarannya di sisi Allah dan yang paling Dia sukai agar seseorang mengerjakan amal kebaikan padanya, melainkan 10 hari ini.”

Riwayat Imam Ahmad (5446) di dalam Musnad dan al-Baihaqi (3751) di dalam Syu’ab al-Iman.

Diriwayatkan dalam Sahih Ibn Hibban, daripada Jabir, Baginda SAW bersabda:

ما مِن أيَّامٍ أفضلُ عندَ اللهِ مِن أيَّامِ عشْرِ من ذي الحجَّةِ

Maksudnya: “Tidak ada hari-hari yang lebih utama di sisi Allah daripada 10 hari terawal di bulan Zulhijjah.”

 Riwayat Ibnu Hibban (3853)

Hadith ini telah pun dinyatakan pada perbahasan lalu. Kami turut meriwayatkan melalui jalan periwayatan lain dengan tambahan lafaz:

وَلَا لَيَالِي أَفْضَلُ مِنْ لَيَالِهِنَّ. قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ هُنَّ أَفْضَلُ مِنْ عِدَّتِهنَّ جِهَادًا فِي سَبِيلِ اللهِ ؟ قَالَ: هُنَّ أَفْضَلُ مِنْ عِدَّتِهنَّ جِهَادًا فِي سَبِيلِ اللهِ إِلَّا مَنْ عَفَرَ وَجْهَهُ تَعْفِيرًا. وَمَا مِنْ يَوْمٍ أَفْضَلُ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ

Maksudnya: “Dan tidak ada malam-malam yang lebih utama daripada 10 malam ini. Ada orang bertanya, “wahai Rasulullah, adakah hari-hari ini lebih utama (melaksanakan ibadah) berbanding jihad di jalan Allah dalam tempoh yang sama?” Baginda menjawab, “Ia lebih utama berbanding jihad di jalan Allah dalam tempoh yang sama, kecuali orang yang dilumuri wajahnya dengan tanah. Tidak ada hari yang terbaik berbanding hari Arafah.”

Riwayat Ibnu Hibban (3853)

Hadith ini diriwayatkan oleh al-Hafiz Abu Musa al-Madini melalui jalan Abu Nu’aim al-Hafiz dengan sanad yang turut diriwayatkan oleh Ibn Hibban. Al-Bazzar dan ulama selainnya meriwayatkan hadith daripada Jabir juga, baginda bersabda:

أَفْضَلُ أَيَّامِ الدُّنْيَا أَيَّامُ الْعَشْرِ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلَا مِثْلُهُنَّ فِي سَبِيلِ اللَّهِ؟ قَالَ: وَلَا مِثْلُهُنَّ فِي سَبِيلِ اللَّهِ إِلَّا مَنْ عَفَّرَ وَجْهَهُ فِي التُّرَابِ.

Maksudnya: “Sebaik-baik hari di dunia ialah 10 hari (bulan Zulhijjah). Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, jihad di jalan Allah dalam tempoh yang sama pun tidak dapat menyamainya? Baginda menjawab, “jihad di jalan Allah dalam tempoh yang sama pun tidak dapat menyamainya melainkan sesiapa yang wajahnya dilumuri dengan tanah (mati syahid).”

Riwayat Ibn Hibban (3853) dan al-Bazzar (1128)

Hadith ini diriwayatkan secara mursal dan ada ulama mengatakan riwayat mursal lebih sahih. Sebelum ini dinyatakan satu riwayat daripada Ibn Umar yang berkata: “Tidak ada hari yang lebih agung di sisi Allah SWT berbanding hari Jumaat, tidak termasuk 10 hari awal Zulhijjah.” Ucapan ini menunjukkan bahawa 10 hari tersebut lebih utama daripada sebaik-baik hari iaitu Jumaat.

Suhail bin Abu Soleh meriwayatkan daripada bapanya, daripada Ka’ab, beliau berkata, “Allah telah memilih masa, dan sebaik-baiknya di sisi Allah ialah bulan haram. Bulan haram yang paling disukai Allah ialah Zulhijjah, dan hari dalam bulan Zulhijjah yang paling disukai Allah ialah 10 hari terawalnya.” Seorang perawi meriwayatkannya daripada Suhail, daripada bapanya, daripada Abu Hurairah secara marfu’, namun tidak sahih. Masruq berkata mengenai firman Allah Taala  “Ia adalah sebaik-baik hari dalam satu tahun. Hal ini diriwayatkan oleh Abdul Razzaq dan perawi selainnya. Selain itu juga, 10 hari itu merangkumi Hari Arafah. Dan ada riwayat yang menyatakan sebagai sebaik-baik hari di dunia seperti yang terkandung dalam hadith riwayat Jabir yang telah kami sebutkan. 10 hari tersebut mengandungi Hari Raya Korban, dan hadith riwayat Abdullah bin Qurth, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

أَعْظَمُ الأَيَّامِ عِنْدَ اللَّهِ يَوْمُ النَّحْرِ، ثُمَّ يَوْمُ الْقَرِّ

Maksudnya: “Hari-hari yang paling agung disisi Allah ialah Hari Raya Korban, kemudian Hari al-Qarr (11 Zulhijjah).”

Riwayat Imam Ahmad (19285), Abu Dawud (1765), dan Ibnu Khuzaimah (2866).

Kalimah al-Qarr dari segi bahasa bermaksud menetap. Abu Sulaiman al-Khattabi mengatakan bahawa hari al-Qarr (الْقَرِّ) adalah hari selepas daripada Hari Raya Korban. Ia dinamakan sebagai hari al-Qarr (الْقَرِّ) kerana manusia menetap (sebentar) pada hari tersebut di Mina. Hal ini kerana mereka telah selesai melakukan tawaf al-Ifadhah dan membuat korban, maka mereka berehat dan menetap (sebentar di Mina). (Lihat Ma‘alim al-Sunan, 2/157)

Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud dan selain mereka. Semua hadith tadi menunjukkan bahawa ada 10 hari terawal Zulhijjah afdal daripada hari yang lain tanpa sebarang pengecualian. Ini adalah penjelasan berkenaan waktu siangnya.

Manakala waktu malam 10 terawal Zulhijjah, ada kalangan ulama muta’akhkhirin mendakwa bahawa 10 malam terakhir bulan Ramadhan afdhal daripada 10 malamnya kerana mengandungi malam al-Qadr. Namun, pandangan ini sangat jauh daripada kebenaran.

Kalaulah hadith riwayat Abu Hurairah yang menyatakan, “Menghidupkan setiap malamnya (10 hari terawal Zulhijjah) sama seperti menghidupkan malam al-Qadr” adalah sahih, pastilah 10 malamnya yang lebih utama berbanding 10 malam terakhir bulan Ramadan disebutkan dengan jelas. Sesungguhnya 10 malam terakhir bulan Ramadhan diberi kelebihan disebabkan satu malam yang ada padanya. Sedangkan semua malam dalam 10 hari terawal Zulhijjah ini mempunyai kelebihan yang sama pada amalan qiamullai berdasarkan hadith tadi. Tetapi, hadith Jabir yang diriwayatkan oleh Abu Musa jelas menyatakan keutamaan malam-malam pada sepuluh hari terawal Zulhijjah sama seperti siangnya. Jika perkataan “hari” disebut, ia merangkumi waktu malam yang mengirinya. Begitu juga malam, waktu siang yang mengirinya turut dikira.

Sesungguhnya Allah SWT bersumpah dengan 10 malam terawal Zulhijjah dengan berfirman :

وَالْفَجْرِ ﴿١﴾ وَلَيَالٍ عَشْرٍ 

Maksudnya : “Demi waktu fajar, dan 10 malam(serta hari terawal Zalhijjah).”

(Surah al-Fajr : 1-2)

Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa terdapat ijmak ulama mengenai hal itu. Beliau berkata: Ini merujuk kepada (sepuluh) malam pertama Dzulhijjah, kerana telah ada kesepakatan di kalangan ulama tafsir tentang hal itu. (Lihat Jami’ al-Bayan, 7/514)

Sumpahan ini menunjukkan kepada kelebihan malam-malamnya, tetapi tidak sabit hadith berkenaan semua malam atau salah satunya menyamai malam al-Qadr.

Beberapa kumpulan ulama mazhab kami (Mazhab Hanbali) mendakwa bahawa malam jumaat afdal daripada malam al-Qadr, namun pengambilannya daripada Imam Ahmad adalah tidak benar. Oleh itu, berpandukan kepada pandangan mereka, melebihkan 10 malam ini ke atas malam al-Qadr boleh diterima.

Pandangan sebenar ialah pandangan sebahagian ulama’ muta’akhkhirin yang mengatakan: “Keseluruhan 10 malam terawal Zulhijjah afdal daripada keseluruhan 10 malam di bulan Ramadhan walaupun dalam 10 malam bulan Ramadan terdapat satu malam yang tiada tolok bandingnya”. Wallahua’lam.

Kenyataan Ka’ab yang lalu menunjukkan bahawa bulan Zulhijjah adalah bulan yang paling utama daripada empat bulan haram, begitu juga yang dinyatakan oleh Sa’id Ibn Jubair, perawi hadith berikut daripada Ibn Abbas yang berkata, “Tidak ada bulan yang paling tinggi kehormatannya selain Zulhijjah.”

Diriwayatkan dalam Musnad al-Bazzar, daripada Abu Sa’id al-Khudri, daripada Nabi SAW, baginda bersabda :

سَيِّدُ الشُّهُورِ رَمَضَانُ، وَأَعْظَمُهَا حُرْمَةً ذُو الْحِجَّةِ.

Maksudnya: “Penghulu bagi semua bulan ialah Ramadan dan bulan yang paling tinggi kehormatannya ialah Zulhijjah.”

Riwayat al-Bazzar (960).Di dalam sanad hadith ini terdapat Abdul Malik al-Naufali. Kata al-Bazzar: dia ada melakukan kesalahan di dalam riwayat. Ibn Rejab al-Hanbali menyatakan bahawa sanad hadith ini dhaif. Juga diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (3755) dan al-Dailami dalam al-Firdaus (3478).

Al-San’ani berkata: “Hal ini kerana dalam bulan Zulhijjah terdapat hari-hari yang dikenal (الأيام المعلومات) dan dihitung (الأيام المعدودات), dan Hari Arafah ialah hari al-Hajj al-Akbar mengikut pendapat yang paling sahih, maka ia adalah hari yang paling agung dan dihormati dalam haji karena terdapat ibadah-ibadah tertentu di dalamnya. Sedangkan bulan Ramadan lebih afdhal kerana terdapat banyak amalan ketaatan yang dikerjakan di dalamnya.” (Lihat al-Tanwir Syarh al-Jami’ al-Saghir, 6/434-435)

Diriwayatkan dalam Musnad Imam Ahmad, daripada Abu Sa’id al-Khudri juga:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فِي حَجَّة الْوَدَاع فِي خُطْبَتِهِ يَوْم النَّحر : أَلَا إِنَّ أحرمَ الأَيَّامِ يومُكُمْ هذا ألا وإِنَّ أحرمَ الشُّهورِ شَهْرُكُمْ هذا ألا وإِنَّ أحرمَ البَلَدِ بَلَدُكُمْ هذا

Maksudnya : “Bahawa Nabi SAW bersabda ketika haji wada’ dalam khutbahnya pada hari raya korban, “Ingatlah, sesungguhnya semulia-mulia hari ialah hari kamu ini(arafah). Ingatlah, sesungguhnya semulia-mulia bulan ialah bulan kamu ini ( Zulhijjah). Ingatlah, sesungguhnya semulia-mulia tempat ialah tempat kamu ini( Makkah).”

Riwayat Ibnu Majah (3931)

Muhammad Amin al-Hariri menyatakan bahawa : sesungguhnya hari yang paling dihormati di sisi Allah ialah hari Arafah dan  bulan yang paling suci di sisi Allah adalah bulan Zulhijjah. Kemudian, Tempat yang paling suci di sisi Allah adalah Mekah.(Lihat Syarh Sunan Ibn Majah,23/276)

Hadith ini turut diriwayatkan daripada Jabir, Wabisah Bin Ma’bad, Nubait Bin Syarit, dan para sahabat selain mereka, daripada Nabi SAW. Kesemuanya memberi petunjuk bahawa bulan Zulhijjah adalah sebaik-baik bulan haram iaitu bulan yang paling tinggi kehormatannya. Ada suatu riwayat daripada al-Hasan menyatakan bahawa sebaik-baik bulan haram ialah al-Muharram, dan kami akan menyebutkan tentangnya dalam perbahasan bulan al-Muharram, insyaallah.

Pandangan yang mengatakan, “Sebaik-baik bulan haram ialah Rejab,” adalah tertolak.

Terdapat kelebihan lain bagi 10 hari bulan Zulhijjah selain yang telah disebutkan. Antara kelebihannya ialah:

  1. Allah Taala bersumpah dengan bulan ini secara umum dan sebahagian daripadanya secara khusus. Firman Allah Taala,

وَالْفَجْرِ ﴿١﴾ وَلَيَالٍ عَشْرٍ 

Maksudnya: ”Demi waktu fajar, dan 10 malam (serta) hari dalam bulan Zulhijjah).”

(Surah al-Fajr : 1-2)

Berkenaan maksud fajar, ada ulama mengatakan ia adalah seluruh waktu fajar, waktu terbit fajar, solat subuh, atau seluruh waktu siang; yang semua ini adalah khilaf dalam kalangan mufassirin. Selain itu, ada juga pandangan yang memilih maksudnya ialah: waktu fajar tertentu, fajar yang terbit pada hari pertama dari 10 hari terawal Zulhijjah, atau fajar pada hari terakhirnya, iaitu hari raya korban. Berdasarkan semua pandangan ini, tempoh 10 hari tersebut merangkumi waktu fajar yang telah disumpah oleh Allah.

Sementara itu, maksud 10 malam ialah 10 hari terawal Zulhijjah. Inilah pandangan yang sahih yang dipegang oleh jumhur mufassirin dari kalangan salaf dan selainnya. Ia juga adalah pandangan yang sahih daripada Ibnu Abbas, serta diriwayatkan daripadanya melalui banyak jalan. Manakala suatu riwayat daripadanya yang menyebutkan, ”Ia adalah 10 hari dalam bulan Ramadhan,” sanadnya lemah.

Pandangan tadi disandarkan kepada sebuah hadith marfu’ yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan al-Nasa’i dalam al-Tafsir, daripada Zaid bin al-Hubab, Khair bin Nu’aim menceritakan kepada kami , daripada Nabi SAW, bahawa Baginda bersabda,

إِنَّ الْعَشْرَ عَشْرُ الْأَضْحَى وَالْوَتْرَ يَوْمُ عَرَفَةَ وَالشَّفْعَ يَوْمُ النَّحْرِ

Maksudnya:Maksud sepuluh ialah 10 hari dalam bulan korban (Zulhijjah), yang ganjil ialah hari Arafah, dan yang genap ialah hari raya korban.”

Riwayat Ahmad (14511) dan al-Nasa’ie (11672) di dalam al-Sunan al-Kubra. Sanad hadith ini Hasan.

Maksud kalimah ”genap” dan ”ganjil” tersebut juga ditafsirkan oleh Ibnu Abbas menerusi riwayat daripada Ikrimah dan lain-lain, dan Ikrimah, al-Dhahhak, serta ramai ulama lagi turut mentafsirkan maksud yang sama. Terdapat banyak pandangan yang disebutkan pada maksud kalimah ”genap” dan ”ganjil” kebanyakannya tidak terkeluar daripada menyatakan bahawa 10 hari terawal Zulhijjah atau sebahagiannya sudah merangkumi maksud ”genap” dan ”ganjil”, atau salah satunya. Contohnya:

A: Baginda bersabda: ”Ia adalah solat, sebahagiannya genap dan sebahagian yang lain ganjil.”

hadith ini telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan al-Tirmizi, daripada ‘Imran bin Husain, daripada Nabi SAW.

B: Pandangan yang menyebutkan, ”Ia adalah makhluk, sebahagiannya genap dan sebahagian yang lain ganjil.” Hari yang 10 ini termasuk dalam kategori makhluk.

C: Pandangan yang menyebutkan, ”Genap itu seluruh makhluk, manakala ganjil pula ialah Allah.” Maka, 10 hari tersebut termasuk dalam kalangan makhluk.

 

  1. 10 hari ini adalah termasuk daripada tempoh 40 hari yang dijanjikan oleh Allah S.W.T kepada Nabi Musa alaihissalam. Firman Allah Taala,

وَوَاعَدْنَا مُوسَىٰ ثَلَاثِينَ لَيْلَةً وَأَتْمَمْنَاهَا بِعَشْرٍ فَتَمَّ مِيقَاتُ رَبِّهِ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً ۚ وَقَالَ مُوسَىٰ لِأَخِيهِ هَارُونَ اخْلُفْنِي فِي قَوْمِي وَأَصْلِحْ وَلَا تَتَّبِعْ سَبِيلَ الْمُفْسِدِينَ

Maksudnya: ”Kami telah menjanjikan tempoh kepada Musa (untuk diberikan kitab Taurat) selama 30 malam, dan Kami sempurnakan jumlahnya dengan 10 lagi, lalu cukuplah waktu yang ditentukan oleh Tuhannya selama 40 malam. Musa berkata kepada saudaranya, Harun (semasa hendak keluar dalam tempoh 40 hari ini), ‘Gantikanlah aku dalam urusan memimpin kaumku, perbaikilah (keadaan mereka sepeninggalanku), dan janganlah turuti jalan golongan yang melakukan kerosakan.”’

(Surah al-A’raf: 142)

Syeikh al-Sa’di berkata: “Apabila Allah SWT menyempurnakan nikmat-Nya kepada mereka dengan menyelamatkan mereka dari musuh mereka, dan memberikan mereka kekuasaan di atas bumi, Allah yang Maha Suci dan Maha Tinggi berkehendak untuk menyempurnakan nikmat-Nya kepada mereka dengan menurunkan Kitab yang berisi hukum-hukum syariat dan keyakinan-kepercayaan yang benar. Allah menetapkan Nabi Musa A.S untuk menantikan selama tiga puluh malam, dan kemudian ditambah sepuluh malam sehingga menjadi empat puluh malam, agar baginda bersiap-siap dan mempersiapkan diri untuk janji Allah. Penurunan Kitab ini menjadi perkara yang besar bagi mereka dan mereka merindukan penurunannya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 302)

Tetapi, adakah 10 hari dalam bulan Zulhijjah itu adalah penutup bagi 40 malam tersebut, dan jadilah ia sebagai tempoh yang menyempurnakan 30 malam sebelumnya; atau adakah ia 10 hari pertama daripada 40 malam, lalu ia termasuk daripada 30 malam yang disempurnakan dengan 10 malam lagi? Dalam hal ini terdapat perbezaan pendapat antara mufassirin.

Abdurrazaq meriwayatkan daripada Ma’mar, daripada Yazid bin Abu Ziyad, daripada Mujahid, katanya,” Tidak ada amalan pada seluruh hari dalam setahun yang afdal daripada 10 hari terawal Zulhijjah. Ia adalah 10 hari yang disempurnakan oleh Allah kepada Nabi Musa Alaihissalam.

  1. Ia adalah penutup bagi bulan-bulan yang dimaklumi, iaitu bulan-bulan Haji yang disebutkan oleh Allah.

الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَّعْلُومَاتٌ ۚ

Maksudnya: ”Haji itu ialah beberapa bulan yang dimaklumi.”

(Surah al-Baqarah : 197)

Al-Tabari berkata: Pendapat yang paling tepat menurut kami adalah yang menyatakan bahawa waktu haji adalah dua bulan dan sepuluh hari daripada bulan ketiga, kerana ini merupakan perkhabaran daripada Allah tentang waktu-waktu haji, dan tidak ada lagi pekerjaan haji yang dilakukan setelah hari-hari Mina. Maka diketahuilah bahawa yang dimaksudkan bukanlah seluruh hari daripada bulan ketiga. Dan jika demikian, maka benarlah pendapat yang menyatakan bahawa maksudnya adalah sepuluh hari awal bulan Zulhijjah. (Lihat Jami’ al-Bayan, 3/356)

Bulan-bulan tersebut (أَشْهُرٌ) ialah Syawal, Zulkaedah, dan 10 hari terawal Zulhijjah. Perkara ini diriwayatkan daripada Umar, anaknya Abdullah, Ali, Ibnu Mas’ud, Ibnu Abbas, Ibnu al-Zubair, dan lain-lain. Ia juga adalah pandangan kebanyakan tabiin, mazhab Syafi’i, Ahmad, Abu Hanifah, Abu Yusuf, Abu Thaur, dan selain mereka. Tetapi, al-Syafi’i dan sekumpulan ulama mengecualikan hari raya korban, namun majoriti ulama memasukkannya ke dalam bulan-bulan haji kerana ia adalah hari Haji Akbar dan banyak amalan dalam ibadah haji dilakukan pada hari itu.

Terdapat juga sekumpulan ulama berkata, “Seluruh hari dalam Zulhijjah termasuk dalam bulan-bulan haji.” Ini adalah pandangan Malik dan al-Syafi’i menurut mazhab qadimnya. Hal ini turut diriwayatkan daripada Ibnu Umar dan sekumpulan salaf. Sandarannya ialah sebuah hadith marfu’ yang diriwayatkan oleh al-Tabarani, namun tidak sahih. Perbahasan mengenai isu ini begitu panjang, dan di sini bukanlah tempatnya.

  1. Ia adalah hari-hari yang dimaklumi yang disebutkan Allah sebagai tempoh pengurniaan rezeki berupa binatang ternakan.

Firman Allah Taala:

وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ ﴿٢٧﴾ لِّيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّـهِ فِي أَيَّامٍ مَّعْلُومَاتٍ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ ۖ فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ 

Maksudnya: ”Serulah manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki dan menunggang unta yang kurus yang datang dari pelbagai jalan yang jauh. Hal tersebut agar mereka menyaksikan berbagai-bagai manfaat buat mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah pada hari-hari yang dimaklumi atas kurniaan-Nya kepada mereka berupa binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban).”

(Surah al-Hajj:  27-28)

Ibn Abbas menafsirkan lafaz “لِيَشْهَدُوا مَنافِعَ لَهُمْ” (supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka) iaitu faedah di dunia dan akhirat. Adapun manfaat atau faedah akhirat adalah keredhaan Allah SWT, manakala manfaat dunia pula ialah apa yang mereka peroleh daripada manfaat badan, korban dan perniagaan. Seterusnya, ayyam ma‘lumat (أَيَّام مَّعْلُومَاتٍ) ialah hari-hari sepuluh (Zulhijjah). (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 5/364).

Selain daripada itu, al-Mawardi menukilkan pendapat Imam al-Syafi‘i dan menjelaskan lagi mengenainya bahawa ayyam ma‘lumat (أَيَّام مَّعْلُومَاتٍ) ialah sepuluh hari Zulhijjah dan hari yang terakhir daripadanya ialah hari al-Nahr. Manakala ayyam ma‘dudat (أَيَّام مَّعْدُودَات) ialah tiga hari selepas hari al-Nahr iaitu merujuk kepada hari-hari tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Dalilnya adalah kerana Allah SWT menyebut kedua-duanya dengan dua nama yang berbeza, maka ini menunjukkan bahawa kedua-dua nama itu merujuk kepada hari yang berbeza. Sekiranya kedua-duanya adalah berbeza, maka tidak boleh untuk dihimpunkan atau disekalikan bersama. Jika kedua-duanya adalah berbeza dan tidak boleh disekalikan, maka benarlah pendapat kami kerana kedua-duanya adalah terasing dan tidak sama. Maka ayyam ma‘lumat (أَيَّام مَّعْلُومَاتٍ) ialah sepuluh hari Zulhijjah dan ayyam ma‘dudat (أَيَّام مَّعْدُودَات) ialah hari-hari tasyriq. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 4/366-367).

Jumhur ulama berpendapat bahawa hari-hari yang dimaklumi itu ialah 10 hari terawal Zulhijjah. Antaranya ialah Ibn Umar, Ibnu Abbas, al-Hasan, ‘Atha’, Mujahid, Ikrimah, Qatadah, al-Nakha’i, serta pandangan Abu Hanifah, al-Syafi;i, dan Ahmad pada satu riwayatnya yang masyhur.

Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asyari bahawa hari-hari yang dimaklumi itu ialah 9 Zulhijjah, tidak termasuk hari raya korban. Beliau berkata,”Doa pada hari tersebut tidak akan ditolak.” hadith ini diriwayatkan oleh Ja’far al-Firyabi dan lain-lain.

Sekumpulan ulama berkata, ”Hari-hari itu ialah hari sembelihan binatang korban,” dan perkara ini diriwayatkan daripada sekumpulan salaf, yang merupakan pandangan Malik dan Abu Yusuf. Mereka menjadikan zikir kepada Allah pada hari-hari ini disebut ketika menyembelih binatang korban. Ibnu Umar R.anhuma turut berpandangan sedemikian. Al-Maruzzi menukilkan daripada Ahmad bahawa beliau mengatakan pandangan ini adalah lebih baik. Namun, pandangan pertama lebih kuat.

Mengingati dan menyebut nama Allah di sisi binatang ternak tidak hanya dikhususkan ketika menyembelihnya, sepertimana firman Allah Taala:

كذَٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّـهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ ۗ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ 

Maksudnya: “Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan   Allah atas nikmat petunjuk-Nya kepada kamu.”

(Surah al-Hajj : 37) 

Al-Sa‘di menyatakan bahawa: “Agungkanlah dan tinggikanlah (Allah) kerana Dia telah memberi petunjuk kepadamu. Sesungguhnya Dia berhak mendapat pujian, sanjungan, dan pengagungan yang tertinggi. Sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang berbuat baik, bahawa mereka menyembah Allah seolah-olah mereka melihat-Nya. Jika mereka belum mencapai tahap ini, maka mereka hendaklah menyembah-Nya dengan keyakinan bahawa Allah SWT melihat perbuatan mereka. Orang-orang yang berbuat baik kepada hamba-hamba Allah dengan segala bentuk kebaikan  seperti memberi manfaat dalam bentuk harta, ilmu, kedudukan, nasihat, menyuruh kepada kebaikan, mencegah dari melakukan kejahatan, kata-kata yang baik dan seumpamanya, merekalah yang akan mendapat khabar gembira dari Allah SWT dengan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Allah akan membalas mereka sebagaimana mereka berbuat baik dalam ibadah kepada-Nya dan kepada hamba-hamba-Nya.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman,538-539)

Firman Allah Taala lagi,

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكًا لِّيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّـهِ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ

Maksudnya: “Bagi setiap umat Kami syariatkan ibadah (sembelihan binatang korban) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai tanda bersyukur akan kurniaan rezeki binatang ternak kepada mereka.”

(Surah al-Hajj:34)

Imam al-Qurtubi menyebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan (مَنْسَكٌ) di dalam ayat ialah penyembelihan dan penumpahan darah (binatang), seperti mana yang diriwayatkan daripada Mujahid. Kalimah nasikah (نَسِيكَةٌ) dan zabihah (ذَبِيحَةٌ) keduanya membawa maksud yang sama, iaitu sembelihan. Dan jamak bagi  nasikah (نَسِيكَةٌ) adalah nusuk (نُسُكٌ), seperti yang disebutkan dalam firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 196: (أَوْ صَدَقَةً أَوْ نُسُكٍ). (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 12/58)

Setelah itu, Allah Taala berfirman pula,

 فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ ﴿٢٨﴾ ثُمَّ لْيَقْضُوا تَفَثَهُمْ وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ 

Maksudnya: “Maka, makanlah binatang korban itu (dagingnya) dan berilah makan kepada orang yang susah lagi fakir. Kemudian, mereka hendaklah membuang kotoran (pada tubuh badan) dan menyempurnakan nazar (korban) di Rumah yang Lama (Kaabah, kerana ia mula-mula sekali dibangunkan manusia).”

(Surah al-Hajj: 28-29)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Maka sebutlah nama Allah SWT atas sembelihan-sembelihan tersebut, makanlah sebahagian darinya, dan gunakan sebahagian yang lain untuk memberi makan kepada kepada orang yang mengalami kesusahan dan kefakiran. Perintah untuk ikut memakan daging haiwan sembelihan itu kerana masyarakat jahiliyyah menghindarkan daripada memakan haiwan korban mereka. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 9/186)

Allah menjadikan amalan zikir ini dilaksanakan selepas mengingati-Nya pada hari-hari yang dimaklumi dan menghilangkan kekusutan, debu kotoran dan keletihan setelah menunaikan haji. Tawaf di Baitullah dilakukan pada hari raya korban dan selepasnya, bukan sebelum itu. Sesungguhnya Allah menjadikan amalan zikir tersebut menyusul selepas mengingati-Nya pada hari-hari yang dimaklumi dengan meletakkan lafaz tsumma (ثُمَّ). Justeru, ia menunjukkan bahawa maksud hari-hari yang dimaklumi itu ialah tempoh sebelum hari raya korban, iaitu 10 hari terawal Zulhijjah.

Mengenai firman Allah Taala:

وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّـهِ فِي أَيَّامٍ مَّعْلُومَاتٍ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ ۖ

(Surah al-Hajj : 28)

Sebahagian ulama berkata, ”Maksudnya ialah menyebut nama Allah ketika menyembelih binatang ternak, dan penyebutan ini berlaku pada hari raya korban kerana ia hari adalah hari terbaik untuk sembelihan korban.”

Pandangan yang paling sahih ialah Allah mengkehendaki agar nama-Nya disebut sebagai tanda syukur di atas nikmat-Nya  apabila menundukkan binatang ternak untuk para hamba-Nya.

Hal ini demikian kerana terdapat banyak nikmat  daripada Allah Taala ke atas para hamba-Nya pada binatang ternak, yang sebahagiannya disebutkan di beberapa tempat dalam al-Quran. Orang yang menunaikan haji mendapat keistimewaan tersebut berbanding orang lain kerana mereka menunggangnya menuju ke Tanah Haram bagi menunaikan ibadah Haji, seperti yang yang difirmankan oleh Allah Taala.

عَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ 

Maksudnya: “Dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.”

(Surah al-Hajj :  27)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Allah SWT berfirman kepadanya (Ibrahim): Serulah manusia agar menunaikan ibadah haji dan ziarahi rumah yang kamu diperintahkan untuk membinanya. Nescaya mereka datang kepadamu dengan berjalan kaki ataupun berkenderaan unta walaupun menempuh perjalanan yang jauh.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 17/107)

Firman Allah SWT lagi:

وَتَحْمِلُ أَثْقَالَكُمْ إِلَىٰ بَلَدٍ لَّمْ تَكُونُوا بَالِغِيهِ إِلَّا بِشِقِّ الْأَنفُسِ

Maksudnya: “Dan binatang-binatang itu pula membawa barang-barang kamu ke mana-mana negeri yang kamu tidak dapat sampai kepadanya melainkan dengan menanggung susah payah.”

(Surah al-Nahl: 7)

Ibn Kathir berkata: Binatang-binatang ternakan itu membawa barang bawaan kamu semua yang berat, yang tidak mampu kamu semua pindahkan dan bawa. Ia juga membawa kamu semua dan barang-barang kamu ke negeri yang belum pernah kamu pergi kecuali dengan susah payah. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 4/195)

Mereka juga dapat makan dagingnya, meminum susunya dan memanfaatkan pelbagai jenis bulunya.

Keistimewaan 10 hari bulan Zulhijjah dikhususkan bagi orang yang menunaikan haji apabila hari-hari tersebut adalah tempoh mereka membawa binatang korban yang melengkapkan kelebihan ibadah haji dan memakan dagingnya di hari terakhir daripada 10 hari itu, iaitu hari raya korban. Sebaik-baik cara membawa binatang korban adalah bermula dari miqat, lalu ditandakan sebagai korban ketika ihram dengan disertai laungan talbiah yang termasuk daripada mengingati Allah pada hari-hari yang dimaklumi.

Dinyatakan dalam sebuah hadith :

أفضلُ الحجِّ العجُّ والثَّجُّ

Maksudnya: “Sebaik-baik haji ialah menguatkan suara ketika bertalbiah dan menyembelih binatang korban.”

Riwayat al-Tirmizi (827) & Ibnu Majah (975)

Al-Munawi berkata: “Antara amalan terbaik dalam haji ialah meninggikan suara dalam bertalbiah dan menuangkan darah binatang korban.” (Lihat Faidh al-Qadir, 2/31)

Dinyatakan dalam hadith yang lain,

 عُجُّوا التّكْبِيرَ عجًا، وَثُجُّوا الإِبلَ ثجًا

Maksudnya : “Angkatlah setinggi-tinggi suara ketika bertakbir, dan tumpahkanlah darah binatang korban sebanyak-banyaknya.”

Riwayat al-Tirmizi (827) & Ibnu Majah (975)

Ibn Rajab al-Hanbali berkata: “Oleh itu, mengingati Allah sebanyak-banyaknya pada 10 hari awal Zulhijjah adalah tanda syukur di atas segala nikmat yang berkaitan dengan binatang ternak, yang sebahagiannya bersangkut paut dengan ibadah orang yang menunaikan haji, dan sebahagian yang lain dengan urusan dunia mereka.” (Lihat Rawai’ al-Tafsir, 2/566)

Amalan yang terbaik ialah amalan yang disertai dengan banyak mengingati Allah SWT , antaranya ialah ibadah haji secara khusus. Sesungguhnya Allah SWT menyuruh agar banyak mengingatinya pada hari-hari mengerjakan ibadah haji. Allah SWT berfirman:

فَإِذَا أَفَضْتُم مِّنْ عَرَفَاتٍ فَاذْكُرُوا اللَّـهَ عِندَ الْمَشْعَرِ الْحَرَامِ ۖ وَاذْكُرُوهُ كَمَا هَدَاكُمْ وَإِن كُنتُم مِّن قَبْلِهِ لَمِنَ الضَّالِّينَ ﴿١٩٨﴾ ثُمَّ أَفِيضُوا مِنْ حَيْثُ أَفَاضَ النَّاسُ وَاسْتَغْفِرُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ 

Maksudnya: “Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa,”talbiah” dan tasbih) di tempat Masy’ar Al-Haraam (di Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutnya sebagaimana Ia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang salah jalan ibadatnya. Selain dari itu hendaklah kamu bertolak turun dari (Arafah) tempat bertolaknya orang ramai, dan beristighfarlah kamu kepada Allah (dengan memohon ampun), sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Baqarah : 198-199)

Al-Sa’di menyatakan bahawa : “Pertama: Berwuquf di Arafah. Diketahui bahwa itu adalah salah satu dari rukun haji. Maka, tidak boleh meninggalkan ‘Arafah kecuali telah melakukan wuquf. Kedua: Suruhan untuk berzikir kepada Allah di Muzdalifah iaitu pada malam hari dan tidur di sana. Setelah solat Subuh, berdiri di Muzdalifah sambil berdoa hingga terbitnya fajar dan berzikir kepada Allah SWT di sana dengan melaksanakan fardhu dan sunnah haji. Ketiga: Wuquf di Muzdalifah terjadi setelah wuquf di Arafah. Keempat dan kelima: Baik Arafah mahupun Muzdalifah, keduanya adalah daripada “Masyar al-Haram” iaitu tempat yang wajib berwuquf. Keenam: Muzdalifah berada di dalam Haram, seperti yang dijelaskan dengan kata “al-Haram”. Ketujuh: Arafah berada di luar Haram. Ingatlah kepada Allah SWT sebagaimana Dia telah memberikan petunjuk kepadamu setelah kesesatan, dan Dia telah mengajarkan kepadamu apa yang sebelumnya tidak kamu ketahui. Ini adalah salah satu dari nikmat terbesar yang harus disyukuri dan dibalas dengan mengingati-Nya dalam hati dan lisan (ucapan).” 

Kemudian bertolaklah  dari Muzdalifah seperti yang dilakukan oleh umat sejak zaman Nabi Ibrahim A.s sehingga sekarang. Tujuan dari keberangkatan ini ialah untuk melontar jamrah, menyembelih haiwan korban, melakukan tawaf, sa’i, dan bermalam di Mina pada malam-malam Tasyriq serta melengkapi sisa-sisa ibadah haji. Setelah selesai, Allah SWT memerintahkan untuk beristighfar yang merupakan permohonan ampun atas kekurangan yang terjadi pada hamba dalam melakukan ibadah dan ketidaksempurnaan di dalamnya. Adapun  berzikir kepada Allah adalah ungkapan syukur atas nikmat-Nya dengan memberikan taufik kepada hambaNYA untuk melaksanakan ibadah agung ini dan memberikan nikmat yang besar. Begitulah seharusnya setiap hamba, setiap kali selesai melakukan ibadah, perlu memohon ampunan kepada Allah atas kekurangannya dan mengucapkan syukur atas taufik-Nya. (Lihat Taisir al-Karim al Rahman,hlm.92)

Banyak mengingati Allah ini dilakukan pada 10 Zulhijjah. Kemudian Allah berfirman lagi:

فَإِذَا قَضَيْتُم مَّنَاسِكَكُمْ فَاذْكُرُوا اللَّـهَ كَذِكْرِكُمْ آبَاءَكُمْ أَوْ أَشَدَّ ذِكْرًا ۗ فَمِنَ النَّاسِ مَن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ خَلَاقٍ

Maksudnya : “Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkanNya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia”. (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat.”

(Surah al-Baqarah : 200)

Begitu juga amalan ini dilakukan pada hari raya korban, iaitu hari penutup kepada 10 hari terawal Zulhijjah. Kemudian Allah memerintahkan untuk mengingatinya dalam hari-hari tertentu selepas 10 hari itu, iaitu hari-hari tasyrik.

Diriwayatkan dalam kitab al-Sunan daripada Nabi  SAW, baginda bersabda :

إِنَّمَا جُعِلَ الطَّوَافُ بِالْبَيْتِ وَبِالصَّفَا وَالمَرْوَةِ وَرَمْيُ الْجِمَارِ لِإِقَامَةِ ذِكْرِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya: “Sesungguhnya tawaf yang dilaksanakan di Baitullah, sa’ie di antara bukit Safa dan Marwah, dan melontar jamrah disyariatkan hanyalah untuk mengingati Allah SWT.”

Riwayat al-Tirmizi  (902) & Abu Daud (1888)

Diriwayatkan dalam Musnad Imam Ahmad, daripada Mu’az bin Anas al-Juhani R.A, katanya:

أَنَّ رَجُلًا سَأَلَهُ فَقَالَ : أَيُّ الْمُجَاهِدِينَ أَعْظَمُ أَجْرًا يَا رَسُولَ اللَّه ؟ قَالَ : أَكْثَرُهُمْ لِلَّهِ تَعَالَى ذِكْرًا ، قَالَ فَأَيُّ الصَّائِمِينَ أَعْظَمُ أَجْرًا ؟ قَالَ : أَكْثَرُهُمْ لِلَّهِ ذِكْرًا ، ثُمَّ ذَكَرَ لَهُ الصَّلَاةَ وَالزَّكَاةَ وَالْحَجَّ وَالصَّدَقَةَ كُلُّ ذَلِكَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ : أَكْثَرُهُمْ لِلَّهِ ذِكْرًا ، فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ لِعُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ : ذَهَبَ الذَّاكِرُونَ بِكُلِّ خَيْرٍ ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أَجَلْ

Maksudnya: Seseorang bertanya kepada Baginda SAW: “Orang berjihad mana yang paling besar pahalanya wahai Rasulullah? Baginda menjawab: “Yang paling banyak zikirnya.” Dia bertanya lagi: “Orang berpuasa mana yang paling banyak pahalanya?” Baginda SAW menjawab: “Yang paling banyak zikirnya.” Kemudian orang tersebut menyebut tentang solat, zakat, haji dan sedekah kepada Baginda dan Baginda SAW menjawab semuanya dengan sabdanya: “Yang paling banyak zikirnya. Maka Abu Bakar R.A berkata kepada Umar R.A : “Orang-orang yang selalu mengingati Allah membawa semua kebaikan.” Lalu Rasulullah SAW menjawab: “Ya.”

Riwayat Ahmad (3/438) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (407)

Ibn al-Qayyim berkata: Sesungguhnya pelaku amalan apa sahaja, yang paling utama adalah yang paling banyak zikir (mengingat) kepada Allah SWT. Orang berpuasa yang paling utama adalah yang paling banyak mengingati Allah SWT dalam puasa mereka. Orang bersedekah yang paling utama adalah yang paling banyak mengingati Allah SWT. Orang melakukan haji yang paling utama adalah yang paling banyak mengingati Allah SWT dan demikianlah seluruh amalan soleh. (Lihat al-Wabil al-Soyyib, hlm 152)

Hadith ini telah diriwayatkan oleh Ibn al-Mubarak dan Ibn Abi al-Dunya melalui jalan-jalan periwayatan yang lain secara mursal. Dalam satu riwayatnya berbunyi,

فَأَيُّ الْحجَّاجِ خَيْرٌ؟ قَالَ: أَكْثَرُهُمْ ذِكْرًا لِلَّهِ

Maksudnya: ” Siapakah orang yang mengerjakan haji yang paling besar pahalanya?” Baginda bersabda, ”Orang yang paling banyak mengingati Allah dalam kalangan mereka.”

Riwayat al-Baihaqi (558) di dalam Syu’ab al-Iman

Kemudian, Baginda menyebutkan amalan-amalan lain, seperti maksud hadith sebelum ini. Kesemua keadaan ini adalah merujuk kepada orang yang mengerjakan haji.

Bagi masyarakat di negara lain, mereka menyertai orang yang mengerjakan haji pada 10 Zulhijjah dengan berzikir dan mempersiapkan binatang korban tarikh 10 Zulhijjah ialah hari untuk mengerjakan sembelihan sebagaimana orang yang menunaikan haji menunggang binatang korban. Mereka juga menyertai jemaah haji dalam kebahagian ibadah ihram. Sesiapa yang memasuki 10 hari terawal Zulhijjah dan hendak melakukan ibadah korban, maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya, seperti yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah daripada SAW dalam hadith yang diriwayatkan oleh Muslim. Amalan ini dipegang oleh al-Syafi’i, Ahmad, dan kebanyakan fuqaha hadith.

Ada juga kalangan mereka yang mensyaratkan supaya binatang korbannya hendaklah dibeli sebelum 10 Zulhijjah, namun kebanyakannya tidak mensyarakatkan sedemikian. Akan tetapi, Malik, Abu Hanifah, dan ramai fuqaha berbeza pendapat dalam hal ini. Mereka berkata, ”Perbuatan itu tidak makruh untuk dilakukan.” Mereka berdalilkan hadith riwayat Aisyah, katanya.

كُنْتُ أَفْتِلُ قَلَائِدَ هَدْيِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ غَنَمًا ثُمَّ لَا يَحْرُمُ مِنْهُ شَيْءٌ

Maksudnya: “Aku pernah mengikat tali pada tali leher binatang kerban kepuyaan Rasulullah SAW. Baginda tidak pernah mengharamkan sesuatu amalan yang telah dihalalkan oleh Allah kepada Baginda.”

Riwayat Muslim (1321) & Imam Ahmad (6/35)

Ramai ulama yang berpegang dengan pandangan pertama menjawab: “Kedua-dua hadith tersebut perlu digabung. Maka,hadith Ummu Salamah diamalkan oleh orang yang ingin melakukan korban di negaranya sendiri. Manakala hadith Aisyah diamalkan oleh orang yang mengirimkan binatang korbannya bersama orang lain, Sedangkan dia berada dalam negaranya.

Apabila Ibnu Umar melakukan sembelihan pada hari raya korban, beliau mencukur kepalanya, dan hal ini disebutkan oleh Ahmad.

Ulama berbeza pendapat tentang amalan orang yang tidak mengerjakan haji menyerupai amalan jemaah haji pada malam hari Arafah. Imam Ahmad tidak pernah melakukannya dan tidak mengingkari orang yang melakukannya kerana perbuatan ini pernah diriwayatkan daripada amalan Ibnu Abbas dan para sahabat yang lain. Berkenaan penglibatan orang tersebut dengan mereka dalam amalan zikir pada hari-hari yang dimaklumi, hal tersebut disyariatkan kepada semua manusia untuk banyak mengingati Allah, terutamanya dalam tempoh 10 hari terawal Zuhijjah. Sebelum ini, hadith marfu’ riwayat Ibnu Umar menyatakan :

فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنْ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ

Maksudnya: “Banyakkanlah tahlil, takbir dan tahmid sepanjang tempoh tersebut.”

Riwayat Imam Ahmad (6154) dan al-Baihaqi (3481) di dalam Syu‘ab al-Iman.

Hadith ini menunjukkan bahawa disunatkan untuk memperbanyakkan zikir pada 10 awal Zulhijjah dengan zikir ‘ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ’ Bahkan digabungkan semua zikir tersebut dan ditambah lafaz yang telah warid  iaitu ‘ سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ’ (Lihat Fath al-Rabbani, 6/168)

Ulama berselisih pendapat pula tentang: Adakah disyariatkan untuk bertakbir dan melaungkannya dengan kuat di kawasan perniagaan pada 10 hari terawal Zulhijjah? Sekumpulan mereka mengingkarinya, manakala Ahmad  dan al-Syafi’i berpendapat ia adalah sunat. Tetapi, al-Syafi’i mengkhususkannya ketika melihat binatang ternak dan Ahmad berpandangan ia adalah sunat secara mutlak.

Al-Bukhari meriwayatkan dalam sahihnya daripada Ibnu Umar dan Abu Hurairah bahawa mereka berdua keluar menuju ke pasar pada 10 hari terawal Zulhijjah. Kemudian mereka bertakbir, dan orang ramai turut bertakbir bersama mereka. ‘Affan meriwayatkan tentang kejadian ini,katanya,”Salam Abu al-Munzir menceritakan kepada kami, daripada Humaid al-A’raj, daripada Mujahid, beliau berkata, ‘Abu Hurairah dan Ibnu Umar datang ke pasar pada 10 hari terawal bulan Zuhijjah, kemudian meraka bertakbir dan orang ramai turut bertakbir bersama mereka. Mereka berdua tidak datang melainkan datang melainkan datang melainkan  untuk untuk untuk bertakbir.” Ja’far al-Firyabi meriwayatkan dalam Kitab al-Idain, beliau berkata, ”Ishak bin Rahawaih menceritakan kepada kami,’Jarir mengkhabarkan kepada kami, daripada Yazid bin Abu Ziyad, katanya,’Aku melihat Sa’id bin Jabair, Mujahid, dan Abdul Rahman bin Abu Laila atau dua orang daripada mereka, serta beberapa orang fuqaha, yang mengucapkan pada 10 hari tersebut:

‘Allah Maha Besar, Allah Maha Besar,Allah Maha Besar. Tiada tuhan melainkan Allah , dan Allah Maha Besar. Allah Maha Besar, dan bagi Allah segala pujian.”

Tatkala Allah SWT mencampakkan perasaan rindu untuk melihat Baitullah al-Haram ke dalam jiwa mukminin namun tidak semua orang mampu melihatnya pada setiap tahun, maka Allah memfardhukan haji sekali seumur hidup ke atas orang yang mampu mengerjakannya. Allah juga menjadikan 10 hari terawal Zulhijjah sebagai tempoh yang dapat dikongsi bagi orang yang mengerjakan haji dan mereka yang tidak mengerjakannya. Sesiapa yang tidak mampu mengerjakan haji dalam haji dalam suatu tahun, dia boleh melakukan amal soleh di tempat tinggalnya sepanjang 10 hari tersebut. Keadaaan ini lebih utama daripada jihad yang pada asalnya merupakan amalan yang lebih utama daripada haji.

Kata Penyair:

Malam – malam sepuluh adalah waktu-waktu mustajab,

  Maka segeralah beramal dengan penuh keinginan, nescaya kamu akan mendapat ganjaranya.

Ingatlah tiada masa lagi untuk mereka beramal, di dalamnya

  terdapat ganjaran kebaikan yang lebih hampir untuk dicapai

pada 10 malam dalam bulan Zuhijjah secara pasti.

  Maka, bersungguh sungguhlah dan kembalilah kepada Allah.

 

Berhati-hatilah dengan maksiat kerana ia dapat menghalang keampunan pada musim-musim yang sarat dengan rahmat. Al-Marruzi meriwayatkan dalam Kitab al-Wara’ dengan sanadnya daripada Abdul Malik bin Umair, daripada seorang lelaki, sama ada daripada kalangan sahabat atau tabiin bahawa seseorang telah datang dalam mimpinya pada suatu malam dalam 10 hari terawal Zulhijjah, lalu berkata, ”Tidak ada seorang Muslim melainkan akan diampuni dosa-dosanya dalam hari-hari ini, setiap hari sebanyak lima kali melainkan para pemain asy-syah ( الشاه) yang berkata,’ Raja telah mati.’ Apa kaitan kematiannya?! Beliau memaksudkan para pemain catur.

Sekiranya bermain catur itu sudah menghalang daripada mendapat keampunan, maka apatah lagi dengan dosa besar yang disepakati oleh ulama yanag dilakukan secara berterusan.

Ketaatan kepada Allah adalah sebaik-baik kelaziman bagi seorang hamba,

Kata penyair:

     Maka jadilah hamba yang taat dan janganlah menderhakai-Nya.

Jiwa tidak akan binasa melainkan dengan maksiat,

Jauhilah segala perbuatan yang dilarang-Nya dan janganlah mendekatinya.

Sesungguhnya suatu perkara yang membawa kepada kebinasaan dirimu,

  hendaklah engkau memelihara dirimu daripadanya.

Maksiat adalah sebab kepada penjauhan dan tidak diendahkan, manakala ketaatan adalah sebab kepada mendekatkan diri kepada Allah dan kasih sayang-Nya.

Adakah terdapat mana-mana pemuda yang dapat menjamin dirinya untuk meninggalkan maksiat,

  maka, aku gadaikan kepadanya jaminan keselamatan.

Suatu kaum mentaati Allah, lalu mereka hidup dalam keadaan tenang,

  dan mereka tidak akan menelan kepahitan maksiat.

Dalam tempoh ini, sesungguhnya saudara kamu sudah pun mengenakan kain ihram pada tubuh mereka dan pergi ke Baitullah al-Haram, serta memenuhi setiap ruang angkasa dengan laungan talbiah, takbir, tahlil, tahmid dan mengagungkan Penciptanya. Mereka berjalan pergi, namun kita masih duduk. Mereka semakin hampir, namun kita tetap jauh. Sekiranya kita memiliki bahagian bersama mereka, pasti kita akan bahagia.

Adakah kamu menyendiri ketika melalui kawasan bukit pasir dan jalan berliku di gunung,

  untuk menyebut tentang kami, wahai kafilah yang merentasi Sal’a (nama sebuah bukit di Madinah)?

Kami terputus hubungan, sedangkan kalian dapat sampai.Justeru, mengertilah,

dan bersyukurlah kepada Tuhan Pemberi nikmat,wahai penduduk Mina.

Sesungguhnya kami telah rugi sebaliknya kalian beruntung.Oleh itu, sampaikanlah,

  lebihan keuntungan kepada orang yang kehilangan modal.

Hatiku turut mengekori di belakang muatan barangan kalian,

  namun hanya keuzuran menghalang badanku.

Setiap lembah yang kalian lalui,sesungguhnya.

  aku datang berjalan ke sana dengan langkah pengharapan.

Semenjak kalian pergi, aku tidak putus mengingati kalian.

  Adakah keadaan kami diperlihatkan kepada kalian?

 

Orang yang tidak mengerjakan haji kerana suatu keuzuran tetap mendapat sama seperti orang yang mengerjakannya. Boleh jadi orang yang berangkat pergi dengan hatinya mendahului orang pergi berhaji. Salah seorang pergi ke sana melihat dalam mimpi seseorang yang berkata kepadanya di malam Arafah,”Adakah engkau dapat melihat suasana yang sesak di kawasan ini? Sesungguhnya tiada seorang pun daripada mereka yang mengerjakan haji kecuali seorang lelaki yang tidak berada di sini. Dia mengerjakan haji dengan sepenuh keazamannya, lalu ganjaran orang yang berada di kawasan ini dikurniakan kepadanya.”

Wahai orang-orang yang berjalan menuju ke Baitul Atiq,sesungguhnya

      Kamu berjalan dengan tubuh badan,sedangkan kami pula berjalan dengan roh.

Kami beramal dalam keadaan uzur sedangkan mereka telah berangkat pergi.

    Sesiapa yang beramal dalam keadaan uzur, samalah seperti orang yang pergi ke sana.

 

Capailah keuntungan dengan merebut peluang pada hari-hari yang agung ini, ia tidak boleh diganti dan tidak ternilai. Segeralah beramal, lakukanlah dengan cepat sebelum kedatangan ajal, sebelum orang yang lalai bersa menyesal atas perbuatan yang dilakukannya, Sebelum dia meminta agar dikembalikan ke dunia untuk beramal soleh namun tidak diperkenankan, sebelum maut memisahkan antara orang yang berharap dan impian yang hendak dicapai sebelum seseorang yang tertahan dengan amalan yang dia lakukan di dalam lubang kuburnya.

Tidak ada bagi mayat di dalam kuburnya

Makanan berbuka, binatang korban, dan 10 hari dalam bulan Zuhijjah.

Dia berada jauh daripada ahli keluarga yang berada dekat dengannya.

Begitulah keadaan bagi sesiapa yang berumahkan kuburan.

Wahai orang yang mula ditumbuhi uban selepas mencapai usia 40 tahun! Wahai orang yang sudah melalui 10 hari terawal Zulhijjah setelah usia itu selama 10 tahun sehingga mencecah usia 50 tahun! Wahai orang yang berada di medan pertarungan antara usia 60 tahun ke 70 tahun! Tidak ada suatu perkara yang engkau nantikan selepas mengetahui khabar ini melainkan  mati yang akan datang kepadamu. Wahai orang mempunyai dosa yang sebanyak bilangan ganjil dan genap! Adakah engkau tidak malu dengan malu dengan para malaikat yang mulia, para pencatat amalanmu? Ataupun engkau termasuk daripada kalangan orang yang mendustakan hari kiamat? Wahai orang gelap hatinya bagaikan malam yang tiba! Bukanlah telah sampai masanya untuk hatimu bersinar atau menjadi lembut? Terimalah pelbagai hadiah daripada Penjagamu dalam tempoh masa 10 hari ini kerana sesungguhnya hadiah-hadiah tersebut adalah milik Allah dalam tempoh itu, yang diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki. Sesiapa yang memperolehnya, dia pasti akan bahagia di akhir hayat.

Matahari hidupku Matahari hidupku telah menyingsing,

dan condong mengarah ke barat.

Kegelapan malam di kepalaku telah berlalu pergi,

dan kelihatanlah cahaya uban.

Wahai Tuhanku,selamatkanlah diriku kerana sesungguhnya,

aku pernah bergelumang di lautan dosa.

Kurniakanlah kepadaku kemaafan wahai Tuhan,

  yang sangat dekat daripada kalangan sesiapa sahaja yang dekat.

 

Penutup

Itulah petikan yang kami nukilkan daripada kitab Lata’if al-Ma’arif Fi Ma Li Mawasim al-Am Min al-Wazaif yang ditulis dan dikarang oleh Ibn Rajab al-Hanbali. Oleh itu,marilah kita beramal dan perbanyakkan amal kebajikan. Sekali lagi, kami katakan, marilah sama-sama kita gunakan peluang dan ruang yang ada selama mana nyawa dikandung badan untuk melaksanakan ibadat sebanyak-banyaknya pada bulan ini, terutamanya pada 10 awal Zulhijjah, hari raya Aidil Adha dan juga hari-hari tasyriq seperti zikrullah, puasa Arafah dan juga berkorban. 

Semoga Allah memberi kita kekuatan untuk sentiasa melakukan amal soleh untuk bekalan di akhirat kelak. Akhir kalam, kami berdoa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *