“Ana Mahasiswa Dua Universiti!”

“Sarah rase-rase, berape tahun Zul di Madinah?”, Tok Aki cuba menduga cucunya yang sejak awal tadi tak berkutik sedikit pun.

“Emm…4 tahun kan? Atuk ade cakap haritu. Atuk lupe ye…”, Sarah mengenyitkan matanya. “Haa…betul. Tak lupe. Saje nok test Sarah. Fokus ke dop ape yang atuk cite dari awal.”, ujar Tok Aki. Tok Aki menyambung kata-kata, “Hari ni atuk nak cite minggu-minggu akhir sebelum Zul balik Malaysia. Sarah nak dengar tak?”.

“Mestilah. Tapi, mesti sedih kan? Lepas balik Malaysia, Zul keje ke?”, tanya Sarah dengan penuh teruja. “Nantilah. Dop sabor mung ni…bagi atuk cite se se dulu.”, Tok Aki mencuit pinggang Sarah diikuti hilaian tawa Sarah.

******************************

“Anak-anakku. Ilmu yang kamu semua pelajari sepanjang 4 tahun di peringkat Sarjana Muda hanya separas ini.”, tangannya ditunjukkan ke pinggang. “Jika kamu sambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, ia akan terus menaik. Sebaliknya jika kamu berhenti setakat ini, samada ia akan tetap atau ia akan menurun dek kelupaan yang merupakan sifat seorang manusia.” Begitulah pesan pensyarah kepada Zul dan seisi kelas selepas selesai subjek Turuq al-Tadris (Metodologi Pengajaran).

“Aku kene ngaji sapa PhD, insya-Allah…”, Zul berazam kepada dirinya.

Kehidupannya sepanjang berada di Madinah, terasa amat singkat namun penuh dengan warna warni. Bumi “Madrasah Ahli Hadis”, serambi dan tiang-tiang Masjid Nabawi yang dipenuhi halaqah, dan segenap pelosok Madinah yang subur dengan para ulama’ sejak zaman Rasulullah SAW, sahabat, tabi’in dan seterusnya bersilih ganti memberikan satu perasaan yang tidak tergambarkan dengan luahan kata. Bahkan, diriwayatkan Imama al-Bukhari menyempurnakan Sahih al-Bukhari di kota suci Madinah.

Seakan terbayang Imam Malik menapakkan kaki ke Masjid Nabawi dengan tidak berkenderaan, dek penghormatannya kepada Rasulullah SAW. Sepanjang hidupku, aku tidak pernah menunggangi kuda atau unta di atas Kota Madinah. Sebab aku malu aku berada di atas kendaraan, sedangkan di bawahnya ada terdapat jasad agung Baginda Rasulullah SAW.”, Begitulah pengakuannya. Di satu sudut dalam Masjid Nabawi, Zul membayangkan betapa sibuknya Imam al-Zuhri menyiapkan pembukuan hadis yang secara langsung didapatkan kebanyakannya daripada Anas bin Malik.

“Dop aa’uulah Sejik Nabi jamang Fuqaha’ al-Sab’ah wane. Mung cube bayangkang, hujung sane Sa’id bin al-Musayyib. Depang tu al-Qasim bin Muhammad. Sebeloh ye Sulaiman bin Yasar. Hujung sane Urwah bin al-Zubair. Belakang tu Kharijah bin Zaid. Kiri ye Ubaidillah bin Abdullah. Sebelah kanang pulop Abu Bakr bin ‘Abd al-Rahman. Hebak ork?”, kata Zul dengan Khairul. Budaya halaqah ilmu itu diwarisi zaman berzaman sehinggalah saat ini.

Di bumi ini Zul mula mengenal asas dan pengenalan kepada dalil dalam penetapan hukum daripada para masyaikh samada di kampus ataupun Masjid Nabawi. Para mahasiswa diasuh untuk menghasilkan kajian ilmiah, dikenalkan dengan maraji’ (sumber rujukan umum) dan masadir (sumber rujukan khusus atau autentik). Dididik dengan metodologi penyelidikan dan seni pentarjihan. Para ulama’ luar Madinah daripada al-Azhar, Sudan, Syria, Mauritania, India, Pakistan, Afrika dan lain-lain dunia Islam bertali arus singgah dengan pelbagai aliran pemikiran dan politik, memberikan pendedahan yang amat luas kepada realiti dunia Islam, sebagaimana yang pernah Zul baca melalui buku Hadir al-‘Alam al-Islami tulisan Dr. Jamil ‘Abdullah Muhammad al-Misri, pensyarah Kuliah Dakwah dan Usuluddin, Universiti Islam Madinah. Bahan bacaan tak terkira banyaknya samada yang diberi percuma oleh pihak universiti atau dibeli dengan harga yang murah melalui projek wakaf kitab yang ada di mana-mana. Budaya ilmu begitu subur dalam kalangan mahasiswa dan para masyaikh. Pada era awal 90-an, kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh susunan Syeikh Dr. Wahbah Mustafa al-Zuhaili baru diterbitkan. Berbondong-bondong para mahasiswa mendapatkannya daripada kedai kitab. Begitu juga risalah-risalah kecil hukum-hakam yang tidak terkira banyaknya hasil tulisan para ulama’ bumi Madinah yang amat produktif. Cuma perlu tanya diri samada rajin, ada kemahuan atau lebih selesa hanyut ditinggal masa.

Solat adalah instrumen yang sama sekali tidak dipandang ringan oleh pentadbiran universiti. Zul pernah membaca di papan kenyataan Universiti Islam Madinah, senarai mahasiswa tahun akhir dan semester akhir yang dibuang kerana meninggalkan solat berjemaah. Ya, tarbiah itu antara yang amat berkesan bagi membentuk jiwa penuntut ilmu yang memelihara solat lima waktu di masjid, solat berjemaah dan solat di awal waktu. Inilah “mahal”nya Universiti Islam Madinah.

Daripada Ibn ‘Abbas radhiallahu ‘anhuma beliau berkata:

‌كَانَ ‌النَّبِيُّ ‌صَلَّى ‌اللهُ ‌عَلَيْهِ ‌وَسَلَّمَ ‌أَجْوَدَ ‌النَّاسِ ‌بِالخَيْرِ، وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ، وَكَانَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَامُ يَلْقَاهُ كُلَّ لَيْلَةٍ فِي رَمَضَانَ، حَتَّى يَنْسَلِخَ، يَعْرِضُ عَلَيْهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ القُرْآنَ، فَإِذَا لَقِيَهُ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَامُ، كَانَ أَجْوَدَ بِالخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ المُرْسَلَةِ

Maksudnya: “Nabi SAW adalah orang yang paling pemurah (dermawan) dalam segala kebaikan. Dan pemurah (dermawan) baginda yang paling baik adalah saat bulan Ramadan ketika Jibril ‘alaihissalam datang menemui baginda. Dan Jibril datang menemui baginda pada setiap malam di bulan Ramadan untuk baginda memperdengarkan bacaan al-Quran baginda kepada Jibril. Apabila Jibril datang menemui baginda, maka baginda adalah orang yang paling pemurah (dermawan) dalam segala kebaikan melebihi lembutnya angin yang berhembus”[1]

Sejuzuk daripada kemurahan Nabi SAW itu terbias pada peribadi para ulama’ dan masyarakat Madinah yang amat pemurah. Seolah-olah ada “pertandingan” bagi membudayakan sifat kedermawanan dalam kalangan mereka. Ada beberapa tempat di Madinah yang menyediakan makanan percuma untuk fakir miskin secara harian. “Insya-Allah satu hari nanti, aku nok buat jugok di Malaysia. Nok wi orang miskin makan sedap-sedap. Aku nok wi name Dapur It’am.”. Zul berkata dalam hatinya.

Kembara haji saban tahun semasa bergelar mahasiswa sentiasa memberikan pengalaman yang berbeza kepada Zul. Duduk di atas bumbung van, mengenali budaya Arab Badwi, bergaul dengan masyarakat bawahan dan “kontroversi” risalah Zul yang menyanggah pandangan Tabung Haji dalam isu melontar sebelum zawal, adalah rencah kehidupan yang mematangkan dan membina  ufuk pemikiran yang lebih luas. Kawasan-kawasan bersejarah di Mekah dan Madinah yang dijelajahnya sepanjang musim haji dan waktu lain sepanjang 4 tahun, membenarkan apa yang dibacanya dalam Fiqh al-Sirah oleh Syeikh Said Ramadhan al-Buti dan Fiqh al-Sirah oleh Syeikh Muhammad al-Ghazali.

Jika ditanya, di manakah Zul belajar di peringkat Sarjana Muda, beliau dengan bangga akan menjawab, “Ana penuntut ilmu di dua buah universiti sekaligus. Universiti Islam Madinah dan ‘Universiti’ Masjid Nabawi!”

[1] Riwayat al-Bukhari, no. 1902

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *