#11 Angin Daripada Faraj Wanita

[ux_products]

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Adakah batal wuduk jika ada angin yang keluar daripada faraj wanita? Bagaimanakah jika ia sangat kerap berlaku?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya: Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.[1]

Al-Maraghi menyatakan bahawa makna ayat di atas adalah sekiranya seseorang itu hendak bangun bagi mendirikan solat — dan masih lagi dalam keadaan berhadas. Hal ini kerana seluruh kaum Muslimin menyatakan bahawa bersuci (yakni berwuduk dan mandi wajib) tidak diwajibkan ke atas orang yang ingin mengerjakan solat melainkan dia masih dalam keadaan berhadas.[2]

Perkara-perkara yang membatalkan wuduk

Di dalam al-Fiqh al-Manhaji[3] disebutkan bahawa perkara yang membatalkan wuduk ada lima, iaitu:

  1. Keluar sesuatu daripada salah satu saluran qubul dan dubur kencing, tahi, darah, kentut dan lain-lain.
  2. Tidur yang tidak tetap. Maksud ‘tetap’ di sini ialah duduk dalam keadaan punggung bertaup rapat dengan lantai manakala maksud tidak tetap pula ialah terdapat rongga di antara punggung dan lantai.
  3. Hilang akal disebabkan sama ada mabuk, pitam, sakit atau gila.
  4. Seseorang lelaki menyentuh isterinya atau perempuan lain tanpa berlapik dan perbuatan itu membatalkan wuduk kedua-duanya. Maksud perempuan lain ialah perempuan yang halal berkahwin.
  5. Menyentuh kemaluan manusia, sama ada diri sendiri atau orang lain, sama ada qubul atau dubur dengan tapak tangan dan perut-perut jari tanpa berlapik.

Selain itu, dijelaskan juga bahawa segala sesuatu yang keluar dari saluran selain daripada saluran qubul dan dubur, jika ia bukan najis, maka tidak dianggap sebagai pembatal wuduk menurut kesepakatan para ulama.[4]

Kentut faraj

Vaginal flatulence, queefing adalah antara nama lain bagi kentut faraj atau vagina ini. Maksud kentut vagina ini adalah satu keadaan apabila terdapat udara yang terperangkap di dalam faraj. Bunyi yang terhasil adalah hampir sama seperti bunyi angin yang keluar melalui dubur. Walau bagaimanapun, queefing tidak mempunyai sebarang bau. Keadaan ini juga dianggap normal dan tidak melibatkan sebarang risiko berkaitan kesihatan.

Menurut Naib Presiden Bahagian Perubatan Luar di Planned Parenthood, Dr. Vanessa Cullins, “Kentut faraj berlaku apabila udara memasuki saluran faraj dan cuba melepaskan diri. Oleh kerana itu terhasil bunyi saat angin cuba melepasi bukaan lubang faraj. Ia tidak berbau kerana ia cuma angin kosong.”[5]

Selain itu, Dr. Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar MD (Crimea State Medical University) juga ada menyebutkan bahawa maksud kentut faraj sebenar ialah gas yang terperangkap dalam badan di lepaskan melalui ronggga tubuh. Menjadikan sistem pencernaan sebagai contoh, udara dibawa masuk bersama sewaktu menyuap makanan dan terperangkap dalam organ pencernaan. Makanan yang telah dicerna akan diproses dan menghasilkan bahan kumuhan yakni najis yang mana akan bercampur dengan gas yang terperangkap tersebut. Sebab itu kentut dari dubur selalunya mengeluarkan bau yang kurang enak. Bagi kentut vagina pula, gas tersebut menyelinap terus ke dalam rongga faraj dan dilepaskan dari rongga yang sama.

Kemudian, Dr. Mohd. Ramzdhan menyebutkan pula beberapa punca berlakunya masalah kentut faraj. Di antaranya ialah:

  • Aktiviti senaman dan bersukan.
  • Aktiviti seksual dan pengunaan barang mainan seks.
  • Otot bahagian pungung yang lemah.
  • Pembentukan fistula pada faraj.
  • Prosedur pemeriksaan kesihatan bahagian kemaluan.[6]

Keluar angin dari faraj wanita

Menurut mazhab Syafi‘i, angin yang keluar melalui faraj wanita membatalkan wuduk. Hal ini adalah sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Nawawi:

Benda yang keluar daripada kemaluan hadapan lelaki atau perempuan, atau kemaluan belakang kedua mereka, membatalkan wuduk. Sama ada dalam bentuk tinja, kencing, angin, ulat, muntah, darah, batu-batu dan lain-lain. Tiada beza antara keluarnya dengan jarang-jarang berlaku, atau biasa berlaku secara adat. Tiada beza juga antara yang angin yang keluar daripada qubul perempuan atau lelaki, atau dubur kedua mereka. Perkara ini dinaskan oleh al-Syafi‘i dalam kitab al-Umm, dan disepakati perkara tersebut dalam kalangan ulama Syafi‘iyyah.”[7]

Mereka berhujahkan dengan sebuah hadith bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‌لَا ‌وُضُوءَ ‌إِلَّا ‌مِنْ ‌صَوْتٍ ‌أَوْ ‌رِيحٍ

Maksudnya:Tidak batal wuduk kecuali kerana bunyi atau bau.[8]

Begitu juga Ibn Qudamah juga ada menyebutkan bahawa angin yang keluar dari faraj wanita membatalkan wuduk kerana ia keluar dari salah satu jalan saluran — yakni kemaluan depan. al-Qadhi menyatakan bahawa keluarnya angin daripada zakar dan qubul perempuan membatalkan wuduk.[9]

Namun di sana terdapat mereka yang berpendapat bahawa ia tidak membatalkan wuduk. Di antaranya Ibn ‘Abidin dalam ulama mazhab Hanafi menyebutkan bahawa tidak batal wuduk dengan keluarnya angin daripada qubul dan zakar kerana hal itu hanyalah pergerakan otot yakni bukan angin kentut secara hakikatnya, kalau angin kentut sekalipun, ternyata ia tidak muncul daripada najis, justeru tidak batal wuduk.[10]

Begitu juga al-Dardir dalam kalangan ulama mazhab Maliki menyatakan bahawa sekiranya keluar sesuatu yang biasa keluar di tempat-tempat yang tidak biasa ia keluar, seperti keluarnya dari mulut, keluarnya kencing daripada dubur, keluarnya angin daripada qubul, meskipun qubul perempuan, atau daripada suatu lubang tebukan (di badan), maka hal itu tidak membatalkan wuduk.[11]

Jika ia berlaku dengan kerap atas faktor penyakit atau keuzuran, di sini terdapat keringanan untuk solat walaupun tetap keluar angin daripada farajnya kerana dianggap seperti darah istihadah. Pun begitu, saya menasihatkan wanita yang diuji dengan hal sebegini:

  1. Sedaya upaya menjaga kesuciannya seperti memakai atau meletakkan sesuatu yang boleh menghalang angin daripada keluar;
  2. Bersegera mengambil wuduk apabila sudah masuk waktu solat fardu;
  3. Bersegera melakukan solat tanpa bertangguh iaitu melebihi kadar masa seseorang untuk menutup aurat, mendengar azan dan iqamah, menunggu jamaah, menentukan kiblat, berjalan ke masjid atau meletakkan penghadang solat (sutrah).[12]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami cenderung kepada pendapat bahawa keluarnya angin dari faraj wanita membatalkan wuduk kerana ia keluar dari salah satu daripada dua saluran yang membatalkan wuduk iaitu dari kemaluan depan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 28 Januari 2022 bersamaan 25 Jamadil Akhir 1443H

[1] Surah al-Ma’idah: 6

[2] Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/61.

[3] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/62-63.

[4] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 17/113.

[5] Lihat artikel yang ditulis oleh Asyikin Md Isa di https://hellodoktor.com/kesihatan-wanita/wanita-lain/opsss-malunya-kentut-faraj/. Diakses pada 28 Januari 2022.

[6] Lihat https://www.doctoroncall.com.my/soalan/kentut-vagina. Diakses pada 28 Januari 2022.

[7] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/4

[8] Riwayat al-Tirmizi (74) Hadis ini dihukumkan ḥasan ṣaḥīḥ.

[9] Lihat al-Mughni, 1/125;; al-Insaf oleh al-Mardawi, 1/195.

[10] Lihat al-Badai‘ al-Sanai‘, 1/25.

[11] Lihat al-Syarh al-Kabir ma‘a Hasyiah al-Dusuki, 1/118.

[12] Lihat al-Muʿtamad fī Fiqh al-Syafi‘i , 1/123

Latest articles

Related articles