Bab 14: Jemaah Tabligh

8
10208

“Tuan-tuan yang mulia. Asbab kejayaan kita di dunia dan akhirat ada empat; beriman kepada Allah, beramal soleh, melaksanakan perintah Allah dan usaha atas iman dan amal. Hal ini Allah dah sebut dalam Surah al-‘Asr. Alhamdulillah, kita ada ramai buzruq[1] yang boleh bantu kita dalam usaha dakwah hari ini di Malaysia khususnya Terengganu. Depa boleh bantu kita dalam ilmu masa’il[2].Ilmu fadha’il[3] ni boleh dapat kalau istiqamah majlis ta’lim. Cuma hanya tunggu diri kita untuk membentuk zihin, fikir risau tentang umat.”. Penyampai bayan Maghrib[4] di hadapan Zul jelasnya adalah daripada luar Terengganu. Mungkin daripada Kedah, berdasarkan loghatnya.

“Jadi, ada yang sudi untuk luangkan sedikit masa untuk kita sama-sama usaha atas iman dan amal? Kita sama-sama belajar islah[5] diri.”, tanya penyampai bayan. Lantas seorang lelaki berusia sekitar 30-an yang berbaju kurta putih dan berserban, bangun dengan buku nota dan pen di tangannya. “Insya-Allah tuan-tuan. Satu hari boleh, tiga hari boleh, insya-Allah.”, begitulah kata-katanya.

Zul memerhatikan kiri dan kanannya. Beberapa orang telah mengangkat tangan dan menyatakan kesudian untuk khuruj fi sabilillah.[6] “Alhamdulillah tuan. Satu hari. Yang di hujung sana berapa hari? Tiga hari? Alhamdulillah. Abang depan ni berapa hari? Sepuluh hari? Subhanallah. Insya-Allah nusrah Allah sentiasa ada untuk mudahkan urusan kita semua untuk usaha maqami[7] dan usaha intiqali[8]”, nampak wajah penyampai bayan tersenyum gembira melihat ramai yang sudi turut serta bersama mereka.

“Satu bulan, insya-Allah.” Zul bersuara. Suasana tiba-tiba menjadi sunyi. Semua mata memandang Zul dengan penuh keterujaan. Orang lain sehari, tiga hari, paling banyak sepuluh hari. Anak muda ini langsung sebulan!

“Subhanallah…tahniah adik. Adik orang yang mulia. Masa belajar ya? Kecik-kecik dah ada jazbah[9] untuk buat kerja dakwah,” kata pemberi bayan kepada Zul. Beliau belum pernah ada pengalaman mengikut jemaah Tabligh. Justeru, cuti panjang Tahun 4 Thanawi ingin dimanfaatkannya untuk aktiviti yang berfaedah. Selama ini beliau hanya membaca tentang sejarah hidup Maulana Zakariyya al-Kandhlawi dan Maulana Ilyas al-Kandhlawi.

**********************

Jamaah Tabligh diasaskan oleh Hadratji Maulana Muhammad Ilyas di India pada tahun 1927. Legasi dakwahnya diteruskan oleh keturunannya, iaitu Hadratji Maulana Muhammad Yusuf al-Kandhlawi, seterusnya Hadratji Maulana In’amul Hassan al-Kandhlawi dan seterusnya.

Maulana Ilyas al-Kandhlawi

Zul mula mengenali jemaah Tabligh semasa berusia 13 tahun. Ketika itu, Ijtima’ Tabligh Sedunia diadakan di Bukit Besar, Kuala Terengganu pada tahun 1982. Zul datang dengan ayahnya untuk mendengar bayan yang disampaikan oleh Maulana Umar Palanpuri, yang terkenal dengan gelaran al-ra’is al-mutakallim[10] dan tabligh ki zabaan (lidah tabligh).

Jarang dilihat pada hari ini mereka memikul periuk belanga. Namun pada era 70-an hingga 80-an, ini adalah biasa.

Belum pernah Zul melihat ribuan manusia berkumpul seramai itu di padang awam Bukit Besar untuk mendengar bayan. Dari jauh kelihatan beberapa kumpulan memikul periuk, belanga, pinggan dan mangkuk baru turun daripada bas. Berbaju kurta dengan seluar yang labuhnya di atas buku lali atau berjubah dengan serban terlilit di kepala, hampir kesemuanya berjanggut panjang. Terselit kayu sugi di poket atas baju yang sering digunakan terutamanya sebelum menunaikan solat. Setiap kali mereka melintas di hadapan Zul, semerbak bau wangian minyak attar. Itulah umumnya imej jemaah Tabligh.

“Allah se hota hai, Allah ke sewa kuch nehi hota. Sare ke sare kamiabi serf Allah ke hat me hai. Sare ke sare hazanah Allah ke pas hai.

(Allah berkuasa, selain Allah tidak kuasa. Semua kejayaan hanya di tangan Allah. Semua perbendaharaan hanya di tangan Allah)”

Maulana Umar Palanpuri

Bicara Maulana Umar Palanpuri walaupun perlahan dengan untaian kata yang mudah, tetapi amat menusuk ke dalam hati. Menitis air matanya ketika membacakan firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنتُمْ تُوعَدُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.”[11]

Orang ramai yang hadir begitu tekun mengikuti bayan Maulana Umar Palanpuri yang dibantu mutarjim orang Malaysia. Turut kelihatan di barisan hadapan, Maulana Hadratji In’amul Hasan. Hampir kesemuanya kelihatan mencatat setiap butiran yang disampaikan oleh Maulana. Zul juga mendengar, sambil tangannya bermain batu-batu kecil.

Meneliti kitab bersama para asatizah Madrasah Darul Ulum Sri Petaling

Usamah bin Syarik radhiyallahu ‘anhu menyebutkan sifat majlis Nabi SAW:

أتيتُ النبيَّ صلَّى اللهُ عليهِ وآلهِ وسلَّمَ وأصحابُهُ عندَهُ كأنما على رؤوسهمُ الطيرُ قال فسلَّمتُ عليهِ وقعدتُ.

“Aku datang kepada Nabi SAW sedangkan sahabat-sahabatnya di sisinya, seolah-olah ada burung di atas kepala mereka. Lalu, aku mengucapkan salam kepada Nabi SAW dan aku duduk”[12]

Ibn Qutaibah rahimahullah ketika menjelaskan maksud perkataan “burung di atas kepala mereka” berkata:

أنهم يسكتون فلا يتحركون ويغضون أبصارهم، والطير لا تسقط إلا على ساكن

Maksudnya: “Mereka diam, tidak bergerak-gerak dan merendahkan pandangan mereka. Ini kerana burung tidak akan hinggap melainkan kepada benda yang tidak bergerak-gerak.”[13]

Ziarah pertama selepas wabak COVID-19 menimpa sahabat-sahabat dan para alim ulama di Sri Petaling

Di akhir bayan, beliau berpesan dalam Bahasa Urdu, “Hendaklah kita berada di atas yang lurus, bukannya jalan yang bengkok.” Mutarjim pun menterjemahkan kalamnya sebagaimana yang difahaminya. Apabila sampai kepada perkataan “bengkok”, Maulana Umar Palanpuri mengalihkan kepalanya dan bertanya kepada mutarjim dengan serius, “Adakah engkau katakan kota Bangkok?”. Kelihatan sebahagian karkun[14] dan masyaikh[15] Malaysia ketawa kecil.

“Tidak, Maulana. Maksud saya, jalan yang tidak lurus. Itulah bengkok dalam Bahasa Melayu.”, kata mutarjim sambil tersenyum. Maulana mengangguk-angguk tanda faham dan turut ketawa bersama hadirin.

********************

Zul dan saing-saing daripada SMAASZA yang memberi nama, diminta hadir ke Markaz Tabligh Kubang Bujuk. Markaz yang diasaskan oleh hartawan terkenal Terengganu, almarhum Haji Muda, tidak jauh daripada rumahnya. Lebih kurang 10 minit sahaja. Di sana, Zul belajar untuk mengenali dengan lebih mendalam tentang sunnah-sunnah Nabi, belajar untuk istiqamah bangun menunaikan solat Tahajud pada setiap malam, meningkatkan ibadah terutamanya di malam syabguzari[16]

Kenangan semasa mengikuti Ijtima’ Tabligh di Tongi pada 2017

Zul juga belajar untuk beramal dengan enam prinsip sahabat Rasulullah SAW melalui muzakarah[17] berkenaan kalimah tayyibah (syahadah), solat yang khusyu’, ilmu dan zikir, ikram muslimin, ikhlas niat, dakwah dan pengorbanan. Waktu makan adalah antara waktu yang ditunggu-tunggu. Adakalanya, Zul akan menawarkan diri untuk khidmat ta’am[18]. Juadah yang dihidangkan memang sedap dan dimakan beramai-ramai dalam dulang ketika masih panas-panas. Tua, muda, Dato’ Seri, Tan Sri, kerani, tukang sapu, semuanya sama mulia di sisi Allah SWT. Sama-sama menikmati hidangan dengan penuh berselera.

Memandangkan Zul adalah penduduk setempat, beliau dilantik sebagai rahaba[19] bagi memudahkan usaha ghast[20] di kawasan sekitar. Pantang sahaja ada bayan hidayah[21], bayan wafsi[22], majlis ta’lim yang dibacakan Fadha’il Amal, semuanya beliau sertai. Di waktu lapang, beliau akan membaca sendiri Fadha’il Amal susunan Maulana Zakariyya al-Kandhlawi. Alhamdulillah, dalam kesibukan aktiviti sebulan di Markaz Tabligh Kubang Bujuk, Zul berjaya menyelesaikan 3 juzuk bacaan al-Qur’an.

Kenangan semasa mengikuti Ijtima’ Tabligh di Tongi pada 2017

Pada hari terakhir beliau di sana, rasa sayu ingin berpisah dengan sahabat-sahabat ya  ng baru dikenali di sana. Tempoh sebulan terasa singkat kerana padatnya aktiviti ibadah dan usaha dakwah yang dijalankan. Sebelum pulang, Ustaz Rasyid Long menyampaikan pesanan terakhir kepada semua jemaah pelajar. Beliau selaku pembimbing kepada jemaah pelajar bertanya kepada Zul, “Zul, ade azam untuk khuruj lagi?”

Zul mengangguk, tersenyum dan menjawab ringkas, “Insya-Allah IPB satu mase nanti!”.

Ketika berada dalam sebuah masjid di Australia, saya disapa kumpulan masyaikh Jama’ah Tabligh yang kebetulan dalam rangka usaha dakwah di Australia.

____________________

[1] Orang alim dan orang-orang lama yang mengikut usaha dakwah tabligh

[2] Ilmu-ilmu fardhu ‘ain yang perlu dipelajar dengan guru

[3] Ilmu tentang kelebihan amalan

[4] Majlis penerangan untuk menjelaskan maksud tujuan usaha tabligh. Bayan biasanya berkisar untuk membicarakan enam sifat utama yang perlu diusahakan.

  1. Keyakinan kepada kekuasaan Allah SWT dan keyakinan yang teguh kepada sunnah Rasulullah SAW.
  2. Memperbaiki solat
  3. Ilmu dan zikir, keduanya saling berkaitan.
  4. Ikram al-Muslimin (memuliakan orang Islam)
  5. Memperbaiki niat iaitu menjaga niatnya semata-mata kerana Allah
  6. Dakwah dan tabligh iaitu usaha yang perlu dilakukan untuk menerapkan pentingnya usaha dakwah dan tabligh di kalangan umat

[5] Memperbaiki diri dalam usaha jamaah tabligh. Program-program tertentu dibuat untuk pengislahan melalui usaha dakwah, ta’lim, ibadah dan dzikir serta khidmat.

[6] Keluar ke jalan Allah, yaitu keluar dari tempat kediaman bergerak di jalan Allah dari satu tempat ke tempat lain, dari satu masjid ke masjid lain di seluruh dunia untuk menjalin silaturahmi dan berdakwah atau tabligh.

[7] Usaha dakwah tempatan/setempat

[8] Usaha dakwah luar

[9] Semangat atau keghairahan dan perasaan cinta seseorang terhadap usaha agama dan yang berkaitan dengan itu.

[10] Penghulu jurubicara

[11] Surah Fuṣṣilat: 30

[12] Riwayat Abi Daud, no. 3855

[13] Lihat Gharib Al-Hadis 1/506

[14] Rakan-rakan satu usaha dalam dakwah dan tabligh

[15] Orang alim atau orang lama dalam dakwah

[16] Bermalam dan menghidupkan malam setiap minggu dengan beribadah di markaz

[17] Perbincangan

[18] Khidmat menyediakan makanan kepada jemaah

[19] Penunjuk jalan

[20] Ziarah dari rumah ke rumah untuk menyampaikan dakwah. Disebut juga sebagai dakwah umumi

[21] Bayan kepada jemaah yang telah dibentuk sebelum berangkat khuruj, perkara terpenting ialah mengikuti tertib-tertib yang telah diberikan dalam usaha dakwah dan tabligh

[22] Bayan yang diberikan setelah jemaah kembali dari khuruj

8 COMMENTS

  1. Terbaik.pertama kali saya membaca catitan mengenai sejarah istimaq tabligh di ganu kite yang mungkin juga saya sendiri pernah pergi tapi tak catit apa2 dan tak ingat apa2..huhu
    Respek dan kagum dengan memori serta catitan budak sekolsh ini..😁

  2. We missed you from the latest cabinet.
    May Allah swt bring more barakoh and hikmah from your excellency.
    Wassalam. Prof. K. Ahmad

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here