Zul meneliti baris demi baris, faks daripada Universiti Islam Madinah yang disampaikan oleh Ustaz Haji Ambak Ismail, mantan Mudir SMAASZA dan antara anggota Jemaah Nazir Negeri Terengganu.
“Alhamdulillah, tahniah Zul, Zaini, Shohor Bani, Rudaini, Hanafi. Lime orang dari Tranung terpilih untuk masuk Universiti Islam Madinah!”, ucap Ustaz Haji Ambak dengan penuh bangga sambil menunjukkan salinan faks berkenaan kepada Ustaz Nik Wan.
Biarpun tanpa SMS atau Whatsapp, berita tiga orang bekas pelajar Thanawi SMAASZA dan dua orang bekas pelajar Maahad Tahfiz Terengganu lulus temuduga dan mendapat tawaran ke Universiti Islam Madinah sudah gegey[1] ke seluruh pelosok bumi Terengganu.
Ustaz Haji Ambak banyak membantu urusan Zul dan saing-saing untuk ke Madinah. Beberapa masalah teknikal melibatkan urusan dokumen, visa, pendaftaran, semuanya dipermudahkan melalui bantuan Ustaz Haji Ambak yang kelihatan lebih teruja daripada anak-anak muda ini. Siang malam beliau bertungkus lumus berurusan dengan pihak Kedutaan.
********************
“Ni, Shohor, ade mende ana nok bincang skek!”, Zul memanggil kedua-dua orang saingnya. Pada hari tersebut, ada kenduri kesyukuran dan doa selamat yang diadakan di rumah Zul. Memang meriah sambutannya. Jarang-jarang anak Kampung Kubang Kekura boleh sambung belajar di luar negara. Kali terakhir rumah Ustaz Mad semeriah ini adalah ketika kenduri kesyukuran keberangkatan Mi dan Yah, abang sulung dan kakak kepada Zul, ke Universiti al-Azhar di Mesir pada 2 tahun lepas. Tetamu tidak putus-putus datang sejak pagi. Masing-masing menghulurkan sumbangan RM1, RM5, dan RM10 sebagai tanda sokongan dan pemberi semangat. Ada juga jiran tetangga yang membantu Hajah Ramlah menyediakan juadah makanan. Suasana indah sebeginilah yang mengeratkan hubungan jiran tetangga dan saudara mara di kampung.
Zul menarik tangan Shohor ke tepi rumah, di lambo[2] yang terletak di bawah pokok. Zaini menurut dari belakang.
“Due tige hari lagi, kite doh nok gi Madinoh. Ndape hok jadi pung, kite kene same-same kuat. Kalu ana ralik, enta wojik tegur. Hok peting skali, kene belajor sabor sebab kite duk tempat orang. Kite dok aa’uu sep Arab ni wane. Budaye lain, care hidup lain. Nabi sebut doh:
لاَ يَصْبِرُ عَلَى لأْوَاءِ الْمَدِينَةِ وَشِدَّتِهَا أَحَدٌ مِنْ أُمَّتِى إِلاَّ كُنْتُ لَهُ شَفِيعًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَوْ شَهِيدً
Dop ade umatku hok bersabor dengang kesusahang, rohok di Madinoh kecuali aku wi syafaat di hari Kiamat atau jadi saksi kepadanye.[3]
Kedue, kene bbetul niat. Nabi janji orang hok ngaji ni, Allah mudohkang jalang ke syurge. Ketiga, Madinoh ni bumi yang banyok ulama’. Empat taung kite di Madinoh nanti, cari ilmu ssunguh. Ana ingat lagi Ustak Nik Wan kabor, Ibn Abbas pesang,
الْعِلْمُ أَكْثَرُ مِنْ أَنْ يُحْصَى فَخُذُوا مِنْ كُلِّ شَيْءٍ أَحْسَنَهُ
Ilmu ni banyok, dop leh nok kire. Ambiklah hok mmolek sekali dari segheme ilmu. ”
Madinoh di bumi barokah. Kene bbanyok doa. Sebagaimane kite jade adab dengang guru-guru kite di sini, adab dengang para masyaikh di Madinoh pung kene jage. Ngaji dengan rama guru. Jangang se je. Ngaji kene fokus. Kene sokmo bace kitab, muzakarah. Ikut contoh Imam Syafie, die kate ‘Kalu aku panoh sepuloh kali, tak dop se pung hok tersasar.’ Se lagi, pahang mmolek Fiqh Syafie walaupung kite akan ngaji fiqh empat mazhab. Sebab Malaysia ni paka mazhab Syafie. Ngaji Fiqh Syafie untuk kite gune di Malaysia, ngaji fiqh empat mazhab untuk kite raikang mazhab lain bile sesuai.” Zul saling mengingatkan kepada Zaini dan Shohor Bani tentang fokus mereka sepanjang berada di Madinah akan datang.
“Zul…mari tolong angkat dulang ning! Kekgi sapa Madinoh, buallah puas-puas!”, Hajah Ramlah memanggil anaknya yang kelihatan masih bersembang di lambo.
*********************
Ustaz Mad dan Hajah Ramlah sekeluarga telah bersiap sedia di dalam kereta. Pok De, Mok De, Pok Leh, Adi, AJK balasoh dan hampir seluruh jiran tetangga yang berdekatan, sedang menunggu beramai-ramai. Zul pula? Masih di atas rumah. Sekejap masuk, sekejap keluar bilik. Kertas catatan barang-barang yang perlu dibawa, disemaknya berkali-kali untuk memastikan tidak ada yang tertinggal. “Zul, cepat skek! Kapal terbang tu dop tunggu kite!”, Ustaz Mad memanggil anaknya dari dalam kereta.
“Allahuakbar, Allahuakbar…!”, laungan azan yang berkumandang, mengiringi kenderaan yang dipandu Ustaz Mad ke Lapangan Terbang Telaga Batin. Suasana yang amat hiba dan sayu. Hajah Ramlah melambai-lambai dari laman rumah sambil mengesat air matanya yang berlinangan. Zul cuba untuk mengukir senyuman namun dadanya tetap berombak menahan sedih. Entah ada lagi atau tidak, peluangnya untuk bertemu kembali keluarga yang dikasihi.
Di Lapangan Terbang Telaga Batin, ramai telah menunggu. Keluarga, jiran tetangga, sanak saudara kepada lima orang anak muda Terengganu itu sudah memenuhi lobi lapangan terbang. Sesaknya seakan musim orang balik haji! Perjalanan udara satu jam daripada Lapangan Terbang Telaga Batin ke Lapangan Terbang Antarabangsa Subang yang mengambil masa satu jam tidak terasa jauhnya dek debaran yang terasa. Entah bagaimana rupanya Arab Saudi? Khabarnya hanya ada padang pasir? Orang Arab ni, adakah sebaiknya Ustaz Sa’id al-Qasabi, Ustaz Utuwwah, Ustaz Taha dan lain-lain guru berbangsa Arab di SMAASZA? Jauh Zul mengelamun, melihat sayap kapal terbang membelah awan putih.
Lima minit sebelum mendarat, pemandangan Kuala Lumpur mula kelihatan. Selama ini, Zul hanya melihat Kuala Lumpur di kaca televisyen. Apa yang ada di depan mata lebih mengujakan. Pembangunan di Kuala Lumpur dilihat dari udara, jauh pesat membangun. Bangunan besar di sana-sini. Tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang, Zul sekeluarga disambut oleh Abang Mi, sepupunya yang menetap dan bekerja di Kuala Lumpur. “Besornye…airport ke ndape ning?”, Zul berbisik seorang diri melihat Lapangan Terbang Antarabangsa Subang yang tersergam indah.
Anak jati Kubang Kekura yang baharu pertama kali sampai bandar besar seperti Subang, memang pengong bak rusa masuk masuk kampung. “Abang Mi, bakpe bah tu due tingkat? Guane drebar ye bowok? Bakpe stereng di bowoh?”, Zul bertanya kepada sepupunya dengan penuh ketakjuban. Melihat bas double decker di lapangan terbang, memanglah menakjubkan bagi anak kampung yang hanya kenal bas Pokcik Ripin dan Bas Deraman yang sudah uzur.
“Hahaha…Zul, stereng bah ni di bowohlah. Kalu di atas, panjang jeta[4] lah tiang stereng ye.”, ketawa besar Abang Mi dengan sikap sepupunya yang masih kehairanan melihat bas dua tingkat.
Pesawat Saudi Airlines sudah sedia menanti. Zul bersalaman dengan ayahnya sebelum masuk ke dalam pesawat. “Ayoh. Zul mitok maaf ye kalu ade saloh silap. Jangang lupe doakang Zul…”, terasa sayu perbualan Zul dan ibu bapanya pada hari itu kerana sepanjang hidupnya, itulah kali pertama beliau terpisah jauh daripada keluarganya. Sebelum masuk ke dalam pesawat, Zul, Zaini dan Shohor Bani melambai-lambai keluarga masing-masing buat kali terakhir.
**********************
“Good afternoon passengers. This is the pre-boarding announcement for flight Saudi Airlines to Jeddah from Kuala Lumpur. We are now inviting those passengers with small children, and any passengers requiring special assistance, to begin boarding at this time. Please have your boarding pass and identification ready. Regular boarding will begin in approximately ten minutes time. Thank you.” Suara pramugari di corong pembesar suara menyambut para penumpang masuk ke dalam pesawat.
“Shohor. Ye cakak orang putih pulop. Guane ana nok balah[5] kalu pramugari tanye ape-ape kekgi?”, bisik Zul. Shohor Bani cuma ketawa kecil dan berkata, “Dakpe. Doh name pung Saudi Airlines. Confirmlah ye buleh cakak Arab. Enta ni pung…”
سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا، وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ، وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ، اللهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ فِي سَفَرِنَا هَذَا الْبِرَّ وَالتَّقْوَى، وَمِنَ الْعَمَلِ مَا تَرْضَى، اللهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَا سَفَرَنَا هَذَا، وَاطْوِ عَنَّا بُعْدَهُ، اللهُمَّ أَنْتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَرِ، وَالْخَلِيفَةُ فِي الْأَهْلِ، اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ وَعْثَاءِ السَّفَرِ، وَكَآبَةِ الْمَنْظَرِ، وَسُوءِ الْمُنْقَلَبِ فِي الْمَالِ وَالْأَهْلِ»، وَإِذَا رَجَعَ قَالَهُنَّ وَزَادَ فِيهِنَّ: «آيِبُونَ تَائِبُونَ عَابِدُونَ لِرَبِّنَا حَامِدُونَ[6]
“Bagoh Saudi Airlines ning. Kapteng ye bace doa dulu sebelum jalang…”, kata Zul kepada Shohor Bani di sebelahnya.
Dari tingkap pesawat, Zul melihat Lapangan Terbang Antarabangsa semakin menjauh dan mengecil, seterusnya hilang di celah awanan. Meninggalkan bumi Terengganu dan Malaysia, menuju ke satu tanah yang asing baginya demi perjuangan untuk menuntut ilmu. Dirinya sudah mula merindui ayoh, chik dan adik beradiknya di kampung. Zul cepat-cepat mengesat air matanya sebelum Shohor perasan.
Tidak ada apa-apa aktiviti yang boleh dilakukan di udara ini. Hanya tidur, solat dan makan. Sesekali, Zul akan membaca buku-buku yang dibawanya bersama di dalam beg galas. Inilah juga kali pertama Zul dan saing-saingnya mempraktikkan solat di atas kapal terbang.
Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa para ulama’ Syafi’iyyah menegaskan solat fardhu wajib dilakukan secara berdiri sekiranya mampu. Sekiranya ada keuzuran seperti mabuk laut dan sebagainya, maka boleh menunaikan sembahyang fardhu sambil duduk kerana dianggap sebagai orang yang uzur.”[7] Keuzuran yang dimaksudkan bukan hanya sakit tetapi boleh juga difahami sebagai risau berlaku sesuatu sekiranya berdiri, solatnya menjadi sangat sulit jika berdiri atau mabuk udara. Dalam keadaan ini, Imam al-Khatib al-Syirbini menyatakan keharusan solat dalam keadaan duduk.[8] Sekiranya penumpang tidak dapat menghadap kiblat oleh sebab keuzuran, maka solat tetap perlu ditunaikan bagi menghormati waktu dan wajib digantikan semula. Itulah yang disimpulkan oleh Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’.
********************
8 jam 50 minit perjalanan udara daripada Subang ke Jeddah memang memenatkan. Zul mendongak ke atas dan membaca papan tanda besar yang menyambut mereka.
أهلا وسهلا إلى مطار الملك عبدالعزيز الدولي
“Selamat datang ke Lapangang Terbang Antarabangse Raje Abdul ‘Aziz…”, Zul cuba menterjemahkannya. Matanya tidak berkelip-kelip melihat suasana baharu yang sangat asing baginya. Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz jauh lebih besar daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Subang. Nak dibandingkan dengan Lapangan Terbang Telaga Batin? Jauh langit dengan bumi.
Beliau menjeling jam di dinding. “3.15 pagi. Kalu ikut mase sini, nok masuk Subuh doh.”, kata Zul kepada Zaini dan Shohor Bani.
“Ruh…ruh![9]”, jerit pegawai imigresen yang melihat Zul dan saing-saingnya masih tercegat duk cacang[10] tidak bergerak ke mana-mana. “Cepat Zul! Arab tu doh halau kite..”, Shohor Bani mengajak Zul yang tertinggal jauh di belakang. Masih belum hilang keterujaannya melihat keadaan sekeliling.
__________________
[1] Heboh
[2] Pangkin
[3] Riwayat Muslim (3413)
[4] Sangat panjang
[5] Balas
[6] Hadis Riwayat Muslim, no. 425
[7] Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/222
[8] Mughni Al-Muhtaj, 1/214
[9] Jalan! Jalan!
[10] Berdiri