Bab 3: Ramadhan di Kubang Kekura

“Bangung segheme[1]…anok-anok. Bangung, bangung”, Hajah Ramlah mengejutkan anak-anaknya. Zul menggeliat, menggosok mata. “Awalnye chik kejut kite…lambat lagi nok Subuh ning.”, kata Zul selepas menjeling ke jam loceng berjenama Junghans di sebelahnya.

“Memangla kene bangung awal. Nok nyaoo[2] ekpong[3]!”, Hajah Ramlah keluar daripada bilik anak-anaknya selepas membuka lampu.

“Oh, betulla. Doh mule puase.”, bisik Zul sendirian.

Baru semalam beliau mendengar Tok Akinya, Haji Bakar mensyarahkan tentang kelebihan sahur.

Nabi kite ade pesang,

تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السُّحُورِ بَرَكَةً

“Nyaoolah segheme. Sesungguhnye dalang sahur itu ade barokahnye.”[4]

Fauziah dan Noriah masih di dapur dengan Hajah Ramlah.  Walaupun masih kecil, kedua-duanya rajin membantu ibu mereka menyediakan juadah sahur. Itulah kebiasaannya anak-anak gadis kampung. Sejak usia muda dilatih dengan tugas-tugas di dapur.

“Abang Mi. Napok sedak singgang ikang aye Chik buat ning. Hehe…” Buntang mata Zul melihat lauk-pauk yang terhidang di atas meja. Mi hanya mengangguk dan meneruskan suapannya. “Mung dop soh cakak banyok. Bang[5] kekgi, dop dang mung nok makang.” Mi menasihati adiknya, Zul yang masih belum bersahur. Termenung di meja makan.

Rasulullah ﷺ bersabda:

إِنَّ بِلاَلاً يُنَادِي بِلَيْلٍ، فَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُنَادِيَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ

Maksudnya: Sesungguhnya Bilal azan pada waktu malam, maka makan dan minumlah sehingga azannya Ibn Umm Maktūm”.[6]

Imam al-Nawawī rahimahullah di dalam al-Majmūʿ menyebutkan:

“Telah kami sebutkan sekiranya telah terbit fajar dan padanya (di dalam mulutnya) terdapat makanan, maka perlu dia mengeluarkan makanan tersebut dan kemudian sempurnakan puasanya. Sekiranya dia menelan apa yang ada di dalam mulutnya itu, setelah mengetahui terbitnya fajar al-ṣādiq, maka batallah puasanya. Dalilnya adalah hadith daripada Ibn ‘Umar dan ʿĀ’ishah radhiallāhu ʿanhā yang mana Rasulullah bersabda: إِنَّ بِلاَلاً يُنَادِي بِلَيْلٍ، فَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُنَادِيَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ (hadith seperti di atas)…”[7]

Ustaz Mad memang biasa mengingatkan anak-anaknya untuk menyelesaikan sahur sekitar waktu imsak iatu lebih kurang 10 minit sebelum azan sebagai langkah berjaga-jaga (īḥtiyāt). Waktu imsak ialah waktu sepertiga akhir malam atau ketika terbitnya fajar kadhib yang menunjukkan bahawa waktu Subuh sudah hampir.

Kebiasaan di Malaysia atau beberapa negara-negara lain, waktu imsak yang ditetapkan ialah 10 minit sebelum masuk waktu Subuh. Penetapan ini bertujuan sebagai langkah berjaga-jaga kerana jika telah masuk waktu Subuh secara tepat, maka sebarang makanan atau minuman yang masuk melalui rongga adalah membatalkan puasanya.

Zul pantas menyuap nasi ke mulutnya. Takut-takut tidak sempat bersahur. Seharian kena berlapar. Alang di sebelahnya meramas nasi di dalam pinggan, tersengih seorang diri dengan mata yang masih tertutup rapat. “Alang, parop[8] ngat aku tengok mung! Makang cepat!” kata Zul sambil menggoncang-goncang tubuh adiknya.

Aktiviti anak-anak kampung masih seperti biasa walaupun bulan Ramadhan. Ada yang puasa penuh, ada yang puase yok-yok[9]. Tengahari sudah buka periuk. Memang lucu jika mengenangkan keletah zaman kanak-kanak. Selepas Asar, Zul bersama kawan-kawannya bermain bedil colok. Kalau ada “perang” bedil colok peringkat Kampung Kubang Kekura, beliaulah Panglimanya.

“Mung lebong dop? Haha…Cikgu Mang tanye mung puase ke dop, mung jawab puase.”. Zul bertanya kepada sahabatnya, Arif selepas penat bermain bedil colok. “Hahaha…nok hidup kene panda. Tapi aku nyesal jugok. Ddose wase.”, Arif termangu di sisi Chooper beliau.

Waktu berbuka puasa adalah waktu yang ditunggu-tunggu. Sebelum berbuka puasa, Hajah Ramlah akan meminta anak-anaknya mengagihkan juadah berbuka puasa untuk jiran tetangga. Itulah tradisi di kampung-kampung. Jiran tetangga saling bertukar lauk pauk. Nekbat, Akok, Qasidah, Jala Mas adalah antara kuih-muih yang ditunggu-tunggu. Rasa? Manih letting!

Rasa Jala Mas sedikit manis.

Kuih muih ini boleh ditemui pada hari-hari biasa di Pantai Timur, tetapi lebih banyak dicari pada bulan Ramadhan. Lebih gembira, adakalanya Zul dan adik beradiknya dapat 10 sen, 20 sen selain lauk-pauk, setiap kali ke rumah jiran mereka untuk memberikan juadah berbuka puasa. Sekitar 70-an, jumlah itu sudah cukup mewah.

“Dummm…Dummm…!”, bergema bunyi bedil yang terletak di Bukit Pak Apil, menandakan masuk waktu berbuka puasa. Meriam itu juga ditembak ketika sudah masuk waktu imsak. Sejarah bermulanya tradisi tembakan meriam sebagai petanda masuk waktu berbuka puasa dikatakan bermula ketika era Dinasti Mamluk di Kaherah pada abad ke-15 hingga abad ke-19. Pada mulanya, Kerajaan ingin menguji meriam yang baharu dibeli. Kebetulan, waktu itu adalah waktu Maghrib. Penduduk Kaherah menyangka tembakan meriam itu adalah pengkhabaran waktu berbuka puasa.

Lakaran manuskrip latihan main lembing pada era Dinasti Mamluk

Pasha yang memerintah pada ketika itu melihat ketakjuban rakyat akan hal tersebut dan terus mengisytiharkannya sebagai satu inovasi baharu dan polisi bagi memaklumkan masuknya waktu berbuka puasa. Mungkin itulah asal-usul tembakan meriam di Bukit Besar.

Setiap malam, Ustaz Mad akan bersama anak-anak lelaki menunaikan Solat Tarawih di balasoh. Ayoh, malang ni buleh dop kite solat lapang raka’at je?”, tanya Mi tertunduk-tunduk. Mungkin takut dimarahi ayahnya. Pertanyaan yang sudah pasti mewakili adik-adiknya yang bersembunyi di belakang abang sulung mereka.

“Due puloh. Lepah tu witir. Baru kite kelik rumoh.” jawab Ustaz Mad ringkas dan tegas. Jarang sekali Ustaz Mad mendirikan solat Tarawih di rumah bersama-sama keluarganya. Sesekali, Hajah Ramlah dan anak-anak perempuannya turut serta ke balasoh jika beliau tidak solat Tarawih di rumah.

Solat Tarawih merupakan suatu solat yang dituntut bagi umat Islam untuk melaksanakannya. Ganjaran melakukannya adalah sangat besar, sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‎مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang melakukan qiyam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran serta keampunan, akan diampunkan buatnya dosa-dosa yang terdahulu.” [10]

Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa perbuatan qiyam Ramadhan yang meliputi solat Tarawih, pembacaan al-Quran, zikir dan doa, serta selainnya daripada ibadah yang dilakukan pada malam hari bulan Ramadhan, sekiranya ia dilakukan dengan penuh keimanan akan pensyariatannya serta mengharapkan ganjaran pahala dari Allah SWT, nescaya pelakunya akan diampunkan dosa-dosa kecilnya yang terdahulu.

Imam Al-Nawawī di dalam kitab beliau Sharḥ Al-Nawawī ʿalā Muslim menyatakan: “Qiyam Ramadhan adalah solat Tarawih’’.[11]

Pensyariatan solat tarawih dapat dilihat melalui sebuah riwayat daripada Umm Al-Mu’minīn ʿĀ’ishah radhiallāhu ʿanhā bahawa beliau berkata:

 ‎أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم صَلَّى ذَاتَ لَيْلَةٍ فِي الْمَسْجِدِ فَصَلَّى بِصَلاَتِهِ نَاسٌ، ثُمَّ صَلَّى مِنَ الْقَابِلَةِ فَكَثُرَ النَّاسُ، ثُمَّ اجْتَمَعُوا مِنَ اللَّيْلَةِ الثَّالِثَةِ أَوِ الرَّابِعَةِ، فَلَمْ يَخْرُجْ إِلَيْهِمْ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم، فَلَمَّا أَصْبَحَ قَالَ ‏‏ قَدْ رَأَيْتُ الَّذِي صَنَعْتُمْ وَلَمْ يَمْنَعْنِي مِنَ الْخُرُوجِ إِلَيْكُمْ إِلاَّ أَنِّي خَشِيتُ أَنْ تُفْرَضَ عَلَيْكُمْ ‏ وَذَلِكَ فِي رَمَضَانَ

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW pada suatu malam sedang solat di dalam masjid. Maka orang ramai pun mengikut solat bersama baginda. Kemudian pada malam berikutnya, baginda solat sekali lagi dan jemaah yang mengikutnya semakin banyak. Pada malam yang ketiga atau keempat, orang ramai berkumpul menanti ketibaan Rasulullah SAW sebaliknya baginda tidak keluar kepada mereka. Apabila masuk waktu subuh, baginda bersabda kepada para jemaah: ‘Sesungguhnya aku telah melihat apa yang kamu semua lakukan. Dan tidaklah yang menghalang aku dari keluar kepada kamu melainkan aku takut solat itu akan difardhukan ke atas kamu semua. Yang demikian itu berlaku pada bulan Ramadan.”[12]

Berdasarkan hadis di atas, Rasulullah SAW pada malam hari pertama bulan Ramadan baginda keluar menuju ke masjid pada waktu malam dan mendirikan solat. Kemudian orang ramai yang berada di sekitar turut serta mengikuti solat malam Rasulullah SAW. Demikian juga pada malam yang kedua. Cuma bilangan jemaah yang solat bersama baginda semakin ramai. Manakala malam yang berikutnya, bilangan jemaah semakin ramai sehingga memenuhi masjid.

Maka pada malam yang berikutnya, Rasulullah SAW tidak keluar ke masjid dan ramai orang pada ketika itu yang menanti kehadiran baginda. Sebaik sahaja waktu subuh, selepas sahaja solat baginda berpaling seraya mengatakan sebagaimana yang disebutkan dalam hadis di atas.

Shaykh Shams al-Ḥaqq al-ʿAẓīm al-Ābādi ketika mensyarahkan hadis ini beliau berkata: “Baginda khuatir solat tarawih akan difardhukan ke atas mereka. Ini kerana boleh jadi berlakunya kefardhuan atas perbuatan qiyam Ramadhan secara berjamaah disebabkan ia dibuat secara berterusan’’.[13]

Maka, zahir dari hadis ʿĀ’ishah radhiallāhu ʿanhā di atas adalah menunjukkan kepada keharusan mendirikan solat sunat tarawih di rumah. Bahkan berjemaah dalam melakukan solat tarawih itu adalah lebih afdhal berbanding secara bersendirian.

Imam Al-Nawawī berkata :

وَتَجُوزُ مُنْفَرِدًا وَجَمَاعَةً وَأَيُّهُمَا أَفْضَلُ فِيهِ وَجْهَانِ مَشْهُورَانِ كَمَا ذَكَرَ الْمُصَنِّفُ وَحَكَاهُمَا جَمَاعَةٌ قَوْلَيْنِ (الصَّحِيحُ) بِاتِّفَاقِ الْأَصْحَابِ أَنَّ الْجَمَاعَةَ أَفْضَلُ

Maksudnya : Dan dibolehkan (solat Tarawih itu dilakukan) secara bersendirian dan juga secara berjemaah. Berkenaan yang manakah yang afdhal antara keduanya terdapat dua pendapat yang masyhur sebagaimana yang disebutkan oleh musannif dan diceritakan oleh majoriti (al-Shāfiʿiyyah), yang sahih secara sepakat oleh ashab, secara berjemaah itu adalah lebih afdhal.[14]

____________________

[1] Semua

[2] Bersahur

[3] Lagipun (Biasa diletakkan di hujung ayat)

[4] Riwayat al-Bukhari (1923), dan Muslim (1095)

[5] Azan

[6] Riwayat al-Bukhari (620)

[7] Lihat Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (6/333)

[8] Teruk

[9] Puasa separuh hari

[10] Riwayat Al-Bukhari (37)

[11] Lihat Sharḥ Nawawī ʿalā Muslim, (6/377)

[12] Riwayat Al-Bukhari (1129)

[13] Lihat ʿAwn al-Maʿbūd Sharḥ Sunan Abī Dawūd (4/180).

[14] Lihat Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, Al-Nawawi (4/31)

9 thoughts on “Bab 3: Ramadhan di Kubang Kekura

  1. NOR AZLINA BINTI SHAARI says:

    Tahniah Datuk…suka saya baca cerita Datuk mengingati semula berpuasa zaman dahulu…bertukar juadah dengan jiran setiap petang dijadikan amalan..alhamdulillah saya masih teruskan amalan ini walau agak janggal bg kawasan kejiranan saya .Penggunaan kata balasoh..kami orang Kedah panggil menaksoh(surau)

  2. Asmadi bin Mohamad says:

    Tradisi tembakan meriam (bedil) sudah sebati dengan rakyat Terengganu. Saban hari ramadhan bunyi bedil merupakan irama paling seronok didengar oleh kanak-kanak menandakan waktu berbuka puasa. Azan maghrib tidak akan dilaungkan selagi bedil tidak berbunyi. Paling syok sekali bila pengumuman nak raya maka bedil akan ditembak berbelas-belas das dari Bukit Pak Apil. Rumah kami di Jalan Pusara, K.Tganu (dekat jirat cina) paling jelas melihat bedil ditembak dari bukit tersebut. Seolah-olah melihat peluru berpandu Scud dtembak oleh tentera Iraq naik ke udara dalam perang teluk sewaktu ketika dahulu. Sampai satu ketika pernah bergegar rumah kami bila bedil meletup diudara. Mungkin askar terlebih letak ubat bedil agaknya. Itu dulu..sekitar tahun 80an. sekarang bedil tiada lagi. tradisi ni dah diganti dengan bedilan bunga api. Tapi feel tak sama la macam meriam betul. setelah puluhan tahun merantau diluar Terengganu, saya belum jumpa lagi suasana bedilan meriam untuk berbuka puasa. Terima kasih Tuan Guru mengingatkan saya kenangan sewaktu kecil.
    Asmadi Mohamad
    Surau Al Madani Bandar Baru Bangi

  3. Eda Taufiq says:

    Ingat senggoti zamang puase yok yok – kelik skoloh mok tnya puase dop – angguk pala, kat skoloh doh teguk air paip abisan; tebeng jugok posa cukup sari tapi gok lepek/lembik lottek … pucat kesi

  4. Afiqah Latip says:

    MashaAllah bestt gambaran suasana puasa masa dulu2….tazkirah yg santai tapi sampai dan mudah difahami…terbaik ustaz…bab 3 is done✅

  5. Wani says:

    masa zame sekoloh rendoh menengoh dulu tok brehi kueh2 kg..tok tahu bakpo tapi sejak dh meningkat umo jd nok make nekbak, lepat pise, teghi mandi..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *