Prolog II
Alhamdulillah telah selesai jilid pertama yang menghimpunkan 59 bab, catatan memoir kehidupan saya bermula sejak lahir sehingga menamatkan perkhidmatan di USIM. Para pembaca boleh membacanya secara keseluruhan dalam Bahasa Melayu di sini atau Bahasa Inggeris di sini.
Jilid kedua ini lebih menjurus kepada pengalaman-pengalaman saya sewaktu menjawat jawatan Mufti Wilayah Persekutuan. Banyak kisah suka duka sepanjang bergelar Mufti, saya kongsikan dalam jilid ini. Ada yang sudah diketahui umum, ada juga yang tidak. Mengingatnya kembali, kadangkala membuatkan saya tersenyum sendirian. Tidak kurang juga yang menitiskan air mata. Apa yang pasti, pengalaman 7 tahun dalam dunia kefatwaan dan tadbir urus kefatwaan akan saya kongsikan dengan mendalam, untuk manfaat semua lapisan masyarakat.
Terima kasih atas sokongan semua!
******************
“Ana ada dapat panggilan, untuk ana terima satu amanah yang amat berat. Apa pandangan enta?”, tanya Zulkifli kepada Hashim, salah seorang pembantunya. Zulkifli menceritakan satu persatu, beberapa siri pertemuannya dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom yang menyampaikan hasrat Kerajaan Persekutuan untuk melantiknya sebagai Mufti Wilayah Persekutuan. Jawatan tersebut tidak diisi oleh sesiapa lagi selepas tamat kontrak Mufti Wilayah Persekutuan ke-6, Sahibus Samahah Datuk Wan Zahidi Wan Teh.
“Kali terakhir, ana jumpa YB Menteri baru-baru ni di Masjid Tuanku Mizan, Putrajaya. Apa-apa pun, rahsiakan dulu ya…”, ujar Zulkifli. Nampak riak wajahnya agak serius dan memerah. “Ana rasa, molek ustaz bincang dengan keluarga jugak.”, Wajdi menyampuk menyampaikan cadangannya. Zulkifli mengangguk setuju.
Hashim dan Wajdi saling berpandangan dengan pandangan yang kosong. Kedua-dua pembantunya ini seakan kelu untuk meneruskan kata-kata. Kebiasaannya, Zulkifli suka bertanyakan pandangan para pembantunya dalam memutuskan sebarang perkara walaupun sekecil-kecil isu. Kali ini, entah mengapa masing-masing terdiam.
Jawatan tersebut tidak pernah diminta. Apata lagi perbuatan meminta jawatan adalah dilarang keras oleh Rasulullah SAW.
إِنَّكُمْ سَتَحْرِصُونَ عَلَى الْإِمَارَةِ، وَسَتَكُونُ نَدَامَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ، فَنِعْمَ الْمُرْضِعَةُ وَبِئْسَتِ الْفَاطِمَةُ
Maksudnya: “Sesunguhnya kamu semua akan mendambakan jawatan dan sesunguhnya kamu akan menyesal. Maka sebaik-baik adalah bayi yang menyusu, dan yang seburuk-buruknya adalah bayi yang tidak lagi disusui.”[1]
Begitu mendalam perumpamaan Rasulullah SAW terhadap jawatan. Kata al-Kirmani, sebaik-baik adalah bayi yang menyusu memberi makna di awal jawatan itu bersamanya harta, jawatan, kelazatan dari sudut luaran, serta sangkaan. Adapun pengakhirannya diumpamakan seperti bayi yang dilepaskan susu ibunya kerana jawatan itu berakhir dengan pembunuhan, pema’zulan, dan tuntutan di akhirat.[2]
Di dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda:
يَا عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ سَمُرَةَ، لَا تَسْأَلِ الْإِمَارَةَ، فَإِنَّكَ إِذَا أُعْطِيتَهَا عَنْ مَسْأَلَةٍ وُكِلْتَ فِيهَا إِلَى نَفْسِكَ، وَإِنْ أُعْطِيتَهَا عَنْ غَيْرِ مَسْأَلَةٍ أُعِنْتَ عَلَيْهَا
Maksudnya: “Wahai Abdul Rahman bin Samurah, janganlah kamu meminta-minta jawatan. Sesungguhnya jika engkau memintanya, maka kamu akan menanggung beban itu sendiri. Tetapi jika engkau dilantik tanpa meminta, maka engkau akan dibantu padanya.”[3]
Hadis ini menjelaskan tentang ancaman bagi mereka yang meminta jawatan. Jika seseorang itu meminta jawatan, maka akan diberi kepadanya permintaan itu tanpa pertolongan (Allah SWT) dalam menyelesaikan kerja tersebut. Disimpulkan juga bahawa hukum meminta yang berkaitan dengan kekuasaan seperti pemerintahan, penguasaan dan apa yang berkaitan dengannya adalah makruh.[4]
Pun begitu, larangan ini bukanlah pengharaman terus daripada meminta jawatan. Sebaliknya, ia adalah peringatan tentang bahayanya sesuatu amanah dan tanggungjawab tanpa persediaan atau sekadar bermatlamatkan habuan dunia. Bahkan bagi individu yang mempunyai kekuatan dan mampu memegang amanah, dibolehkan untuk meminta jawatan tersebut. Hal ini dapat dilihat dalam kisah Nabi Yusuf AS meminta jawatan sebagai menteri di Mesir. Firman Allah SWT:
قَالَ اجْعَلْنِي عَلَىٰ خَزَائِنِ الْأَرْضِ ۖ إِنِّي حَفِيظٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: Yusuf berkata: “Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya.”[5]
Zulkifli pernah terbaca pandangan gurunya, Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili yang menjelaskan bahawa ayat ini memberi maklum balas berkenaan hadis larangan meminta jawatan dan tatacara kepada umat Islam jika menginginkan jawatan. Apa yang dapat disimpulkan daripada hadis larangan meminta jawatan dan ayat al-Quran di atas adalah:
- Individu yang tidak mempunyai karakter seorang pemimpin seperti lemah, tua, atau sekadar mementingkan diri sendiri sahaja, adalah dilarang daripada meminta jawatan atau kekuasaan kerana tidak kompeten.
- Diharuskan bagi seseorang untuk meminta jawatan dan menunjukkan kesediaannya jika tujuan untuk memperkenalkan diri.
- Orang yang meminta jawatan perlu mempunyai ciri-ciri seperti boleh dipercayai, kuat pengetahuan agama, dan sangat kompeten dalam hal kekuasaan.
- Diharuskan juga bagi seorang yang alim untuk bekerja dibawah seorang yang fasiq ataupun raja yang kafir jika tiada jalan lain lagi untuk menegakkan kebenaran. Tetapi jika pendapat dan keputusan orang alim tersebut seperti membenarkan hawa nafsu dan keinginan mereka, maka tidak boleh.
- Seseorang boleh mempromosikan dirinya kepada orang lain tentang ilmu, kehebatannya serta kemampuannya mengikut keadaan; seperti mencari pekerjaan dan yang sejenisnya.
- Komunikasi sesama manusia menjadi perkara yang penting dalam mengenali antara satu sama lain, maka orang yang mahu akan jawatan juga harus pandai dalam berkomunikasi.[6]
********************
Solat sunat istikharah dan doa munajat menjadi peneman saban malam. Zulkifli masih belum membuat apa-apa keputusan. Berkenaan dengan solat istikharah, ia adalah di antara sunnah yang diajarkan oleh Nabi saw. Ini berdasarkan satu riwayat daripada Jabir Bin Abdullah:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعَلِّمُنَا الاِسْتِخَارَةَ فِي الأُمُورِ كُلِّهَا كَمَا يُعَلِّمُنَا السُّورَةَ مِنَ القُرْآنِ ، يَقُولُ : إِذَا هَمَّ أَحَدُكُمْ بِالأَمْرِ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ مِنْ غَيْرِ الفَرِيضَةِ ، ثُمَّ لِيَقُلْ : اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ ، وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ ، وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ العَظِيمِ ، فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلاَ أَقْدِرُ ، وَتَعْلَمُ وَلاَ أَعْلَمُ ، وَأَنْتَ عَلاَّمُ الغُيُوبِ ، اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ خَيْرٌ لِي فِي دِينِي وَمَعِيشَتِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي ، أَوْ قَالَ : فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ ، فَيَسِّرْهُ لِي ، ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ ، وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ شَرٌّ لِي فِي دِينِي وَمَعِيشَتِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي ، أَوْ قَالَ : فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ ، فَاصْرِفْهُ عَنِّي ، وَاصْرِفْنِي عَنْهُ ، وَاقْدُرْ لِي الخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ، ثُمَّ أَرْضِنِي بِهِ ، قَالَ : وَيُسَمِّي حَاجَتَهُ.
Maksudnya : “Rasulullah saw pernah mengajarkan kami tentang memohon pilihan bagi semua perkara (istikharah) sepertimana Baginda mengajarakan kami surah daripada al-Quran. Baginda bersabda : Jika salah seorang dari kalian gusar tentang satu perkara maka rukuklah dua rakaat selain dari yang fardu. Kemudian katakanlah : Ya Allah, aku memohon pilihan dengan ilmu-Mu, aku memohon kekuatan dengan kekuatan-Mu, Aku juga memohon daripada limpahan-Mu yang Agung. Engkau mampu sedangkan aku tidak. Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak tahu. Engkau Maha Tahu tentang perkara yang ghaib. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa perkara ini baik untuk untuk agamaku, kehidupanku dan penghujungku. Ataupun Nabi bersabda : sama ada perkara yang segera atau yang lambat. Maka permudahkanlah urusanku dan berkatilah aku dalam urusan tersebut. Jika Engkau tahu bahawa perkara ini buruk bagiku pada agamaku, kehidupanku dan penghujung hidupku. Ataupun Baginda bersabda : sama ada yang segera atau yang lambat. Maka, jauhkanlah ia dariku dan jauhkan aku darinya. Dan tentukan bagiku yang terbaik kemudian redhailah aku dengannnya. Kemudian Baginda bersabda : Orang itu (boleh) menyatakan hajatnya.”[7]
Selesai solat Subuh, Zulkifli menyelak beberapa buah kitab di perpustakaan peribadinya. Antara yang dicapainya adalah kitab I’lam al-Muwaqi’in oleh Ibn al-Qayyim dan Sifat al-Mufti wa al-Mustafti oleh Ibn Hamdan al-Harrani.
Ibn Qayyim menganggap bahawa seorang mufti adalah sebagai pemberi khabar tentang ketentuan hukum Allah SWT dalam satu-satu perkara melalui ijtihad dan fatwanya. “Apabila tandatangan seorang raja dan persetujuannya tentang sesuatu memiliki keistimewaan dan kemuliaan yang tidak dinafikan, apatah lagi tandatangan dan persetujuan Rab al-‘Alamin, penguasa langit dan bumi.”[8]
Ibn Hamdan al-Harrani menggariskan ciri-ciri seorang Mufti iaitu seorang Muslim, mukallaf, adil, faqih, mujtahid, seorang yang sedar, dan sihat akal fikiran serta elok perlakuannya dalam fiqh dan hal-hal berkaitan dengannya. Begitu juga perincian yang hampir sama dikemukakan oleh Imam al-Juwaini dalam al-Waraqat iaitu seorang Mufti mestilah alim ilmu fiqh, usul dan juga furu’, khilaf dan juga mazhab. Seorang Mufti hendaklah mampu berijtihad, arif terhadap proses istinbat hukum, arif tatabahasa dan Bahasa Arab, ma’rifah al-rijal, tafsir ayat hukum, dan lain-lain hukum-hakam.
Imam al-Nawawi pula menyenaraikan 10 syarat kelayakan seorang Mufti iaitu mukallaf, Muslim, dipercayai, bersih daripada sifat-sifat yang dicurigai, tidak berperilaku fasik dan menjatuhkan maruah, faqih, kefahaman yang baik, telus, betul urusan dan kaedah istinbatnya serta sentiasa berwaspada. Penyampaian fatwa pula perlu difahami semua lapisan masyarakat samada merdeka, hamba, wanita, tua, atau bisu.[9]
Zulkifli meneliti satu-persatu senarai kitab berkenaan fatwa yang dimilikinya, begitu juga yang tercatat di beberapa buah kitab lain. Fatwa ini bukan satu ilmu yang boleh dipraktikkan sejurus selepas mempelajarinya bahkan ia adalah sebuah seni yang memerlukan kemahiran dan pengalaman. Antara kitab-kitab klasik berkenaan fatwa adalah:
- Usul al-Futya ‘ala Mazhab Malik oleh Syeikh Muhammad bin al-Harith al-Khasyni.
- Risalah al-Futya oleh Abu al-Qasim ‘Abd al-Wahid bin Hussain al-Soimari al-Syafie.
- Ta’zim al-Futya oleh Imam Ibn al-Jauzi.
- Adab al-Mufti wa al-Mustafti oleh Imam Ibn al-Solah.
- Al-Ihkam fi Tamyiz al-Fatwa ‘an al-Ahkam oleh Imam al-Qarafi.
- Adab al-Futya oleh Imam Jalaluddin al-Suyuti.
- Manar Usul al-Fata wa Qawa’id al-Ifta’ bi al-Aqwa oleh Syeikh Ibrahim al-Laqqani.
- Al-Jami’ fi al-Ijtihad wa al-Fatwa wa al-Taqlid oleh Syeikh Abdul Malik bin Abdullah bin Yusuf al-Juwaini.
- Jawaz al-Ifta’ bi Qaul Kullin min al-Muta’akhkhirin min al-Ulama’ oleh Al-Allamah Syeikh Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi.
Tak dilupakan, beberapa buah kitab moden berkenaan fatwa yang amat baik seperti:
- Solah al-A’lam bi Ifta’ al-‘Alim oleh Syeikh Hamid bin Ali.
- Sina’ah al-Fatwa oleh Syeikh Abdullah bin Bayyah
- Sina’ah al-Ifta’ oleh Syeikh Dr. Ali Jum’ah.
- Al-Fatwa baina al-Indibat wa al-Tasayyub oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi.
******************
Ketika dalam perjalanan menuju ke Masjid An-Nur USJ4 bagi menyampaikan Kuliah Maghrib, Zulkifli mencapai telefon pintarnya. Aplikasi Facebook dibuka dan jari jemarinya pantas menaip.
Alhamdulillah dirafa’kan setinggi kesyukuran kepada ALLAH SWT. Pada hari ini, 19 Jun 2014, saya telah menandatangani suatu surat lantikan sebagai Mufti Wilayah Persekutuan.
Jawatan ini merupakan amanah yang paling berat antara hamba dengan Tuhan-Nya.. Sesungguhnya taklif ini memerlukan sokongan dan dokongan daripada para alim ulama’ dan cerdik pandai agar hukum yang diputuskan benar-benar menepati syariat Islamiyyah yang disulami dengan roh tasamuh.
Sesungguhnya melaksanakan tugas seperti ini memerlukan mujahadah dan kesungguhan mentelaah dan menekuni ilmu. Sejujurnya harapan saya dan tawakkal hanya kepadaNya sahaja. Semoga ALLAH SWT merahmati hamba yang dhaif ini dengan diberi kefahaman Islam.
Kepada rakan-rakan, sahabat handai dan juga ahli keluarga yang telah mengucapkan tahniah pada diri ini, saya merakamkan ucapan balas terima kasih dan mohon doakan saya sentiasa diberi taufiq dan hidayah daripada-Nya.
Akhukum fillah,
Ustaz Dr.Zulkifli Mohamad al-Bakri,
Lebuhraya Elite Menuju Masjid An-Nur USJ4,
1906H 19Jun 2014.
Butang post ditekan.
Hatinya berbisik, membacakan doa yang menjadi antara doa-doa istiftah yang dibaca dalam solat.
اللَّهُمَّ رَبَّ جَبْرَائِيلَ وَمِيكَائِيلَ وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ. اهْدِنِي لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ
Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan malaikat Jibril, Mikail, dan Israfil. Pencipta langit dan bumi. Yang mengetahui hal ghaib dan juga nyata. Engkaulah hakim di antara hamba-hamba-Mu dalam hal-hal yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah aku kebenaran dalam apa yang diperselisihkan, dengan izin-Mu. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk menuju jalan yang lurus, kepada siapa saja yang Engkau kehendaki.”[10]
__________________
[1] Riwayat al-Bukhari, no. 7148
[2] Umdat al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari, 24/277
[3] Riwayat Abu Daud, no. 2929.
[4] Lihat ‘Aun al-Ma’bud: 5/56
[5] Surah Yusuf: 55
[6] Tafsir al-Munir: 13/11
[7] Riwayat al-Tirmizi (480),Ibnu Majah (1383).Imam al-Tirmizi menyatakan bahawa hadis ini bertaraf hasan sohih ghorib
[8] I’lam al-Muwaqi’in, (1/10-11)
[9] Adab al-Fatwa wa al-Mufti wa al-Mustafti, 19.
[10] Riwayat Muslim, no. 200