Bab 62: Meninggalkan atau Ditinggalkan

“En. Hilmi, boleh tak ana nak tengok sikit web kita?”, tanya Zulkifli kepada Penolong Mufti Bahagian Khidmat Sokongan semasa pertemuan di biliknya.

“Baik. Sekejap ya Dr. Saya panggil Shahrul.”, balas En. Hilmi yang bingkas beredar untuk mendapatkan Shahrul yang merupakan Juruteknik Komputer di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

2 minit kemudian, Shahrul memberi salam dan masuk ke bilik Zulkifli. “Ya Dr. Dr nak tengok web Pejabat Mufti ya? Kejap Dr. Saya buka laptop.”, kata Shahrul lantas mencapai komputer riba di dalam beg galasnya.

Zulkifli meneliti rekabentuk laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang telah dibina pada zaman Mufti sebelumnya. Beliau mencatat sesuatu dalam bukunya. “Setakat ni, berapa ramai yang masuk tengok web ni?”, tanya Zulkifli dengan serius. Berkerut dahinya.

Shahrul menjawab ringkas, “Lebih kurang 25,000 orang visitors, Dr.”

“Ana nak capai 10 juta. Insya-Allah kita usahakan.”, balas Zulkifli, tersenyum.

********************

Selain mengeluarkan fatwa dan pandangan hukum bagi kepentingan umat Islam di Malaysia, institusi kefatwaaan juga bertanggungjawab bagi memastikan fatwa dan pandangan hukum yang dikeluarkan itu sampai kepada masyarakat.

Oleh sebab itu, penting bagi pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bagi memastikan medium penyampaian fatwa yang digunapakai berkesan dan membantu untuk fatwa yang dikeluarkan itu sampai keapda masyarakat di seluruh Wilayah Persekutuan dan juga Malaysia amnya. Seiring dengan perkembaangan teknologi masa kini, terdapat lebih banyak maklumat yang boleh dicapai melalui media baharu seperti laman web, dan media sosial berbanding media komunikasi sedia ada seperti akhbar, radio dan sebagainya.

Sekitar 30-40 tahun lalu, fatwa Mufti disampaikan melalui lisan para tuan guru dan asatizah yang mengajar di masjid dan balasoh. Begitu juga melalui risalah yang diedarkan setiap kali selesai Solat Jumaat. Seiring dengan perkembangan zaman, terdapat dua kaedah peyampaian fatwa iaitu media cetak dan media elektronik. Penyampaian fatwa menggunakan media cetak dilakukan melalui buku, edaran risalah dan akhbar manakala penyampaian fatwa menerusi media elektronik dibuat dengan hebahan melalui radio dan televisyen. Cuma, kedua-dua kaedah ini ada banyak kelemahan yang ketara.

Datangnya era millennium menyaksikan penggunaan media sosial yang lebih bersifat mesra pengguna dan memudahkan interaksi antara pemberi dan penerima maklumat. Melihat akan perkembangannya yang semakin pesat, Zulkifli mengarahkan supaya diwujudkan akaun Facebook bagi Mufti Wilayah Persekutuan. Setiap program hariannya dimuatnaik di Facebook untuk tatapan warganet. Sesekali, dimasukkan tazkirah dan soal jawab hukum.

Zaman kini, terdapat banyak isu-isu kontemporari yang timbul dan kebanyakannya masih tiada sebarang hukum dan penetapan yang diputuskan. Hal ini menyebabkan timbulnya kemusykilan dalam kalangan masyarakat berhubung hukum bagi sesuatu perkara. Fatwa dan pandangan hukum merupakan satu keperluan untuk mengetahui sesuatu hukum syara’ bagi memastikan manusia sentiasa berada pada landasan Islam yang sebenar.

“Ana rasa, dah sampai masa ana buat ruang soal jawab, kenyataan pendirian Mufti, di laman web Pejabat Mufti. Benda ni dah lama dibuat di al-Azhar, di Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, badan-badan fatwa berautoriti macam Majma’ Fiqh Islami dan lain-lain. Kita kena mula sekarang, tinggalkan gaya lama. Kalau tak, kita yang akan tertinggal ke belakang dengan kemajuan teknologi. Apa pandangan enta?”, tanya Zulkifli kepada Razif, salah seorang staf beliau.

Razif membalas, “Ana setuju ustaz. Facebook ustaz. pun bertambah followers hari-hari. Makin ramai PM tanya jawapan-jawapan isu semasa. Jawapan-jawapan ni kena segera bagi ana. Esok lusa mari isu baru pulak”. Razif turut menunjukkan ratusan soalan yang masuk saban hari di kotak mesej Facebook rasmi Mufti Wilayah Persekutuan.

Zulkifli mengangguk tanda setuju. Beliau terdiam seketika. “Ana pernah terbaca, siri Bayan Linnas daripada al-Azhar al-Syarif. Terbit zaman Syeikhul Azhar Syeikh Jad al-Haq ‘Ali Jad al-Haq. Zif, apa pandangan kalau Mufti Wilayah Persekutuan pun ada satu siri khas kenyataan isu-isu semasa peringkat nasional, dengan nama Bayan Linnas?”. Zulkifli  memandang Razif dengan riak wajah yang serius.

“Setuju. Apa yang baik, kita ambik. Buat terus. Ini zaman ustaz. Ustaz buatlah apa-apa pun pembaharuan yang ustaz nak. Insya-Allah ramai sokong di belakang. Satu hari nanti kita bukukan, berjilid-jilid.”, jawab Razif dengan penuh bersemangat.

Bayan Linnas 3 Jilid

Mengambil inspirasi sempena nama kitab Imam Jalaluddin al-Suyuti iaitu al-Hawi li al-Fatawi, Zulkifli turut mewujudkan ruangan Al-Kafi li al-Fatawi di dalam web. Al-Hawi li al-Fatawi oleh Imam al-Suyuti menghimpunkan banyak persoalan meliputi masalah fiqh, ilmu tafsir, hadis, usul fiqh, ‘aqidah, ilmu bahasa ‘Arab (nahu, i’rab) dan berbagai bidang ilmu yang lain. Di samping itu, dalam kitab ini juga disertakan beberapa risalah yang telah disusun oleh Imam al-Suyuti mengenai beberapa masalah agama yang timbul pada zamannya. Sebagaimana yang ada dalam kitab berkenaan, itulah yang ditampilkan oleh Zulkifli dalam Al-Kafi li al-Fatawi.

Hari demi hari, web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan semakin menerima pengunjung dari seluruh pelusuk negara. Beberapa kali Bahagian Khidmat Sokongan menerima laporan berkenaan masalah web yang hang disebabkan terlalu ramai pengunjung pada satu-satu masa. “Kita kena salin baru doh web tu! Esok kita buat meeting.”, ujar Zulkifli kepada En. Hilmi apabila menerima laporan berkenaan.

*********************

Tidak ada hari-hari di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang lengang tanpa pengunjung, melainkan setiap waktu ada sahaja yang datang dengan hajat masing-masing. Ada yang ingin menemubual bagi kajian yang dilakukan, ada yang ingin memohon nasihat dan pandangan. Tidak kurang juga yang ingin meluah perasaan.

Pada petang 21 Ogos 2014, Zulkifli menerima kunjungan Habib Ali Zainal ‘Abidin al-Hamid daripada Majlis Ta’lim Darul Murtadza. Banyak isu yang dibincangkan terutamanya melibatkan soal dakwah dan penyampaian ilmu kepada masyarakat awam khususnya di Wilayah Persekutuan.

Sedang keduanya berbual, telefon pintar Zulkifli berdering. “Mohon maaf Habib. Ada panggilan telefon. Sekejap ya.”, kata Zulkifli memohon izin untuk menjawab panggilan tersebut. Beliau bangun menuju ke mejanya.

Panggilan tersebut daripada Radio IKIM yang bertanyakan hukum-hakam berkenaan anjing. Zulkifli mengulas dengan panjang lebar tentang fiqh anjing menurut mazhab-mazhab dalam Islam, dan penekanan diberikan kepada Mazhab Syafie.

“Ya…ya. Betul. Anjing adalah termasuk sebagai najis mughallazah iaitu najis berat. Sama ada yang digunakan untuk berburu atau tidak, yang kecil atau yang besar. Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah R.A:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْتِي دَارَ قَوْمٍ مِنَ الأَنْصَارِ وَدُونَهُمْ دَارٌ ، قَالَ : فَشَقَّ ذَلِكَ عَلَيْهِمْ ، فَقَالُوا : يَا رَسُولَ اللهِ ، سُبْحَانَ اللهِ تَأْتِي دَارَ فُلاَنٍ ، وَلاَ تَأْتِي دَارَنَا ، فقَالَ : فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لأَنَّ فِي دَارِكُمْ كَلْبًا ، قَالُوا : فَإِنَّ فِي دَارِهِمْ سِنُّوْرًا ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ السِّنُّوْرَ سَبُعٌ

Maksudnya : “Nabi SAW pernah masuk ke rumah seorang Ansar dan Nabi juga pernah tidak masuk ke rumah seorang Ansar yang lain. Abu Hurairah berkata: Perbuatan tersebut menyebabkan mereka terasa. Mereka berkata: Wahai Rasulullah, Maha Suci Allah, engkau masuk ke rumah fulan dan tidak masuk ke rumah kami. Nabi SAW bersabda : Ini kerana di dalam rumah kamu ada anjing. Mereka berkata : Di dalam rumah mereka terdapat sinnur (sejenis kucing yang disebut juga felidae). Maka Nabi SAW menjawab : Sesungguhnya sinnur itu adalah haiwan liar.”[1]

Mengikut mazhab kita iaitu mazhab Syafie, setiap inci bagi seekor anjing itu adalah dikira sebagai najis. Sepertimana yang dikatakan oleh Imam al-Nawawi.[2]

Sentuh anjing secara sengaja kerana menajiskan diri tanpa tujuan atau hajat pun haram di sisi Islam. Sepertimana yang dinyatakan oleh Imam al-Bujairimi dan Syeikh Ibnu Hajar al-Haithami:

التضمخ بالنجاسة إنما يحرم

Maksudnya: Menyentuh najis secara sengaja ia adalah haram.[3]

Selesai temubual, Zulkifli kembali ke sofa dan menyambung perbualan dengan Habib ‘Ali Zainal Abidin al-Hamid. “Macam nilah Habib, penuh jadual ana dari pagi sampai sekarang. Doakan ana moga dipermudahkan segala urusan…”, ujar Zulkifli kepada Habib ‘Ali yang berada di sebelahnya.

“Masya-Allah Dr. Walaupun sibuk, moga sentiasa dalam barakah dan rahmat Allah. Jadi, Dr. boleh tak hadir Majlis Maulid Bulanan di Masjid Muadz bin Jabal 29 Ogos nanti? Harapnya ada kelapangan masa Dr. bersama kami. Insya-Allah Syeikh Hamza Yusuf pun ada.”, kata Habib Ali kemudian mencicip Teh O yang dihidangkan.

Zulkifli ketawa kecil, kagum dengan kesungguhan Habib Ali untuk menjemputnya ke program berkenaan. Kata beliau, “Boleh Habib, insya-Allah. Tak sepatutnya ana tolak jemputan daripada Habib. Wallahi, ini satu penghormatan bagi ana untuk berada dalam majlis yang cukup barakah. Insya-Allah nanti ana maklumkan kepada PA ana untuk kosongkan jadual malam tu.”

__________________

[1] Riwayat Ahmad, no. 8324 di dalam Musnad

[2] Al-Minhaj bi Syarh Sahih Muslim, m. 185.

[3] Hasyiah Bujairami ala Syarah Minhaj al-Tullab, m. 105 dan Hawasyi Tuhfah al-Manhaj bi Syarah al-Minhaj, m. 174.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *