“Makin sibuk ye Zul sejak jadi Mufti?”, tanya Sarah kepada Tok Aki. Pisang goreng di tangan kanannya disuap ke dalam mulut.

“Hmm…macam tulah. Siang di pejabat. Malam kuliah di masjid, surau. Hujung minggu kadang-kadang ada program dakwah sehari ke Perak, Kedah, Johor. Kalau ada masa kosong pun, Zul menulis buku.”, jawab Tok Aki sambil mencicip Kopi O 434 yang masih panas.

“Ni Atuk nak masuk cite Zul tahun 2015. Banyak hok best, sedih, kelolo.”, kata Tok Aki menyeringai.

********************

Pada hari Khamis, 29 Januari 2015, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman telah menyampaikan satu pengumuman berkenaan status pencarian MH370. “Bagi pihak kerajaan Malaysia, kami secara rasmi mengisytiharkan pesawat MH370 sebagai satu kemalangan berdasarkan standard of Annexes 12 dan 13 Chicago Convention. Tanpa mengguris perasaan setiap ahli keluarga mangsa yang terkorban, pengumuman ini diharapkan mampu memberi bantuan yang mereka memerlukan, termasuk proses pampasan.”

Suasana semakin sayu. Beliau mengambil masa beberapa ketika untuk bertenang, dan menyambung pengumumannya dengan nada yang hiba. “Kami juga memahami bahawa MAS bersedia untuk meneruskan dengan kadar segera proses pampasan, dengan kesediaan waris untuk mengambil tindakan,” katanya.

Zulkifli menonton pengumuman itu melalui telefon pintarnya. Beliau menggelengkan kepala. “Innalillahi wa inna ilaihi raji’un.

327 hari proses pencarian menemui kegagalan. Pengumuman tersebut adalah penamat segala-galanya. Zulkifli mengimbas kembali kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (Majlis Fatwa Kebangsaan), Prof. Emeritus Tan Sri Dr Abd Shukor Husin pada 24 Mac 2014:

“Mesyuarat Jawatankuasa Khas Majlis Fatwa Kebangsaan malam tadi menetapkan pelaksanaan solat jenazah ghaib untuk penumpang dan anak kapal Penerbangan MH370 tidak perlu diadakan sekarang.

Anggota jawatankuasa sebulat suara bersetuju dan memutuskan bahawa kesemua anak kapal dan penumpang MH370 dikategorikan sebagai orang hilang (mafqud) dan dianggap sebagai orang yang telah meninggal dunia setelah usaha pencarian dibuat oleh pihak berkuasa. Keputusan itu dibuat setelah berbincang dan meneliti pandangan ulama dan beberapa pakar dalam subjek berkenaan selepas muzakarah khas bersidang lebih dua jam mulai 6 petang semalam.

Jawatankuasa fatwa juga memutuskan bahawa pengesahan kematian perlu dilakukan dan ditentukan di Mahkamah Syariah memandangkan ia penting untuk membolehkan pembubaran perkahwinan, pembahagian harta dan lain-lain yang membabitkan waris si mati, katanya.

Sehubungan itu, katanya, solat jenazah ghaib tidak diperlukan lagi buat masa sekarang kerana pihak kerajaan masih berusaha mencari kotak hitam, mencari mayat mangsa sekiranya ada dan pelbagai perkara yang berkaitan. Sekiranya pasukan penyelamat menemui cebisan mayat yang tidak dikenali langsung, cebisan berkenaan wajib dikumpulkan dan dimandikan sama seperti pengurusan jenazah Islam kerana mayat berkenaan tidak dapat dikenal pasti sepenuhnya.”

Itulah keputusan yang ditetapkan sebelum ini di peringkat Kerajaan Persekutuan.  Zulkifli juga –  sebelum menjadi Mufti – telah mengulasnya dengan panjang lebar dalam buku beliau, Tragedi MH 370: Solat Ghaib, Mafqud Dan Pelbagai Hukum.

Dapatkan dengan harga istimewa di https://pustakacahayakasturi.com.my/product/tragedi-mh370/

Ya, sepanjang 2014 isu MH370 adalah antara isu utama yang sering terpampang di dada akhbar. Apa yang menyedihkan, masih terdapat segelintir umat Islam yang masih mempercayai dan menggunakan khidmat bomoh dalam usaha menjejaki kehilangan MH370. Sehinggakan, ia menjadi bahan gurauan oleh masyarakat seluruh dunia. Media Arab, al-Arabiya.net misalnya mengeluarkan kenyataan “Sihir Adalah Jalan Terakhir Malaysia Mencari Kapal Terbang MH370” di dalam akhbarnya.

“Teropong buluh? Nyor? Ndape pulok ning…?”, Zulkifli bersungut sendirian, melihat telatah “Raja Bomoh” yang disebarkan oleh beberapa akhbar tempatan dan antarabangsa.

Islam tidak hanya membanteras semua tukang tilik dan bomoh, bahkan menegaskan sekali tentang dosanya yang berat terhadap semua orang yang mendatangi tukang tilik, dan mereka yang bertanya sesuatu kepada mereka, lalu dibenarkan segala tipu daya mereka dan perbuatan yang menyesatkan dari kalangan mereka.

Hukum mafqud (orang hilang) dibahaskan dengan terperinci dalam buku yang ditulis Zulkifli yang disiapkan dalam tempoh kurang sebulan.[1] Siang dan malam, Zulkifli bersama para pembantunya bersengkang mata menyelak helaian demi helaian timbunan kitab bagi mencari penyelesaiannya.

Mengikut pandangan Hanafiyyah dan Syafi’iyyah, isteri yang kehilangan suami tidak boleh berkahwin lain sehingga diketahui dengan jelas kematian suaminya. Ini berdasarkan hujah daripada al-Mughirah bahawa Nabi SAW bersabda:

امرأة المفقود امرأته حتى يأتي زوجها

Maksudnya: “Perempuan yang kehilangan suaminya, ditentukan kehilangan itu apabila pulangnya suaminya.”

Dan diriwayatkan daripada al-Hakim dan Himad daripada Ali:

لا تتزوج امرأة المفقود حتى يأتي موته أو طلاقه

Maksudnya: “Tidak boleh seseorang isteri berkahwin sehingga datangnya (ditemui) kematian atau penceraian suaminya.”

Para ulama’ berbeza pandangan dalam menetapkan tempoh mafqud sebelum seseorang itu dikira meninggal dunia. Sebahagian para ulama’ Syafi’iyyah menetapkan tempoh 90 tahun. Imam al-Mawardi menjelaskan di dalam kitabnya al-Hawi al-Kabir:

“Orang yang hilang dalam waktu yang lama dan tidak diketahui apakah masih hidup atau sudah mati, maka orang itu harus dihukumi hidup sehingga diketahui dengan pasti apakah mafqud tersebut sudah mati atau masih hidup, maka tidak boleh menghukumi kecuali dengan yakin. Dan sekiranya belum diketahui dengan yakin tentang kematiannya, maka wajib menunda dahulu kepemilikan hartanya sampai batas waktu yang telah ditentukan.”

*********************

Kenyataan oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) itu menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat berkenaan hukum-hakam melibatkan para penumpang MH370 yang beragama Islam.

Zulkifli sudah menjangkakannya lebih awal. Keputusan perlu dikeluarkan segera kerana keluarga mangsa sudah pasti tertanya-tanya tentang tindakan selanjutnya yang boleh mereka lakukan. Di sinilah institusi fatwa perlu memainkan peranannya dalam menyediakan panduan dan meleraikan pertikaian serta perbezaan pandangan yang berlaku.

Hanya 2 hari selepas kenyataan DCA, Zulkifli telah mengeluarkan Bayan Linnas bertajuk Penjelasan Hukum Terhadap Mangsa MH370. Antara yang dinyatakannya adalah:

  1. Penumpang MH370 telah meninggal dunia berdasarkan keputusan pihak berautoriti.
  2. Wajar melakukan solat jenazah ghaib dengan mengambil kira sebahagian daripada pendapat ulama. Termasuk juga tahlil dan berdoa untuk mangsa MH370 yang beragama Islam yang terkorban.
  3. Hak pewarisan berjalan mengikut keputusan Mahkamah Syariah.
  4. Tempoh iddah bolehlah dikira dan penentuan berdasarkan keputusan Mahkamah Syariah.
  5. Anak-anak mereka dianggap sebagai yatim jika belum akil baligh.

Keputusan ini mendapat liputan meluas akhbar tempatan. Rakyat Malaysia menerimanya dengan pasrah dan hati yang terbuka. M370 adalah satu tragedi berdarah yang akan kekal terpahat dalam sejarah negara.

Namun, isu-isu yang timbul bersama tragedi MH370 tidak terluput begitu sahaja terutamanya perkara yang melibatkan akidah.

“Zif, ada tugas baru kita kena buat ni.”, ujar Zulkifli pada satu pagi kepada pegawainya, semasa sedang meneliti surat-surat yang dialamatkan kepada Mufti Wilayah Persekutuan di pejabatnya. Zulkifli menghulurkan sepucuk surat kepada Razif sambil tersengih.

Razif membuka surat yang dihantar daripada Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dan membacanya dengan teliti. Berkerut dahinya. Razif meletakkan surat tersebut di sebelahnya dan memandang wajah Zulkifli dengan mata yang membuntang.

“Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan kena bagi kelas akidah kepada Raja Bomoh 1 Malaysia…”, katanya seakan-akan masih tidak percaya.

“Ye. Ni tanda keyakinan Mahkamah kepada kita. Kita akan jalankan secepat mungkin insya-Allah!”, jawab Zulkifli dengan penuh optimis.

____________________

[1] Mafqud pada istilah bermaksud orang yang hilang dan telah terputus maklumat tentang diriya sehingga tidak diketahui lagi tentang keadaan yang berkaitan dengannya. Adakah dia masih hidup atau sudah meninggal dunia. Hal ini boleh terjadi sama ada seseorang yang pergi bermusafir atau berperang sehingga tidak putus hubungan. Begitu juga tidak diketahui perkhabarannya sehingga tersembunyi daripada untuk mengesannya. Lihat al-Mabsut 11/34 dan Hasyiyah al-Dusuki 2/479.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *