#654: Bacaan Solat Bagi Penghidap Hipersalivasi

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum bacaan dalam solat untuk orang yang menghidapi hipersalivasi? Hal ini kerana, orang seperti ini, biasanya air liur akan keluar daripada mulut mereka dengan sangat banyak dan tidak berhenti, sehingga mereka tidak dapat bercakap seperti biasa. Jadi, bagaimana hukum bacaan dalam solat untuk orang yang menghidap penyakit hipersalivasi ini? Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

 

Definisi Hipersalivasi

Kami mulakan terlebih dahulu berkenaan maksud hipersalivasi bagi memberi satu gambaran terhadap persoalan ini. Untuk memahami lebih lanjut, kami nukilkan penerangan hal ini daripada seorang journalis kesihatan, Kanna Ingleson melalui artikelnya yang bertajuk: Everything you need to know about hypersalivation.[1] Menurut beliau hipersalivasi atau dikenali di dalam sains sebagai sialorrhea atau ptyalism, ialah keadaan di mana air liur terlalu banyak dalam mulut seseorang dengan kuantiti yang luar biasa.

Hipersalivasi bukanlah suatu penyakit, namun boleh dianggap sebagai simptom kepada keadaan tubuh manusia itu sendiri. Hipersalivasi ini berkemungkinan berlaku akibat penghasilan air liur yang terlalu banyak, seseorang yang mempunyai masalah untuk menelan dengan baik, dan seseorang yang tidak mampu untuk menutup mulut dengan sempurna. Antara punca yang menyebabkan seseorang itu menghidapi hipersalivasi ialah:

  • Alahan ketika hamil atau wanita yang mengalami masalah nauseaatau mual
  • Menghidapi selsema, sakit tekak atau keradangan tonsil
  • Gigitan serangga atau keracunan akibat cendawan
  • Kesakitan dalam mulut, atau ulser, dan sebagainya.

Bacaan Rukun Qauli dalam Solat

Pada asasnya, antara rukun yang utama di dalam solat ialah rukun qauli. Ianya dinamakan sebagai rukun qauli disebabkan rukun-rukun ini wajib untuk dibaca oleh orang menunaikan solat yang sekurang-kurangnya bacaan tersebut didengari oleh telinganya sendiri. Rukun qauli ada lima iaitu:

  • Takbiratul ihram pada awal solat
  • Bacaan Surah al-Fatihah pada setiap rakaat
  • Bacaan tasyahhud akhir
  • Selawat ke atas Nabi Muhammad pada tasyahhud akhir
  • Salam[2]

Kesemua rukun-rukun qauli ini perlu dibaca, disebutkan dan dilafazkan sehingga mengeluarkan suara sekadar bacaan yang boleh didengari oleh dirinya. Syeikh Sulaiman al-Bujairimi menyebut di dalam hasyiahnya bahawa lafaz takbir perlu diperdengarkan oleh dirinya sendiri begitu juga dengan rukun qauli yang lain.[3]

Imam al-Nawawi menyebut bahawa bacaan yang paling minimum untuk rukun qauli adalah dibaca dengan senyap iaitu bacaan tersebut boleh didengari oleh dirinya sendiri jika dia seorang yang boleh mendengar.[4]

Beliau menyebut lagi di dalam al-Majmu’: “Bagi makmum maka sunat untuk memperlahankan suara sama ada ketika solat sendiri ataupun berjemaah. Dan kadar minimum ialah suaranya boleh didengari oleh telinganya sendiri jika dia mempunyai pendengaran yang elok dan tiada halangan untuk menyebutnya. Ini termasuklah bacaan Al-Fatihan, surah, tasbih, tasyahhud, salam, doa dan lain-lain. Tidak kiralah bacaan yang wajib mahupun sunat. Kesemuanya tidak dikira sehinggalah dia mendengar sendiri apa yang dibaca.[5]

Dalam kitab I’anatu al-Talibin turut dijelaskan: (Dan wajib mendengar) yakni Takbiratul ihram itu oleh orang yang bersolat itu sendiri, sekiranya pendengarannya baik, dan tiada dihalang dengan benda yang mendatang contohnya bunyi bising, (seperti seluruh rukun qauli) daripada al-Fatihah, Tasyahhud akhir dan memberi salam.[6]

Syeikh Dr. Muhammad al-Zuhaily turut menjelaskan berkenaan hal ini: “Hendaklah dia mendengar (apa yang dibaca) dirinya sendiri, sekiranya mempunyai pendengaran yang baik, dan tidak ada padanya gangguan bunyi dan sebagainya. Sekiranya mempunyai masalah pada lisannya (pertuturan) atau bisu, maka hendaklah digerakkan apa yang termampu baginya. Digerakkan kedua bibirnya dan anak tekaknya dengan kadar yang termampu.”[7]

Bacaan Solat Bagi Penghidap Hipersalivasi

Maka, seperti yang disebutkan di atas, asalnya hendaklah bacaan itu sampai kepada pendengaran sendiri. Namun bagi yang tidak berkemampuan untuk menuturkan atau membacakan, maka Islam tidaklah memaksa untuk tetap melakukan apa yang diperintahkan. Allah SWT berfirman:

فَاتَّقُوا اللَّـهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”[8]

Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di menjelaskan: “Ayat ini menunjukkan bahawa semua kewajipan syarak yang tidak mampu ditanggung oleh hamba, maka akan gugur jika dia tidak mampu. Dia mampu untuk melaksanakan sebahagian daripada kewajipan itu, tetapi tidak mampu pada sebahagian yang lain maka dia melaksanakan pada apa yang dia mampu, sepertimana sabda Nabi SAW: “Jika kamu diperintahkan dengan suatu perintah maka laksanakannya berdasarkan kemampuan kamu.”[9]

Hal ini juga jelas sepertismana yang disebutkan oleh Baginda Nabi SAW melalui riwayat Abu Hurairah RA;

إِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Sekiranya aku mengarahkan kamu sesuatu perintah, maka lakukan setakat mana yang kamu mampu.”[10]

Selain itu, dalam kes ini tidaklah menjadi permasalahan untuk meludah atau membuang air liur itu dengan menyapu pada tisu atau kain. Hal ini sebagaimana yang diajarkan Nabi SAW berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم رَأَى نُخَامَةً فِي الْقِبْلَةِ، فَشَقَّ ذَلِكَ عَلَيْهِ حَتَّى رُئِيَ فِي وَجْهِهِ، فَقَامَ فَحَكَّهُ بِيَدِهِ فَقَالَ ‏”‏ إِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا قَامَ فِي صَلاَتِهِ، فَإِنَّهُ يُنَاجِي رَبَّهُ ـ أَوْ إِنَّ رَبَّهُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْقِبْلَةِ ـ فَلاَ يَبْزُقَنَّ أَحَدُكُمْ قِبَلَ قِبْلَتِهِ، وَلَكِنْ عَنْ يَسَارِهِ، أَوْ تَحْتَ قَدَمَيْهِ ‏”‏‏.‏ ثُمَّ أَخَذَ طَرَفَ رِدَائِهِ فَبَصَقَ فِيهِ، ثُمَّ رَدَّ بَعْضَهُ عَلَى بَعْضٍ، فَقَالَ ‏”‏ أَوْ يَفْعَلْ هَكَذَا

Maksudnya: Bahawasanya Nabi SAW terlihat kahak di (dinding) kiblat, dan Nabi tidak menyukai akan hal itu sehingga terpapar (kemarahan) pada wajahnya. Lalu Baginda SAW pun bangun dan membuang (kahak) dengan tangannya. Lalu Baginda bersabda “Apabila seseorang daripada kamu mendirikan solat, sesungguhnya dia sedang bermunajat kepada tuhan-Nya, atau Tuhan-Nya berada di antara dirinya dan qiblat, maka tidak patut seorang pun meludah ke arah kiblat, tetapi (ludahlah) disebelah kirinya atau di bawah kakinya”. Kemudian Baginda SAW mengambil hujung selendangnya, dan meludah kemudian melipat bahagian itu kemudian bersabda “ Atau hendaklah orang itu melakukan seperti ini.”[11]

Imam al-Nawawi mengatakan bahawa meludah ketika solat hanyalah bagi mereka yang mendirikan solat di luar masjid (di tanah lapang). Bagi yang mendirikan solat di masjid, maka hendaklah menggunakan cara menyapu di baju seperti mana yang dianjurkan oleh Baginda.[12]

Imam al-Munawi mengatakan bahawa hadith ini sekaligus menunjukkan keharusan pergerakan yang sedikit seperti menyapu air liur atau kahak pada selendang.[13]

Kesimpulan

Berdasarkan nas dan hujah di atas, kami nyatakan untuk mereka yang mengalami masalah hipersalivasi ini kami cadangkan untuk membuang air liur tersebut pada kain atau tisu kemudian meneruskan bacaan di dalam solat terutamanya yang termasuk di dalam rukun. Begitu juga boleh disediakan bekas di sisi ketika solat dan meludah air liur masuk ke dalam bekas tersebut.

Sekiranya air liur itu keluar tidak berhenti sehingga selesai solat dan  menyebabkan kesukaran untuk bertutur serta membaca bacaan ketika solat, hendaklah melakukan setakat yang termampu sahaja. Sekiranya tidak mampu untuk mengeluarkan suara cukuplah menggerakkan bibir atau menggerakkan anak tekak sahaja.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 5 Mac 2022 bersamaan 2 Syaaban 1443H

[give_form id=”14962″]

[1] Lihat https://www.medicalnewstoday.com/articles/318728.php

[2] Lihat Safinah al-Solat, hlm. 44

[3] Lihat Hasyiah al-Bujairimi ‘ala Syarh Minhaj Al-Tullab, 1/189

[4] Lihat Raudhah al-Talibin wa Umdah al-Muftin, 1/242

[5] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/394

[6] Lihat I`anatu al-Talibin, 3/295

[7] Lihat al-Mu’tamad, 1/241

[8] Surah al-Taghabun: 16

[9] Lihat Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, 1/237

[10] Riwayat al-Bukhari (7288)

[11] Riwayat al-Bukhari (405)

[12] Lihat kitab al-Minhaj, 5/39

[13] Lihat kitab Faidh al-Qadir, 2/413

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *