Bab 72: Kisah-Kisah Indah dari Bumi Palestin

“Puan Rahmah, jadual ana macam mana hari ni? Boleh tolong bacakan?”. Begitulah soalan pertama yang akan ditanya Zulkifli setiap pagi. Beliau kebiasaannya meneliti jadual harian beberapa hari lebih awal dengan Pegawai Khasnya, En. Hashim bagi sebarang persediaan. Sebarang perubahan atau penyelarasan akan diuruskan oleh Puan Rahmah, En. Hashim dan beliau sendiri jika ada.

Puan Rahmah mengambil failnya dan dibuka di hadapan Zulkifli. “Jadual Datuk hari ni memang penuh. Macam hari-hari lain, bulan-bulan lain. Ermm…hari ni ada kunjungan hormat dari Palestin. Sejak Datuk naik jadi Mufti ni, bertalu-talu emel masuk, telefon berbunyi. Ramai nak jumpa. Teh, kopi, gula di pantri pun selalu cepat habis.”, katanya sambil ketawa kecil.

Zulkifli membaca satu persatu jadual hariannya dan berkata, “Alhamdulillah. Hehehe…Selagi boleh raikan, kita raikan. Tetamu ni bawa rahmat. Masa ni kita jangan bazirkan. Ana tak nak Pejabat Mufti ni jadi sunyi. Pejabat Mufti kena jadi tempat umat Islam tanya hukum-hakam, samada Kerajaan atau rakyat, semua lapisan masyarakat. Kalau kita betul-betul mainkan peranan, ana tak rasa kita ada masa boleh duduk goyang kaki, buang masa di pejabat. Satu masa nanti ana nak Pejabat Mufti jugak jadi tempat mesra kanak-kanak.”

Begitulah hasrat besar Zulkifli sejak mula menjawat jawatan Mufti Wilayah Persekutuan. Tetamu yang hadir daripada dalam dan luar negara, segenap pelosok Timur dan Barat. Ada yang berkunjung untuk bertanyakan pandangan dan hukum. Ada yang sekadar ingin membina hubungan. Tidak kurang yang hadir untuk tembual dan wawancara.

Antara yang sentiasa diingatinya adalah kunjungan para tetamu dari Palestin dalam beberapa kali siri pertemuan di pejabat dan di rumahnya.

********************

“Saya ada beberapa kali terima tetamu dari Palestin. Antara yang pernah bertemu saya, Syeikh Dr. Ekrimah Saeed Sabri, Imam Besar Masjid Al-Aqsa merangkap Mufti. Setiap kali bertemu, saya akan tanya satu soalan permulaan; bagaimana Masijd al-Aqsa hari ini? Saya tak mahu dengar cerita yang biasa-biasa. Saya nak dengar cerita yang luar biasa.”, ujar Zulkifli dalam satu pertemuan dengan tetamunya dari Palestin kali ini.

Bersama Syeikh Dr. Ekrimah Saeed Sabri, Imam Besar Masjid al-Aqsa

Al-Masjid Al-Aqsa merupakan kiblat para Nabi dan kiblat terawal umat Islam.  Ia juga adalah salah satu masjid yang sangat digalakkan oleh Nabi SAW untuk diziarahi dan menunaikan solat di situ. Abu Sa’id Al-Khudri meriwayatkan, Nabi SAW bersabda :

‌وَلَا ‌تُشَدُّ ‌الرِّحَالُ ‌إِلَّا ‌إِلَى ‌ثَلَاثَةِ ‌مَسَاجِدَ ‌مَسْجِدِ ‌الحَرَامِ، وَمَسْجِدِ الأَقْصَى وَمَسْجِدِي هذا

Maksudnya : “Tidak boleh bermusafir melainkan menuju ke tiga buah masjid. Masjid Al-Haram (Mekah), Al-Masjid Al-Aqsa dan masjid saya ini (Masjid Nabawi).”[1]

Imam Badruddin Al-‘Aini telah menjelaskan berkenaan maksud di sebalik hadis ini. Beliau menyatakan :

“Dalam hadis tersebut menjelaskan kelebihan ketiga-tiga masjid dan keistimewaan yang dimiliki yang tiada pada masjid yang lain. Ianya adalah masjid para Nabi AS. Ini kerana Al-Masjid Al-Haram adalah kiblat bagi manusia. Ramai orang berpusu-pusu menuju ke Masjid Al-Haram. Masjid Nabawi pula diasaskan atas dasar iman dan takwa manakala Al-Masjid Al-Aqsa merupakan kiblat umat yang terdahulu.”[2]

Kelebihan Al-Masjid Al-Aqsa terlihat jelas dalam peristiwa Israk dan Mikraj. Ia adalah destinasi terakhir Nabi SAW sebelum Nabi SAW diangkat ke langit bertemu Allah SWT. Allah berfirman :

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Maksudnya : “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Al-Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”[3]

Bersama Syeikh Dr. Hammam Saeed, anggota Ikhwan Muslimin Jordan yang berasal dari Palestin

Sebahagian Ahli Tafsir menyebut bahawa Al-Masjid Al-Aqsa adalah binaan kedua yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS setelah Kaabah. Perkara ini dijelaskan oleh Sheikh Tahir Ibn ‘Asyur dalam tafsir beliau.[4]

Ia juga berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Zar RA. Beliau pernah bertanya kepada Rasulullah SAW:

‌يَا ‌رَسُولَ ‌اللَّهِ، ‌أَيُّ ‌مَسْجِدٍ ‌وُضِعَ ‌فِي ‌الأَرْضِ ‌أَوَّلَ؟ قَالَ: المَسْجِدُ الحَرَامُ قَالَ: قُلْتُ: ثُمَّ أَيٌّ؟ قَالَ المَسْجِدُ الأَقْصَى قُلْتُ: كَمْ كَانَ بَيْنَهُمَا؟ قَالَ: أَرْبَعُونَ سَنَةً، ثُمَّ أَيْنَمَا أَدْرَكَتْكَ الصَّلَاةُ بَعْدُ فَصَلِّهْ، فَإِنَّ الفَضْلَ فِيهِ

Maksudnya : “Wahai Rasulullah, masjid apa yang paling awal dibina? Baginda menjawab : Al-Masjid Al-Haram. Abu Zar bertanya lagi : Kemudian masjid apa? Baginda menjawab : Al-Al-Masjid Al-Aqsa. Saya (Abu Zar) bertanya lagi : Berapakah tempoh binaan antara kedua masjid tersebut? Baginda menjawab : 40 tahun. Sesiapa yang berada di mana-mana tempat tersebut, tunaikan solat di situ. Ini kerana ada kelebihan di tempat tersebut.”[5]

Di samping itu, Al-Masjid Al-Aqsa sangat berkait rapat dengan sejarah para Nabi terdahulu yang diutuskan oleh Allah SWT. Ia dianggap sebagai kawasan suci umat Islam. Oleh itu, Al-Quran menggelarkan Palestin sebagai tanah yang suci (Al-Ardh Al-Muqaddasah). Allah SWT berfirman:

يَا قَوْمِ ادْخُلُوا الْأَرْضَ الْمُقَدَّسَةَ الَّتِي كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ وَلَا تَرْتَدُّوا عَلَىٰ أَدْبَارِكُمْ فَتَنقَلِبُوا خَاسِرِينَ

Maksudnya: “(Nabi Musa berkata lagi): Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya); dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang-orang yang rugi (di dunia dan di akhirat)”.[6]

Termasuk dalam tanah suci ini adalah Al-Masjid Al-Aqsa. Perkara ini telah dijelaskan dan dihuraikan oleh Imam Al-Tabari dalam tafsirnya.[7]

Al-Masjid Al-Aqsa mempunyai kedudukan dan keistimewaan di mata umat Islam. Ia bukan sahaja berkait dengan akidah bahkan ia dianggap kawasan suci umat Islam. Hakikatnya, sebarang usaha untuk mencemarkan kesucian Al-Masjid Al-Aqsa adalah merupakan satu perbuatan yang boleh mengguris dan menimbulkan kemarahan umat Islam.

Tetamu dari Palestin itu tersenyum dengan persoalan Zulkifli. Katanya, “Wahai Samahah al-Mufti! Jarang aku dengar permintaan sebegitu. Tapi disebabkan itu yang kamu mahukan, saya ada beberapa kisah menarik.

Tetamu dari Palestin ini membawakan kisah Yahya ‘Ayyash[8] seorang pejuang yang amat luar biasa sehingga Perdana Menteri Israel setiap kali perjumpaan akan bertanya adakah boleh ditangkap Yahya ‘Ayash ini. Perdana Menteri Israel pada ketika itu ialah Yitzhak Rabin.

Antara kisah yang menarik, pernah satu ketika informer telah menyampaikan maklumat kepada perisikan Yahudi atau Israel berkenaan dengan keberadaan Yahya ‘Ayash di sebuah rumah. Dengan serta-merta pasukan elit dan batalion tentera Israel dengan kelengkapan yang cukup telah menggerakkan pasukan pantas untuk mengepung dan menangkap Yahya ‘Ayash hidup-hidup atau membunuhnya.

Apabila mereka mengepung dan memasuki rumah tersebut, didapati Yahya ‘Ayash telah ghaib atau hilang dari kepungan mereka. Mereka mengganggap peristiwa itu sebagai pertolongan syaitan. Bila ditanya kepada Yahya ‘Ayash, katanya, tatkala aku mengetahui aku dikepung, aku keluar dengan membaca doa dan aku melihat mereka sedang mengepungku, tetapi mereka tidak nampak aku keluar di hadapan dan berdekatan mereka.

Yahya ‘Ayash akhirnya mati syahid selepas dibom melalui telefon bimbit yang dipakainya. Semoga Allah merahmati beliau dan menempatkan beliau bersama syuhada’ dalam syurga nanti.

********************

Pernah satu ketika, Zulkifli diziarahi sekumpulan anggota Jemaah Tabligh di rumahnya. Salah seorang daripada mereka berasal dari Palestin. Soalan yang sama juga dikemukakan; “Bagaimana Palestin hari ini? Saya tak mahu dengar cerita yang biasa-biasa. Saya nak dengar cerita yang luar biasa!”, ujar Zulkifli penuh minat.

Menurutnya, ada seorang sahabat beliau yang melalui sekatan jalan raya oleh pihak polis negara haram Israel. Walaupun beliau tidak membuat apa-apa kesalahan tetapi polis itu berkata, “Pada hari ini aku tetap akan saman kamu!”

Lalu kata sahabat beliau, “Aku akan mengadu kepada Allah.” Polis negara haram Israel itu membalas, “Silakan, kamu mengadu kepada Allah! Aku akan saman kamu dan kamu akan didenda semaksimum mungkin dan kalau tidak ke penjara. Sahabatnya itu lantas berdoa kepada Allah SWT. Polis itu dengan angkuh berkata, “Aku nak lihat tuhan kamu boleh selamatkan kamu atau tidak!”. Dia menulis sesuatu pada resit saman dan menghulurkannya berserta salinannya.

Di rumah, sahabatnya itu melihat kembali resit saman dan salinan yang diberi. Ia kosong tanpa apa-apa tulisan. Maka, terlepaslah beliau daripada sebarang kejah

*****************

“Ada apa-apa kisah menarik dari bumi Palestin yang kamu hendak ceritakan kepada saya?”, tanya Zulkifli dalam satu pertemuan lain dengan seorang pemimpin masyarakat dari Palestin yang berkunjung ke pejabatnya.

Beliau diam seketika dan kemudiannya bersuara, “Wahai Samahah al-Mufti yang dikasihi. Saya ada dua kisah ingin dikongsikan. Kisah seorang hartawan dan kisah seorang pelajar cemerlang.”

Seorang kaya di Palestin menjadi kelaziman baginya untuk melakukan ibadah korban bila menjelmanya hari raya Aidiladha. Tiba-tiba, satu ketika beliau dilanda masalah kewangan yang teruk. Lantas beliau membatalkan hasrat untuk menjalankan ibadah korban yang menjadi kelazimannya setiap tahun.

Berita tersebut sampai kepada rakan-rakannya. Sebahagian daripada mereka datang bertemu dan menzahirkan simpati atas nasibnya. Pun begitu, mereka tetap menyarankannya untuk melakukan ibadah korban dengan harapan ada keberkatan daripada usahanya. Beliau akur setelah diminta berkali-kali. Dengan segala jerit penat yang ditanggung, beliau berjaya mengumpul wang dan membeli seekor kambing.

Kambing itu dibawa menaiki sebuah van yang tidak ditutup pintunya.

Dalam perjalanan melalui satu lorong di kampung, tiba-tiba kambingnya melompat dan dia terpaksa berhenti dan mengejar kambingnya. Kambing tersebut lari dan akhirnya masuk ke sebuah rumah. Beliau menuju ke rumah tersebut. Selepas mengetuk pintu keluarlah seorang wanita dan beliau bertanya tentang kambingnya. Didapati kambingnya telah dipeluk oleh beberapa anak wanita tersebut.

Wanita tersebut bertanya, “Tuan, bolehkah kamu hadiahkan kambing ini kepada kami?” Lelaki itu menjawab, “Saya ingin menghadiahkannya kepada puan tetapi ini kambing untuk ibadah korban saya. Saya mohon maaf tak dapat tunaikan permintaan puan.”

Wanita itu menggumam, menunduk kesedihan. Beliau membalas dengan nada yang sebak. “Sebenarnya saya adalah janda dan anak-anak ini adalah anak-anak yatim kerana abahnya mati dibunuh oleh Israel. Mereka tidak ada mainan kecuali jika kambing ini dapat dihadiahkan untuk menjadi teman mereka. Kasihanilah kami.”

Lelaki tersebut pulang dengan tangan kosong. Kambingnya kini menjadi milik wanita berkenaan dan anak-anaknya.

Bila pulang, isterinya bertanya tentang kambing yang dibeli. Mendengar penjelasan suaminya, si isteri redha dan berkata, “Kita akan berkorban juga tahun ini. Ini azam saya!” Isterinya mengeluarkan barang kemas untuk digadai dan sejumlah wang duit simpanan untuk melaksanakan korban.

Lelaki tersebut dengan penuh terharu, menggenggam barang kemas dan wang isterinya dengan kemas. Beliau lantas menuju ke sebuah Pelabuhan untuk membeli kambing yang baharu sampai. Beliau memilih seekor kambing yang gemuk dan sihat, baru turun daripada kapal. Lama beliau tawar menawar dengan penjual kambing. Setelah mendapat harga yang disepakati, beliau menghulurkan wang.

Penjual kambing itu menggelengkan kepala dan tersenyum. “Tuan, kambing ini kami bagi percuma kepada kamu kerana kami rakan kongsi telah bersepakat siapa yang datang pada awal pagi iaitu pelanggan yang pertama, maka kami akan bagi percuma. Moga-moga ada keberkatan dan keuntungan berlipat kali ganda daripada Allah SWT.”

Bergenang air mata Zulkifli mendengar kisah berkenaan. Hebatnya kuasa Allah SWT.

“Kisah kedua ini, lebih ringkas namun ia adalah kisah yang paling membekas di hati saya.”, kata tetamu dari Palestin itu.

Seorang kanak-kanak telah mendapat anugerah pelajar terbaik di sekolahnya. Ketika namanya dipanggil untuk menerima anugerah tersebut dan sijil, pelajar itu datang berseorangan. Selepas itu, pelajar tersebut pulang dengan berlari. Ada seseorang yang mengikuti pelajar tersebut untuk mengetahui ke mana dia pergi.

Beliau mendapati bahawa pelajar tersebut menuju ke sebuah perkuburan. Pelajar itu berhenti dan duduk di antara dua kubur sambil bercakap, “Wahai ayah dan ibu! Saya telah berjaya mendapat keputusan yang terbaik dan menjadi pelajar cemerlang. Ini dia hadiah dan sijil yang diberikan daripada pihak sekolah kepada saya.”

Selepas menghirup teh kosong bersama-sama tetamu tersebut, Zulkifli meminta tetamunya membacakan doa. Namun, beliau menolak. “Sebaiknya doa dibacakan oleh Mufti…”, kata beliau.

Zulkifli menadah tangan dan berdoa:

اللَّهُمَّ انْصُرِ الإسْلَامَ وَالمسْلِمِيْنَ، وَأَذِلَّ الشِّرْكَ وَالمشْركِيِن والمنَافِقِيْنَ وَدَمِّر أَعْدَاءَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْن ، اللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَاننَاَ الْمُسلِمِين وَ المُجَاهِدِينَ فِي فِلِسْطِين

“Palestin dan al-Aqsa tetap selamanya di hati saya dan seluruh rakyat Malaysia. Kami sentiasa doakan kemenangan anda.”, ujar Zulkifli lantas memeluk tetamunya itu.

__________________

[1] Riwayat Al-Bukhari, no 1195

[2] Umdah Al-Qari Syarh Sahih Al-Bukhari, 7/253

[3] Surah Al-Isra’ : 1

[4] Al-Tahrir wa al-Tanwir, 15/16.

[5] Riwayat Al-Bukhari, no 3366

[6] Surah Al-Maidah : 21

[7] Jami’ Al-Bayan, 10/167.

[8] Yahya Ayyash lahir di Rafat, Tebing Barat, Palestin, 6 Mac 1966 – meninggal 5 Januari 1996 pada umur 29 tahun di Beit Lahia , Genting Gaza. Beliau ialah seorang anggota Hamas dan pemimpin Briged Izzudin al Qassam cawangan Tebing Barat sebelum kematiannya. Ayyash menamatkan persekolahannya di Rafah pada 1985 yang membolehkannya memenuhi syarat belajar kejuruteraan di Universiti Bir Zeit pada 1987. Seterusnya dia menerima ijazah Sarjana Muda Sains dalam kejuruteraan elektrik pada 1988.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *