Bab 76: Makna Sebenar Jihad

Sambungan lepas di sini

Bangun tahanan kedua dan berkata dengan nada yang tinggi. “Ustaz tak layak cakap tentang jihad. Ustaz pun tak pernah berjihad!”

Suaranya agak beremosi. Seakan-akan terganggu dengan hujahan demi hujahan yang dikemukakan oleh Zulkifli sebentar tadi.

Dalam membicarakan isu jihad, amat penting ia dilihat secara holistik dan komprehensif, bukan hanya sebahagian kecil dan selebihnya ditinggalkan. Memahami konsep jihad juga tidak wajar dengan pengaruh emosi semata-mata.

Zulkifli hanya memerhatikan tahanan kedua tersebut. Dadanya berombak seperti menahan marah. Matanya juga merah menyala. Zulkifli menunggu masa yang sesuai untuk bersuara. Biar sejuk hati yang membara. Minyak jangan disiram pada api yang marak.

“Kaedah yang biasa dipakai oleh kumpulan saudara, berbunyi

لا يفتي قاعد لمجاهد

“Seorang yang tidak berjihad tidak boleh mengeluarkan fatwa terhadap orang yang berjihad.”

Betul?”, tanya Zulkifli dengan wajah yang serius.

Tahanan itu mengangguk.

Zulkifli menyambung jawapannya dengan berkata, “Ia bukan kaedah fiqhiyyah dan tidak didasari dengan mana-mana nas syarak yang muktamad. Para ulama juga tak pernah menjadikan ia sebagai pertimbangan dalam mengeluarkan sesuatu hukum syarak. Penilaian kesahihan dan kebatilan sesebuah fatwa yang dikeluarkan itu bukan bergantung kepada seseorang itu keluar berjihad atau kuat beribadah. Sebaliknya ia tertakluk kepada syarat-syarat kelayakan seseorang mengeluarkan fatwa.”

“Sepanjang sejarah Islam, ramai dari kalangan ulama besar Islam yang tidak pernah turun berperang jihad termasuk para imam mazhab empat. Sedangkan perbahasan mengenai jihad yang terkandung dalam karya-karya mereka terus menjadi rujukan kepada para ulama terkemudian sehingga kini. Kamu faham apa yang saya maksudkan?”, tanya Zulkifli kepada tahanan tersebut. Beliau tunduk membatu. Tetapi nampak keadaannya jauh lebih tenang berbanding sebelumnya.

“Seorang mufti perlu kefahaman terhadap realiti masalah menerusi pemerhatian terhadap bukti-bukti, dalil-dalil dan tanda-tanda yang berkaitan. Selain itu, kefahaman terhadap Qur’an dan Sunnah Rasulullah SAW berkenaan realiti tersebut untuk diaplikasikan. Tak semestinya Mufti yang tidak berjihad seperti saudara, tidak boleh keluarkan fatwa tentang jihad.[1]

Tahanan itu mencelah dengan suara yang perlahan, “Tapi orang berjihad lagi tinggi kedudukan di sisi ulama’ yang hanya duduk menghadap kitab-kitab. Nabi pun iktiraf orang yang berjihad sebagai Mukmin yang paling baik…[2]

Zulkifli memotong percakapannya dengan berkata, “Saudara buka Umdah al-Qari. Rujuk Imam Badr al-Din al-‘Aini ulas apa terhadap hadis tu.[3] Katanya, orang yang berjihad adalah sebahagian daripada sebaik-baik manusia. Sebahagian. Bukan semuanya. Sebaliknya jika secara umum, maka para ulama itu lebih afdal kerana para ulama’ lah yang pandu manusia untuk jadi Mukmin yang baik. Al-Qastallani pun ada bagi ulasan yang sama.”[4]

Suasana menjadi kendur. Beberapa tahanan kelihatan berbisik sesama sendiri. Nampaknya, mereka sudah mula memberi ruang kepada Zulkifli. Penceramah di hadapan mereka bukan seperti sangkaan mereka.

Zulkifli menarik nafas panjang dan mengambil mikrofon di sisinya. “Ana dulu belajar di Madinah. Ada kenalan yang pada masa cuti semester pergi berjihad di Bosnia, Afghanistan, Palestin. Kalau dari Afghanistan, ana biasa sangat dengan nama-nama macam Sibghatullah Mojaddedi, Burhanuddin Rabbani, Gulbuddin Hekmatyar, Mohammad Nabi Mohammadi. Kalau ana tak tahu apa-apa, ana pun tak sanggup nak datang sini. Ana tahu, antum semua lagi mendalam pemahaman tentang jihad di luar negara.”

Perbincangan mereka selepas itu lebih santai dan terbuka. Tidak ada lagi provokasi dan senyuman sinis kepada Zulkifli. Hakikatnya, mereka adalah Melayu Muslim yang mempunyai semangat beragama yang tinggi, bijak, konsisten dengan ibadah wajib dan sunat, cuma memahami agama daripada sumber yang tidak tepat.

********************

Kenangan itu masih segar dalam ingatan Zulkifli. Ia berlaku pada sekitar tahun 2007. 11 tahun kemudian, beliau datang semula ke Kem Tahanan Kamunting. Tapi kali ini sebagai seorang Mufti.

Seperti sebelumnya, banyak soalan yang diterimanya.

“Adakah dalam Islam terdapatnya sistem pilihanraya?”

“Adakah Islam mengiktiraf demokrasi?”

“Bagaimana hukum jihad pada masa kini?”

“Apakah hukum berjihad di Syria?”

“Adakah wujud cara untuk kita bantu umat Islam di Syria yang tertindas selain berjihad?”

“Adakah jihad pada zaman sekarang fardhu ain atau fardhu kifayah?”

Semangat ingin tahu yang amat tinggi dalam kalangan mereka adalah satu hal yang wajar dipuji. Semua soalan mereka dijawab satu persatu oleh Zulkifli dengan terperinci.

“Mana-mana negara yang tak amal undang-undang atau sistem Islam secara menyeluruh adalah Darul Kufr (negara kufur) dan termasuk juga dalam kategori Darul Harbi (negara yang boleh diperangi). Justeru, setiap orang yang tinggal dalam negara tersebut dengan sengaja dihukumkan kufur dan terkeluar daripada agama Islam. Itu yang dianggap oleh sebahagian orang Islam. Sebab itu mereka berjihad di sana.”, ujar Zulkifli.

Beliau menyambung, “Isu Dar al-Islam, Dar al-Harb ni isu ijtihadi. Tak perlu bergaduh. Syeikh Atiyyah Saqr ada pandangan yang dinukil dari ulama muhaqqiqin. Katanya, asas kepada menghukum sesebuah negara itu negara Islam atau negara boleh diperangi adalah keamanan untuk mengamalkan agama. Kalau seorang muslim itu tinggal di dalam sebuah negara tak beragama atau agama selain Islam, tapi dia dapat mengamalkan syiar agamanya dengan bebas maka ia adalah negara Islam, bermakna dia tidak wajib untuk berhijrah keluar darinya.”

Al-Marhum Syeikh Muhammad Abu Zahrah pun ada sebut, dua pandangan di sisi fuqaha berkenaan Dar al-Islam dan Dar al-Kufr. Beliau pilih pandangan Abu Hanifah yang tegaskan, asas hukum adalah keamanan seseorang Muslim. Kalau negara tu aman dan sesuai pada sifat seorang Muslim dengan makna boleh mengamalkan agama dengan bebas, maka negara tersebut adalah Dar al-Islam, jika tidak maka ia Dar al-Harb. Kata Syeikh Muhammad Abu Zahrah, itu lebih dekat kepada makna Islam dan menepati asas kepada falsafah peperangan dalam Islam iaitu untuk mengelakkan serangan.”[5]

Berada bersama mereka memerlukan pengetahuan yang luas, pengalaman yang mendalam dan memahami kehendak serta pola pemikiran mereka. Ketika itu, barulah apa yang kita utarakan akan didengari dengan lebih baik.

Kata Zulkifli ketika menutup sesinya bersama para tahanan tersebut, “Ana nampak betapa pentingnya orang yang nak berjihad pada jalan Allah untuk baca Fiqh al-Jihad tulisan Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi. Baca juga buku yang ditulis guru kami, almarhum Syeikh Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buti. Tajuknya al-Jihad fi al-Islam. Wajib baca. Itu asas penting sebelum kita bincang lebih dalam. Ada kefahaman yang tepat sebelum keluar berjihad…”

********************

Selesai Kuliah Dhuha di Masjid Putra Nilai pada hari Ahad, Zulkifli disapa oleh sepasang suami isteri yang berusia sekitar 40-an. Seorang remaja berada di sisi mereka, mungkin anak kedua-duanya.

“Datuk, boleh kita jumpa sekejap? Mungkin dalam setengah jam. Ada hal penting nak bincang.”, ujar lelaki tersebut. Zulkifli mencadangkan untuk mereka datang ke pejabatnya di Putrajaya memandangkan jadual beliau amat padat hari Ahad. Deretan program dan juga beberapa buah buku dan artikel perlu diselesaikan.

“Saya mohon, Datuk. Ni isu anak saya dan ISIS.”. Sekali lagi beliau bersuara. Kali ini dengan mimik muka yang sedih. Mendengar hal tersebut, Zulkifli pantas menjawab, “Datang pejabat peribadi saya di Jalan Jati 4, Taman Desa Jati. Tak sampai 5 minit dari masjid ni.”

Sampai di sana, Zulkifli mula bertanya beberapa soalan. Anak muda itu pada mulanya agak berat untuk menjawab. Hanya diam tanpa sebarang balasan. Ibunya menyiku dan membisik, “Cakaplah…ustaz tanya baik-baik!”

“Saya…sebenarnya dengar dari awal kuliah ustaz tadi. Ustaz hurai bab solat al-khauf untuk tentera dan orang yang berjihad. Saya tak boleh dengar bab jihad ni. Naik bulu roma. Rasa semangat, benci kat Zionis Israel!”. Nafas anak muda ini mula turun naik. Tangannya menggeletar seakan menahan marah. Gigi gerahamnya diketap.

“Awak pernah sampai Syria? Ustaz belajar sana dulu.”, ujar Zulkifli setelah diam beberapa ketika.

Anak muda itu menggelengkan kepala dan bersuara perlahan, “Tak pernah. Cuma kalau tengok video-video jihad di sana, hati saya panas. Rasa nak penggal kepala-kepala Yahudi celaka tu! Diorang bunuh orang Islam. Kita duduk senang lenang sini.”

Zulkifli ketawa kecil dan membalas, “Ya, ustaz faham. Masa ustaz umur kamu dulu, ustaz ada kawan orang Afghanistan. Dia pun ada cerita macam yang kamu tengok dalam video-video tu. Awak tahu tak, jihad yang awak sebut tu, namanya jihad al-hujum. Seorang Muslim keluar dari negaranya ke negara-negara yang mengalami peperangan untuk berperang dengan musuh. Selain daripada syarat Islam, baligh, berakal, lelaki, sempurna fizikal dan niat yang ikhlas, apa lagi syaratnya?”.

Anak muda memandang tepat ke arah Zulkifli dan menggelengkan kepala tanda tidak tahu.

“Pertama, matlamat yang jelas. Awak nak berperang di sana, matlamat kena jelas. Tak ada matlamat lain dalam jihad melainkan satu; untuk meninggikan agama Allah. Itu jelas dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari.[6]

Awak rasa, peperangan di luar negara itu benar-benar akhirnya berjaya meninggikan syiar agama Allah SWT? Tapi apa yang kita nampak, mereka bunuh sesama umat Islam, buat serangan di tempat awam. Kenapa membunuh mereka yang tidak berdosa?”

“Kedua, izin pemerintah (izn al-hakim). Jihad bukan kerja individu. Jihad ni kerja berjamaah. Kena dapat izin pemerintah. Kalau pemerintah tak izin, automatik terbatal perintah jihad sebab jihad ni fardhu kifayah. Bukan kerja semua orang.

Keempat, izin mak ayah. Mak ayah awak izin tak? Rasa macam tak. Dalam hadith riwayat Abdullah bin Amru ada sebut:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَاسْتَأْذَنَهُ فِي الْجِهَادِ، فَقَالَ: أَحَيٌّ وَالِدَاكَ؟ ” قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: ” فَفِيهِمَا فَجَاهِدْ

“Telah datang seorang lelaki kepada baginda Nabi SAW maka dia telah meminta izin daripada baginda untuk keluar berjihad. Maka Nabi bersabda: Adakah masih hidup kedua ibu bapamu? Dia menjawab, Ya. Maka baginda bersabda lagi: Maka ke atas mereka berdua, berjihadlah (berbakti lah kepada kedua ibu bapamu terlebih dahulu selama mana mereka masih hidup).”[7]

Ni dalil jelas jihad kena ada izin mak ayah. Utamanya bagi anak adalah untuk jaga kebajikan kedua ibu bapanya. Itu jihad bagi anak. Berbanding jihad al-hujum yang fardhu kifayah dan cukup dah kalau ada sebahagian Mukmin yang lain berjihad.”

Anak muda itu termangu-mangu. Seakan baru sedar daripada lena yang panjang.

Zulkifli menyambung, “Jihad ni ada banyak makna. Bukan perang je. Buktinya? Dalam ayat-ayat Makkiyyah pun sebut tentang jihad sedangkan pensyariatan jihad qital atau berperang belum lagi disyariatkan kecuali di Madinah. Ada empat jenis jihad kata Ibn Qayyim. Jihad memperbaiki diri (melawan nafsu), jihad melawan godaan syaitan, jihad memerangi orang-orang kafir dan jihad terhadap orang-orang munafik.[8] Termasuk juga di sini juga untuk lawan kemungkaran, maksiat, ajaran sesat.

Zulkifli menepuk bahu anak muda itu dan berpesan, “Ustaz rasa cukup dah penjelasan. Minta maaf pada mak ayah. Balik nanti, azam untuk jadi anak soleh, belajar rajin-rajin. Itu jihad awak. Di masa depan, awaklah yang akan jaga negara, agama daripada mana-mana unsur luar untuk masuk dan rosakkan umat. Kalau nak bantu saudara kita di Syria, Palestin, ada banyak NGO yang boleh kita salur sumbangan.

____________________

[1] Lihat I’lam al-Muwaqqi’in, 1/96

[2] Riwayat al-Bukhari (2786)

[3] Lihat ‘Umdah al-Qari, 14/83

[4] Lihat Irsyad al-Sari, 5/34

[5] Lihat Fatawa al-Azhar, 10/119.

[6] Riwayat al-Bukhari, no. 3126

[7] Riwayat al-Bukhari, no 3004

[8] Lihat Zaad al-Ma’ad: 3/9-10

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *