Bab 77: Menerima Kunjungan Ulama’ Maghribi

“Ustaz, bolehkah bertalfiq kepada mazhab Malik dalam masalah kenajisan anjing sahaja?”, tanya seorang jemaah surau selepas Zulkifli menyampaikan kuliah.

Zulkifli mengajaknya duduk di tiang surau dan menjelaskan jawapannya kepada penanya. “Bab talfiq ni saya dah ulas banyak dalam artikel-artikel saya. Nanti ruju di web www.muftiwp.gov.my. Talfiq hanya boleh bila wujud keperluan seperti hajat dan darurat, dan dilakukan bukan bertujuan untuk bermudah-mudahan dalam agama sampai menggugurkan taklif, dan mengikut hawa nafsu. Harus kepada orang awam yang tidak sampai ke darjat mujtahid, untuk bertaqlid dengan salah satu mazhab muktabar, iaitu Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali, secara berterusan, atau dalam isu-isu tertentu sahaja, atau berpindah ke mazhab lain pada waktu yang lain berdasarkan panduan daripada mufti atau faqih. Tapi dilarang pelaksanaan talfiq kalau membawa kecelaruan dalam pelaksanaan perundangan Islam seperti menghukum talak tiga sebagai talak satu, sedangkan mahkamah memutuskan jatuh talak tiga.

Zulkifli meneruskan penjelasannya. “Kalau bertaqlid dengan pendapat muktamad akan timbul masalah pada adat kebiasaan seseorang, contohnya kehidupan seorang pendakwah di perkampungan orang asli yang biasa berinteraksi dengan khinzir. Maka dibolehkan. Kalau saja-saja, haram. Hal ini ada disebut al-Habib Syeikh Abdurrahman bin Muhammad Ba`lawi.[1] Jadi, memang wujud khilaf antara mazhab Syafie dan mazhab Maliki dalam bab najis. Boleh taqlid dengan mazhab Maliki dengan syarat perlu meraikan hukum hakam solat dan bersuci dalam mazhab Malik. Ini terpakai hanya pada kes tertentu, bukan semua hal. Bergantung kepada keadaan. Kalau dalam urusan seharian, kekallah dengan mazhab Syafie.”

Zulkifli memandang tepat kepada anak muda itu dan berkata, “Bagus kamu tanya bab fiqh Maliki. Esok ada syeikh alim besar dalam mazhab Maliki, asal Maghribi mari ke KL. Nanti ikutlah pengajian dia. Moga ada manfaat…”

*******************

“Selamat datang ke Kuala Lumpur.”, sambut Zulkifli lantas bersalaman dengan Syeikh Dr. Sa’id al-Kamali. Tahun 2015 adalah tahun kedua Zulkifli bergelar Mufti Wilayah Persekutuan. Pelbagai pembaharuan telah mula diterapkan di institusi fatwa peringkat Persekutuan tersebut. Bermula daripada web yang berwajah baharu, sehinggalah media sosial dan beberapa ruangan baharu di web yang mula mendapat tempat dalam kalangan masyarakat seperti Bayan Linnas.

Kunjungan tetamu dalam dan luar negara bertali arus saban hari. Hari ini, Zulkifli menerima kunjungan seorang ulama’ muda terkenal Maghribi, Syeikh Dr. Sa’id al-Kamali. Umurnya baharu mencecah 43 tahun tetapi penguasaannya terhadap banyak bidang ilmu amat mengagumkan.

Beliau menghabiskan banyak masa menekuni serta mendalami ilmu al-Quran di Marrakesh. Syeikh Dr.  Sa’id al-Kamali berulang alik selama enam tahun ke sana (jarak diantara Rabat dan Marrakesh hampir 350km) semata-mata untuk bertalaqqi dengan Syeikh al-Muqri’ yang ternama iaitu Syeikh Abdul Rahim Nablusi, salah seorang pemilik Ijazah Sanad Tertinggi Ilmu Qiraat. Setelah selesai berguru dengan Syeikh, beliau dianugerahkan Ijazah Bersanad 10 Qiraat bacaan al-Quran.

Sosok ulama’ muda ini juga terkenal dengan kekuatan hafazannya. Beliau menghafal bermacam-macam jenis teks matan dari pelbagai jalur bidang keilmuan, seperti Nahu, Ilmu Soraf, Ilmu Balaghah, Fiqh, Hadis, Mustolah Hadis, syair Arab dan lain-lain. Antara guru-guru beliau adalah Syeikh al-Allamah Dr. Farouk Hammadah, Syeikh al-Faqih Dr. Muhammad Rogi, Syeikh Musthafa al-Najjar, Syeikh al-Muhaddith Muhammad al-Amin Boukhobza al-Hasani, Syeikh Muhammad Salim Walad Abdul Wadud, Syeikh Ahmad Walad al-Murabit, Syeikh al-Allamah Muhammad al-Hassan al-Dedew, Syeikh Atiyyah Muhammad Salim, Syeikh Abdul Muhsin al-Abbad, dan Syeikh Dr. Muhammad Ibn Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti.

Tauliah khas yang lengkap dengan tandatangan Zulkifli selaku Mufti Wilayah Persekutuan kepada Syeikh Dr. Sa’id al-Kamali. Zulkifli turut berpesan kepada beliau, “Dengan tauliah ni, kamu boleh menyampaikan ilmu sepanjang berada di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan tanpa sebarang halangan. Kami sentiasa alu-alukan.”

*********************

Apabila bercakap tentang Maghribi, pastinya apa yang terlintas adalah sejarah Maghribi yang melahirkan ramai para ulama’ dan sarjana dunia Islam seperti Ibn Rushd, Imam al-Shatibi, Syeikh Zarruq, Ibn Juzayy, Allal Fasi, Ibn ‘Asyur, termasuk tokoh-tokoh moden seperti Syeikh Said Kamali dan Syeikh Dr. Ahmad al-Raysuni. Kehebatan keluarga al-Ghummari dan al-Kattani sentiasa menjadi buah mulut dan kekaguman para ulama’ Islam hari ini.

“Ibn Battuta pun orang Maghribi, mula belayar setahun selepas Marco Polo meninggal dunia di Venice. Beliau pernah singgah ke kepulauan Nusantara pada abad ke-14, tepatnya di Samudera Pasai atau Pulau Sumatra yang disebutnya Pulau al-Jawa. Katanya, pulau itu banyak pokok seperti pohon pinang, kelapa, cengkih, jambu, kelapa, dan tebu. Beliau juga bertemu Sultan Kerajaan Samudera Pasai, Sultan Malik al-Zahir.” Syeikh Dr. Sa’id al-Kamali mendengar dengan penuh minat.

“Ustaz Adzam kena bawa Syeikh jalan-jalan.”, pesan Zulkifli kepada Ustaz Adzam selaku penganjur.

Zulkifli berpaling kepada Syeikh Dr. Sa’id al-Kamali dan berkata, Saya pasti, banyak lagi yang kamu boleh nukilkan tentang Nusantara hari ini berbanding Ibn Battuta.” Zulkifli berseloroh dengan Syeikh Dr. Sa’id al-Kamali semasa menjamu selera di rumahnya. Kedua-duanya tertawa besar.

Nasi Arab yang terhidang panas-panas dijamah dengan penuh berselera. Banyak yang dibualkan Zulkifli dan Syeikh Dr. Sa’id al-Kamali terutamanya tentang isu-isu fiqh dan sejarah mazhab. Turut hadir bersama, Dr. Ahmad Wifaq dan Ustaz Adzam Rasdi daripada USIM selaku alumni mahasiswa Malaysia di Maghribi.

“Apa pandanganmu tentang keperluan orang awam untuk berijtihad?”, tanya Zulkifli selepas mereka selesai makan. Syeikh Dr. Said al-Kamali ketawa kecil dan bertanya kembali, “Apa pandanganmu? Seorang Mufti sudah pasti ada jawapannya.”

“Kita sedia maklum kaedah fiqh الاجتهاد لا ينقض بالاجتهاد. Istilah ijtihad dalam kaedah ini bukan merujuk kepada definisi khusus iaitu ijtihad dalam mengistinbatkan hukum fiqh daripada dalil syarak, tapi merujuk kepada tiga perkara, salah satunya ialah al-taharriy (التحري), iaitu usaha untuk menentukan ketepatan dan kebenaran dalam suatu perkara. Bagi orang awam ada ruang lingkup ijtihadnya, dengan kadar atau had ilmunya. Misalnya menentukan Mufti atau guru yang terbaik untuk meminta fatwa berkenaan hukum atau menimba ilmu.”, ulas Zulkifli dengan ringkas.

Benar, wahai Sahibus Samahah. Saya ada sebutkan di dalam buku saya yang mensyarahkan nazam al-Waraqat, “Sesungguhnya tiada seorangpun yang terlepas daripada kewajipan berijtihad, bagi seorang muqallid itu ada bahagiannya daripada ijtihad, tatkala dia memilih untuk dirinya mufti yang berfatwa kepadanya.”

Sebelum beliau pulang, Zulkifli berjabat tangan dengan Syeikh Dr. Sa’id al-Kamali dan berbisik, “Insya-Allah, saya tunggu kehadiran kamu lagi ke Malaysia. Malaysia selama-lamanya adalah negara keduamu.”

________________

[1] Bughyah al-Mustarsyidin (hlm. 19)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *