Mukadimah
Dalam Perutusan Khas COVID-19 oleh YAB Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 10 April 2020, beliau meminta rakyat supaya membiasakan diri dengan kehidupan “the new normal” atau norma baharu. Perdana Menteri berkata, apa yang biasa dibuat dahulu, tidak boleh dilakukan lagi sekarang bagi memutuskan rantaian COVID-19. Beliau menjelaskan:
“Ringkasnya, kehidupan kita untuk bulan-bulan atau tahun yang mendatang ini tidak akan kembali seperti biasa. Kita akan menjalani kehidupan dengan the new normal atau kebiasaan baharu. Contoh mudah, berjabat tangan. Kalau dulu berjabat tangan apabila berjumpa adalah satu perkara yang biasa dibuat. Kalau tak dibuat ia dianggap janggal atau tak beradab. Namun, sekarang ini lain. Kita tak boleh berjabat tangan apabila berjumpa untuk mengelakkan jangkitan virus. Mungkin kita tunduk sahaja sebagai tanda hormat. Ini adalah the new normal atau kebiasaan baharu. Begitu juga perkara yang kita tak biasa buat sebelum ini seperti basuh tangan. Sekarang dan untuk masa yang akan datang kita mesti biasakan membasuh tangan dengan lebih kerap. Gunakan sabun, ‘hand sanitizer’ dan sebagainya. Juga memakai face mask…”
Ini adalah sebahagian contoh yang disebutkan oleh Perdana Menteri bagi menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan norma baharu. Apa yang dapat kita fahami daripada ucapan beliau adalah situasi mendatang tidak akan sama lagi dengan situasi sebelum ini. Amalan kebiasaan yang menjadi rutin kehidupan sehari-harian kita sebelum ini perlu diubah dan dijadikan kebiasaan baharu. Ia mencakupi segenap bidang kehidupan selagi mana ia melibatkan interaksi langsung kita dengan orang sekeliling sama ada di tempat kerja, pusat membeli belah, pengangkutan awam mahupun tempat ibadat.
Dalam keadaan tertentu, kita mungkin terpaksa menghadapi norma baharu untuk tidak melakukan sebarang pergerakan di luar rumah seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan oleh kerajaan ketika ini. Semua yang berlaku ini berobjektifkan dengan satu matlamat, untuk memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19. Iaitu sejenis penyakit berjangkit yang berisiko membawa maut dan masih belum ditemui vaksinnya.
Dengan itu, sebagai seorang muslim adalah amat penting kita memahami sudut pandang Islam yang sebenar dalam menghadapi situasi sebegini. Kegagalan memahaminya boleh menyebabkan berlaku salah faham yang akhirnya memburukkan imej Islam sehingga dituduh jumud, kaku dan adakalanya kelihatan ekstrem. Sedangkan Islam merupakan agama yang amat memahami realiti keberadaan manusia dalam apa jua keadaan dan masa. Justeru, artikel ini akan membahaskan prinsip-prinsip fiqh dan aplikasinya dalam menghadapi kehidupan norma baharu khususnya dalam bab amal ibadat seharian.
Mamahami konsep ‘azimah dan rukhsah
Konsep ‘azimah dan rukhsah termasuk dalam perbahasan ilmu Usul al-Fiqh. Ia merupakan dua sifat hukum syarak yang berlawanan yang dibincangkan di bawah hukum wadh’i.
Sebagaimana diketahui, terdapat dua jenis hukum iaitu hukum taklifi dan hukum wadh’i. Hukum taklifi adalah hukum syarak yang mengandungi perintah, larangan dan pilihan (keharusan). Manakala hukum wadh’i lebih bersifat penjelasan tentang situasi bagaimana perintah dan larangan tersebut terlaksana. Ia meliputi sebab bagi sesuatu, syarat, halangan, sah dan batal serta rukhsah dan ‘azimah.
Secara lebih lanjut, rukhsah bermaksud suatu ketetapan hukum yang disyariatkan disebabkan satu keuzuran dan kesusahan. (Rujuk Al-Bahr al-Muhit 1/262 dan Al-Muwafaqat 1/466) Antara contoh rukhsah pula ialah keharusan mengqasarkan solat fardhu empat rakaat kepada dua rakaat sewaktu bermusafir, dan keharusan bertayammum sebagai ganti kepada wudhu ketika ketiadaan air.
‘Azimah pula bermaksud hukum asal yang disyariatkan pada permulaan, dan bukan kerana suatu keuzuran seperti halnya rukhsah. (Rujuk Usul al-Fiqh allazi La Yasa’u al-Faqih Jahluhu, hal. 42)
Para ulama bersepakat bahawa harus untuk memilih sama ada mengambil rukhsah atau ‘azimah. Namun mereka berkhilaf, apakah yang lebih utama antara mengambil rukhsah atau ‘azimah? Sebahagian ulama mengatakan lebih utama mengambil rukhsah. Ini berdalilkan hadis Ibnu Umar R.Anh bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إنَّ اللَّهَ تباركَ وتعالى يحبُّ أن تُؤتَى رُخصُهُ كما يكرَهُ أن تُؤتَى معصيتُهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tabaraka wataála suka ketika rukhsah dari-Nya diambil, sebagaimana Ia membenci tatkala maksiat kepada-Nya dilakukan.”
Riwayat Ahmad (5832)
Menurut Imam al-Syaukani, hadis ini menjadi dalil bahawa meninggalkan rukhsah bererti meninggalkan satu perkara ketaatan, dan ia diumpamakan seperti melakukan maksiat. (Rujuk Nail al-Autar 3/244)
Juga berhujahkan riwayat Ya’la bin Umayyah RA, katanya:
قلْتُ لِعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ : ( لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ إِنْ خِفْتُمْ أَنْ يَفْتِنَكُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا ) (النساء: 101) ، فَقَدْ أَمِنَ النَّاسُ ؟ فَقَالَ: عَجِبْتُ مِمَّا عَجِبْتَ مِنْهُ ، فَسَأَلْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ذَلِكَ، فَقَالَ: ( صَدَقَةٌ تَصَدَّقَ اللهُ بِهَا عَلَيْكُمْ ؛ فَاقْبَلُوا صَدَقَتَهُ )
Maksudnya: “Aku bertanya kepada Saidina Umar al-Khattab RA: Allah SWT berfirman dalam al-Qur’an: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir”, sedangkan sekarang manusia berada dalam keadaan aman. Umar RA menjawab: Aku juga berfikir perkara yang sama denganmu, maka aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentangnya, lalu Baginda bersabda: “Ia merupakan sedeqah daripada Allah SWT untuk kamu, maka terimalah sedeqah-Nya.”
Riwayat Muslim (686)
Kerana itu, Imam al-Zarkasyi berpandangan bahawa mengqasarkan solat adalah lebih afdhal berbanding solat secara penuh (tamam). (Rujuk Al-Manthur fi al-Qawa’id, 2/415)
Manakala para ulama yang mengatakan lebih utama mengambil ‘azimah berdalilkan beberapa hadis, antaranya riwayat daripada Al-Aswad, bahawa Saidatina Aisyah R.Anha berkata:
يَا رَسُولَ اللَّهِ يَصْدُرُ النَّاسُ بِنُسُكَيْنِ وَأَصْدُرُ بِنُسُكٍ فَقِيلَ لَهَا “ انْتَظِرِي، فَإِذَا طَهُرْتِ فَاخْرُجِي إِلَى التَّنْعِيمِ، فَأَهِلِّي ثُمَّ ائْتِينَا بِمَكَانِ كَذَا، وَلَكِنَّهَا عَلَى قَدْرِ نَفَقَتِكِ، أَوْ نَصَبِكِ ”
Maksudnya: “Wahai Rasulullah, orang ramai pulang dari Mekah dengan mengerjakan haji dan umrah, tapi aku hanya satu. Lalu Baginda SAW menjawab: Kamu perlu menunggu hingga tempoh haid kamu selesai, kemudian pergi ke Tan’im dan mengenakan ihram, kemudian kamu temui kami pada masa sekian di tempat sekian; sesungguhnya pahala bagi umrah kamu ialah berdasarkan perbelanjaan yang ditanggung dan usaha yang dicurahkan.”
Riwayat al-Bukhari (1787) dan Muslim (1211)
Menurut Imam al-Syatibi, hukum ‘azimah merupakan al-qasd al-awwal (objektif utama) syarak, manakala rukhsah pula merupakan kehendak yang kedua. (Rujuk Al-Muwafaqat 1/539)
Namun ini tidaklah bermaksud kita disuruh untuk sengaja menyusahkan dan memberatkan diri sendiri sewaktu beribadah. Kerana itu apabila suatu hari Baginda SAW melihat seorang lelaki yang dipapah oleh dua orang anaknya kerana bernazar untuk berjalan kaki menuju Kaabah, maka Baginda bersabda:
إِنَّ اللَّهَ لَغَنِيٌّ عَنْ تَعْذِيبِ هَذَا نَفْسَهُ
Maksudnya: “Allah SWT tidak memerlukan penyeksaan terhadap diri sendiri oleh lelaki ini.”
Sahih al-Bukhari (6701)
Dalam hadis yang lain, terdapat dalil menunjukkan dalam keadaan tertentu Rasulullah SAW memerintahkan umat Islam supaya mengambil rukhsah iaitu apabila keadaan boleh membawa mudarat. Ia sebagaimana riwayat Jabir R.A:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم خَرَجَ عَامَ الْفَتْحِ إِلَى مَكَّةَ فِي رَمَضَانَ فَصَامَ حَتَّى بَلَغَ كُرَاعَ الْغَمِيمِ فَصَامَ النَّاسُ. فَقِيلَ لَهُ إِنَّ النَّاسَ قَدْ شَقَّ عَلَيْهِمُ الصِّيَامُ وَإِنَّمَا يَنْظُرُونَ فِيمَا فَعَلْتَ ثُمَّ دَعَا بِقَدَحٍ مِنْ مَاءٍ فَرَفَعَهُ حَتَّى نَظَرَ النَّاسُ إِلَيْهِ ثُمَّ شَرِبَ فَقِيلَ لَهُ بَعْدَ ذَلِكَ إِنَّ بَعْضَ النَّاسِ قَدْ صَامَ فَقَالَ “ أُولَئِكَ الْعُصَاةُ أُولَئِكَ الْعُصَاةُ ”
Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW keluar ke kota Mekah pada bulan Ramadhan pada tahun Fathu Mekah, dan Baginda serta para sahabat berpuasa hingga mereka tiba di Kura’ al-Ghamim. Diberitakan kepada Nabi SAW bahawa ada yang sudah tidak larat untuk berpuasa, dan mereka melihat kepada Baginda sama ada Baginda masih berpuasa atau berbuka. Baginda kemudiannya meminta segelas air, dan mengangkatnya supaya orang lain dapat melihat Baginda minum. Kemudian Baginda diberitahu bahawa sebahagian sahabat Baginda terus berpuasa, maka Baginda bersabda: Mereka itu orang yang ingkar, mereka itu orang yang ingkar.”
Riwayat Muslim (1114)
Menurut Imam al-Nawawi dan Kamal ibn al-Humam, hadis-hadis yang menunjukkan keutamaan berbuka ditakwilkan sebagai merujuk kepada keadaan-keadaan yang boleh memudaratkan jika diteruskan berpuasa, dan hukum ‘azimah kekal lebih afdhal berbanding rukhsah. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 6/265)
Dalam keadaan biasa, iaitu tidak berlaku sebarang mudarat, seseorang diberi pilihan sama ada mengambil rukhsah atau ‘azimah. Ini berdalilkan hadis riwayat Hamzah bin ‘Amr:
أَنَّهُ سَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَكَانَ رَجُلاً يَصُومُ فِي السَّفَرِ فَقَالَ “ إِنْ شِئْتَ فَصُمْ وَإِنْ شِئْتَ فَأَفْطِرْ
Maksudnya: “Suatu hari dia bertanya kepada Rasulullah SAW satu persoalan tentang berpuasa dalam permusafiran, dan dia merupakan seorang yang biasa berpuasa sewaktu bermusafir, lalu Baginda SAW menjawab: “Jika kamu mahu, puasalah, dan jika kamu mahu, kamu boleh berbuka.”
Riwayat Muslim (1121) dan al-Nasa’ie (2302)
Dalam riwayat Ibn Abbas R.Anhuma, berkata:
خَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، مِنَ المَدِينَةِ إِلَى مَكَّةَ، فَصَامَ حَتَّى بَلَغَ عُسْفَانَ، ثُمَّ دَعَا بِمَاءٍ فَرَفَعَهُ إِلَى يَدَيْهِ لِيُرِيَهُ النَّاسَ، فَأَفْطَرَ حَتَّى قَدِمَ مَكَّةَ، وَذَلِكَ فِي رَمَضَانَ ، فَكَانَ ابْنُ عَبَّاسٍ يَقُولُ: «قَدْ صَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَفْطَرَ، فَمَنْ شَاءَ صَامَ وَمَنْ شَاءَ أَفْطَرَ
Maksudnya: “Rasulullah SAW keluar daripada Mekah ke Madinah (ketika peristiwa Fathu Makkah) dengan keadaan berpuasa (Ramadhan) sehingga sampai ke kawasan `Usfan. Kemudian baginda meminta air lalu dibawakan air ke hadapan baginda sehingga dapat dilihat oleh orang ramai, lalu baginda berbuka puasa sehingga baginda sampai ke Mekah. Ini berlaku dalam bulan Ramadhan.” Ibn Abbas berkata lagi: “Sesungguhnya Rasulullah SAW berpuasa dan juga berbuka. Barangsiapa yang mahu maka dia berbuka, dan barangsiapa yang mahu dia berbuka.”
Riwayat al-Bukhari (1948)
Menerusi pembentangan dalil-dalil di atas, sebenarnya tidak boleh untuk menetapkan keutamaan rukhsah dan ‘azimah ke atas satu sama lain secara mutlak, kerana rukhsah merupakan satu keringanan yang disyariatkan oleh Allah SWT disebabkan kesulitan dan masyaqqah yang menimpa hamba-hamba-Nya. Ia merupakan perkara yang bersifat subjektif dan relatif, serta berbeza-beza timbangannya menurut satu individu dengan individu yang lain. (Rujuk Al-Muhazzab fi ‘Ilm Usul al-Fiqh al-Muqaran, 1/459-462)
Bahkan dalam situasi tertentu, hukum mengambil rukhsah adalah wajib dan bukan lagi pilihan. Ia seperti memakan daging babi dalam keadaan terdesak kerana khuatir mati kebuluran. Terdapat pula rukhsah yang hukumnya hanya sunat, seperti rukhsah untuk mengqasar solat bagi musafir, kerana ia disebut oleh Rasulullah SAW sebagai ‘hadiah’ daripada Allah SWT untuk orang beriman.
Berdasarkan perbahasan di atas, dapat kita simpulkan bahawa tatacara beribadat dalam suasana penularan COVID-19 adalah termasuk dalam bab rukhsah yang diwajibkan. Ini kerana pihak kerajaan sendiri telah mengesahkan mudarat penyakit tersebut jika berlakunya sebarang perhimpunan ramai. Selain itu peraturan telah pun dikuatkuasakan sama ada oleh pihak berkuasa keselamatan, kesihatan mahupun agama. Sehubungan itu, wajib bagi rakyat untuk mematuhinya.
Ini bermakna, solat Zuhur di rumah pada hari Jumaat dan solat berjemaah lima waktu di rumah adalah termasuk dalam perkara rukhsah yang pada asalnya harus untuk diambil kerana bimbangkan risiko jangkitan penyakit berjangkit. Namun, apabila terdapat peraturan daripada pihak pemerintah termasuk pihak berkuasa agama yang menegah perbuatan tersebut menerusi fatwa atau titah perintah Raja-Raja, ia bertukar menjadi rukhsah yang wajib untuk diikuti.
Memahami konsep al-darurah
Al-Darurah merupakan bahasa Arab yang berasal daripada kalimah al-darar bermaksud musibah yang tidak dapat dielak. (Lihat Mu’jam al-Ta’rifat, 117) Ia berlawanan dengan perkataan al-naf‘ bererti manfaat. Dengan kata lain, al-dar adalah lawan kepada manfaat iaitu sesuatu yang tidak baik. (Lihat Lisan al-’Arab, 4/482) Para ulama seperti al-Nawawi (lihat al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab, 9/52) dan al-Zuhayli (lihat Nazariyyah al-Darurah al-Shar’iyyah, 54) mengaitkan maksud darurat dengan situasi yang boleh membawa kepada kehilangan nyawa seperti terpaksa mengambil makanan yang haram demi menyelamatkan nyawa dalam keadaan terdesak. Ini bermakna darurat yang dimaksudkan adalah keadaan atau situasi yang boleh menyebabkan kebinasaan pada nyawa ataupun anggota badan.
Namun demikian terdapat sebahagian ulama yang menghuraikan darurat secara umum tanpa menghubungkannya dengan kebinasaan akibat tidak mengambil sesuatu yang diharamkan. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh ulama Malikiyyah bahawa darurat itu termasuk merasa khuatir akan berlakunya kebinasaan kepada diri sama ada secara yakin atau zhan atau bimbang berlakunya kematian. Rasa kekhuatiran dan kebimbangan tersebut sudah dianggap meletakkan seseorang itu dalam situasi darurat. (Lihat al-Qawanin al-Fiqhiyyah fi Talkhis Madhhab al-Malikiyyah, 137) Juga dinyatakan oleh ulama Syafi’iyyah bahawa sesiapa yang khuatir jika tidak makan akan menyebabkan ia mati atau penyakit yang menakutkan atau bertambah penyakitnya, atau berpanjangan sakitnya, sedangkan tiada makanan yang halal kecuali yang haram, maka wajib ia memakannya. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 4/306)
Terdapat banyak dalil pensyariatan darurat sama ada daripada al-Quran mahupun hadis-hadis baginda SAW. Antaranya seperti firman Allah SWT:
إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّـهِ ۖ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya, “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah al-Baqarah: 173)
Dalam hadis pula sebagaimana riwayat Jabir bin Samurah R.Anh:
عَنْ جَابِرِ بْنِ سَمُرَةَ ، أَنَّ أَهْلَ بَيْتٍ كَانُوا بِالْحَرَّةِ مُحْتَاجِينَ ، قَالَ : فَمَاتَتْ عِنْدَهُمْ نَاقَةٌ لَهُمْ ، أَوْ لِغَيْرِهِمْ، فَرَخَّصَ لَهُمُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي أَكْلِهَا ، قَالَ : فَعَصَمَتْهُمْ بَقِيَّةَ شِتَائِهِمْ ، أَوْ سَنَتِهِمْ
Maksudnya, “Bahawa terdapat sekeluarga di Harrah (berdekatan Madinah) yang memerlukan. Lalu unta mereka atau selain mereka mati. Maka Rasulullah memberikan rukhsah kepada mereka untuk memakan bangkainya. (Jabir) berkata: (Bangkai unta) tersebut memadai bagi mereka untuk musim sejuk atau setahun yang berbaki.”
Riwayat Ahmad (21100)
Nas-nas di ayat menunjukkan terdapatnya pengecualian (istithna’) ketika dalam situasi darurat bagi mengelakkan daripada kehilangan nyawa. Kata al-Bazdawi dan para ulama tafsir dan usul selainnya, Allah SWT mengecualikan (pengharaman) dalam keadaan darurat, pengecualian daripada haram bermakna harus. (Lihat Kashf al-Asrar, 4/1518)
Wahbah al-Zuhayli mengatakan kesimpulan daripada perbahasan berkenaan darurat ialah darurat merupakan konsep yang implikasinya mengharuskan apa yang diharamkan oleh syarak atau keharusan meninggalkan kewajipan. Justeru beliau berpendapat, darurat itu adalah suatu keadaan bahaya atau kesukaran bersangatan yang menimpa manusia sehingga bimbang ia akan menyebabkan kemudaratan kepada nyawa atau anggota atau maruah atau akal atau harta dan yang berkaitan dengannya. Ketika itu diharuskan ia mengambil yang haram atau meninggalkan kewajipan atau melewatkannya daripada waktunya bagi mengelakkan kemudaratan berdasarkan sangkaan kuatnya menurut garis panduan syarak. (Lihat Nazariyyah al-Darurah al-Shar’iyyah, 68)
Beliau seterusnya mengemukakan sekurang-kurangnya terdapat tujuh perkara di bawah garis panduan darurat.
- Darurat itu memang benar-benar berlaku bukan lagi hanya sangkaan semata-mata ke atas kemusnahan nyawa ataupun harta benda. Kalau pun kekhuatiran itu didasarkan sangkaan, sangkaan itu hendaklah sangkaan yang kuat seperti telah melalui proses pengalaman dan pemerhatian;
- Orang yang berada dalam keadaan darurat itu tidak ada jalan lain yang dibenarkan oleh syarak untuk mengelakkan kemudaratan itu kecuali dengan jalan yang haram itu;
- Hendaklah pada ketika wujudnya perkara yang haram itu terdapat perkara yang halal, namun ia dipaksa untuk mengambil yang haram dengan ugutan yang boleh menyebabkan kehilangan nyawa atau anggota badan (al-ikrah al-mulji’);
- Orang yang dalam keadaan darurat (terpaksa) itu mestilah berusaha jangan memilih perkara yang terang-terang melanggar prinsip asasi syariat Islamiah dan usul akidah Islamiah seperti tidak halnya ia memilih untuk berzina, membunuh, memilih kufur dan mengambil hak orang lain kerana perkara-perkara berkenaan pada hakikatnya adalah mafsadah (kerosakan). Ini bererti jika dalam melepaskan keadaan terpaksa itu tiada jalan yang halal, cuma yang ada beberapa jalan yang haram, maka ia mesti memilih mudarat yang lebih ringan dan tidak terang-terang melanggar perkara-perkara asasi dalam Islam;
- Hendaklah mengambil yang haram atau dilarang itu pada kadar yang paling minima dan perlu sahaja. Ini kerana keharusan mengambil yang haram atau dilarang hanya dalam keadaan darurat dan darurat perlu diukur dengan kadar yang perlu sahaja;
- Dalam isu terpaksa memakan ubat dari produk haram untuk menjaga kepentingan nyawa, syarat tambahan yang perlu dipenuhi ialah pengambilan ubat berkenaan hendaklah disyorkan oleh doktor yang dipercayai pegangan dan amalan agamanya serta mempunyai kepakaran di samping terbukti tiada ubat lain yang halal untuk diambil;
- Dalam pemerintahan negara, pemimpin perlu memastikan kepentingan awam dan negara didahulukan walaupun kadang-kadang terpaksa mengambil jalan yang terlarang apabila jalan yang halal tiada atau kurang berkesan dalam menjaga kepentingan negaranya. (Lihat Nazariyyah al-Darurah al-Shar’iyyah, 69-72)
Selain itu, terdapat beberapa kaedah yang disebutkan oleh fuqaha dalam berinteraksi dengan situasi darurat atau perkara yang boleh membawa kepada kemudaratan. Antaranya seperti berikut:
Pertama: Kaedah fiqh yang masyhur:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَار
Maksudnya: “Janganlah memudaratkan diri sendiri dan memberi kemudaratan kepada orang lain.” (Rujuk al-Asybah wa al-Nazha’ir oleh al-Suyuti, 173-181)
Aplikasi kepada kaedah ini: Tidak dibenarkan seseorang yang disyaki atau mempunyai sebarang simptom atau disahkan berpenyakit COVID-19 untuk bergaul dengan orang lain termasuk pergi ke masjid sama ada untuk solat Jumaat atau solat berjemaah lima waktu. Bahkan diwajibkan baginya menuruti segala arahan yang dikenakan oleh pihak kerajaan seperti mengkuarantin diri atau berada di pusat kuarantin yang ditetapkan.
Kedua: Keadaan darurat menyebabkan diharuskan untuk melakukan perkara-perkara yang terlarang. Ini berdasarkan satu kaedah fiqh yang masyhur:
الضَّرُورَات تُبِيحُ المحْظُورَات
Maksudnya: “Keadaan-keadaan darurat itu mengharuskan perkara-perkara yang terlarang”. (Rujuk al-Ashbah wa al-Nazha’ir, Ibn Nujaim, 85)
Aplikasi kepada kaedah ini: Pada asalnya seseorang yang mukallaf ditegah meninggalkan solat Jumaat tanpa sebarang sebab yang syar’i. Namun demikian, dalam keadaan darurat disebabkan penularan wabak COVID-19, menjadi harus bagi seseorang meninggalkannya bahkan wajib meninggalkannya jika terdapat larangan daripada pihak kerajaan demi memelihara maslahah umum.
Ketiga: Keadaan darurat itu ditentukan mengikut kadarnya sahaja. Ini berdasarkan sebuah kaedah yang masyhur:
الضَّرُورَةُ تُقَدَّر بِقَدَرِهَا
Maksudnya: “Darurat itu ditentukan mengikut kadarnya sahaja”. (Rujuk al-Ashbah wa al-Nazha’ir, 184-186)
Aplikasi bagi kaedah ini: Status larangan mendirikan solat Jumaat, solat berjemaah dan solat hari raya di masjid dan surau pada musim penularan COVID-19 akan dinilai dari masa ke semasa oleh pihak yang berkepakaran dan bertanggungjawab iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Hanya pihak berkenaan yang mampu dan berkelayakan untuk menilai tahap darurat penularan COVID-19. Oleh yang demikian, darurat tidak bersifat statik, sebaliknya jika terdapat perkembangan positif dalam pengekangan wabak tersebut, berkemungkinan larangan berhimpun bagi aktiviti keagamaan akan dilonggarkan secara beransur-ansur dengan mekanisme tertentu oleh pihak berwajib.
Keempat: Apabila berlaku kemudaratan, maka wajib dihilangkan kemudaratan tersebut. Ini berdasarkan kaedah:
الضَّرَر يُزَال
Maksudnya: “Kemudharatan hendaklah dihilangkan.” (Rujuk al-Wajiz fi Idhah Qawaid al-Fiqh al-Kulliyyah, 258)
Aplikasi bagi kaedah ini: Tidak boleh mendedahkan diri dengan kemudaratan dengan melanggar arahan PKP yang dilaksanakan kerajaan. Ini kerana, arahan tersebut bertujuan untuk mengelakkan kemudaratan berlaku kepada diri sendiri dan orang lain daripada dijangkiti wabak COVID-19, seterusnya bagi memutuskan rangkaian penyakit tersebut.
Kelima: Kemudaratan dihindari daripada berlaku dengan semampu mungkin. Ini berdasarkan kaedah fiqh:
الضَّرَر يُدْفَعُ بِقَدَرِ الإِمْكَان
Maksudnya: “Kemudharatan itu dihindari mengikut kadar kemampuan.” (Rujuk al-Wajiz fi Idhah Qawa’id al-Fiqh al-Kulliyyah, 258)
Aplikasi bagi kaedah ini: Berusaha semampu mungkin untuk mematuhi semua arahan dan panduan yang disyorkan oleh pihak berautoriti sebagai langkah untuk memastikan rangkaian COVID-19 dapat diputuskan termasuk tidak berjabat tangan, tidak menganjurkan atau menghadiri majlis hari raya, tidak mengadakan majlis tahlil beramai-ramai di kawasan perkuburan pada hari raya, tidak balik ke kampung dan seumpamanya.
Memahami konsep Fiqh al-Awlawiyyat
Fiqh al-Awlawiyyat atau Fiqh Keutamaan bermaksud suatu kefahaman dalam meletakkan sesuatu secara adil pada tempatnya berdasarkan kepada neraca syarak. Ia merangkumi pelbagai perkara termasuk hukum-hakam, nilai-nilai, tindakan dan juga amalan. Fiqh Keutamaan sangat penting difahami dan diaplikasikan oleh umat Islam pada zaman ini dalam semua bidang dan aktiviti termasuklah ketika berada di atas jalan raya. Semua ini supaya segala sesuatu itu dapat dilakukan menurut keutamaannya. Dengan itu kehidupan masyarakat dapat berjalan dengan baik dan lancar dan segala pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan secara teratur. Ini kerana, segala nilai, amalan dan taklif syarak tidak berada pada satu tahap sahaja. Ia terbahagi kepada yang berat dan yang ringan, yang asas dan yang cabang, yang rukun dan yang menjadi pelengkap, yang paling tinggi dan yang paling rendah, yang lebih baik dan yang kurang baik dan seterusnya. Setiap satunya perlu diletakkan pada tempatnya dan tidak boleh didahulukan daripada yang lain yang tidak berada pada tahapnya. (Lihat Fi Fiqh al-Awlawiyyat, 9)
Meletakkan semua perkara pada tempat dan tahap yang sama, pasti akan membawa banyak kerosakan dan ketidaktentuan dalam kehidupan manusia. Ini antaranya sebagaimana firman Allah SWT:
أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ الْحَاجِّ وَعِمَارَةَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ كَمَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَجَاهَدَ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ لَا يَسْتَوُونَ عِندَ اللَّـهِ ۗ وَاللَّـهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ ﴿١٩﴾
Maksudnya: “Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji, dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjid Al-Haraam itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.”
(Surah al-Taubah: 19)
Ayat di atas menjelaskan amalan jihad lebih utama berbanding dengan amalan haji. Ini kerana faedah jihad untuk ummah keseluruhannya, manakala faedah haji untuk diri sendiri dan berkaitannya sahaja. Demikian juga perkara-perkara yang lain seperti maslahah dan mudarat yang turut mempunyai tahap-tahap yang berbeza. Yang lebih besar sudah tentu perlu diutamakan, manakala yang kecil perlu dikemudiankan.
Dinyatakan di sini bagaimana fungsi Fiqh Keutamaan dapat melaksanakan amal ibadat dalam suasana norma baharu.
Pertama: Mengutamakan fardhu ‘ain berbanding fardhu kifayah. Ini kerana fardhu ‘ain merupakan kefardhuan yang wajib dilakukan oleh individu itu sendiri. Manakala fardhu kifayah adalah kefardhuan yang jika dilakukan oleh sebahagian orang, maka ia menggugurkan tuntutan ke atas orang lain. Ini seperti mendirikan solat berjemaah lima waktu di masjid dan surau. Ia merupakan fadhu kifayah menurut pendapat muktamad dalam Mazhab Shafie. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 2/150) Bermakna dalam situasi biasa sekalipun, jika terdapat sebahagian ahli kariah telah menghidupkan masjid dan surau dengan solat berjemaah, ia memadai untuk menggugurkan tuntutan kepada ahli kariah yang lain. Apatah lagi dalam situasi penularan wabak COVID-19, adalah memadai masjid dan surau dihidupkan oleh beberapa orang pegawai masjid sebagai mematuhi arahan PKP bagi mengekang wabak penyakit.
Kedua: Mempermudahkan yang sunat. Dalam Fiqh Keutamaan isu mendirikan solat sunat tarawih berjemaah tidak termasuk perkara yang wajib walaupun ia adalah sunat yang muakkadah. Dalam kaedah Fiqh Keutamaan hendaklah mendahulukan yang wajib ke atas yang sunat dan mempermudahkan iaitu tidak terlampau memberatkan perkara yang sunat sehingga menyamai yang wajib. Ini ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam hadis baginda antaranya seperti berikut:
عن طَلْحَةَ بْنَ عُبَيْدِ اللهِ، يَقُولُ: جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ أَهْلِ نَجْدٍ ثَائِرُ الرَّأْسِ، نَسْمَعُ دَوِيَّ صَوْتِهِ، وَلَا نَفْقَهُ مَا يَقُولُ حَتَّى دَنَا مِنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَإِذَا هُوَ يَسْأَلُ عَنِ الْإِسْلَامِ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «خَمْسُ صَلَوَاتٍ فِي الْيَوْمِ، وَاللَّيْلَةِ» فَقَالَ: هَلْ عَلَيَّ غَيْرُهُنَّ؟ قَالَ: «لَا، إِلَّا أَنْ تَطَّوَّعَ، وَصِيَامُ شَهْرِ رَمَضَانَ»، فَقَالَ: هَلْ عَلَيَّ غَيْرُهُ؟ فَقَالَ: «لَا، إِلَّا أَنْ تَطَّوَّعَ»، وَذَكَرَ لَهُ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الزَّكَاةَ، فَقَالَ: هَلْ عَلَيَّ غَيْرُهَا؟ قَالَ: «لَا، إِلَّا أَنْ تَطَّوَّعَ»، قَالَ: فَأَدْبَرَ الرَّجُلُ، وَهُوَ يَقُولُ: وَاللهِ، لَا أَزِيدُ عَلَى هَذَا، وَلَا أَنْقُصُ مِنْهُ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَفْلَحَ إِنْ صَدَقَ»
Dari Talhah bin Ubaidillah r.a., katanya: “Seorang lelaki penduduk Najd datang kepada Rasulullah SAW dengan rambut kusut. Kami mendengar suaranya, tetapi tidak jelas bagi kami apa yang dikatakannya. Akhirnya dia mendekat kepada Rasulullah saw., kiranya dia menanyakan perihal Islam. Jawab Rasulullah SAW, “Solat lima kali sehari semalam.” Tanya orang itu, “Adakah kewajiban kami selain itu?” Jawab Nabi saw., “Tidak! Kecuali jika engkau mahu mengerjakan solat sunat.” Kata beliau selanjutnya, “Puasa bulan Ramadhan.” Tanya orang itu, “Adakah kewajipan kami selain itu?” Jawab Nabi SAW, “Tidak! Kecuali jika engkau mahu puasa sunat.” Nabi SAW melanjutkan pula, “Zakat.” Tanya orang itu, “Adakah kewajiban kami selain itu?” jawab Nabi SAW., “Tidak! Kecuali jika engkau mahu bersedekah sunat.” Kata Thalhah, “Kemudian orang itu berlalu sambil berkata: “Demi Allah! Apa yang diajarkan Rasulullah itu tidak akan kutambah dan tidak akan ku kurangi.” Sabda Rasulullah SAW, “Beruntunglah dia, jika apa yang diucapkannya itu benar-benar ditepatinya.”
Riwayat Muslim (8)
Menurut al-Qaradawi, hadis Talhah ini menunjukkan bahawa ibadat-ibadat fardhu merupakan asas amali kepada agama ini. Sesiapa yang menunaikannya dengan sempurna tanpa menguranginya maka ia telah membuka baginya pintu syurga walaupun ia mungkin terlalai dalam mengerjakan yang sunat. Dengan kata lain, manhaj nawabi adalah memfokuskan kepada yang menjadi rukun dan prinsip dalam agama bukan cabang dengan segala perinciannya. (Lihat Fi Fiqh al-Awlawiyyat, 135-136)
Justeru, dalam suasana mematuhi arahan PKP yang dikenakan oleh kerajaan, maka amat tidak wajar jika umat Islam masih menitikberatkan isu solat tarawih di masjid dan surau sedangkan ia bukan termasuk perkara yang wajib tetapi sunat dan masih boleh dilakukan secara berjemaah dengan keluarga di rumah masing-masing.
Ketiga: Mendahulukan hak-hak hamba berbanding hak-hak Allah SWT[1]: Menurut al-Amidi, hak-hak anak Adam itu diutamakan berbanding hak-hak Allah SWT. Ini kerana hak-hak manusia itu berdasarkan kesusahan, kesempitan dan pertelingkahan manakala hak-hak Allah berdasarkan kemudahan dan kemaafan. Allah SWT tidak sesekali tergugat dengan ketidakpatuhan para hamba terhadap hak-hak-Nya. (Lihat al-Ihkam fi Usul al-Ahkam, 4/275; ) Ibn Nujaim mengatakan jika bertembung hak Allah dan hak hamba maka didahulukan hak hamba. Al-Suyuti memberikan alasan kerana Allah itu Maha Kaya sedangkan hamba itu sentiasa berhajat. (Lihat Mausu’ah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 220) Sebagai contoh, menunaikan haji dan membayar hutang kedua-duanya wajib. Namun demikian, seseorang penghutang tidak dibenarkan menunaikan haji sehingga dia melunaskan hutangnya terlebih dahulu. Kecuali jika hutangnya itu memiliki tempoh atau dia mendapat keizinan pemiutang. (Lihat Fi Fiqh al-Awlawiyyat, 142)
Dalam isu menunaikan solat Jumaat pada musim penularan wabak COVID-19, maka yang perlu diutamakan adalah penjagaan nyawa untuk mengelakkan diri dan orang ramai daripada dijangkiti penyakit tersebut. Adapun solat Jumaat, ia merupakan hak-hak yang dimaafkan oleh Allah SWT jika memiliki alasan yang diterima syarak seperti ketakutan dan penyakit yang dianggap sebagai darurat. Ini sebagaimana riwayat Jabir bin Abdillah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda:
مَنْ تَرَكَ الْجُمُعَةَ ثَلاَثًا مِنْ غَيْرِ ضَرُورَةٍ طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ
Maksudnya : Sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat sebanyak tiga kali tanpa sebarang dharurat maka Allah akan mengunci mati jantung hatinya.
Riwayat Al-Nasa’ie (1370)
Bermakna, dalam suasana penularan wabak COVID-19, seseorang yang meninggalkan Jumaat kerana darurat adalah dimaafkan dan tidak termasuk dalam ancaman yang dinyatakan oleh baginda SAW, demi memelihara nyawa sendiri dan masyarakat umum daripada dijangkiti wabak tersebut.
Di samping itu, adalah tidak tepat membandingkan kegiatan ekonomi tetap dibenarkan sedangkan menunaikan solat Jumaat dan berjemaah di masjid kekal dilarang. Perbandingan ini jelas berpunca daripada ketidakfahaman terhadap Fiqh Keutamaan. Kegiatan ekonomi adalah termasuk hak-hak hamba yang perlu ditunaikan secara darurat tanpa pilihan. Jika tidak ia akan menjejaskan diri manusia itu sendiri seperti kehilangan mata pencarian, terputus bekalan makanan, kerugian dalam perniagaan, kegagalan membayar hutang, kegagalan memberi nafkah kepada keluarga, tekanan perasaan akibat tekanan hidup dan sebagainya. Sedangkan hak-hak Allah SWT masih dapat ditunaikan walaupun dalam keadaan darurat dengan mengambil rukhsah yang dikurniakan atas sifat ihsan dan kasihan belas-Nya.
Memahami konsep Fiqh al-Muwazanat
Fiqh al-Muwazanat atau Fiqh Penimbangan adalah himpunan kaedah-kaedah atau tatacara yang bertindak sebagai perantaraan untuk menghasilkan pertimbangan ilmiah yang sempurna di antara beberapa maslahat atau antara beberapa mafsadah atau antara kedua-duanya ketika berlakunya kontradiksi antara satu sama lain. (Lihat Majallah al-Shari’ah wa al-Dirasat al-Islamiyyah, bil. 46, 380) Asas dan peranan penting yang difokuskan dalam perbahasan Fiqh al-Muwazanat ialah: Membuat pertimbangan antara beberapa kemaslahatan, manfaat dan kebaikan daripada perkara yang disyariatkan antara satu sama lain; membuat pertimbangan antara pelbagai bentuk keburukan, kemudaratan, dan kejahatan yang dilarang oleh agama; membuat pertimbangan antara beberapa maslahat dan beberapa mafsadah, antara kebaikan dan keburukan apabila berlaku pertembungan antara satu sama lain. (Lihat Fi Fiqh al-Awlawiyyat, 29)
Pertama: Kemudaratan yang berlaku tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan yang sama sepertinya. Ini berdasarkan kaedah fiqh:
الضَّرَر لَا يُزَال بِمِثْلِهِ
Maksudnya: “Kemudaratan itu tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan yang seumpama dengannya”. (Rujuk Syarh al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 195-196)
Dalam isu COVID-19, antara punca penularan berlaku adalah disebabkan ketiadaan penjarakan sosial ketika berhubungan antara satu sama lain. Ini lebih sukar dikawal jika terdapatnya perhimpunan ramai termasuk ketika mengerjakan solat berjemaah di masjid dan surau. Oleh yang demikian, mengadakan perhimpunan ramai di masjid dengan tujuan untuk bermunajat kepada Allah SWT bagi mengangkat musibah COVID-19 adalah tidak tepat. Ini kerana, perhimpunan ramai itu sendiri boleh membawa kepada kemudaratan. Sedangkan, kaedah mengatakan mudarat tidak boleh dihilangkan dengan mudarat yang sama. Apatah lagi jika ia boleh menjadi punca kepada penularan wabak tersebut dengan lebih meluas.
Kedua: Apabila bertembung dua mafsadah (kerosakan), maka dibenarkan untuk melakukan mafsadah (kerosakan) yang lebih ringan kesannya di antara dua kerosakan tersebut. Ini berdasarkan sebuah kaedah yang mashyur:
إِنَّ أَدْنَى المَفْسَدَتَين يُرتَكَب مِنْ أَجْلِ دَفْع أَعْلَاهُمَا إِذَا كَانَ لَابُدَّ مِنْ مُوَافَقَةِ إِحْدَاهُمَا
Maksudnya: “Sesungguhnya kerosakan yang lebih ringan di antara dua kerosakan itu dilakukan dengan tujuan untuk mengelakkan kerosakan yang lebih besar apabila tidak boleh untuk diharmonikan antara salah satu daripadanya”. (Rujuk al-Ashbah wa al-Nazha’ir, 1/45).
Begitu juga kaedah:
الضَّرَر الأَشَدّ يُزَال بِالضَّرَرِ الأَخَفّ
Maksudnya: “Kemudaratan yang lebih berat dihilangkan dengan kemudaratan yang lebih ringan.” (Rujuk Syarh al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 199-200)
Dalam suasana COVID-19, antara keputusan yang paling sukar diambil oleh kerajaan adalah dalam menentukan antara memelihara kemaslahatan ekonomi dan kemaslahatan kesihatan. Namun, jika diteliti menerusi kaedah di atas, antara kedua-dua sektor tersebut, yang mana satukah lebih besar mudaratnya jika tidak diberi perhatian lebih? Maka jawapannya sudah tentulah kemudaratan kesihatan. Ini kerana, akhirnya yang akan menjamin keberlangsungan kegiatan ekonomi itu juga adalah kesihatan diri manusia itu sendiri.
Ketiga: Jika bertembung antara perkara yang memberikan kemudaratan kepada umum dan kemudaratan khusus, maka dibolehkan untuk melakukan perkara yang membawa kepada kemudaratan khusus bagi mengelakkan berlakunya kemudaratan kepada umum. Ini berdasarkan kaedah fiqh:
يُتَحَمَّلُ الضَّرَر الخَاص لِدَفْعِ ضَرَرِ عَام
Maksudnya: “Kemudaratan kecil dilakukan bagi mengelakkan berlakunya kemudharatan kepada umum.” (Rujuk al-Ashbah wa al-Nazha’ir, 96)
Dalam menangani penularan COVID-19, kerajaan telah menggunakan kaedah ini iaitu mengkuarantinkan orang yang dijangkiti dan yang disyaki di tempat khusus yang terasing daripada orang lain. Begitu juga apabila kerajaan melancarkan PKP, ia bertujuan mengelakkan orang yang mungkin membawa penyakit tersebut menjangkiti orang lain di tempat lain. Justeru, kaedah ini bertujuan untuk menyekat kemudaratan tersebar atau terkena kepada orang ramai dengan cara mengekang kemudaratan yang bersifat khusus.
Memahami Maqasid Syariah
‘Alal al-Fasi mentakrifkan Maqasid Syariah dengan objektif yang diambil daripada syariah dan hikmah-hikmah yang diletakkan oleh pembuat syariah di sebalik hukum-hakamnya. (Lihat Maqasid al-Syari‘ah al-Islāmiyyah wa Makarimuha, 3) Al-Raysuni pula menyimpulkan ia sebagai objektif yang ditetapkan oleh syariat untuk dicapai demi kepentingan manusia. (Lihat Nazariyat al-Maqasid ‘inda al-Imam al-Syatibi, 19) Berdasarkan beberapa takrifan yang dikemukakan, dapat dirumuskan bahawa syariat memiliki objektif tertentu dalam menetapkan sesuatu hukum. Objektif tersebut boleh disimpulkan “untuk menatijahkan kebaikan dan mencegah kemudaratan” yang terkandung dalam setiap hukum taklif yang disyariatkan.
Manakala dalam hierarki atau aspek keutamaan Maqasid Syariah ia boleh diklasifikasikan kepada tiga, iaitu:
- Al-Daruriyyat : Iaitu keperluan yang manusia bergantung kepadanya sama ada dari sudut kehidupan beragama atau keduniaan. Jika ia tiada maka akan berlaku kepincangan hidup manusia di dunia dan azab seksa di akhirat. (Lihat Ta’lil al-Ahkam, 282) Al-Daruriyyat yang asasi ini merangkumi lima perkara iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda. Ia melibatkan kelangsungan hidup manusia. (Lihat al-Mustasfa Min ‘Ilm al-Usul, 217)
- Al-Hajiyyat : Iaitu kepentingan yang memberi kemudahan kepada manusia dan menghilangkan kesempitan yang menyebabkan kesulitan dan kesukaran dengan ketiadaannya. (Lihat al-Muwafaqat Fi Usul al-Syariah, 2/326) Namun ketiadaannya tidak menjejaskan kehidupan manusia sebagaimana ketiadaan al-daruriyyat, tetapi ia boleh menyebabkan kesulitan dalam hidup manusia. Ia berada di tempat kedua selepas al-daruriyyat dari sudut turutannya.
- Al-Tahsiniyyat : Iaitu kepentingan yang dituntut untuk menjaga maruah menerusi adat-adat yang baik dan budi pekerti yang mulia. (Lihat al-Maqasid al-’Ammah Li al-Syariat al-Islamiyyah, 164) Jika ia tiada, ia tidak menyebabkan kepincangan sistem hidup manusia sebagaimana berlaku kepada al-daruriyyat dan tidak menyulitkan hidup mereka sebagaimana tahap al-hajiyyat, tetapi ia menjadikan kehidupan yang kurang selesa. Al-Tahsiniyyat menduduki tempat yang ketiga dalam dari segi hierarki keutamaan
Antara perbahasan yang perlu difahami adalah bagi Maqasid al-Daruriyyah terdapat apa yang diistilahkan sebagai pelengkap-pelengkap atau mukammilat. Ia merupakan hukum hakam yang menjadikan Maqasid al-Daruriyyah berada dalam keadaan sempurna dan diusahakan dengan cara terbaik dan seafdalnya. Yang dimaksudkan dengan mukammilat Maqasid al-Daruriyyah iaitu masalih hajiyyah dan pelengkapnya serta masalih tahsiniyyah dan pelengkapnya. Masalih tahsiniyyah adalah pelengkap kepada masalih hajiyyah, manakala masalih hajiyyah adalah pelengkap kepada masalih daruriyyah. Maka, masalih tahsiniyyah juga dianggap pelengkap kepada masalih daruriyyah kerana pelengkap kepada pelengkap adalah pelengkap. Sebagai contoh, menzahirkan syiar agama, segala sunat-sunat dan sunnah-sunnahnya, semuanya adalah pelengkap kepada memelihara agama. (Lihat ‘Ilm al-Maqasid al-Shar’iyyah, 94-95)
Dinyatakan di sini dengan lebih jelas beberapa aplikasi Maqasid Syariah dalam situasi penularan wabak COVID-19 seperti berikut:
Pertama: Dalam menangani isu COVID-19, umat Islam perlu memahami Maqasid Syariah yang asal dalam memelihara agama. Sebagai contoh, memelihara solat lima waktu termasuk maqsad asal memelihara agama. Di samping itu, disyariatkan juga hukum hakam yang menjadi pelengkapnya iaitu azan untuk menghebahkannya, solat berjemaah di masjid, khutbah Jumaat, solat dua hari raya dan lain-lain yang boleh menaikkan syiar agama. (Lihat al-Wajiz fi Usul al-Fiqh al-Islami, 121)
Ini bermakna, solat berjemaah lima waktu atau solat tarawih atau solat hari raya di masjid, bukan termasuk asal memelihara agama, tetapi ia adalah hukum hakam yang menjadi pelengkap kepada memelihara agama. Namun demikian, dalam situasi penularan COVID-19 yang melanda dan arahan PKP yang dikenakan oleh kerajaan, maka umat Islam perlu patuh menurut arahan pemerintah dengan menunaikan solat fardhu di rumah dan tidak keluar ke masjid termasuk tidak dibenarkan solat Jumaat. Ia sesekali tidak termasuk dalam kategori melanggar prinsip memelihara agama bahkan situasi darurat memaksanya kekal berada di dalam rumah. Ini termasuk masalih hajiyyah, yang memberikan kelapangan dan kemudahan kepada manusia apabila dalam situasi sukar atau memudaratkan.
Kedua: Adalah tidak tepat melakukan perbandingan antara larangan menunaikan solat Jumaat dan solat berjemaah di masjid dengan kebenaran menjalankan kegiatan ekonomi ketika larangan PKP dikuatkuasakan. Perbandingan ini jelas berpunca daripada ketidakfahaman terhadap Maqasid Syariah. Kegiatan ekonomi adalah termasuk dalam masalih hajiyyah yang diperlukan bagi memenuhi kehendak maqasid al-daruriyyah untuk memelihara nyawa. Tanpa kegiatan ekonomi, manusia akan kehilangan mata pencarian bagi menyara keperluan hidup diri sendiri dan ahli keluarga dan akhirnya akan membawa kepada kemudaratan. Ini menepati kaedah fiqh:
الحاجة تنزل منزلة الضرورة
Maksudnya: “Hajat mengambil status darurat (iaitu jika tidak ditunaikan maka akan menyebabkan kesukaran dan mudarat).”
Manakala larangan solat Jumaat dan solat berjemaah ketika penularan wabak COVID-19 juga adalah termasuk dalam masalih hajiyyah bagi memenuhi maqasid al-daruriyyah untuk memelihara nyawa. Ini kerana, perhimpunan ramai di masjid dan surau ketika solat Jumaat dan solat berjemaah dikhuatiri oleh pihak berwajib akan menyebabkan penularan wabak penyakit COVID-19 yang akan merisikokan nyawa manusia. Maka, menerusi masalih hajiyyah, manusia diberikan rukhsah oleh syarak sehingga ke tahap meninggalkan yang wajib seperti tidak menunaikan solat Jumaat dan menggantikannya dengan solat Zuhur. Semua ini bertujuan bagi mencapai maqsad (objektif) memelihara nyawa.
Ini bermakna, maqasid kedua-dua tindakan tersebut iaitu membenarkan kegiatan ekonomi dan melarang solat Jumaat dan solat berjemaah di masjid adalah sama iaitu bagi memelihara nyawa. Dalam pada itu, maqasid al-daruriyyah bagi memelihara agama tetap kekal terjaga kerana solat Zuhur pada hari Jumaat dan solat berjemaah lima waktu masih boleh dilakukan di rumah masing-masing, manakala masjid dan surau tetap meneruskan syiar azan dan solat berjemaah dengan bilangan terhad.
Kesimpulan
Ramai pengkaji dan pemerhati mengatakan, dunia selepas ini akan berubah dan tidak lagi sama seperti sebelumnya. Selagi mana vaksin atau penawar penyakit COVID-19 tidak ditemui, selagi itu manusia akan terus dihantui oleh penyakit pandemik ini. Bagi umat Islam, ini bukan pengakhiran bagi segala-galanya. Islam merupakan suatu agama yang bersifat waqi’iyyah (praktikal dan realistik) dan sentiasa meraikan situasi semasa. Sebagai seorang hamba, kita tetap kekal dituntut untuk beribadah kepada-Nya walau dalam apa jua kondisi sekalipun.
Hanyasanya ilmu dan kefahaman yang akan menentukan bagaimana umat Islam mampu berinteraksi dengan perubahan-perubahan tidak normal yang dinamakan pada hari ini sebagai “norma baharu”. Bersedialah! Andaikata arahan PKP ditamatkan oleh kerajaan, berkemungkinan beberapa sekatan dalam tatacara beribadat dan Standard Operating Procedure (SOP) yang ketat akan dikenakan oleh pihak berkuasa demi mengelakkan penularan wabak COVID-19. Semua ini bukan sahaja memerlukan pengorbanan emosi, tetapi disiplin yang tinggi dan kerjasama yang jitu.
Sebagai contoh, sekiranya dibenarkan untuk ke masjid atau surau pada masa akan datang, maka kita perlu bersedia untuk menerima suatu norma baharu dalam tatacara beribadat. Antaranya seperti berikut:
- Hanya melakukan perkara yang wajib iaitu solat Jumaat dan solat lima waktu;
- Tidak melakukan sebarang solat sunat sama ada qabliyyah atau ba’diyyah untuk mengurangkan tempoh masa keberadaan di masjid atau surau;
- Berkemungkinan bilangan kehadiran solat Jumaat dihadkan kepada bilangan tertentu berdasarkan pendapat lemah dalam Mazhab Syafie atau mazhab lain;
- Melewatkan kehadiran tetapi menyegerakan bersurai selepas solat;
- Sentiasa mengamalkan penjarakan sosial termasuk ketika menyusun saf solat;
- Tidak bersalaman dan berbual-bual lama sebelum atau selepas solat;
- Tiada sebarang kuliah agama selepas solat Maghrib seperti kebiasaan;
- Berwuduk dari rumah dan membawa bersama tikar sejadah;
- Sentiasa membasuh tangan dan memakai facemask.
Semua tatacara ini jika difahami, bukanlah bertujuan untuk sengaja menidakkan keselesaan kita beribadat di masjid atau surau. Namun ia dirangka oleh pihak berwajib bagi memenuhi prinsip-prinsip syarak dalam mengekang penularan wabak COVID-19 sebagaimana yang telah dijelaskan dalam artikel ini. Dengan kata lain, mizan (neraca) pasca-COVID-19 tidak sama dengan mizan sebelumnya. Itulah yang dinamakan oleh Syeikh Dr. Ali Muhyiddin al-Qaradaghi sebagai Fiqh al-Mizan. Iaitu fiqh yang bertepatan dengan hikmah. Hikmah pula adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya yang sesuai dan pada masa yang sesuai.
Semoga dengan apa yang dibahaskan secara ringkas dalam artikel ini, dapat memberikan kefahaman kepada orang ramai dari sudut fiqh dalam berinteraksi dengan situasi-situasi yang mendatang.
Unit Penyelidikan Ilmiah
Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
Jabatan Perdana Menteri
__________________________
Nota Hujung:
[1] Walau bagaimanapun, kaedah ini bukan mutlak. Imam al-’Izz bin Abdul Salam membahaskan panjang lebar mengenai isu ini dan ia tidak sama dalam semua perkara. Kita mengatakan bahawa dalam keadaan biasa, hak-hak Allah SWT hendaklah didahulukan berbanding hak-hak hamba. Namun, dalam keadaan darurat atau terdapatnya keuzuran yang diharuskan maka boleh digunakan kaedah sebaliknya seperti di atas. (Lihat Qawa’id al-Ahkam fi Masalih al-Anam, 1/174-176)
PENAFIAN: Al-Bayan adalah siri pandangan hukum yang dikeluarkan oleh Unit al-Bahth al-‘Ilmi (Penyelidikan Ilmiah) Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Ianya tidak berperanan sebagai fatwa dalam konteks akta, enakmen atau ordinan.