“Sidang hadirin, Muslimin yang dirahmati Allah SWT. Antara tujuan al-Quran diturunkan ialah untuk ditadabbur kandungannya sebagaimana firman Allah SWT:
كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ
Maksudnya: “(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu Wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.”[1]
Syeikh Sya’rawi Rahimuhullah ketika mentafsirkan ayat di atas menghuraikan makna kalimah ‘Mubarak’ iaitu benda yang sedikit tetapi manfaat dan kebaikannya jauh melebihi apa yang digambarkan. Seumpama orang yang bergaji sedikit tetapi kehidupan keluarganya mencukupi. Segala perbelanjaannya dihalakan kepada perkara yang bermanfaat dan berfaedah. Seakan hidup sebagai orang yang kaya.”
Zulkifli menghentikan khutbahnya seketika. Mukanya sedikit berkerut. Suasana menjadi sepi. Beberapa jemaah menoleh ke belakang apabila melihat Zulkifli merenung tepat ke pintu masuk Masjid Port Dickson.
“Ana harap para pelajar Kolej UNITI dapat hadir lebih awal untuk menunaikan solat Jumaat. Besar pahala orang yang datang awal untuk solat Jumaat Jangan lupa untuk solat tahiyyatul masjid dulu sebelum duduk dengar khutbah.”. Zulkifli yang sedang menyampaikan khutbah, menegur segelintir pelajarnya yang hadir lewat ke masjid.
Memang merah padam muka mereka apabila seluruh masjid melihat namun itulah tarbiah yang mungkin kekal di ingatan sehingga ke hari tua.
Tindakan Zulkifli adalah selaras dengan daripada Abu Jabir Bin Abdullah. Beliau berkata:
جَاءَ سُلَيْكٌ الْغَطَفَانِىُّ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَرَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَخْطُبُ فَجَلَسَ فَقَالَ لَهُ يَا سُلَيْكُ قُمْ فَارْكَعْ رَكْعَتَيْنِ وَتَجَوَّزْ فِيهِمَا – ثُمَّ قَالَ – إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَالإِمَامُ يَخْطُبُ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ وَلْيَتَجَوَّزْ فِيهِمَا
Maksudnya: “Sulaik Al-Ghatafani datang pada hari Jumaat dan pada ketika itu Rasulullah SAW sedang berkhutbah. Lalu Sulaik terus duduk. Maka Rasulullah SAW bersabda : Wahai Sulaik bangunlah dan solatlah dua rakaat serta segerakan solat tersebut. Kemudian Baginda bersabda lagi : Jika salah seorang dari kalian datang (ke masjid) pada hari Jumaat dalam keadaan imam sedang berkhutbah maka solatlah dua rakaat dan ringkaskanlah solat tersebut.”[2]
Imam Al-Nawawi berkata bahawa jika seseorang masuk ke dalam masjid dan Imam sedang berkhutbah maka dia tidak boleh duduk melainkan setelah solat dua rakaat yang dilakukan secara ringkas.[3]
*********************
Selepas solat Jumaat, Zulkifli bergegas ke Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan kerana beliau ada mesyuarat Jawatankuasa Fatwa yang perlu dihadirinya.
Tiba di bilik mesyuarat Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Zulkifli melihat barisan Jawatankuasa Fatwa semuanya telah hadir. Kelihatan Ustaz Mohd. Taba bin Bahman, Ustaz Dato’ Haji Borhan bin Hashim, Ustaz Haji Jamil bin Wahab, Ustaz Haji Ahmad Labib, Ustaz Haji Kudos bin Othman, Ustaz Haji Ahmad Damiri bin Yahya, dan Ustaz Haji Mohd. Fuad Kamaluddin sedang berbual-bual antara satu sama lain sementara menanti kehadiran Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Sahibus Samahah Dato’ Haji Mohd. Murtadza bin Haji Ahmad.
Tidak lama selepas itu, Syeikh Mohd. Murtadza dan masuk ke bilik mesyuarat dan memulakan bicaranya. “Ashabul Fadhilah para asatizah sekalian. Insya-Allah hari ini kita akan bincang dan putuskan fatwa yang akan diwartakan segera. Ini berkenaan isu pengharaman nama Islam kepada pertubuhan dan persatuan. Ana tak mahu isu ini menjadi isu politik. Ana dah maklum kepada Sahibul Fadhilah Ustaz Zaidi dan minta dia siapkan kertas taklimat untuk dibentangkan kepada Kerajaan Negeri.
Ana nak maklum pada semua Ahli Jawatankuasa, ana sendiri dah bertegas di dalam mesyuarat Kerajaan Negeri. Ana tidak bersetuju Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan terlalu tergesa-gesa mengharamkan. Ini akan jadi modal politik. Ana sebut di dalam mesyuarat Kerajaan Negeri, ana sedia letak jawatan atau dipecat kalau pihak Kerajaan tak bersetuju dengan bantahan ana.”
Suasana bilik mesyuarat dengan pendingin hawa itu terasa sedikit “panas”. Syeikh Mohd. Murtadza meninggikan sedikit suaranya bagi menegaskan pendiriannya. Alhamdulillah, setelah lebih satu jam bermesyuarat dan masing-masing memberikan hujah, pandangan, semuanya sebulat suara memutuskan:
“Tiada halangan untuk menggunakan perkataan Islam oleh mana-mana pertubuhan malah digalakkan dengan disiplin ilmu, iman dan ihsan. Mana-mana orang atau pertubuhan yang menggunakan perkataan Islam untuk tujuan mengelirukan dan menyeleweng adalah salah dan boleh diambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedia ada.”
*********************
Usaha pemerkasaan tareqat dan tasawwuf dalam skala besar di Negeri Sembilan dimulakan pada zaman Syeikh Mohd. Murtadza dengan penganjuran Seminar Antarabangsa Dakwah dan Tareqat Tasawwuf oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan dengan kerjasama Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2002 yang diadakan di Hotel Hilton Seremban.
Antara tokoh ulama’ sufi ternama yang hadir adalah Syeikh Hasan al-Syinawi (Ketua Majlis Tareqat Tasawwuf Mesir), Prof. Dr. Muhammad Taufik Ramadhan al-Buti dan Syeikh Sayyid Ahmad ibn Idris al-Hasan al-Idrisi (Khalifah Tareqat Ahmadiyyah Idrisiyyah) daripada Sudan. Zulkifli turut terlibat sebagai salah seorang pembentang dalam seminar berkenaan.
Pada tahun berikutnya, Jabatan Mufti Negeri Sembilan sekali lagi menganjurkan Seminar Tasawwuf peringkat Kebangsaan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka. Ia diadakan di Allson Klana Resort, Seremban. Pada seminar kali ini, Zulkifli dijemput sebagai salah seorang pembentang utama di samping Syeikh Mohd. Murtadza sendiri, Dr. Haji Jahid bin Sidek, Ustaz Ahmad Kilani Mohamed, Prof. Zakaria Stapa, Dr. Muhammad ‘Uthman el-Muhammady, Dr. Sulaiman al-Baruhi, Dr. Abdul Manam Mohamad, begitu juga tokoh-tokoh antarabangsa seperti Syeikh Usamah al-Rifa’i dan Syeikh Muhammad Zaki Muhammad Ibrahim al-Qadiri.
Buat pertama kali selepas kepulangan Zulkifli daripada Syria, beliau dipertemukan dengan gurunya, Syeikh Prof. Dr. Abdullatif Soleh al-Farfour dalam Munaqashah Sufi peringkat Kebangsaan pada tahun 2004. Dalam kesempatan itu, Zulkifli mengambil peluang menyapa gurunya dan menghulurkan tangan untuk bersalaman. “Assalamualaikum Syeikh. Saya Zulkifli, pelajar Syeikh di al-Majma’ al-‘Ilmi al-‘Ali Jami’ Sadat tahun 1994-1997.”
Syeikh kelihatan terkejut dan begitu gembira dengan sapaan Zulkifli. “Subhanallah. Seakan semalam baru berlalu majlis viva voce kamu di Jami’ Sadat. Apa khabar? Kamu dan keluarga sihat?”, tanya Syeikh kepada Zulkifli.
“Alhamdulillah semuanya sihat. Saya amat hargai kedatangan Syeikh ke Malaysia. Jika Syeikh tak keberatan, saya ingin Syeikh berikan nama kepada kitab syarah Hikam yang telah saya syarah dan terjemah ke dalam Bahasa Melayu.”, ujar Zulkifli, memohon pandangan gurunya.
“Aku akan berikan kata pengantar untuk kitab itu, insya-Allah. Berkenaan namanya…”. Syeikh terdiam seketika dan kelihatan berfikir.
“Zulkifli, aku namakan kitab syarah Hikam kamu, Ahasin al-Kalim Syarah al-Hikam. Moga-moga ia menjadi seindah-indah kalam pada mensyarahkan al-Hikam al-‘Ata’iyyah.”, katanya sambil tersenyum. Panjang lebar perbualan guru dan murid itu berkenaan kehidupan seharian, keluarga dan pelbagai isu-isu agama semasa.
“Syeikh, boleh saya tanyakan sesuatu?”, tanya Zulkifli kepada Syeikh. Ketika itu, jam sudah menunjukkan lebih 11 malam. Suasana di Allson Klana Resort Seremban sudah mula sepi.
“Syeikh tak tidur ke? Dah lewat ni…”. Zul menjeling jam di tangan kanannya.
“Sebenarnya, aku tidak tidur malam. Aku cuma tidur di sebelah siang…”, jawab Syeikh ringkas sambil tersenyum.
Jawapan itu membuatkan Zulkifli terkesima dan semakin kagum dengan gurunya. Tidak tidur malam, bermakna beliau sepenuhnya memanfaatkan malamnya untuk ibadah. Ketika embun jantan mula menitis, kedua-duanya memanfaatkan masa dengan pembacaan hadis daripada kitab al-Arba’un al-Sihhah, yang disusun oleh Syeikh dan diijazahkan oleh gurunya pada malam tersebut. Malam yang indah dan berkah.
______________________
[1] Surah Sad: 29
[2] Riwayat Muslim (2061)
[3] Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 4/53