Bab 49: Bermula Penulisan Kitab Syarah Hikam

“Walaupun nasi putih, lauk serba sikit, dengan telur asin, alhamdulillah. Itu rezeki Allah kepada kita semua.”, kata Zulkifli kepada para pelajarnya. Tengahari itu mereka sama-sama bergotong royong untuk memasak dan makan beramai-ramai di dalam dulang. Zulkifli seronok dapat meringankan beban kewangan para pelajarnya. Mereka juga seronok kerana selain dapat lebih berjimat, hubungan sesama mereka bertambah erat.

“Malam ni, ana mula mengajar kitab Hikam di Masjid Port Dickson. Kalau ada yang berkelapangan, bolehlah ikut naik kereta ana.”, kata Zulkifli kepada para pelajar lelaki.

Al-Hikam al-‘Ataiyyah adalah antara kitab tasawwuf yang paling masyhur dan mendapat perhatian dalam kalangan para ulama dan. Al-Hikam bererti “kata-kata hikmah” yang mengumpulkan sebanyak 264 ungkapan-ungkapan hikmah tauhid dan tasawwuf yang sangat tinggi nilainya. Ia boleh dianggap sebagai ringkasan pemikiran tasawwuf penulisnya, Ibn ‘Ata’ illah al-Sakandari dalam bidang kerohanian. Kitab ini merupakan karya pertama beliau dan ditulis semasa gurunyaa, Syeikh Abu al-‘Abbas al-Mursi masih hidup. Ini sebagaimana yang dinyatakan olehnya sendiri dalam Lataif al-Minan.

Ibn ‘Ata’ illah al-Sakandari adalah tokoh ulama sufi yang hidup pada akhir kurun ke-7 dan awal kurun ke-8 Hijrah bersamaan akhir kurun ke-11 dan awal ke-12 Masihi. Beliau pada mulanya cenderung kepada ilmu fiqh terutamanya mazhab Maliki, namun perkenalannya dengan gurunya Syeikh Abu al-‘Abbas al-Mursi telah menyebabkannya beliau jatuh cinta kepada tasawuf. Sumbangannya cukup besar terhadap perkembangan ilmu tasawuf dan dalam perkembangan keilmuan tarekat Syaziliyyah di mana kitab-kitabnya menjadi antara rujukan utama dalam tarekat tersebut. Al-Hikam al-‘Ataiyyah adalah penulisan beliau yang paling popular dan tersebar luas ke seluruh pelosok dunia, termasuk Malaysia.

Ibn ‘Ajibah menyebutkan empat paksi utama perbahasan dalam al-Hikam al-‘Ata’iyyah iaitu:

  1. Peringatan dan bimbingan (al-tazkir wa al-wa’z).
  2. Pembersihan amal, pembaikan ahwal dengan akhlak yang baik, dan pembersihan hati dari sifat yang keji.
  3. Menentukan ahwal, maqamat dan hukum-hakam zauq bagi para salik di peringkat permulaan.
  4. Ilmu ma’rifat dan ilmu ladunni.[1]

*********************

Selepas selesai Solat Maghrib, Zulkifli memulakan pengajian kitab Hikam. Terjemahan Hikam dengan bahasa yang moden dan ringkas, agak terhad atau mungkin tiada pada penghujung 90-an. Maka, Zulkifli mengambil keputusan untuk menterjemahkannya dan dihuraikan dengan pendekatan yang ringkas dan padat. Beberapa hari sebelum kuliah, beliau akan menulis nota bagi setiap hikmah, lengkap dengan syarahannya untuk dikongsikan bersama jemaah Masjid Port Dickson.

Zulkifli akan menulis terjemahan dan huraian Hikam di atas helaian kertas kajang dan diberikannya kepada pelajarnya, Hasrul Nizam untuk ditaip semula. Bagi satu hikmah, kebiasaannya adalah 4-5 helai kertas. Bagi menyelesaikan satu hikmah, Zulkifli merujuk pelbagai syarah kepada Al-Hikam al-‘Ataiyyah antaranya oleh Syeikh Ahmad Zarruq, Ibn ‘Ajibah, Ibn ‘Abbad, Syeikh Abu Madyan, Syeikh Abd al-Majid al-Syarnubi, Syeikh Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti, dan lain-lain.

“Di Tanah Melayu kita ni, ada kitab Hikam yang diterjemah Tokku Pulau Manis, dijudulkan dengan nama Hikam Jawi. Tokku Pulau Manis rujuk syarah-syarah Hikam antaranya Iqaz al-Himam tulisan Ibn ‘Ajibah dan Ghaith al-Mawahib al-Saniyyah tulisan Ibn ‘Abbad. Cuma untuk pendekatan yang lebih moden dan ringkas, insya-Allah ana akan huraikan setiap kali kuliah kita di sini sampai tamat insya-Allah.”, cerita Zulkifli semasa dalam kuliahnya. Dato’ Abdullah Sijang yang berada di barisan hadapan jemaah yang menghadiri kuliahnya, menganggukkan kepala dan mencatat sesuatu di dalam buku notanya.

Huraian Zulkifli yang ringkas, mudah difahami dan tidak terlalu berat dengan pelbagai istilah-istilah tasawwuf yang kompleks yang telah dipermudahkannya, menarik minat para jemaah yang hadir.

Ibn ‘Ajibah rahimahullah menyatakan, ‘Hubungan ilmu tasawwuf antaranya melahirkan amalan yang tulus dan buah-buah hal yang suci. Hikmah berbunyi:

مِنْ عَلاَ مَةِ اْلاِعْـتِــمَادِ عَلَى الْعَمَلِ، نُقْصَانُ الرَّجَاءِ عِنْدَ وُجُـودِ الزّ َلَلِ

Maksudnya: “Di antara tanda-tanda orang yang hanya bergantung harap kepada amalannya ialah kurang pengharapan kepada Allah SWT ketika sedang dalam kegelinciran dosa.”

Mafhum daripada hikmah ini adalah semakin besar harapan ketika dihiasi dengan amalan ketaatan dan dapat menyelamatkan diri daripada maksiat. Ibn ‘Abbad rahimahullah berkata: ‘Bergantung kepada Allah merupakan sifat orang arifin yang bertauhid, sebaliknya bergantung kepada yang lain merupakan sifat orang jahil yang lalai…”

Selepas kuliah, pihak Jawatankuasa Masjid termasuk Nazir iaitu Dato’ Zainal dan Dato’ Abdullah Sijang selaku pengasas Masjid Port Dickson menikmati jamuan ringan bersama-sama Zulkifli.

 “Ustad Zul duduk dokek sini ko jauh?”, tanya Dato’ Abdullah Sijang dalam loghat Negeri Sembilan yang pekat.

Zulkifli meletakkan cawan kopinya dan membalas, “Saya duduk dekat Kuarters Hospital Port Dickson. Tak jauh dari sini, Dato’.

“Oh…dokek tu. Ustad, sayo ni ado soalan nok tanyo, sambil minam ni. Ustad sobut-sobut tesaup[2] ni, apo bondo ey tesaup ni sebonarnyo?”, soal Dato’ Abdullah Sijang kepada Zulkifli.

Zul tersenyum kecil dan menunduk. Dato’ Abdullah Sijang memang orang yang amat merendah diri.

“Dato’ lebih alim, murid kepada Syeikh Abdullah Fahim. Belajar di Madrasah Saulatiyyah, Mekah. Ana yang rasa segan bila Dato’ tanya macam tu. Cuma kalau ana ada salah, mohon Dato’ betulkan.”, kata Zulkifli lantas menyambung penjelasannya.

“Kalau kita nak tahu apa tu tasawwuf, ada lebih 2 ribu maksud tasawwuf yang disebutkan Syeikh Ahmad Zarruq. Sebab jalan penyucian hati untuk sampai kepada Allah ni, banyak. Cuma intipati utama tasawwuf adalah macam yang Nabi SAW sebut:

أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ

Maksudnya: “Engkau beribadah kepada Allah seaakan akan Engkau melihat-Nya, dan jika engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Ia melihatmu.”

“Samada kita panggil tasawwuf, ihsan, fiqh al-batin atau tazkiyyatunnafs, semua tu membawa kepada maksud yang sama iaitu ilmu dan amal berhubung penyucian diri bagi mencapai maqam yang tertinggi dari sudut ruhiyyah dan mencapai redha Allah SWT.”, ulas Zulkifli secara ringkas tentang definisi tasawwuf.

“Esey dongar, dak buleh belajar tesaup tapi dak belajar fiqh? Boto ko ustad?”, celah Dato’ Zainal selepas Zul bercakap.

Zul menganggukkan kepalanya. Beliau menjelaskan, “Imam al-Ghazali kata: ‘Hukum mempelajari ilmu tasawwuf ni fardhu ‘ain sebab manusia tak sunyi daripada aib atau sakit kecuali para Nabi. Diriwayatkan Imam Malik bin Anas pernah berkata: ‘Barangsiapa yang belajar ilmu fiqh tanpa tasawwuf, maka dia telah fasiq. Barangsiapa belajar ilmu tasawwuf tanpa ilmu fiqh, maka dia telah menjadi zindiq. Manakala barangsiapa yang himpunkan dua ilmu tersebut, maka itulah sebaik-baik dan sesempurna perkara.[3]

“Paling penting Dato’ Zainal, Syeikh Ahmad Zarruq dah sebut, Tak ada tasawwuf tanpa fiqh, kerana dengan ilmu fiqh dapat diketahui hukum-hakam Allah SWT yang zahir. Begitu juga tiada ilmu fiqh tanpa tasawwuf, kerana amal soleh hanya diperoleh dengan keikhlasan dan keimanan hakiki kepada Allah SWT. Oleh kerana itu, kedua-dua tasawwuf dan fiqh perlu seiring, sebagaimana ruh dengan jasad. Nisbah ilmu tasawwuf kepada agama ibarat ruh kepada jasad.[4]

Setelah selesai, Zulkifli pulang ke rumahnya. Dalam perjalanan, terlintas di fikiran beliau, “Kalu aku mula tulih syaroh Hikam ning, molek jugop. Masyarakat kene tahu, belajor tasawwuf ni mmolek. Banyok mende selesai kalu hati comey…”

[1] Iqaz al-Himam fi Sharh al-Hikam, m. 9.

[2] Tasawwuf

[3] Hasyiyah al-‘Adawi ‘ala Syarh al-Zarqani 3/195, Mirqat al-Mafatih 1/478 dan Al-Futuhat al-Rahmaniyyah fi Halli Alfaz al-Hikam al-‘Atha’iyyah, hal. 42

[4] Qawa’id al-Tasawwuf, hal. 22

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *