Semasa menunggu keputusan temuduga di KUSZA, Zul ada mengintai peluang-peluang untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana. Beliau bertanyakan pandangan beberapa individu yang lebih berpengalaman dan antara yang menarik minatnya adalah pandangan daripada kawannya, Zulkifli Mohd. Radzi. “Zul. Enta gi ngaji di Syria. Sane sedak ngaji. Barang muroh. Tempat comey. Ulama’ pung rama…”, cadangnya kepada Zul. Terdetik di dalam hati Zul, “Betul jugok cadangang ni…Lame dah aku dengor kelebihan Syam. Rama ulama di sana…Syeikh Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti, Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili. Kalu ade rezeki, buleh aku talaqqi dengan ulama di sana pulop…”
Zul memang biasa mendengar tentang kelebihan bumi Syam daripada para gurunya di Madinah, jua melalui para ulama’ Syam yang menziarahi Madinah, dan pembacaannya dalam hadis-hadis Nabi SAW. Tekad untuk melanjutkan pengajian ke Syria semakin kukuh selepas gagal temuduga sebagai pensyarah di KUSZA. Ketika Zul mengajak Zaini untuk bersamanya menyambung pengajian di Syria, Zaini agak keberatan kerana terpaksa menjaga ibunya yang tidak sihat. Lagipun, sudah lebih 4 tahun beliau berjauhan dengan ibunya sejak berada di Madinah. Inilah masa untuk berbakti kepada ibunya yang tercinta.
*********************
Pada satu malam selepas solat Maghrib, Zul berbual panjang tentang perancangannya dengan dua orang rakannya, Hazman Hasyim dan Azli Khalid. “Ape kate kite gi sambung belajor di Syria. Ana memang nok gi ning. Tapi kalu ade saing, mudoh skek. Enta dua jomlah ikut ana.”, kata Zul kepada keduanya. Tanpa banyak bicara, kedua-dua bersetuju.
Hasrat Zul disampaikan kepada Ustaz Mad. Ustaz Mad yang ketika itu sedang membaca surat khabar, tidak memandang langsung Zul yang begitu bersemangat menceritakan perancangannya untuk ke Syria. Sehelai demi sehelai surat khabar diselak sambil Ustaz Mad mencicip Kopi O yang disediakan Hajah Ramlah. Selesai menyampaikan hasratnya, Zul diam menunggu maklum balas ayahnya. Lima minit berlalu, Ustaz Mad masih belum berkata apa-apa.
“Ehmm…Pitih nok cari mane?”, tiba-tiba Ustaz Mad bertanya. Ada riak kerisauan dalam suara seorang ayah. Zul menarik nafasnya dalam-dalam dan bersuara, “Allah ade.” Tangannya digenggam erat dengan penuh semangat. Ustaz Mad menjeling Zul dan mengangguk-anggukkan kepalanya. Beliau kenal benar dengan anaknya yang ini. Apa yang diingininya pasti akan diusahakan sehingga dapat. Zul pantang menyerah dan sentiasa sukakan cabaran.
Sejak hari itu, Zul giat mengumpul wang untuk kos pengajiannya di Syria. Zul sesekali tidak lagi akan menoleh ke belakang. Setiap kali kuliah beliau di Masjid Kampung Merbau Patah, Masjid al-Muktafi Billah Shah, Surau Kampung Kubang Kekura, Surau Kuala Bedah dan Surau Pasir Panjang, beliau akan memaklumkan perancangannya untuk menyambung pengajian ke Syria. Tanpa diminta, ramai yang menghulurkan sumbangan. Alhamdulillah, ramai yang menyumbang termasuk Ayoh Chik, seorang buta daripada Merbau Patah. Walaupun buta, beliau bukan calang-calang orang. Beliau menghafaz 30 juzuk al-Qur’an dan pernah memenangani Pertandingan Hafazan al-Qur’an di Terengganu. “Mane duit ambe ni…ha, napok doh nok keluar dari poket ning!”, gurau Ayoh Chik sambil meraba-raba poket seluarnya. Pok Leh yang ada disebelahnya menyiku Ayoh Chik, “Aku kenal mung 30 taun doh bute. Guane tibe-tibe mung buleh napok…hahaha.”. Berderai ketawa Zul, Ayah Chik dan Pok Leh memecah kesunyian di Surau Kampung Merbau Patah selepas solat Isya’. Ada yang menyumbang RM1, RM5, dan RM10. Zul bersyukur kerana mendapat sokongan penuh kaum keluarga, bapa-bapa saudaranya, jiran tetangga, penduduk kampung dan semua anak-anak murid yang mengikuti pengajiannya di masjid dan surau sekitar Terengganu.
********************
Sebelum tidur, Zul mengambil kitab Fadha’il al-Sham wa Dimashq tulisan Ibn al-Sam’ani di rak bukunya. Satu demi satu hadis tentang kelebihan Syam ditelitinya.
Daripada ‘Abdullah ibn Umar RA, Rasulullah SAW bersabda:
اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي شَامِنَا، وَفِي يَمَنِنَا
Maksudnya: “Ya Allah, berkatilah kami pada Syam kami, dan Yaman kami.[1]
Dari Abu Darda’ RA dia berkata, Rasulullah SAW bersabda,
بَيْنَا أَنَا نَائِمٌ إِذْ رَأَيْتُ عَمُودَ الْكِتَابِ احْتُمِلَ مِنْ تَحْتِ رَأْسِي، فَظَنَنْتُ أَنَّهُ مَذْهُوبٌ بِهِ، فَأَتْبَعْتُهُ بَصَرِي، فَعُمِدَ بِهِ إِلَى الشَّامِ، أَلَا وَإِنَّ الْإِيمَانَ حِينَ تَقَعُ الْفِتَنُ بِالشَّامِ
Maksudnya: “Di saat tidur aku melihat tiang-tiang kitab (iman) telah diambil para malaikat dari bawah kepalaku, aku sangka iman akan tercabut dari muka bumi ini. Kemudian aku ikuti arah pandanganku lalu cahaya itu ditegakkan ke arah Syam. Tidakkah Iman akan tetap ada di negeri Syam di saat terjadi fitnah.”[2]
Dari Abdullah bin Amru bin al-‘As RA beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda,
إني رأيتُ عمودَ الْكِتَابِ انْتُزِعَ مِنْ تَحْتِ وِسَادَتِي، فَنَظَرْتُ فَإِذَا هُوَ نورٌ ساطعٌ عُمِدَ بِهِ إِلَى الشَّامِ، أَلا إِنَّ الإِيمَانَ -إِذَا وَقَعَتِ الفتن- بالشام.
Maksudnya: “Aku bermimpi melihat tiang kitab (iman) ditarik dari bawah bantalku. Kemudian aku amati. Ternyata itu adalah cahaya sangat terang yang tegak mengarah ke Syam. Tidakkah iman itu—ketika terjadi fitnah—terdapat di Syam.”[3]
Dari Abdullah bin Umar bin al-Khattab RA, beliau berkata, “Suatu hari Nabi SAW bersabda kepada kami:
إِنِّي رَأَيْتُ الْمَلَائِكَةَ فِي الْمَنَامِ أَخَذُوا عَمُوْدَ الْكِتَابِ، فَعَمِدُوْا بِهِ إِلَى الشَّامِ، فَإِذَا وَقَعَتْ الْفِتَنُ فَإِنَّ الْإِيْمَانَ بِالشَّامِ.
Maksudnya: “Dalam sebuah mimpi, sungguh aku melihat para malaikat mengambil tiang Al-Kitab (iman), lalu membawanya ke negeri Syam. Apabila terjadi banyak fitnah sesungguhnya iman berada di Syam.”[4]
Dari Umar bin al-Khattab RA beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda,
رَأَيْتُ عَمُوْدًا مِنْ نُوْرٍ خَرَجَ مِنْ تَحْتِ رَأْسِي سَاطِعًا حَتَى اسْتَقَرَّ بِالشَّامِ.
Maksudnya: “Aku menyaksikan sebuah tiang dari cahaya yang keluar dari bawah kepalaku, ia bersinar hingga menetap di negeri Syam.”[5]
Zul menutup kitab yang dibacanya. Tinggal beberapa hari lagi beliau akan berlepas ke Syria. Bumi yang melahirkan ramai tokoh ulama’ seperti Imam Ibn Kathir, Imam al-Zahabi, Imam Ibn al-Qayyim dan ramai lagi. Tanah yang sama juga tempat bersemadinya para sahabat Nabi SAW seperti Bilal bin Rabah, Mu’awiyah, Abu al-Darda’, Khalid al-Walid, Abu Hurairah dan Salahuddin al-Ayyubi. Masjid Umayyah di Damsyik, Syria juga menyaksikan detik kelahiran kitab agung Ihya’ Ulum al-Din tulisan Imam al-Ghazali. Syria pernah ditakluk pada zaman Saidina Umar al-Khattab, kemudian diperintah oleh Dinasti Umayyah, ‘Abbasiyah, Seljuk, Ayyubiyah dan akhirnya Khilafah Turki Uthmaniyyah pada tahun 1517.
Kini, anak Kampung Kubang Kekura ini bakal menjejakkan ke sana. Berpayung di bawah teduhan ilmu, iman dan amal para ulama’ di sana. Entah apa nasibnya di sana, namun beliau sudah pasti akan berusaha sebaiknya. Selamat tinggal Malaysia!
____________________
[1] Riwayat al-Bukhari, no. 1032.
[2] Riwayat Ahmad, no. 21733. Disahihkan oleh Syeikh Syu’aib al-Arna’ut.
[3] Riwayat Al-Hakim, no. 8554. Disahihkan berdasarkan syarat al-Syaikhain (Al-Bukhari dan Muslim) dan disepakati oleh al-Zahabi.
[4] Riwayat Ibn ‘Asakir dalam kitab Tarikh Damsyiq, 1/110.
[5] Riwayat al-Baihaqi dalam kitab Dalail an-Nubuwwah, 6/448; Riwayat Ibn ‘Asakir dalam kitab Tarikh Damsyiq, 1/109.