Denganmu Ku Belajar Ilmu dan Adab

“Nama saya Zulkifli bin Mohamad. Berasal daripada Terengganu, Malaysia. Di sini, saya belajar di Kuliah Syariah, Universiti Islam Madinah. Saya berhasrat untuk menjadi anak-anak panah Islam. Boleh dipanahkan ke mana saja…”, Zul memperkenalkan dirinya dalam usrah khas bersama Dr. Abu Mu’az. Dr. Abu Mu’az tersenyum dan ketawa kecil kemudian berkata, “Zulkifli, kamu akan jadi orang besar satu hari nanti…”

Selain Zul dan Zaini, mereka juga ada beberapa rakan lain yang turut terlibat antaranya Sobri, Jamaluddin, Abdul Hakim, Azmi, Borhanuddin dan Abdul Qahhar, termasuk para pelajar daripada Selatan Thailand dan Indonesia.  Silibus usrah mereka adalah kitab al-Muntalaq oleh Syeikh Ahmad Rasyid. Dr. Abu Mu’az adalah pensyarah yang berkhidmat di Universiti Ta’if, Arab Saudi. Selain beliau, usrah tersebut juga dikendalikan oleh Dr. Walid A’aniy dan sering diadakan samada di Mekah atau Madinah. Dr. Walid A’aniy kadangkala membawakan kisah lucu untuk menceriakan sesi usrah kami. “Dulu, aku ingin berkahwin tetapi aku tidak ada wang. Adakah aku berputus asa? Tidak sama sekali. Apa yang aku buat? Aku pinjam wang daripada orang paling kedekut yang aku kenal. Tahukah kamu, aku berjaya meminjam sejumlah wang daripadanya yang cukup untuk majlis perkahwinanku! Itulah pentingnya seni memujuk. Boleh juga digunakan dalam berdakwah…”, berderai ketawa Zul dan ahli usrah lain.

“Usrah kita untuk hari ini, telah selesai. Insya-Allah bulan hadapan kita akan bertemu lagi di ‘Arafah. Lokasi akan saya maklumkan nanti. Jangan lupa tugasan yang saya berikan. Anda diminta untuk berikan ciri-ciri perbezaan yang terdapat pada pemikiran barat dan pemikiran Islam, dan bagaimana ia boleh menangani krisis global. Selain itu, senaraikan 5 ayat al-Quran tentang kehancuran umat terdahulu dan berikan pengajaran yang dapat kita ambil. Kita tutup dengan tasbih kaffarah dan surah al-‘Asr…”, kata Dr. Walid A’aniy. Zul mencatat tugasan itu dalam notanya dan bersalaman dengan beliau.

Selepas tahun 1966, gerakan Islam tumbuh bak cendawan selepas hujan. Berdasarkan rekod, terdapat lebih 60 pertubuhan gerakan Islam di seluruh dunia yang juga berpengaruh besar kepada NGO dakwah seperti ABIM, IRC dan PAS di Malaysia. Pengaruh itu turut sampai ke Universiti Islam Madinah sehinggakan setiap kali cuti semester, ada sahaja pelajar dan pensyarah yang akan bergerak ke Syria, Palestin, Afghanistan, dan Bosnia Herzegovina untuk menyertai pasukan mujahidin. Kepulangan mereka ke bumi Madinah sentiasa dinanti dan diraikan. Namun jika tiada khabar berita diperoleh, mungkin itulah pemergian buat selama-lamanya. Antara yang pergi berjihad di Bosnia adalah Shohor Bani. Zul ada mendengar khabar, sahabatnya itu bakal berkahwin dengan gadis Bosnia. Selalunya, Muhammad seorang anak muda berbangsa Arab Mesir akan berkongsi dengan Zul video-video perjuangan gerakan dakwah di Timur Tengah. Hubungan mereka sangat rapat dan pernah beberapa kali Zul ke rumahnya atas jemputan makan.

Penglibatan Zul dengan usrah ketika di Madinah, tidaklah seaktif semasa di SMAASZA atas faktor jadual halaqah ilmu di Masjid Nabawi yang padat. Pun begitu, beliau tetap mengambil berat perkembangan gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia, termasuk di Malaysia. Semasa Perang Kuwait-Iraq pada tahun 1990, Universiti Islam Madinah mengisytiharkan cuti panjang. Majoriti pelajar Malaysia pulang ke kampung halaman kecuali Zul dan beberapa rakan sahaja. Disebabkan kampus ditutup, Zul berpindah sementara ke rumah Persatuan Pelajar Malaysia Madinah (PPM) di Harratun Nasr, sekitar 4-5 kilometer daripada Masjid Nabawi.

Setiap hari selama sebulan lamanya, beliau akan berjalan kaki sambal menggendong kitab-kitab daripada rumah PPM, ke Masjid Nabawi untuk solat dan bertalaqqi dengan para masyaikh di sana. Bertolak sebelum solat Asar dan pulang semula selepas solat ‘Isyak. Adakalanya timbul juga rindu kampung halaman namun perasaan itu dikorbankan demi kecintaan kepada ilmu. Cukuplah setahun sekali Zul pulang ke Malaysia. Masa yang berbaki, dimanfaatkan sebaiknya untuk menggali mutiara ilmu di sini. Anggur yang dibeli Zul di tepi jalan selepas keluar daripada Masjid Nabawi, dimakan satu persatu sambil mengenangkan memori zaman kanak-kanak. Sekilo lebih baru SAR5 harganya.

Malam itu, terasa sedikit sunyi berbanding sebelumnya. Lorong-lorong kecil sepi sepanjang jalan, diterangi cahaya lampu jalan berbalam-balam. Bunyi enjin dan cahaya daripada lampu kereta yang melintas, sesekali menemani Zul dalam perjalanan pulang ke rumah PPM. Masih terngiang-ngiang apa yang disebutkan oleh Syeikh Muhammad ‘Ali Thani semasa kuliahnya selepas solat Maghrib tadi.

“Para hadirin sekalian! Menuntut ilmu merupakan kewajipan dan tuntutan terhadap setiap insan. Ini kerana, ilmu merupakan kayu ukur dalam kehidupan kita dalam menentukan samada perkara tersebut baik atau tidak. Selain itu, Allah SWT juga akan mengangkat orang-orang yang berilmu dengan beberapa darjat berdasarkan firman-Nya:

يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

Maksudnya: “Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat”.[1]

Berdasarkan firman Allah SWT ini, kita yakin akan wujudnya ganjaran di akhirat dan kemuliaan di dunia bagi penuntut ilmu. Diangkat orang yang beriman daripada orang yang tidak beriman dan orang yang alim daripada orang yang bukan alim. Telah berkata Ibn Mas’ud radhiyallahu ‘anhu bahawa Allah SWT telah memuji ulama’ di dalam ayat ini iaitu Allah SWT mengangkat orang-orang beriman yang diberi ilmu di atas orang-orang beriman yang tidak diberikan ilmu dengan beberapa darjat.[2]

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا، سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ، وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Qur’an) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah SWT akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya”.[3]

Menurut Imam al-Nawawi, hadis ini mengandungi pelbagai jenis ilmu, kaedah-kaedah dan adab-adab. Antaranya ialah ia menceritakan akan kelebihan keluar menuntut ilmu dan sentiasa sibuk dengan ilmu syar’ie dengan syarat ia niatnya adalah kerana Allah SWT. Walaupun syarat ini merupakan syarat untuk setiap ibadat tetapi telah menjadi adat para ulama’ mengikat masalah ini dengannya kerana sebahagian manusia mengambil mudah dan lalai terhadapnya terutama golongan permulaan dan seumpama dengan mereka.

Apa itu al-sakinah adalah hadis ini? Ia adalah rahmat…[4]

*******************

Kelas Fiqh bersama Syeikh Dr. Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Syinqiti. di kampus adalah kelas yang amat diminati Zul. Selepas sebulan bercuti, terasa tidak sabar untuk kembali bertemu gurunya. Nama Syeikh melonjak naik selepas tesis PhD beliau Ahkam al-Jirahah al-Tibbiyyah wa al-Athar al-Mutarattibah ‘Alaiha yang membahaskan tentang fiqh pembedahan, lulus dengan cemerlang. Zul masih ingat lagi bagaimana Syeikh ‘Atiyyah Salim dan Syeikh Dr. ‘Umar ‘Abd al-Aziz memuji-muji kualiti tesis berkenaan.

“Adakah benar Imam al-Syafie menolak istihsan?”, Syeikh bertanya kepada para pelajarnya di dalam kelas. Seorang pelajar bangun menjawab, “Pada pandangan saya, beliau menolak istihsan. Boleh rujuk huraiannya tentang istihsan dalam kitab al-Risalah.[5] Imam al-Syafie menggambarkan istihsan sebagai satu bentuk bersenang-senang atau bermudah-mudahan. Jika istihsan dibenarkan kepada seseorang dalam urusan agama, nescaya ia akan diharuskan untuk setiap yang berakal di luar bidang ilmu, dan diharuskan pula untuk mensyariatkan perkara agama dalam setiap bab, dan setiap orang akhirnya akan mensyariatkan agama untuk diri mereka sendiri!” Syeikh mendengar hujah pelajar tersebut dengan teliti dan merenung tepat ke wajahnya.

Syeikh membetulkan syimaghnya dan bersuara, “Anak muda, banyakkan lagi pembacaan anda. Istihsan yang ditolak Imam al-Syafie ialah istihsan berdasarkan akal semata-mata dan hawa nafsu dan yang tidak mempunyai sandaran dalil syarak. Menurut Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi, istihsan jenis ini telah disepakati pengharamannya oleh seluruh ulama, dan ini seperti istihsan dalam hukum syarak yang dilakukan oleh orang awam yang tidak mempunyai ilmu.[6] Jika benar beliau menolak istihsan, mengapa di dalam kitab al-Umm beliau berpandangan perbuatan sesetengah hakim yang mensyaratkan sumpah sambil memegang al-Qur’an merupakan perkara yang baik?[7] Bukankah itu menjadi bukti Imam al-Syafie sendiri beramal dengan istihsan dalam ijtihad beliau?”.

Syeikh menamatkan kelasnya pada tengahari itu dengan menyimpulkan, “Justeru, istihsan yang ditolak oleh Imam Syafie ialah pandangan yang tidak mempunyai sandaran daripada al-Quran, al-Sunnah, ijma’ atau qiyas, dan penolakan ini adalah merupakan salah satu bentuk hifz al-din (memelihara agama). Adapun istihsan dalam erti kata pengecualian terhadap dalil umum berdasarkan maslahah juz’ie, ia diterima pakai oleh Imam al-Syafie dan diambil kira sebagai dalil dalam banyak permasalahan fiqh. Wallahu a’lam.

Kebiasaannya, selepas Syeikh keluar sahaja daripada kelas, berbondong-bondong pelajar akan mengelilinginya sehingga sampai ke kereta beliau untuk bertanyakan pelbagai fatwa dan permasalahan hukum. Zul memerhatikan dengan penuh kekaguman.  Satu persatu soalan murid-muridnya dijawab dengan dalil daripada al-Quran dan hadis.

Dari belakang, Zul menuruti gurunya dengan perlahan sambil mencuri-curi dengar pertanyaan para pelajar dan jawapan Syeikh. Syeikh tiba-tiba berhenti, menunduk dan mengutip cebisan-cebisan roti yang bertaburan di jalan. Mungkin anak-anak kecil yang membuangnya. Sisa roti itu dibersihkan dan diletak di tempat yang sesuai di tepi jalan. Para pelajar lain terkejut dengan tindakan Syeikh dan turut sama mengutipnya.

Zul amat kagum dengan apa yang dilihat di hadapannya. Syeikh bukan sahaja mengajarkan ilmu bahkan mempraktikkan apa yang diajarnya. “Masya-Allah, adab dengan makanan…”, bisik Zul keseorangan. Walaupun ia cuma sisa roti, Syeikh tetap memuliakannya kerana ia adalah rezeki Allah SWT. Jika tidak kepada manusia, mungkin burung-burung yang berterbangan.

Pulang ke asrama, beliau termenung panjang. Teringat kenangan manis bersama para masyaikh. Adakalanya jika bosan belajar di dalam kelas, para pelajar dan masyaikh sama-sama bertanazzuh[8] jauh daripada orang ramai. Sambil angin bertiup sepoi-sepoi bahasa, di bawah pohon kurma yang rendang mereka membuka kitab dan berdiskusi di kebun kurma. Selesai pengajaran, sama-sama akan bergotong royong memasak dan menikmati juadah dengan penuh berselera. Betapa tarbiah daripada Allah SWT boleh datang dalam pelbagai bentuk. Bumi Madinah mengajarkan beliau erti dakwah dan tarbiah melalui kegiatan usrah. Bumi Madinah juga mengajarkan beliau ilmu dan adab melalui para gurunya sendiri.

_____________________

[1] Surah al-Mujadalah: 11

[2] Tafsir al-Qurthubi, 17/299

[3] Riwayat Muslim, no. 4867

[4] Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 17/21

[5] Al-Risalah, m. 507

[6] Raudhah al-Nazir,1/475

[7] Al-Umm, 6/278

[8] Membersihkan diri dari gangguan luar, maksiat melalui aktiviti seperti majlis ilmu dan amal Islami

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *