“Zul ni dari kecik dop bulih makang ikang muroh-muroh. Ye dok leh gi. Kalu ikang mahal, memang ye wehhi. Pesengang orang-orang besor doh…[1]. Terngiang-ngiang suara lembut almarhum Hajah Ramlah, ibu Zulkifli yang telah kembali ke rahmatullah pada 23 November 2010.

Hajah Ramlah atau lebih mesra dipanggil Che’ oleh anak-anaknya begitu suka memasak. Belum pernah Zulkifli menjamah Nasi Kebuli dan Tart Betik yang lebih enak selain daripada air tangan Che’.

Zulkifli merenung ikang kerah eko[2] yang dihidangkan di meja makan. Dicubitnya sedikit dan disuap kepada Istisyhad, anak bongsunya yang masih baru belajar bertatih. Semasa kecil, begitulah jua Zulkifli dan adik beradiknya yang lain. Bergilir-gilir menunggu disuap Che’.

Berita pemergian Che’ bak halilintar yang singgah dalam hidupk Zulkifli. Seolah terputus nafas seketika, terhenti detik waktu. “Abang Zul, Che’ meninggal doh…”. Suara Salam kedengaran lemah di hujung telefon. Zulkifli yang sedang sibuk menyiapkan buku terbaharunya, segera bergegas pulang ke Terengganu meninggalkan bilik khas di rumahnya yang turut beroperasi sebagai pejabat, perpustakaan dan bilik bacaan.

*******************

Islam adalah sebuah agama yang sangat menitik beratkan soal berbuat baik kepada kedua ibubapa. Bahkan amalan birr al-walidayn (berbuat baik kepada kedua ibubapa) merupakan antara ibadah yang paling besar selepas tauhid kepada Allah S.W.T. Ini seperti yang ditunjukkan oleh firman Allah S.W.T:

 وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا

Maksudnya: Dan bertauhidlah kamu kepada Allah dan jangan sesekali kamu mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun. Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa.[3]

Justeru, apabila kita melihat kepada konteks ayat di atas, Allah S.W.T meletakkan anjuran dan tuntutan berbuat baik kepada kedua ibubapa sebaik sahaja memerintahkan kepada umat Islam untuk mentauhidkan-Nya serta tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu.

Meskipun kita dituntut untuk berbuat baik dengan kedua ibubapa, namun di sana terdapatnya sebuah riwayat yang melebihkan kedudukan seorang ibu berbanding bapa dalam isu berbuat kebaikan kepadanya. Ini dapat kita lihat berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W: ‘’Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berhak untuk aku berbuat baik kepadanya ?’’. Maka Rasulullah S.A.W. menjawab:

أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أَبُوكَ

Maksudnya: Ibu kamu (adalah manusia yang paling berhak untuk kamu berbuat baik kepadanya), kemudian ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian bapa kamu.[4]

Maka diambil manfaat daripada hadis ini bahawa seorang ibu didahulukan dalam proses berbuat baiknya seorang anak itu kepada kedua ibubapanya sebanyak tiga kali ke atas bapanya. Bahkan telah disebutkan ijma’ para ulama seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Haris al-Muhasibi dalam mengutamakan berbuat baik kepada ibu ke atas bapa disebabkan isi yang ditunjukkan oleh hadis di atas ini.

Manakala perkataan حُسْنِ الصُّحْبَةِ di dalam hadis di atas membawa maksud berbuat baik, berlemah lembut, merendahkan diri di hadapan mereka, mengasihi, memuliakan, serta mentaati mereka dalam hal-hal yang makruf. Ini dibuktikan dengan beberapa firman Allah S.W.T, antaranya:

وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ

Maksudnya: Dan rendahkanlah kepada kedua ibubapa kamu sayap kehinaan (rendahkan diri kamu) disebabkan perasaan kasih sayang (kepada mereka).[5]

Terdapat banyak kelebihan berbuat baik kepada ibu. Antaranya adalah peribadi akan menjadi santun dan bahagia. Ini merupakan mafhum dari firman Allah S.W.T:

وَبَرًّا بِوَالِدَتِي وَلَمْ يَجْعَلْنِي جَبَّارًا شَقِيًّا

Maksudnya: Dan aku (Nabi Isa) berbuat baik kepada ibuku dan Allah tidak menjadikan aku ini bersikap keras dan derita.[6]

Maka difahami daripada ayat di atas bahawa Allah SWT tidak menjadikan Nabi Isa alaihissalam sebagai seorang yang keras (sombong dan bongkak) dan juga orang yang menderita, sebaliknya baginda menjadi individu yang santun dan bahagia disebabkan ketaatan baginda kepada ibunya Maryam.

Selain itu, individu yang berbakti kepada ibu akan memperoleh kemustajaban doa. Dalam sebuah hadis yang panjang, daripada Umar bin al-Khattab radhiyallahu ‘anhu beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

فَإِنِ اسْتَطَعْتَ أَنْ يَسْتَغْفِرَ لَكَ فَافْعَلْ

Maksudnya: Sekiranya kamu mampu untuk meminta supaya dia (Uwais al-Qarani) memohon keampunan Allah buat kamu, maka lakukanlah.

Ini adalah saranan dari Rasulullah S.A.W, iaitu untuk meminta Uwais al-Qarani yang merupakan seorang tabiin memohon keampunan Allah untuk Umar. Sedangkan Umar berada pada kedudukan yang jauh lebih tinggi dan afdhal berbanding Uwais. Hal ini tidak lain tidak bukan adalah disebabkan amalan mulia yang dilakukan oleh Uwais al-Qarani, seperti yang dikatakan oleh Nabi SAW:

لَهُ وَالِدَةٌ هُوَ بِهَا بَرٌّ

Maksudnya: Dia (Uwais) mempunyai seorang ibu yang dia amat taat kepadanya.

Justeru, dapat diambil isyarat daripada hadis di atas bahawa perbuatan berbuat baik dan mentaati ibu akan menjadikan seseorang itu memperoleh doa yang mustajab.

Kata Imam al-Nawawi, “Sebab didahulukan seorang ibu (dalam berbuat baik) adalah kerana banyaknya kepenatan yang ditanggung oleh seorang ibu disebabkan anaknya. Demikian juga kerana sifat kasih dan sayangnya ibu kepada anak, serta berterusannya kepayahan yang ditanggungnya sepanjang proses mengandungkan anak, kemudian melahirkannya, kemudian menyusukannya, kemudian mendidik dan membesarkan anak serta sakit yang ditanggungnya sepanjang proses tersebut’’.[7]

Manakala Syeikh Mulla ‘Ali al-Qari dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata: ‘’Sebab didahulukan ibu sebanyak tiga kali ada diisyaratkan melalui firman Allah S.W.T:

حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهًا وَوَضَعَتْهُ كُرْهًا ۖ وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ شَهْرًا

Maksudnya: Seorang manusia itu, dia telah dikandungkan oleh ibunya dalam keadaan yang penuh kesukaran dan begitu juga dia dilahirkan oleh ibunya dalam keadaan yang penuh kepayahan. Dan kandungan serta susuan (kepada anak) adalah selama tiga puluh bulan.[8]

Maka didahulukan ibu sebanyak tiga kali adalah disebabkan tiga perkara yang terkhusus dengan seorang ibu iaitu kepenatan dalam mengandungkan bayi, kesukaran dalam proses melahirkan anak, serta ujian yang dihadapi semasa menyusukan bayi’’.[9]

********************

Memori bersama Che’ terlalu indah. Tingkah laku, tutur kata, nasihat Che’ masih terpahat di sanubari. Seingat Zulkifli, tidak pernah berlalu setiap malam melainkan Che’ akan bangun bertahajjud. Ketika anak-anaknya masih berselimut, Che’ sudah bangun menyediakan sarapan pagi. Ketika matahari mula naik, beliau sudah siap di sejadah untuk menunaikan solat sunat Dhuha.

Di waktu petang atau malam, jadualnya penuh dengan pembacaan al-Qur’an, juga kelas al-Qur’an yang dikendalikannya setiap hari kecuali hari Jumaat di pondok mengaji yang dibinanya. Malah, al-Qur’an jua adalah penemannya di waktu senggang. Pernah murid yang belajar al-Qur’an dengannya mencecah 70 orang pada satu-satu masa. Lebih mengharukan, beliau mengajar al-Qur’an kepada orang kampung tanpa mengambil sebarang upah.

“Che’ sokmo doa ke anok-anok Che’ depang Kaabah. Untuk sepuluh orang anok-anok, Che’ doa setiap sorang lepah solat due rakaat solat sunat. Habih due rakaat solat, Che’ doa untuk Mi. Che’ bangung lagi solat due rakaat. Habih due rakaat, Che’ doa untuk Yah. Sapa Wallie, cukup 20 rakaat, 10 salam. Che’ doa biar anok-anok Che’ jadi ndape pung, berjaye dunie akhirat.” Begitulah kata-kata Hajah Ramlah ketika anak-anaknya menyambut beliau dan Ustaz Mad di lapangan terbang setiap kali pulang daripada umrah.

Alhamdulillah berkat doa seorang ibu, semua anak-anaknya berjaya. Ada pendidikan agama yang baik. Sebahagiannya sampai ke Jordan, al-Azhar, dan Madinah. Ada juga yang berjaya dalam perniagaan. Ada yang jadi pendidik. Pendek kata, semuanya berbakti kepada masyarakat, agama, dan negara. Mungkin kerana itulah Che’ dianugerahkan Anugerah Ibu Mithali Gemilang sempena Hari Ibu peringkat DUN Mempelam pada tahun 2008.

Ketika menghampiri nafasnya yang terakhir, Hajah Ramlah berpesan kepada suaminya tentang hasratnya untuk meninggal dunia di rumah. Mungkin untuk lebih dekat dengan anak-anaknya. Mungkin juga sebagai kenangan setiap kali anak cucunya pulang ke kampung halaman suatu hari nanti. Pernah Che’ berkata kepada Khairul, “Ayub, Che’ doa moge Che’ meninggal di Mekah. Seronok  sangat di sane ya Allah…”. Itulah impiannya namun perancangan Allah SWT sudah pasti jauh lebih baik hikmahnya.

******************

Sedar tak sedar, perjalanan daripada Nilai ke Kampung Kubang Kekura terasa begitu dekat. Sepanjang perjalanan, tidak ada yang terbit daripada bibir Zulkifli melainkan bacaan Surah al-Fatihah dan zikir yang dihadiahkan kepada ibunya yang tercinta.

Perkarangan rumah Ustaz Mad sesak dengan orang ramai. Rakan taulan, sanak saudara, jauh dan dekat datang menziarahi jenazah Hajah Ramlah buat kali terakhir. Setiap orang anak-anaknya menjalankan tugas memandikan jenazah dengan diselia oleh ayahanda mereka. Khairul tidak dapat turut bersama kerana berada jauh di perantauan.

Sedang kain kafan sudah mula membaluti jasad si ibu yang mulia, Zulkifli tiba dengan terus bergegas masuk ke dalam rumah. Wajah ibunya dikucup buat kali terakhir. Beliau berpaling kepada abang sulungnya, mengisyaratkan untuk abangnya menjadi imam solat jenazah. Mi tersenyum tawar dan menolak Zulkifli ke hadapan. Ustaz Mad juga mengangguk tanda setuju. Selepas selesai solat jenazah, Zulkifli menyampaikan sedikit tazkirah kepada semua yang hadir. Suasana yang lengang, menjadi amat hiba dan sayu. Alhamdulillah, urusan pengebumian berjalan dengan lancar, dipimpin oleh abang sulung, Abang Mi yang merupakan Imam Masjid UniSZA.

Memetik kata-kata adikku Ayub,

Bonda ku semoga sentiasa dinaungi rahmat,

Kepada Allah kamu kuat beribadat,

Kepada suami kamu patuh dan taat,

Kepada anak kamu didik dengan kasih dan amanah,

Kepada rakan taulan kamu tidak marah atau berbalah,

Kepada jiran tetangga kamu peramah,

Semoga Allah sentiasa rahmati mu anugerahkan maghfirah. Amin.

___________________

[1] Suka

[2] Ikan cencaru

[3] Surah Al-Nisa’: 36

[4] Riwayat Muslim, no. 2548

[5] Surah al-Isra’, no. 24

[6] Surah Maryam, no. 32

[7] Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 6/79.

[8] Surah Al-Ahqaf, no. 15

[9] Mirqat al-Mafatih, 7/3079.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *