Bab 57: Permulaan Bagi Sebuah Perjalanan

0
2347

“Ustaz. Ana rasa ustaz kena tukar kereta dah ni. Hehehe…”. Hasrulnizam cuba berseloroh apabila melihat barisan kenderaan besar di ruang parkir yang disediakan penganjur. Mungkin milik tetamu VIP dan para pegawai tinggi kerajaan yang hadir. Malam ini Zulkifli baharu selesai berforum bersama Mufti Negeri Johor, Sahibus Samahah Dato’ Haji Nooh bin Gadut di Melaka.

“Mana kereta ana?”, tanya Zulkifli sambil matanya melilau-lilau mencari Perodua Kelisa miliknya. Seingatnya, ia diletakkan tidak jauh daripada dewan. Tetapi di hadapan dewan cuma ada Mercedes mata belalang, Honda, dan Toyota. Belum jumpa lagi Perodua.

“Haa…ana jumpa dah. Tu!” kata Hasrulnizam sambil memuncungkan mulutnya. Perodua Kelisa milik Zulkifli terlindung di belakang kenderaan rasmi Ketua Menteri Melaka. Kedua-duanya ketawa dan menggelengkan kepala. Semasa sebelum program bermula, pengawal keselamatan pun teragak-agak hendak membenarkan Perodua Kelisa itu diletakkan di ruang yang disediakan khas untuk ahli panel. Mungkin tak menyangka itulah kereta ahli panelnya!

********************

Dalam perjalanan pulang, Zulkifli berbual panjang dengan beberapa anak muridnya yang menemani programnya sebentar tadi. Perbualannya adalah sekitar kehidupan, pengajian dan perancangan masa depan.

“Ana rasa nak letak jawatan di USIM. Nak fokus menulis, dakwah, ceramah di masjid, surau.”, kata Zulkifli memulakan bicara.

Hasrulnizam yang sedang memandu, berpaling ke arah gurunya. Tak berkelip mata. “Ustaz dah fikir masak-masak ke? Rugilah USIM.”, balas Hasrulnizam.

Zulkifli ketawa kecil dan menyambung kata-katanya. “Ya, ana ada target ana sendiri. Ana seronok kerja di USIM tapi masa ana menulis jadi terhad. Dalam hidup ni, kita kena sentiasa berani ambik risiko. Tapi perancangan kena teliti. Ana dah bincang panjang dengan Prof. Dr. Abdul Samat, Dekan FSU. Awalnya dia pun tak berapa setuju. Dia kata, ramai penulis tak boleh cari makan.”

Beliau merenung ke luar tingkap kereta, melihat bintang yang bertaburan di langit. “Kata-kata Prof Dr. Abdul Samat ana ambik sebagai motivasi. Bagi ana, apa pun hasrat kita boleh dicapai kalau ada strategi dan cara yang tepat. Sekali kita dah tekad, jangan lagi tengok belakang. Khalifah al-Mansur pernah sebut kepada Abu Muslim al-Khurasani,

إذا كنت ذا رأي فكن ذا عزيمةٍ… فإن فسـاد الرأي أن تتـرددا

“Jika kamu seorang yang mempunyai pandangan, maka jadilah juga seorang yang mempunyai pendirian. Sesungguhnya satu pandangan itu akan menjadi rosak, hanya kerana kamu berbelah bagi.”

Setiap hari yang berlalu adalah peluang untuk kita belajar dan terus belajar. Menikmati setiap detik yang dikurniakan-Nya, menghadapi segala ujian dan cabaran dengan penuh redha dan positif. Benarlah firman Allah SWT:

وَتِلْكَ الْأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ

Maksudnya: Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran)[1]

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Suhaib radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah SAW bersabda:

عَجَبًا لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

Maksudnya: “Amat menakjubkan urusan orang yang beriman kerana setiap urusannya adalah baik, dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada orang beriman. Jika dia mendapat sesuatu yang menyenangkan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.”[2]

Suatu ketika, Saidina Umar bin al-Khattab radhiyallahu ‘anhu berkata kepada sahabat-sahabatnya:

تَمَنَّوْا ، فَقَالَ بَعْضُهُمْ : أَتَمَنَّى لَوْ أَنَّ هَذِهِ الدَّارَ مَمْلُوءَةٌ ذَهَبًا أُنْفِقُهُ فِي سَبِيلِ اللهِ وَأَتَصَدَّقُ ، وَقَالَ رَجُلُ : أَتَمَنَّى لَوْ أَنَّهَا مَمْلُوءَةٌ زَبَرْجَدًا وَجَوْهَرًا فَأُنْفِقُهُ فِي سَبِيلِ اللهِ وَأَتَصَدَّقُ ،

ثُمَّ قَالَ عُمَرُ : تَمَنَّوْا فَقَالُوا : مَا نَدْرِي يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ ، فَقَالَ عُمَرُ : أَتَمَنَّى لَوْ أَنَّهَا مَمْلُوءَةٌ رِجَالاً مِثْلَ أَبِي عُبَيْدَةَ بْنِ الْجَرَّاحِ ، وَمُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ ، وَسَالِمٍ مَوْلَى أَبِي حُذَيْفَةَ ، وَحُذَيْفَةَ بْنِ الْيَمَانِ.

Maksudnya: “Tunjukkan cita-cita kamu.” Salah seorang menjawab, “Aku bercita-cita rumah ini dipenuhi dengan emas, agar aku dapat infakkan di jalan Allah dan bersedekah!” Sahabat yang lain pula berkata: “Aku bercita-cita rumah ini dipenuhi zamrud dan batu permata agar aku dapat infakkan di jalan Allah dan bersedekah!”

Kemudian Umar radhiyallahu ‘anhu berkata lagi: “Tunjukkan cita-cita kamu.” Mereka menjawab: “Kami tidak tahu wahai Amir al-Mukminin.” Lalu Umar radhiyallahu ‘anhu: “Aku bercita-cita agar rumahku dipenuhi pemuda-pemuda seperti Abu Ubaidah Ibn al-Jarrah, Mu’adz bin Jabal, Salim Maula Abi Huzaifah dan Huzaifah ibn al-Yaman.”[3]

Begitulah tingginya cita-cita Saidina Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhu dan para sahabat Nabi SAW. Mereka bercita-cita untuk mendapat kejayaan dalam hidup yang disambung dengan kejayaan akhirat. Ia seolah-olah dunia sebagai ladang akhirat untuk menatijahkan pahala dan syurga di hari akhirat kelak.

Cita-cita Saidina Umar jelas menunjukkan betapa jauhnya ufuk minda dan pemikiran Saidina Umar dalam meraih modal insan bagi manusia yang bakal menjadi pengubah dunia dan pemakmurnya mengikut neraca Syari’ah. Justeru, cita-cita Saidina Umar jauh lebih besar berbanding dengan yang lain. Nama-nama yang disebut oleh Saidina Umar seperti Abu Ubaidah Ibn al-Jarrah, Mu’adz bin Jabal, Salim Maula Abi Huzaifah dan Huzaifah ibn al-Yaman adalah tokoh yang amat istimewa dengan kelebihan tersendiri dalam menegakkan Islam. Mereka juga adalah antara yang cerdik, bijak, berhikmah dan mempunyai kesabaran yang amat tinggi dalam menjulang Syariat Islam.

*********************

Semasa ucapan Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor selaku Pengerusi USIM dalam majlis perpisahan Zulkifli, beliau sekali lagi bertanya kepadanya di hadapan khalayak, “Dr. dah fikir betul-betul keputusan Dr? Besar keputusan Dr tu! Kalau Dr. rasa nak ubah fikiran, kami amat berbesar hati untuk terima Dr.”

Zulkifli yang berada di meja berhadapan dengan Tan Sri, hanya tersenyum. Jasadnya masih di dalam majlis namun fikirannya sudah menerawang jauh menyusun satu persatu perancangan hidupnya bermula esok hari.

Tiba di rumah, jarum jam sudah mencecah 11 malam. Zulkifli masuk ke bilik anak-anaknya dan membetulkan selimut mereka. Wajah mereka diteliti seorang demi seorang. Sejak mula dikurniakan cahaya mata pertama, Zulkifli akan mentahnik sendiri anak-anaknya, disamping merujuk kitab serta memohon petunjuk Ilahi untuk penamaan anak-anaknya.

Daripada Abu al-Darda’ RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ إنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ فَأَحْسِنُوا أَسْمَاءَكُمْ

Maksudnya: Sesungguhnya kamu semua akan diseru pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. Maka perelokkanlah nama kamu.[4]

Sebahagian para ulama menjelaskan bahawa terdapat kaitan yang ketara di antara nama dengan seseorang yang dinamakan dengan nama tersebut. Antaranya adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Ibnul Qayyim rahimahullah dengan katanya: “Secara kesimpulannya, akhlak serta perbuatan-perbuatan yang buruk itu ada hubungkaitnya dengan nama. Demikianlah nama-nama yang baik akan mendorong kepada akhlak dan perbuatan yang baik. Dan tidaklah Rasulullah SAW itu dinamakan dengan Muhammad melainkan kerana banyaknya ciri-ciri dan sifat terpuji pada diri baginda SAW. Dan sesungguhnya pemilik nama yang baik kadangkala malu dengan namanya, dan kadangkala disebabkan namanya itulah yang mendorong seseorang melakukan perbuatan yang sesuai dengan namanya serta meninggalkan apa yang bercanggahan dengannya.”[5]

Disebabkan perkaitan inilah para ulama’ membahaskan hukum menukar nama, perinciannya dibahaskan oleh imam Ibnul Qayyim di dalam fasal ketiga pada kitab beliau Tuhfatul Maudud  ketika membahaskan galakan menukar nama kepada nama yang lain disebabkan maslahah.[6]

Antara dalil yang menunjukkan kepada galakan menukar nama yang kurang elok ialah hadith riwayat Abu Hurairah RA:

عَن أبي هُرَيْرَة أَن زَيْنَب كَانَ اسْمهَا برة فَقيل تزكي نَفسهَا فسماها رَسُول الله صلى الله عَلَيْهِ وَسلم

Maksudnya: Bahawasanya pada asalnya nama Zainab ialah Barrah, maka dikatakan kepadanya “engkau memuji diri sendiri” maka Rasulullah SAW pun menukarkan namanya kepada Zainab.[7]

Selain itu, terdapat juga hadith lain yang berbunyi:

عَنِ ابْنِ المُسَيِّبِ، عَنْ أَبِيهِ: أَنَّ أَبَاهُ جَاءَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: «مَا اسْمُكَ» قَالَ: حَزْنٌ، قَالَ: «أَنْتَ سَهْلٌ» قَالَ: لاَ أُغَيِّرُ اسْمًا سَمَّانِيهِ أَبِي قَالَ ابْنُ المُسَيِّبِ: «فَمَا زَالَتِ الحُزُونَةُ فِينَا بَعْد

Maksudnya: Dari Ibn al-Musayyib dari bapanya bahawa atuknya bertemu dengan nabi SAW, lalu nabi SAW bertanya kepadanya, apa nama kamu, maka dia menjawab Hazan, lalu kata Nabi SAW nama awak sekarang ialah Sahl, maka dia berkata saya tidak akan menukar nama yang telah diberikan kepada saya oleh ayah saya. Kata Ibn al-Musayyib: Maka sejak itu, kesukaran sentiasa menimpa kami.[8]

Muhammad Hasanain, anak sulungnya diberi nama sempena nama mantan Mufti Besar Mesir, Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf yang berkhidmat pada tahun 1946 hingga 1950. Seorang ulama’ yang sangat disegani dan dihormati fatwa-fatwanya. Anak kedua Zulkifli dinamakan Hammad, nama seorang ulama’ hadith di Madinah iaitu Syeikh Hammad al-Ansari. Ramai para ulama’ di Madinah berguru dengannya. Sofia adalah anak ketiga Zulkifli. Nama yang diilhamkan daripada nama isteri Rasulullah SAW iaitu Safiyyah binti Huyay. Ia juga adalah inspirasi daripada Aya Sophia, gereja Kristian yang dibina pada zaman Justinian I pada era Bizantine yang akhirnya ditukarkan menjadi masjid di tangan Sultan Muhammad al-Fatih. Anak keempat pula dinamakan ‘Abdul Syakur, sempena nama guru kepada Syeikh Hammad al-Ansari.

Peristiwa peperangan dan kesyahidan ramai umat Islam serta mujahidin di bumi Syam mengiringi kelahiran anak kelima Zulkifli dan isterinya. Bumi Syam begitu dekat di hati Zulkifli dan beliau amat hiba dengan apa yang berlaku di sana. Melihat redup mata anak bongsunya yang baharu lahir, terlintas di fikirannya nama “Istisyhad”. Istisyhad adalah wazan istif’al, yang mengandung makna berharap atau memohon. Mirip dengan kata gafara (غَفَرَ) yang bererti keampunan atau mengampuni lalu diubah menjadi istigfar (إسْتِغْفَار) yang bererti memohon keampunan. Kalimah syahid menjadi istisyhad sehingga maknanya menjadi “pengharapan untuk syahid”.

Kelahiran Hasanain dan Hammad mencetuskan penulisan buku Wasiat Untuk Anakku manakala kelahiran Sofia pula menerbitkan buku Puteriku Nasihat Abah Untukmu. Sebagaimana Imam al-Ghazali menulis karya agung Ayyuhal Walad, Zulkifli ingin kedua-dua karya beliau menjadi ingatan dan pedoman anak-anaknya apabila dewasa kelak.

********************

Musim tengkujuh di Pantai Timur baharu berlabuh. Hujan renyai-renyai mula membasahi bumi Terengganu.

“Rasa kejap je cerita Atuk. Daripada Zul lahir sampai dah kahwin, ada anak. Lepas ni bersambung lagi ke ceritanya?”, tanya Sarah terkinja-kinja. Jarang anak kecil sepertinya terhibur dengan kisah-kisah sebegini.

Tok Aki membetulkan kain pelikatnya dan mencapai semutar yang terlipat kemas di bahu. “Panjang lagi cite Zul ning. Tapi Atuk lapor la. Ujang-ujang gginim[9], makang mende panah-panah sedak ork? Kekgi lah Atuk cite. Cite ning hok ngelahh[10]. Kalu dalam Netflix, ning episode ngelah first season. Atuk nok cite kisah ibu Zul, Hajah Ramlah.”. Kakinya melangkah laju masuk ke dalam rumah sambil Sarah mengikutinya dari belakang.

“Amboi Atuk! Sejak bile pandai tengok Netflix nie? Hahaha…”, kata Sarah dengan penuh hairan dan terkejut. Tok Aki hanya tersengih dan menutup tingkap-tingkap rumah yang terbuka luas. Angin terus bertiup kencang, memukul-mukul pipinya.

__________________

[1] Surah Ali Imran: 140

[2] Riwayat Muslim, no. 7692

[3] Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (5005), dan Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’ (318)

[4] Riwayat Abu Daud, no. 4948

[5] Tuhfah al-Maudud, hlm. 25

[6] Tuhfatul Maudud, hlm. 129

[7] Riwayat Al-Bukhari, no. 6192

[8] Riwayat al-Bukhari, no. 6190

[9] Macam ni

[10] Terakhir

Artikel sebelum iniBab 56: Fatwa, Usul al-Fiqh dan INFAD
Artikel seterusnyaBab 58: Dia Ibuku
Berkelulusan PhD dengan pengkhususan dalam bidang fatwa di USM, beliau juga merupakan Ahli Dewan Negara, Anggota The Muslim Council of Elders (UAE), Anggota The Assembly of Muslim Jurists of America (USA), mantan Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) dan mantan Mufti Wilayah Persekutuan. Antara guru beliau sepanjang pengajian di peringkat BA (Madinah) dan MA (Syria) adalah Syeikh Dr. Muhammad Sa'id Ramadhan al-Buti, Syeikh Muhammad 'Ali Thani, Syeikh Rushdi Qalam, Syeikh Dr. Muhammad Abdullatif Soleh al-Farfour, Syeikh Dr. Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Syinqiti, Syeikh Dr. Muhsin al-'Abbad dan ramai lagi.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini