Gagal Temuduga Pensyarah KUSZA

1
9619

Perjalanan hampir 8 jam di udara berakhir di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang. Kepulangan Zul disambut meriah kaum keluarga, sanak saudara, dan penduduk Kampung Kubang Kekura. “Alhamdulillah, Zul balik ning bulehlah kite tupang berkat minum air zamzam, jamoh kheme[1], kata Pok De yang bertandang ke rumah Ustaz Mad bersama Mok De.

“Sile..sile. Ambe bowok kelik banyok ning. Bulehla Mok De nok bukuh skek, insya-Allah. Ambe nok kene beransur dulu.  Ade Kuliah Gorib ni Sejik Merbau Patoh.”, kata Zul sambil bersalam dengan Pok De. Sejak tiba daripada Madinah, Zul menerima banyak jemputan ceramah dan memimpin kuliah tetap di Masjid Kampung Merbau Patah, Masjid al-Muktafi Billah Shah, Surau Kampung Kubang Kekura, Surau Kuala Bedah dan Surau Pasir Panjang. Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu melalui Abang Li Simpang Empat pernah menjemput Zul berceramah. Siap dengan jentera bomba menunggu di depan rumah. Kecoh jiran tetangga ingatkan rumah Ustaz Mad terbakar. Tapi sekepul asap pun tak ada!

Sesekali, beliau akan singgah ke SMAASZA bertemu adik-adik Thanawi, sekadar ingin bertanya khabar dan memotivasikan junior-juniornya untuk menyambung pengajian ke luar negara. “Ustaz Zul ngaji di Madinah, seronok dop?”, tanya Mad Esa Deraman pada satu petang selepas Asar. Zul dan beberapa orang pelajar Thanawi SMAASZA berbual di tepi padang bola. “Kite ngaji mane-mane pung seronok kalu doh ade niat betul. Cuma ngaji di Madinah ni, banyok barakahnye. Alim ulama pung rama. Rugilah kalu ade peluang, kite dop usehe gi sane.”, Zul mengambil beberapa biji batu kerikil dan melontarkannya.

Zul tersenyum sendirian dan berkata kepada Mad Esa Deraman, Ali dan Hasan, “Ana teringat 5 taun lepah. Ana duk congok sinilah dengan saing ana, Shohor Bani, Zaini, Megat, Buhairi, Anuar, Kamaruddin, Wan Rosli, Rosdi Mokhtar. Zaini tanye ana, nok sambung mane lepah Thanawi? Ana ambik batu, kelong[2] sapok jauh[3]. Ana tanye, napok dop batu tu? Jawapannye dop. Ana kate, itulah mase depang kite. Macam tulah hidup kite. Wojik usehe ssungguh. Bakpe Allah dop izing kite napok mase depang? Sebab Die nok kite usehe. Kene gi habih jauh kite buleh gi macam batu tu. Usehe habih gheng. Kite jangang jadi nakuk pahik. Kite yakin, Allah doh tentukang hok terbaik untuk kite.”

“Pahang dop ape ana cite ning?”, tanya Zul kepada Mad Esa Deraman dan kawan-kawannya. Kesemuanya mengangguk dan memandang satu sama lain. Suasana kembali sepi.

Zul bingkas bangun dan berkata, “Dah. Kelik asrama tu. Esok ikut ana gi ngaji dengan Tok Guru di Sejik Rusile!”

********************

Memandangkan telah hampir setahun di rumah, Zul dan Zaini bercadang untuk memohon jawatan kosong sebagai pensyarah di KUSZA. “Kite kene berbakti untuk Tranung ning. Ana yaking kite lulus temuduga, insya-Allah. Dapat keje situ, buleh kite mohon untuk sponsor sambung Master, PhD. Surat tawarang temuduge ni ibarat selangkoh doh masuk KUSZA!”, kata Zul dengan penuh positif kepada Zaini. Surat temuduga yang diterimanya, digenggam kemas.

Sehari sebelum temuduga, Zaini bermalam di rumah Zul kerana jarak rumahnya di Kuala Berang agak jauh dengan KUSZA. Kebetulan, kedua-duanya mendapat jemputan sebagai ahli panel dalam forum khas anjuran Pemuda PAS Kampung Pulau Musang pada sebelah malamnya. Malam itu, memang meriah Markaz PAS Kampung Pulau Musang dengan kehadiran orang kampung. Semuanya hadir kerana ingin mendengar ceramah dua orang ustaz muda yang baru pulang dari Madinah.

“Firman Allah SWT,

إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى

“Sesungguhnye mereke itu orang-orang mude yang berimang kepade Tuhannye, dan Kami tambahi mereke dengang hidayoh petunjuk!”

“Kate Imam Al-Qurtubi, kepemudaang (الْفُتُوَّةُ) ning mengikut huraian al-Junayd adelah melakukang kebaikkang kepade orang lain, tidok sesekali menyusohkang orang lain, dan meninggalkang rungutang terhadap orang lain. Disebutkang juge makne al-futuwwah adelah menghindari perkare yang haram dan bersegere dalam hal kebaikan…”. Berapi-api kupasan Zaini pada malam itu. Tajuk forum adalah Peranan Pemuda dalam Perjuangan Islam.

Zul juga tidak kurang hebatnya. “Tuan-tuan, puan-puan, ibu ayoh, adik kakok. Seorang ulama India, Maulana Abu al-Hasan al-Nadwi menyatekan kepemudaan itu ade makne yang mendalam. Hakikatnye, Allah SWT nok menzahirkang bahawe anok mude hok  meninggalkan aspek materialistic, keduniaan, kelapangan dan kesenangan hidup serta kerehatan, adalah amat sedikit jumlahnya bagi setiap zaman!”. Hadirin seolah-olah terpukau dengan kepetahan Zul dan Zaini menghuraikan topik kepemudaan dan perjuangan Islam dalam bahasa yang mudah, santai, namun padat dengan hujah al-Qur’an dan Hadis. “Wase macam tengok Forum Perdana Ehwal Islam doh. Cume bezenye hok ni di Markaz PAS Kampung Pulau Musang! Kikiki…”, bisik seorang hadirin kepada rakan disebelahnya sambil ketawa kecil.

Keesokan paginya, Zul dan Zaini menghadiri temuduga dengan penuh keyakinan. Lengkap berkopiah, berbaju kemeja dan berkasut hitam. “Gaye macam pensyaroh doh…!”, Ustaz Mad yang sedang menikmati sarapan, mengusik anaknya dan Zaini. Kedua-duanya tersipu malu. “Jangang lupe doa ke ambe dengan Zul ye Ustak Mad. Moge lulus temuduge ning…”, kata Zaini kepada Ustaz Mad. Zul menaiki motosikalnya, dibonceng Zaini menuju ke KUSZA.

Temuduga berlangsung dengan amat lancar. Semua soalan bertulis dan soalan lisan berjaya dijawab dengan Zul dan Zaini dengan baik. “Ni…ana wase kite memang dapat ni, insya-Allah. Buleh doh kite gi Pasor Payang, cari baju hok smart skek. Nok jadi pensyaroh ekpung. Hehe…”, Zul berkata kepada Zaini. “Ana wase kite kene juppe YB Exco Pendidikang di Wisma Darul Iman. Kite memang yakin doh akan dapat jawatang ning. Tapi kotlah ye buleh ejah supaye mudoh skek laluang tu. Ana doh call PA YB. Ye suruh kite gi tengahari ning.”, Zaini mencadangkan kepada Zul. Zul bersetuju dan mereka pun bergegas ke Wisma Darul Iman.

Kehadiran mereka berdua disambut dengan senyuman Exco berkenaan. Belum sempat Zul dan Zaini memulakan bicara, soalan pertama yang terpacul daripada mulutnya adalah, “Bakpe ustak due orang lulusang Madinah ning, jadi ahli panel forum PAS?”. Beliau memandang tepat kepada dua anak muda tersebut. Zul dan Zaini tertunduk diam. “Bocor jugok…ingatkang dok gege mane forum tu. Sapa ke Wisma gege forum malam tadi.”, bisik hati Zul. Kedua-duanya membisu, kehilangan kata-kata.

*********************

Cuaca pagi di Kuala Berang amat mendamaikan, setelah “mendung” yang melanda di Wisma Darul Iman bulan lalu.

“Ayoh, mok…Zul nok mari dengan Abang Mi tengahari ning. Nok kabor keputusang temuduge ye kate.”, Zaini memaklumkan kepada ibu dan ayahnya. “Hah…moleklah. Ayoh semeleh ayang kampung. Zul suke tu. Mok buleh wak ggula.[4], kata ayah Zaini. Ayah dan ibunya begitu teruja dengan kehadiran Zul. Kedua-duanya amat menyukai sikap Zul yang lemah lembut dan pandai mengambil hati orang tua.

Tengahari tersebut, Zul sampai bersama Mi, abang sulungnya. Kedua-duanya disambut oleh ayah Zaini dan dipersilakan masuk ke dalam rumah. “Zul, wane keputusang? Aku tau doh kite mesti dapat. Tapi aku nok tanye jugok. Hehe…”, Zaini ketawa kecil. Begitu positif beliau dengan hasil temuduga bulan lalu. Zul cuma tersenyum dan berkata, “Kekgi pah habis makang, ana cite…”

Selesai menikmati juadah tengahari, Zaini menarik tangan Zul ke luar rumah. “Cepatlah kabor keputusang temuduge. Ana dok sabor nok gi beli tie dengang kasut baru etep!”, Zaini menepuk bahu Zul. Muka Zul tiba-tiba berubah kemerahan. Telinganya terasa panas dan memerah. Beliau mengetap bibir seperti kegeraman. Dadanya kelihatan berombak laju.

Angin petang itu terasa sedikit membahang. Bertiup sepoi-sepoi bahasa. Zaini masih menanti apa yang bakal diungkapkan oleh Zul.

“Kite gagal Ni. Pengarah KUSZA tau forum kite di Markaz PAS Kappung Pulau Musang malam tu…”, jawab Zul dengan penuh kecewa. Ppanahsang![5]

Seakan luruh jantung Zaini mendengarnya. Pandangannya terasa kosong.

Wajah Zul masih kemerahan menahan marah. Tangannya menggeletar. Zaini masih bingung. Beliau kemudiannya membuka mulut. “Ni. Ana dop buleh lupe ape hok jadi pade kite due ning. Kecewe. Sedih. Geram. KUSZA dop ambik kite walaupung kite buleh jawab segheme mase temuduge. Dakpelah. Tapi, ana akan gi ke KUSZA satu hari nanti. Enta ingat kate-kate ana ning. KUSZA akan jemput ana ceramoh di sane satu hari nanti, mu’azzazan (dengan penuh kemuliaan)!”.

Dengan mata yang masih merah, Zul berpaling kepada Zaini dan bertanyakan satu soalan yang tidak disangka-sangka, “Enta nok ikut ana sambung ngaji di Syria?”,

[1] Kurma

[2] Baling

[3] Teramat jauh

[4] Gulai

[5] Kepanasan

Artikel sebelum iniChapter 14: Studying and Teaching
Artikel seterusnyaChapter 14: Tablighi Jamaat
Berkelulusan PhD dengan pengkhususan dalam bidang fatwa di USM, beliau juga merupakan Ahli Dewan Negara, Anggota The Muslim Council of Elders (UAE), Anggota The Assembly of Muslim Jurists of America (USA), mantan Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) dan mantan Mufti Wilayah Persekutuan. Antara guru beliau sepanjang pengajian di peringkat BA (Madinah) dan MA (Syria) adalah Syeikh Dr. Muhammad Sa'id Ramadhan al-Buti, Syeikh Muhammad 'Ali Thani, Syeikh Rushdi Qalam, Syeikh Dr. Muhammad Abdullatif Soleh al-Farfour, Syeikh Dr. Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Syinqiti, Syeikh Dr. Muhsin al-'Abbad dan ramai lagi.

1 komen

  1. Assalamualaikum ustaz. Letih saya nak baca bahasa terengganu, suami jadi translator. Rezeki suami orang kelantan. Namun, saya suka penulisan ustaz.

Leave a Reply to Masturah binti Shamsuddin Membatalkan balasan

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini