Soalan
Assalamualaikum ustaz. Adakah saya mendapat Jumaat jika saya terlewat hadiri solat Jumaat, dan hanya sempat satu rakaat sahaja bersama imam, iaitu di rakaat kedua? Adakah saya perlu tambah satu rakaat sahaja atau perlu solat Zohor? Mohon penjelasan.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”[1]
Menurut Syeikh al-Sa’di, ayat ini mengajar kita bahawa Allah SWT menyuruh hamba-hamba-Nya yang beriman supaya bersegera hadir ke masjid untuk solat Jumaat sejurus azan dikumandangkan, dan menjadikan solat Jumaat itu sebagai keutamaan dan urusan yang paling utama.[2]
Maksud ‘فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ’ (segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah), para ulama mentafsirkannya dengan maksud segera untuk mendengar khutbah jumaat dan melakukan solat Jumaat selepasnya.[3]
Imam Syaukani pula menyatakan: Allah SWT memerintahkan di dalam kitab-Nya yang mulia supaya bersegera zikrullah. Dan khutbah adalah salah satu bentuk dari zikrullah. Sekiranya khutbah tidak termasuk dalam maksud zikrullah pun, maka khutbah itu hukumnya fardhu.[4]
Islam melarang segala bentuk aktiviti melalaikan apabila muazin telah mengumandangkan azan kedua berdasarkan firman Allah SWT di atas. Syeikh Jalaluddin al-Mahalli menyatakan: “Perkataan perintah dalam ayat tersebut menunjukkan kepada kewajiban, dalam konteks ini dengan cara meninggalkan jual beli, maka haram melakukannya. Diqiyaskan dengan jual beli, iaitu segala aktiviti yang telah kami jelaskan, kerana secara maknanya sama dengan jual beli dalam isu melalaikan Jumaat.”[5]
Syeikh ‘Umairah pula menjelaskan: Ini memberi petunjuk kepadamu bahawa seseorang yang rumahnya sangat dekat dengan masjid jami’ dan dia meyakini dapat memperoleh Jumaat sekiranya dia menyusul di pertengahan khutbah, (tetap) haram baginya menetap di rumah kerana kesibukannya bersama keluarga atau lainnya, bahkan wajib baginya untuk bergegas menuju masjid jami’, kerana mengamalkan firman Allah SWT, “إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ…” (Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang…)”[6]
Selain itu, terdapat banyak hadith yang menuntut seseorang itu untuk hadir awal ke masjid bagi tujuan menunaikan solat Jumaat. Antaranya hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنِ اغْتَسَلَ يَوْمَ الجُمُعَةِ غُسْلَ الجَنَابَةِ ثُمَّ رَاحَ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَدَنَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّانِيَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَقَرَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّالِثَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ كَبْشًا أَقْرَنَ، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الرَّابِعَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ دَجَاجَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الخَامِسَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَيْضَةً، فَإِذَا خَرَجَ الإِمَامُ حَضَرَتِ المَلاَئِكَةُ يَسْتَمِعُونَ الذِّكْرَ
Maksudnya: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat (seperti) mandi janabah lalu segera pergi ke masjid, maka seakan-akan berkorban dengan unta, sesiapa yang pergi pada masa yang kedua, maka seakan-akan dia berkorban dengan lembu, dan sesiapa pergi pada masa yang ketiga, maka seakan-akan dia berkorban dengan biri-biri jantan yang bertanduk, dan sesiapa yang pergi pada masa yang keempat seakan-akan dia berkorban dengan seekor ayam, dan sesiapa yang pergi pada masa kelima, maka seakan-akan dia berkorban dengan sebiji telur dan apabila imam telah keluar (untuk berkhutbah) maka para malaikat turut hadir untuk mendengar peringatan (khutbah).”[7]
Antara yang boleh difahami berdasarkan hadith di atas adalah tuntutan buat umat Islam agar hadir awal ke masjid disebabkan ganjaran yang terdapat di dalam hadith. Ini juga disebutkan oleh Imam al-Nawawi RA: “Telah bersepakat ashab kami dan selain daripada mereka bahawa sunat hadir awal ke solat Jumaat pada masa yang pertama berdasarkan hadith yang lepas (hadith di atas). Melihat kepada masa-masa yang disebutkan di atas terdapat tiga pendapat iaitu:
- Setelah terbitnya fajar dan ini yang dipilih oleh penulis (Imam al-Syirazi) dan ramai ulama’.
- Setelah terbitnya matahari dan pendapat ini tidak dipilih di dalam kitab al-Tanbih serta mengingkari pendapat ini bagi sesiapa yang berpegang teguh padanya.
- Masa-masa yang dimaksudkan adalah tempoh-tempoh yang singkat selepas tergelincir (matahari) dan inilah yang dipilih oleh al-Qadhi Husain, Imam al-Haramain dan selain daripada kedua mereka dari ahli Khurasan dan ini adalah mazhab Malik.[8]
Menurut kitab al-Mu’tamad dalam mazhab al-Syafie, dikira masa-masa tersebut di atas bermula dari terbitnya fajar kerana ia merupakan permulaan pensyariatan (solat Jumaat) dan padanya juga dibolehkan untuk mandi sunat Jumaat.[9]
Di akhir hadith, dinyatakan bahawa malaikat akan mendengar khutbah apabila imam telah keluar. Ini menunjukkan bahawa barangsiapa yang hadir selepas daripada imam keluar tidak akan memperolehi ganjaran orang yang hadir awal ke solat Jumaat. Di samping itu, tuntutan datang awal ke masjid adalah bagi menggalakkan orang untuk mendapatkan fadhilat yang disebutkan di dalam hadithو mendapatkan kelebihan saf pertama, menunggunya serta menyibukkan diri dengan perkara-perkara sunat dan berzikir atau seumpama dengannya. Ini semuanya tidak akan diperolehi dengan pergi ke masjid selepas gelincirnya sebahagian daripadanya (matahari) dan tidak juga mendapat kelebihan jika datang selepas daripada tergelincirnya (matahari) kerana ketika itu seruan (azan) dikumandangkan.[10]
Isu Hanya Sempat Satu Rakaat Solat Jumaat
Berkenaan persoalan di atas, jika dia sempat satu rakaat bersama dengan Imam, maka dia mendapat Jumaat. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW:
مَنْ أَدْرَكَ رَكْعَةً مِنَ الصَّلاَةِ، فَقَدْ أَدْرَكَ الصَّلاَةَ
Maksudnya: “Barangsiapa yang sempat mendapat satu rakaat daripada solat (solat jumaat dan lain-lain) maka dia mendapat solat itu.”[11]
Disebabkan dia sempat satu rakaat bersama imam, maka dia hanya perlu menambah satu rakaat sahaja. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ أَدْرَكَ مِنَ الْجُمُعَةِ رَكْعَةً فَلْيُصَلِّ إِلَيْهَا أُخْرَى
Maksudnya: “Barangsiapa yang sempat satu rakaat (bersama imam) dalam solat Jumaat maka dia tambah satu rakaat lagi.”[12]
Akan tetapi, jika dia tidak sempat satu rakaat bersama imam, maka dia perlu menambah 4 rakaat solat Zuhur. Sebagai contoh dia datang ketika imam sedang tahiyyat akhir. Ini kerana solat Jumaat wajib secara berjemaah. Daripada Tariq bin Syihab RA, Nabi SAW bersabda:
الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ
Maksudnya: “Jumaat itu adalah hak wajib setiap Muslim lelaki dalam keadaan berjemaah.”[13]
Pengarang al-Fiqh al-Manhaji menyebut: Sesungguhnya dikira dapat berjemaah dalam solat Jumaat dengan dapat sekurang-kurangnya satu rakaat penuh. Oleh itu, sekiranya dapat satu rakaat sahaja maka Jumaatnya sah.[14]
Di dalam Syarh al-Zad dan Hasyiahnya menyebut: “Sesiapa yang mendapati bersama imam sempat satu rakaat solat Jumaat, maka dia sempurnakan satu rakaat lagi secara ijmak. Tetapi jika tidak sempat walaupun satu rakaat – seperti imam i’tidal pada rakaat, kemudian seseorang itu baru masuk solat bersamanya – maka hendaklah dia sempurnakan solat Zuhur dengan empat rakaat.[15]
Wallahu a’lam.
Bertarikh 5 Januari 2022 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1443 H
[1] Surah al-Jumu’ah: 9
[2] Lihat Tafsir al-Sa’di, 1/863
[3] Lihat Tafsir Ayat al-Ahkam oleh Syeikh Ali al-Sobuni, 2/362
[4] Lihat al-Sail al-Jarrar al-Mutadafiq ‘ala Hadaiq al-Azhar hlm. 182
[5] Lihat Kanz al-Raghibin Syarh Minhaj al-Thalibin, 1/ 334
[6] Lihat Hasyiyah Umairah ‘ala al-Mahalli, 1/ 334
[7] Riwayat al-Bukhari (881) dan Muslim (850)
[8] Lihat al-Majmu’, 4/540
[9] Lihat al-Mu’tamad, 1/528-529
[10] Lihat al-Minhaj, 541/4
[11] Riwayat Bukhari (580) dan Muslim (607)
[12] Riwayat Ibn Majah (1121), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (5945) dan al-Hakim (1708)
[13] Riwayat Abu Daud (1067)
[14] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/509
[15] Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/572