#210: Lupa dalam Solat Berulang Kali

-25%
Original price was: RM440.00.Current price is: RM330.00.
-30%
Original price was: RM10.00.Current price is: RM7.00.
-30%
Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
-30%

Buku Fizikal

Dengan Nama Allah

Original price was: RM15.00.Current price is: RM10.50.
-30%

Buku Fizikal

Imam Mahdi

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
-30%

Buku Fizikal

Yajuj dan Majuj

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
-30%

Buku Fizikal

Hakikat Dajjal

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
-29%
Original price was: RM70.00.Current price is: RM50.00.

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Boleh jelaskan tentang sebab-sebab yang menyebabkan seseorang itu perlu sujud sahwi? Adakah perlu sujud sahwi berulang kali, jika kita terlupa banyak kali semasa melakukan solat?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Maksud sahwi dari segi bahasa ialah lupa atau lalai akan sesuatu. Manakala yang dimaksudkan dengan sahwi di sini ialah kecacatan solat yang dilakukan seseorang ketika bersolat sama ada disengajakan atau terlupa. Oleh itu sujud ini – yang dilakukan di penghujung solat – akan menjadi penutup kepada kecacatan tersebut.

Ia dilakukan dengan cara sujud sebanyak dua kali sepertimana sujud-sujud di dalam solat dengan niat sujud sahwi. Tempatnya ialah pada akhir solat sebelum salam. Hukum sujud sahwi adalah sunat apabila terjadi salah satu daripada sebab-sebabnya.[1]

Perbuatan sujud sahwi ini adalah bersumberkan kepada sebuah kisah yang masyhur sebagai kisah Zul Yadain, yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata:

صَلَّى بِنَا النَّبِيُّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّم الظُّهْرَ أَو الْعَصْرَ ، فَسَلَّم ، فَقَالَ لَهُ ذُو الْيَدَينِ : الصَّلَاةُ يَا رَسُولَ اللَّهِ ، أَنقصت ؟ فَقَال النبيُّ صلى الله عليه وسلم : أَحَقٌّ مَا يَقُول ؟ قالوا نعمْ ، فصلَّى ركْعَتَينِ أُخْرَيَتين ، ثمَّ سَجَدَ سَجْدَتَين

Maksudnya: Nabi SAW mengimamkan solat Zohor atau Asar bersama kami. Kemudian Baginda memberi salam. Maka berkata Zul Yadain kepada Nabi: Solat wahai Rasulullah, adakah kau telah mengurangkannya? Maka Nabi SAW bersabda: “Benarkah apa yang dia katakan?” Maka para sahabat pun berkata: “Ya.” Lalu Baginda melakukan dua solat yang berbaki, kemudian sujud sebanyak dua kali.[2]

Imam al-Nawawi menyebut: Sujud Sahwi ialah dua sujud yang di dalamnya terdapat duduk dan disunatkan duduk secara iftirasy (duduk seperti duduk tahiyyat awal). Manakala, duduk tawaruk (duduk tahiyat akhir) selepas sujud kedua-duanya sehingga berakhir dengan salam. Sifat dua sujud ini ialah pada perbuatan sujud dan zikir bacaan ketika sujud ialah (sama dengan) sifat semua sujud di dalam solat.[3]

Berkenaan bacaan dalam sujud sahwi, sebahagian para ulama menjelaskan bahawa sunat untuk mengucapkan:

سُبْحَانَ مَنْ لَا يَنَامُ وَلَا يَسْهُو

Maksudnya: Maha suci Allah yang tidak tidur dan tidak lalai.[4]

Namun lebih afdal membaca zikir sama seperti zikir dalam solat, sepertimana yang dinyatakan oleh Imam Nawawi di dalam kitab Raudah al-Talibin (1/315)

Sheikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menukilkan pandangan ulama mazhab Syafi’ie mengenai sifat dan bacaan zikir di dalam sujud sahwi, kata beliau: (Sifat sujud sahwi) Dua sujud seperti sujud di dalam solat dari sudut kewajipannya dan sunat-sunatnya iaitu seperti meletakkan dahi, toma’ninah (ketenangan), menekan (sedikit), mengangkat bahagian belakang, duduk secara iftirasy (duduk seperti duduk tahiyyat awal) di antara dua sujud dan duduk tawarruk selepasnya. Hendaklah diniat dalam hati, sekiranya niat dengan lisan maka batal solatnya. Terdapat sebahagian pandangan yang mengatakan sunat membaca ketika dua sujud tersebut:سبحان من لا ينام ولا يسهو Maha suci Allah yang tidak tidur dan tidak lalai. Dan sebahagian yang lain berkata: Secara zahirnya zikir dalam sujud sahwi adalah sama seperti zikir (tasbih) dalam sujud pada kebiasaan solat.[5]

 

Sebab-Sebab yang Membawa kepada Sujud Sahwi

Menjawab soalan di atas, antara sebab-sebab yang menjadikan seseorang perlu sujud sahwi ialah:

  • Meninggalkan salah satu daripada sunat Ab’adh seperti tasyahhud yang pertama dan qunut.
  • Syak atau ragu terhadap bilangan rakaat solat.
  • Melakukan sesuatu perkara yang dilarang dalam solat tanpa sengaja, yang jika disengajakan akan membatalkan solat.
  • Melakukan kesilapan sama ada perkara rukun atau sunat ab’adh atau bentuk solat bukan pada tempat yang sepatutnya.[6]

Oleh itu, jika berlaku salah satu daripada sebab-sebab yang dinyatakan, maka seseorang perlu untuk sujud sahwi. Ia perlu dilakukan di akhir solat sebelum memberi salam. Adapun, jika memberi salam sebelum sujud (sahwi) sama ada dengan sengaja atau terlupa yang agak lama luputlah sujud (sahwi) tersebut. Sebaliknya jika terlupa sekejap sahaja, bolehlah menyambungnya semula dengan sujud sebanyak dua kali dengan niat sujud sahwi dan memberi salam sekali lagi.[7]

Isu Lupa Berulang Kali dalam Solat

Berkenaan soalan kedua, adakah kita perlu sujud sahwi berulang kali sekiranya kita lupa berulang kali dalam solat?

Jawapannya ialah tidak perlu. Imam al-Rafi’e berkata: “Jika lupa berulang kali dalam solat, maka memadai dengan sujud sahwi (dua kali sujud) di akhir solat.”[8]

Selain itu, jika seseorang tertinggal lebih daripada satu daripada sebab-sebab yang disebutkan juga, maka dia hanya perlu sujud sahwi sebanyak dua kali sujud sahaja. Hal ini sepertimana dijelaskan oleh al-Khatib al-Syarbini, katanya:

“Sujud sahwi adalah sebanyak dua kali walaupun banyaknya tertinggal atau tersilap kerana Rasulullah SAW hanya melakukan sujud sebanyak dua kali dalam kisah Dzulyadain walaupun berbilang-bilang (sebab yang memerlukan sujud sahwi). Hal ini apabila Rasulullah SAW hanya mendirikan dua rakaat (dalam solat yang sepatutnya empat rakaat), kemudian Rasulullah SAW juga bercakap dan berjalan. Ini kerana semua sebab itu telah ditampung dengan dua sujud sahwi tersebut, sama ada berlaku sebelum, semasa atau selepas sujud sahwi itu.

Meskipun jika seseorang yang telah sujud sahwi kemudian dia terlupa lalu bercakap atau melakukan perbuatan lain sebelum salam atau dia sujud sahwi sebanyak tiga kali sujud, maka dia tidak perlu untuk sujud sahwi buat kali kedua. Hal ini kerana tidak dapat dipastikan bahawa dia tidak akan terlupa bagi sujud sahwi yang seterusnya, lalu tidak berkesudahan.[9]

Wallahu a’lam.

Bertarikh 5 Januari 2022 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1443 H

[1] Lihat al-Fiqh al-Manhaji1/443

[2] Riwayat al-Bukhari (1169)

[3] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/161

[4] Lihat Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj, 1/438

[5] Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 2/1124

[6] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/172-173

[7] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/448

[8] Lihat al-‘Aziz Syarh al-Wajiz, 2/90

[9] Lihat al-Iqna’ fi Hall Alfaz Abi Syuja’, 1/160

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *