Soalan
Assalamualaikum ustaz. Apa hukum solat berjemaah jika imam dan makmum itu berbeza mazhab fiqh? Adakah sah solat jika berlaku perbezaan imam dan makmum seperti ini? Mohon penjelasan.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Solat merupakan salah satu rukun daripada rukun Islam dan ia juga merupakan penanda dalam membezakan antara orang yang beriman dan juga orang yang kafir sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith. Untuk itu, setiap orang yang beriman perlulah mengetahui dan mempelajari hukum-hakam berkaitan solat.
Solat adalah satu ibadah yang wajib ditunaikan oleh semua yang bergelar Muslim iaitu yang melafazkan dua kalimah syahadah. Firman Allah SWT:
وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ
Maksudnya: “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang.”[1]
Sabda Nabi SAW:
بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ ، شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ ، وَإِقَامِ الصَّلَاةِ ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ، وَالْحَجِّ ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ
Maksudnya: “Islam terbina atas lima perkara: penyaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan, dan menunaikan haji ke baitullah bagi yang mampu.”[2]
Perkataan solat adalah diambil daripada bahasa Arab. Ia adalah merupakan kata nama terbitan (masdar) daripada kata kerja (fi’il); solla, yusolli, solatan yang membawa maksud doa, al-istighfar, al-maghfirah, al-Islam, al-din.[3]
Allah SWT berfirman:
وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ
Maksudnya: “Dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka.”[4]
Dari sudut istilah Fiqh, solat bermaksud beberapa perkataan dan perbuatan, yang didahului dengan takbir dan diakhiri dengan salam, mengikut syarat-syarat tertentu.[5]
Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut: Ia dinamakan solat kerana ia mengandungi doa yang merupakan unsur yang banyak di dalamnya. Hal ini kerana menggunakan nama juzuk untuk maksud keseluruhannya (إطلاقا لاسم الجزء على الكل).[6]
Menurut Kamus Dewan, solat dalam bahasa Melayu diertikan sebagai sembahyang iaitu perbuatan menyembah Allah dan secara khususnya ia dilaksanakan di dalam Solat fardu yang lima.
Kelebihan Solat Berjemaah
Solat berjemaah sememangnya thabit kelebihannya dalam banyak hadith, antaranya, bahawa Nabi SAW bersabda:
صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ تَفْضُلُ صَلاَةَ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً
Maksudnya: “Solat berjemaah lebih baik (afdhal) daripada solat bersendirian dengan dua puluh tujuh kali darjat.” [7]
Dalam riwayat lain pula menyatakan:
صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ أَحَدِكُمْ وَحْدَهُ بِخَمْسَةٍ وَعِشْرِينَ جُزْءًا
Maksudnya: “Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat kalian yang secara bersendirian sebanyak 25 bahagian.”[8]
Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa sama ada 25 atau 27 bahagian adalah berdasarkan keadaan solat dan orang yang menunaikannya. Ada yang dapat 25 darjat dan ada yang dapat 27 berdasarkan kesempurnaan solatnya dan sejauh mana dia menjaga solat secara berjemaah.[9]
Hikmah Solat Berjemaah Sebagai Syiar Islam
Sesungguhnya teguhnya tiang-tiang Islam wujud dengan semangat saling mengenal dalam kalangan orang Islam. Juga pada semangat persaudaraan dan tolong menolong dalam mengangkat kebenaran dan meruntuhkan kebatilan. Hal Ini tidak dapat disempurnakan, (yakni perkenalan dan persaudaraan ini), melainkan dengan menggunakan sebaiknya peranan masjid yang menjadi tempat pertemuan kaum Muslimin untuk menunaikan solat fardu lima waktu.
Lebih-lebih lagi, dalam urusan dunia, manusia mungkin saling berpecah dan dengki antara satu masa lain. Maka dengan wujudnya pertemuan melalui solat berjemaah akan menthabatkan hati-hati mereka daripada terus koyak akibat perpecahan dan menjaga hati mereka daripada kebencian dan hasad. Orang mukmin yang sejati itu bukan seperti orang munafik; orang mukmin menzahirkan solat berjemaah dan ibadah mereka dan berusaha untuk sentiasa ke masjid.[10]
Definisi Mazhab
Perkataan mazhab berasal daripada perkataan bahasa Arab ‘ذَهَبَ – يَذْهَبُ – ذَهَابًا – ذُهُوْبًا – مَذْهَبًا’ yang membawa maksud berjalan (pergi) atau melalui. Manakala ‘الْمَذْهَبُ’ membawa erti i’tiqad, jalan dan usul (prinsip-prinsip) yang dipegang dan diamalkannya.[11] Sebagai contoh, disebut: Mazhab kami adalah mazhab sepuluh orang yang dijamin masuk syurga dan Imam Ahmad.[12]
Ibn Manzur menjelaskan bahawa mazhab dari sudut bahasa ialah suatu pegangan yang diikuti.[13] Selain itu, mazhab dari sudut bahasa juga boleh ditakrifkan sebagai tempat pergi (مَوْضِعُ الذّهَاب).[14] Syeikh al-Marbawi dalam Kamus al-Marbawi pula menjelaskan, mazhab dari segi bahasa ialah tempat untuk berjalan ataupun jalan itu sendiri. Dalam istilah bahasa Melayu, menurut Kamus Dewan, mazhab ditakrifkan sebagai cabang ajaran Islam yang diikuti oleh umat Islam, iaitu mazhab Syafi’i, Hanafi, Hanbali dan Maliki.[15]
Mazhab menurut istilah adalah hukum-hukum Syar’i yang bersifat far’i dan ijtihadi, yang dihasilkan daripada dalil-dalil yang bersifat zhanni oleh seorang mujtahid secara khusus.[16]
Syeikh Dr. Qutb Musatafa Sano menyebut: Mazhab dari sudut istilah bermaksud pandangan yang dikemukakan oleh seseorang mujtahid dalam perkara furu’[17] serta masalah yang bersifat ijtihadi[18]. Dalam erti kata yang lain, mazhab merupakan himpunan pandangan serta teori yang menghasilkan hukum yang selaras dan bersepadu.[19]
Perbezaan Mazhab
Sesungguhnya Islam datang dengan rahmat dan Islam sangat meraikan perbezaan. Perbezaan yang berlaku dalam kalangan manusia ini akan terus berlaku sebagaimana firman Allah SWT:
وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ النَّاسَ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلا يَزَالُونَ مُخْتَلِفِينَ . إِلّا مَنْ رَّحِمَ رَبُّكَ وَلِذَلِكَ خَلَقَهُمْ وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ لأمْلأنَّ جَهَنَّمَ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ
Maksudya: Dan kalaulah Tuhanmu mengkehendaki, tentulah Dia menjadikan manusia umat yang satu. Dan kerana itulah mereka terus menerus berselisih. Kecuali orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu, dan kerana itulah Dia menjadikan manusia. Dan dengan yang demikian sempurnalah janji Tuhanmu, ‘Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka jahannam daripada jin dan manusia (yang derhaka).[20]
Ibn Kathir dalam tafsirnya mengatakan: Pendapat-pendapat dalam kalangan manusia dalam perkara agama, iktiqad, caraa hidup, mazhab dan pandangan akan terus berlaku. Kata Ikrimah, “Manusia adalah berbeza dalam menerima petunjuk dan hidayah Allah,”. Kata al-Hasan al-Basri pula,”Perbezaan juga berlaku dalam menerima rezeki, ada yang kaya memperoleh banyak rezeki, ada yang miskin, sedikit rezekinya.” Dan pendapat masyhur yang lebih tepat adalah pandangan yang pertama.[21]
Perbezaan-perbezaan yang wujud antara mazhab-mazhab yang muktabar hanyalah perbezaan kecil yang melibatkan hal-hal cabang, iaitu perkara-perkara furu’iyyah. Ia bukanlah perbezaan yang melibatkan perkara-perkara usul seperti aqidah, tauhid mahupun prinsip-prinsip dasar agama.
Perbezaan antara mazhab ini muncul atas beberapa sebab yang sememangnya sukar untuk dielakkan, seperti perbezaan tafsiran terhadap sesuatu dalil, atau beza anggapan terhadap kekuatan sesuatu hadith dan sebagainya. Ini semua adalah sesuatu yang lumrah lagi terbuka dalam agama dan ia adalah sesuatu yang sudah diterima umat sejak dari hari-hari pertama sejarah agama Islam ini lagi.
Hukum Solat Berjemaah Berbeza Mazhab Antara Imam Dan Makmum
Kita dapati, para sahabat dan generasi-generasi selepas mereka saling bersolat jemaah sesama mereka sekalipun terdapat perbezaan pendapat dalam beberapa hal furu’ sesama mereka sendiri. Teladan ini juga didokongi oleh para Imam Mazhab sendiri.
Syeikh Taha Jabir al-‘Alwani yang merupakan ulama’ semasa menukilkan kisah adab imam mazhab dalam berbeza di dalam kitabnya Adab al-Ikhtilaf fi al-Islam: Perbezaan pandangan dalam kalangan imam mazhab tidak menghalang mereka untuk solat bersama, sepertimana Imam Abu Hanifah dan pengikutnya, Imam al-Syafi’e dan para imam yang lain, mereka semua solat di belakang imam-imam madinah yang bermazhab maliki dan selain mereka, walaupun imam daripada mazhab malik tidak membaca basmallah secara sirr mahupun jahar.
Beliau berkata lagi: Imam Ahmad bin Hanbal berpendapat bahawa seseorang yang sedang solat lalu berlaku pendarahan pada hidung, maka batallah solatnya itu kerana pendarahan hidung adalah salah satu dari hal yang menyebabkan batalnya wudhu’. Lain pula dengan pendapat Imam Malik bin Anas, yang dari anak-anak muridnya lahir Mazhab Maliki, beliau berpendapat pendarahan hidung itu tidaklah membatalkan wudhu’. Akan tetapi apabila di suatu ketika salah seorang dari anak murid Imam Ahmad bertanya kepadanya, apakah hukum solat di belakang imam yang tidak memperbaharui wudhu’ apabila berlaku pendarahan hidung?” Imam Ahmad menjawab: “Adakah patut aku enggan bersolat di belakang Imam Malik dan Sa’id ibn Musayyib?”[22]
Jawapan Imam Ahmad di atas jelas menunjukkan bahawa perbezaan pendapat antara dirinya dan Imam Malik tidak menjadi penghalang bagi dia untuk tetap bersolat jemaah di belakang Imam Malik atau para pengikut mazhab Maliki.
Hal ini dibuktikan oleh sejarah umat islam daripada generasi ke generasi, semua daripada mereka akan Mekah dan Madinah bagi melaksanakan ibadah haji mereka, padahal imam-imam di kedua-dua masjid kota suci tersebut, Masjid al-Haram dan Masjid al-Nabawi sewaktu ketika dahulu adalah terdiri dari anak-anak murid Imam Malik bin Anas, iaitu bermazhab Maliki dan sehingga sekarang para imam di dua tanah suci tersebut bermazhab Hanbali. Akan tetapi perbezaan mazhab sebegini tidak menghalang mereka dari bersolat jemaah bersama-sama, sekalipun terdapat perbezaan dalam etika solat seperti bacaan Basmalah dan bacaan doa qunut Subuh antara keempat-empat mazhab tersebut.
Perbezaan yang timbul antara ajaran mazhab tidak sepatutnya menjadi batu penghalang bagi kita umat Islam dari bersatu berjemaah mendirikan solat menghadap Allah SWT.
Kata Ibn Qudamah: “Maka mereka yang berbeza pada perkara furu’ seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam al-Syafi’e, solat di belakang mereka sah dan tidak makruh. Imam Ahmad memberikan nas bahawa para sahabat dan tabi’in dan generasi selepas mereka, terus menerus solat berimamkan sesama mereka walaupun mereka berbeza pandangan pada perkara furu’, hal ini seolah-olah menunjukkan mereka ijma’ dalam perkara ini.”[23]
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah pernah ditanya: Adakah sah solat makmum di belakang imam yang berbeza dengan mazhabnya?, maka beliau menjawab: Solat seseorang lelaki di belakang orang yang berbeza mazhab dengannya sah dengan kata sepakat para sahabat, tabi’in dan mazhab imam yang empat.[24]
Oleh itu, seseorang makmum itu boleh bersolat di belakang seorang imam yang berbeza mazhab dengannya. Hal ini dikuatkan lagi dengan hadis yang diriwayatkan Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ، فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا، وَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا، وَإِذَا قَالَ: سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، فَقُولُوا: رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ، وَإِذَا سَجَدَ فَاسْجُدُوا، وَإِذَا صَلَّى جَالِسًا فَصَلُّوا جُلُوسًا أَجْمَعُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya seseorang imam itu dijadikan supaya diikuti. Oleh itu janganlah kamu melakukan perkara-perkara yang berbeza dengannya. Apabila dia rukuk, maka rukuklah. Apabila dia membaca ‘Sami’Allahu li man Hamidah’ maka katalah ‘Rabbana wa lak al-Hamd’ . Apabila dia sujud, maka sujudlah. Dan apabila dia solat duduk maka bersolat duduklah kamu semua (dalam jemaah).”[25]
Imam al-Nawawi menyebut dalam syarahnya, “Pada hadith ini menunjukkan bahawa wajib makmum mengikut imam pada takbir, pada berdiri, pada duduk, pada ruku’ dan pada sujud.”[26]
Daripada Abu Mas’ud al-Ansari RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
يَؤُمُّ الْقَوْمَ أَقْرَؤُهُمْ لِكِتَابِ اللَّهِ فَإِنْ كَانُوا فِي الْقِرَاءَةِ سَوَاءً فَأَعْلَمُهُمْ بِالسُّنَّةِ فَإِنْ كَانُوا فِي السُّنَّةِ سَوَاءً فَأَقْدَمُهُمْ هِجْرَةً فَإِنْ كَانُوا فِي الْهِجْرَةِ سَوَاءً فَأَقْدَمُهُمْ سِلْمًا
Maksudnya: “Yang menjadi imam kepada sesebuah kaum itu adalah mereka yang paling mahir terhadap Kitab Allah (al-Quran). Sekiranya mereka setanding dalam bacaan maka (dahulukan) yang paling berilmu tentang al-Sunnah (untuk menjadi imam). Sekiranya pengetahuan mereka terhadap Sunnah itu sama maka yang menjadi imam adalah mereka yang paling awal berhijrah. Sekiranya mereka sama dalam berhijrah pula dahulukanlah mereka yang paling awal memeluk agama Islam.”[27]
Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadis ini menyebut: “Sesungguhnya individu yang paling warak didahulukan ke atas orang yang faqih dan lebih mahir tentang al-Quran. Ini kerana tujuan dari menjadi imam itu akan terhasil lebih banyak dari orang yang warak berbanding selainnya.”[28]
Hadith ini menunjukkan seseorang imam itu bukan diikut kerana mazhab yang sama, tetapi berdasarkan kriteria yang ditetapkan, seperti yang paling wara’, yang paling baik bacaannya, yang paling faqih dan seumpamanya.
Kita ditegah dari melakukan sesuatu pergerakan solat yang berbeza dengan imam semata-mata kerana perbezaan mazhab antara imam dan makmum. Ini adalah berdasarkan perintah yang jelas daripada baginda Nabi SAW yang melarang para makmum melakukan sesuatu pergerakkan solat yang berbeza dengan imam yang mereka ikuti.
Rasulullah SAW bukan sahaja melarang perbuatan solat yang berbeza dengan imam, tetapi juga melarang seseorang itu daripada melakukan sesuatu perbuatan solat yang mendahului imam sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
أَمَا يَخْشَى أَحَدُكُمْ إِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ قَبْلَ الإِمَامِ، أَنْ يَجْعَلَ اللَّهُ رَأْسَهُ رَأْسَ حِمَارٍ، أَوْ يَجْعَلَ اللَّهُ صُورَتَهُ صُورَةَ حِمَارٍ
Maksudnya: “Tidak takutkah salah seorang dari kalian apabila dia mengangkat kepalanya dari rukuk dan sujud sebelum imam, (lalu) Allah akan menjadikan kepalanya (seperti) kepala keldai atau Allah akan menjadikan bentuknya (seperti) bentuk keldai.”[29]
Imam al-Nawawi menyebutkan dalam syarahnya, ”Perumpamaan ini (yang diberikan di dalam hadis ini) menunjukkan bahawa haramnya perbuatan tersebut (mendahului imam).”[30]
Di dalam mazhab Syafi’e sendiri, antara syarat mengikut imam adalah, makmum tidak boleh beriktiqad bahawa batalnya solat imam. Syeikh Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebut di dalam kitabnya, ”Sekiranya seorang yang bermazhab syafi’e mengikut imam yang bermazhab hanafi yang berwudhu’ dan bersolat berdasarkan mazhabnya, dan orang yang bermazhab Syafi’e tersebut beriktiqad bahawa solat imam yang bermazhab hanafi itu batal, maka tidak sah untuk dia mengikutnya. Ibrahnya bergantung kepada iktiqad makmum terhadap sahnya solat imam ataupun tidak. Secara praktikalnya, seorang makmum mesti beriktiqad bahawa sahnya solat imam yang diikuti walaupun mereka berbeza pada perkara furu’ dan pada perkara ijtihad, serta sah solat imam yang diikutinya dengan sangkaan baiknya.”[31]
Dalam isu qunut subuh pula, Imam Syams al-Din al-Ramli pula menyebut mengenai isu ini di dalam kitabnya: “Sekiranya seorang yang bermazhab syafi’e mengikut imam bermazhab hanafi dalam solat subuh, sekiranya dia berqunut dan dia sempat untuk sujud bersama imam pada sujud pertama, maka dia boleh melakukannya, jikalau tidak sempat, maka dia tidak boleh lakukan qunut tersebut, dan dia mestilah sujud sahwi selepas imam memberi salam sebagaimana pandangan muktamad, kerana berdasarkan iktiqadnya bahawa imam terlupa. Berbeza pula sekiranya dia memberitahu imam bahawa iktiqad makmum adalah berqunut tetapi imam tetap tidak berqunut, maka ianya tidak menjadi sebab untuk sujud sahwi kerana qunut tersebut bukan ditinggalkan disebabkan terlupa. Maksudnya tidak dituntut bagi makmum untuk sujud sahwi disebabkan imam tersebut meninggalkan qunut dan dia tidak memintanya daripada imam, bahkan dilarang baginya untuk sujud.”[32]
Imam al-Nawawi pula menyebut: “Sekiranya seorang yang bermazhab syafie mengikuti imam yang bermazhab Hanafi, dan imam tersebut tunggu sebentar selepas bangun daripada ruku’, dan dia sempat untuk berqunut, maka dia boleh lakukannya. Jikalau dia tidak sempat, maka dia mesti mengikut imam untuk bersujud, dan dia perlu sujud sahwi jika kita menganggap ianya iktiqad makmum, manakala jika kita menganggap ianya iktiqad imam, maka tidak boleh untuk dia bersujud sahwi. Sekiranya seorang yang bermazhab Hanafi solat di belakang imam bermazhab syafi’e dalam solat subuh, maka imam meninggalkan qunut disebabkan terlupa dan dia sujud sahwi, maka makmum tersebut perlu mengikutnya, dan sekiranya dia meninggalkan sujud sahwi, dia perlu sujud sahwi jika kita menganggap ianya iktiqad imam, jika tidak, dia tidak perlu sujud sahwi.”[33]
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah dalam merumuskan hal ini pula menyebut di dalam al-Fatawa al-Kubra: “Hal ini seharusnya bagi makmum mengikut imam berdasarkan ijtihad imamnya, apabila imam tersebut berqunut, maka berqunutlah bersamanya, sekiranya imam meninggalkan qunut, maka tidaklah dia berqunut. Sesungguhnya Nabi SAW bersabda, ‘Sesungguhnya imam itu dijadikan untuk diikuti.”[34]
Justeru, apabila seorang makmum mengikut imam yang berlainan mazhab dalam solat jemaah, hendaklah dia mengikut imam tersebut serta bersangka baik dan yakin bahawa sahnya solat imam yang diikutinya, serta mengikut setiap tatacara solat imam tersebut. Sikap sebegini adalah merupakan dasar manhaj para imam mazhab yang empat dan ia paling menepati tujuan serta objektif pensyari’atan solat berjemaah itu sendiri.
Kesimpulan
Sebagai penutup, berdasarkan hujah-hujah yang kami kemukakan, kami menyimpulkan bahawa sah solat seorang makmum bersama dengan imam yang berlainan mazhab dengan syarat dia yakin akan sahnya solat imam tersebut. Hal ini kerana mereka hanya berbeza pada perkara furu’, bukan pada perkara usul.
Selain itu, dengan keterbukaan dan toleransi sesama umat islam, selagi seseorang sah pada pandangan mana-mana mazhab yang muktabar, maka tidak ada masalah dalam solat mereka antara imam dan makmum. Perbezaan dalam mazhab ini sebenarnya rahmat bagi sekalian umat islam dalam menyelesaikan pelbagai isu terutamanya dalam isu fiqh.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 10 Mac 2022 bersamaan 7 Syaaban 1443H
[give_form id=”14962″][1] Surah al-Baqarah: 43
[2] Riwayat al-Bukhari (7)
[3] Lihat al-Mu’jam al-‘Arabi al-Asasi, 1/746
[4] Surah al-Taubah: 103
[5] Lihat al-Iqna’ fi Halli Alfaz Abi Syuja’, 1/257
[6] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/309
[7] Riwayat al-Bukhari (645) dan Muslim (1477)
[8] Riwayat Muslim (1504)
[9] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/183
[10] Lihat Fiqh al-Manhaji, 1/178
[11] Lihat al-Qamus al-Muhit oleh al-Fairuz Abadi, hlm. 111
[12] Lihat al-Kulliyyat, hlm. 878
[13] Lihat Lisan al-‘Arab, 3/1152
[14] Lihat Ghamz ‘Uyun al-Basa’ir fi Syarh al-Asybah wa al-Nazha’ir, 1/40
[15] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=mazhab
[16] Lihat Ghamz ‘Uyun al-Basa’ir fi Syarh al-Asybah wa al-Nazha’ir oleh Ahmad bin Muhammad al-Hanafi al-Hamawi, 1/40ss
[17] Furu’ bermaksud masalah fiqh yang merupakan cabang dari masalah utama. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 32/98)
[18] Ijtihadi bermaksud suatu perkara yang menjadi perbincangan dalam kalangan ahli hukum (faqih), yang memerlukan daya usaha untuk penentuan sesuatu hukum. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 1/316)
[19] Lihat Mu’jam Mustalahat Usul al-Fiqh oleh Syeikh Dr. Qutb Mustafa Sano, hlm. 399
[20] Surah Hud: 118-119
[21] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/361
[22] Lihat Adab al-Ikhtilaf fi al-Islam, hlm. 118-119
[23] Lihat al-Mughni, 2/141
[24] Lihat Majmu’ al-Fatawa, 23/378
[25] Riwayat al-Bukhari (734) dan Muslim (414)
[26] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 4/132
[27] Riwayat Muslim (673)
[28] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 5/173
[29] Riwayat al-Bukhari (691) dan Muslim (427)
[30] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 4/151
[31] Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 1/414
[32] Lihat Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj, 2/68
[33] Lihat Raudhah al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin,1/348
[34] Lihat Fatawa al-Kubra, 2/252