#671: Waktu Bermula Sapu Khuf

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Jika saya memakai khuf, bilakah waktu bermulanya tempoh menyapu khuf itu? Yang kedua, jika saya ragu-ragu iaitu antara sama ada saya mula menyapu khuf ketika musafir atau bermukim, apa yang saya perlu lakukan? Mohon penjelasan ustaz.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pengertian Khuf dan Pensyariatannya

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu tentang pengertian khuf.

Khuf ialah kasut kulit yang menutupi kaki hingga buku lali, iaitu tulang sendi yang timbul di antara kaki dengan betis. Inilah seperti yang dijelaskan dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji, iaitu: “Dua kasut yang diperbuat daripada kulit yang menutup kedua buku lali.[1]

Perbuatan memakai khuf ini ialah satu sunnah Rasulullah SAW dan rukhsah kepada umat Baginda SAW bagi menggantikan membasuh kaki dalam berwuduk. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh al-Mughirah Ibn Syu’bah RA, beliau berkata:

كُنْتُ مَعَ النَّبِىِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم َفِى سَفَرٍ، فَأَهْوَيْتُ لأَنْزِعَ خُفَّيْهِ فَقَالَ: دَعْهُمَا، فَإِنِّى أَدْخَلْتُهُمَا طَاهِرَتَيْنِ. فَمَسَحَ عَلَيْهِمَا

Maksudnya: Aku pernah bermusafir bersama-sama Nabi SAW. Ketika itu aku tunduk untuk menanggalkan kedua-dua khufnya, lalu Baginda SAW bersabda: Biarkan kedua-duanya, sesungguhnya aku memakainya dalam keadaan suci. Lalu Baginda SAW menyapu bahagian atas kedua-duanya.”[2]

Imam Badruddin al-Aini menjelaskan bahawa hadith ini menunjukkan tentang keharusan memakai khuf dan penjelasan mengenai pensyari’atannya.[3]

Menyapu khuf dengan air adalah satu keringanan (رُخصَةٌ) yang harus bagi lelaki dan perempuan dalam semua keadaan, sama ada ketika musim panas atau sejuk, musafir atau mukim, dan ketika sihat atau sakit. Perbuatan ini adalah ganti membasuh kaki ketika berwudhu’.[4]

Dalil harus menyapu khuf dengan air berdasarkan perbuatan Rasulullah SAW sebagaimana dalil hadith, Jarir bin Abdullah al-Bajli RA berkata:

رَأَيْتُ النَّبِىَّ صَلى الله عليهِ وَسَلّم بَالَ ثُمَّ تَوَضَّأَ، وَمَسَحَ عَلَى خُفَّيْهِ

Maksudnya: Aku melihat Nabi SAW pergi buang air kecil, kemudian Baginda berwudhu’ dan menyapu bahagian atas kedua-dua khufnya.[5]

 

Syarat Pemakaian Khuf

Pada asasnya, para fuqaha telah meletakkan beberapa syarat berkenaan pemakaian khuf ini. Kami nukilkan syarat-syarat tersebut sepertimana yang disebutkan oleh pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (1/66) seperti berikut:

Pertama: Kedua-duanya dipakai setelah berwuduk dengan sempurna. Hal ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Al-Mughirah bin Syu’bah R.A beliau berkata:

كُنْتُ مَعَ النَّبِىِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم َفِى سَفَرٍ، فَأَهْوَيْتُ لأَنْزِعَ خُفَّيْهِ فَقَالَ دَعْهُمَا، فَإِنِّى أَدْخَلْتُهُمَا طَاهِرَتَيْنِ فَمَسَحَ عَلَيْهِمَا

Maksudnya: Aku bermusafir bersama-sama Nabi SAW. Ketika itu aku tunduk untuk menanggalkan kedua-dua khufnya, Baginda bersabda: Biarkan, aku memakainya ketika suci. Lalu Baginda menyapu bahagian atas kedua-duanya.”[6]

Kedua: Kedua-dua mestilah menutupi kesemua bahagian kaki yang wajib dibasuh (iaitu menutup sehingga ke bahagian buku lali atau lebih sedikit). Ini kerana kedua-duanya tidak dinamakan khuf kecuali dalam keadaan demikian.

Ketiga: Kedua-duanya hendaklah kalis air (iaitu tidak menyebabkan air menembus ke dalam mengenai bahagian kaki), kecuali pada jahitannya.

Keempat: Kedua-duanya mestilah kukuh dan tahan lasak hingga boleh dipakai berjalan selama sehari semalam bagi orang yang bermukim dan tiga hari tiga malam bagi yang bermusafir.

Kelima: Kedua-duanya mestilah suci sekalipun diperbuat daripada kulit bangkai yang disamak, kulit bangkai yang disamak adalah suci.[7] [8]

Tempoh Menyapu Khuf

Secara asasya, tempoh menyapu khuf bagi orang yang bermukim ialah sehari semalam manakala bagi yang musafir selama tiga hari tiga malam. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Syuraih bin Hani’ RA katanya:

أَتَيْتُ عَائِشَةَ أَسْأَلُهَا عَنِ الْمَسْحِ عَلَى الْخُفَّيْنِ فَقَالَتْ عَلَيْكَ بِابْنِ أَبِى طَالِبٍ فَسَلْهُ فَإِنَّهُ كَانَ يُسَافِرُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. فَسَأَلْنَاهُ فَقَالَ جَعَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم َثَلاَثَةَ أَيَّامٍ وَلَيَالِيَهُنَّ لِلْمُسَافِرِ وَيَوْمًا وَلَيْلَةً لِلْمُقِيمِ

Maksudnya: Aku telah menemui Aisyah R.Anha dan bertanyakan tentang cara menyapu khuf. Aisyah menjawab: Pergilah berjumpa Sayyidina Ali kerana dia lebih mengetahuinya daripadaku sebab dia telah bermusafir bersama-sama Rasulullah SAW. Lalu aku bertanya kepadanya, dan dia menjawab: Rasulullah SAW telah menetapkan tempohnya selama tiga hari tiga malam bagi orang yang bermusafir dan sehari semalam bagi yang bermukim.[9]

Sesiapa yang menyapu khuf ketika bermukim kemudian dia bermusafir, maka dia boleh menyapunya selama sehari semalam sahaja. Begitu juga sesiapa yang menyapu khuf ketika bermusafir kemudian bermukim maka dia hendaklah menamatkan tempoh sapuannya sebagaimana orang yang bermukim.

Ini kerana keadaan asal seseorang itu adalah bermukim dan menyapu khuf adalah satu keringanan baginya. Oleh itu, ambillah cara yang yang lebih selamat, iaitu hukum asal.

Tempoh Bermula Sapu Khuf

Berbalik kepada persoalan di atas, mengikut pendapat jumhur, tempoh yang ditetapkan bagi menyapu khuf ini bermula dari berlaku hadas selepas memakai khuf itu sehinggalah ke waktu yang sama pada hari kedua bagi yang bermukim dan pada hari keempat bagi mereka yang bermusafir kerana waktu harus untuk menyapu adalah bermula dengan berlaku hadas itu. Dengan itu, maka tempohnya dikira dari ketika itu.

Ini diqiyaskan dengan sembahyang yang mana waktunya adalah dikira bermula dari sejak ia harus dikerjakan. Selain itu, hadis Safwan bin Assal menyebut:

أَمَرَنَا أَنْ نَمْسَحَ عَلَى الْخُفَّيْنِ إِذَا نَحْنُ أَدْخَلْنَاهُمَا عَلَى طُهْرٍ ثَلاَثًا إِذَا سَافَرْنَا ، وَيَوْمًا وَلَيْلَةً إِذَا أَقَمْنَا ، وَلاَ نَخْلَعَهُمَا مِنْ غَائِطٍ وَلاَ بَوْلٍ وَلاَ نَوْمٍ ، وَلاَ نَخْلَعَهُمَا إِلاَّ مِنْ جَنَابَةٍ.

Maksudnya(Nabi SAW) telah memerintahkan kami supaya menyapu di atas kedua khuf kami apabila kami memakainya dalam keadaan bersih atau suci, selama tiga hari apabila kami dalam musafir dan sehari semalam jika kami dalam bermukim. Kami tidak perlu mencabutnya dengan sebab berak atau kencing atau tidur. Kami hanya perlu mencabutnya apabila berjunub.[10]

Ini memberi pengertian bahawa khuf berkenaan perlu dicabut selepas tiga hari yang dilalui selepas membuang air besar. Khuf adalah menghalang daripada hadas itu sampai ke bahagian kaki. Oleh itu, ia perlulah  dikira mulai dari waktu ia terhalang atau waktu hadas itu tidak sampai ke bahagian kaki.

Berdasarkan ini, maka sesiapa yang berwuduk sewaktu mula terbit fajar, kemudian dia memakai khufnya dan setelah terbit matahari baru dia berhadas, kemudian setelah gelincir matahari barulah dia berwuduk dan menyapu khufnya, maka:

  • Jika dia seorang yang bermukim, dia harus menyapu sehingga waktu yang sama dengan waktu dia mengangkat hadas itu pada hari berikutnya, iaitu setelah gelincir matahari hari kedua.
  • Jika dia musafir, maka dia boleh menyapu sehingga gelincir matahari pada hari keempat.

Apabila seorang itu menyapu khufnya sewaktu bermukim, kemudian dia musafir ataupun sebaliknya iaitu menyapu khuf dalam musafir kemudian dia bermukim, maka:

  • Mengikut pendapat ulama Syafie dan Hanbali, tempohnya dikira tamat seperti seorang yang bermukim, kerana diberikan keutamaan bagi keadaan tersebut yang merupakan asal. Dalam dua keadaan yang telah disebut tadi, dia hanya boleh menyapu selama sehari semalam sahaja.
  • Mengikut pendapat ulama’ Hanafi pula sekiranya seorang itu menyapu khuf sewaktu bermukim, tetapi sebelum sampai sehari semalam, dia telah mula musafir, maka dia berhak menyapu sebagai seorang musafir, iaitu tiga hari tiga malam, kerana dia telah menjadi seorang yang merantau. Orang merantau (musafir) adalah berhak menyapu untuk tempoh tiga hari tiga malam. Jika seorang yang seorang yang bermusafir berhenti dan bermukim di suatu tempat, maka sekiranya dia melengkapkan tempoh bermukim, dia wajiblah mencabut khufnya, kerana kelonggaran untuk orang musafir telah tidak diberikan lagi tanpanya. Jika dia tidak menghabiskan tempoh, maka dia bolehlah meneruskan dengan keadaan orang musafir.

Sekiranya dia ragu-ragu adakah dia mula menyapu sewaktu dalam musafir atau dalam waktu bermukim, maka:

  • Mengikut pendapat ulama’ Hanbali, hendaklah dia merujukkan kepada yang pasti, iaitu menyapu sebagai seorang yang bermukim, kerana tidak harus seseorang itu menyapu dalam keadaan ragu tentang keharusannya.
  • Ulama’ Syafie pula berpendapat, seorang yang ragu tentang sama ada tempohnya masih ada atau sebaliknya, tidak harus menyapu, sama ada tempohnya telah berakhir ataupun belum. Begitu juga orang musafir yang syak sama ada dia menyapu semasa musafir atau bermukim, kerana menyapu khuf ini adalah suatu kelonggaran rukhsah yang diberikan dengan beberapa syarat, termasuk masa. Oleh itu, apabila dia syak, maka hendaklah kembali semula kepada hukum asal, iaitu wajib basuh.[11]

Semoga Allah memberi kepada kita kefahaman berkenaan agama-Nya yang bersifat mudah dan meraikan maslahat manusia.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 10 Mac 2022 bersamaan 7 Syaaban 1443H

[give_form id=”14962″]

[1] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/65

[2] Riwayat al-Bukhari (203) dan Muslim (274)

[3] Lihat ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari, 3/102

[4] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/241

[5] Riwayat al-Bukhari (1478) dan Muslim (272)

[6] Riwayat al-Bukhari (203)

[7]  Tuntutan ini hanyalah pada permulaan memakai khuf sahaja. Adapun jika terkena najis selepas memakainya, maka itu tidak membatalkan hukum khuf. Hanya perlu dibasuh sahaja bahagian yang terkena najis. Adapun jika tidak diyakini bernajis, maka kembali kepada hukum asal bahawa ianya tidak bernajis. Tanah jalan raya yang bernajis adalah dimaafkan jika terkena pada paka kerana sukar untuk dijaga. (Lihat Minhaj al-Talibin, hlm. 52). Apatahlagi tanah yang tidak diketahui najis atau suci, maka kekal hukum asal.

[8] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/66

[9] Riwayat Muslim (276)

[10] Riwayat Ahmad (18093). Kata al-Khattabi, hadis ini sahih isnadnya (Nail al-Autar, 1/191-183)

[11] Lihat al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh, 1/312-313.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *