Panas Baran: Perlunya Dasar Pengurusan Stres Penjawat Awam Digubal

Mukadimah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Saya terpanggil untuk membincangkan isu ini kerana kita sentiasa menghadapinya dalam kehidupan ini. Tambahan pula, ada beberapa kes kebelakangan ini yang melibatkan pengurusan panas baran. Setiap dalam kalangan kita mempunyai sifat marah dan ada segelintir yang melampau kemarahan sehingga tidak mampu untuk menahan kemarahan. Maka akhirnya, dia berajakan kepada perasaan serta emosi tanpa memikirkan akibatnya. Bak kata pepatah Arab: “Marah itu permulaannya gila, dan kesudahan adalah kesesalan.”

Allah SWT memberi kedudukan istimewa di akhirat kelak bagi mereka yang menahan diri daripada sifat marah dan bersabar sebagaimana firman Allah SWT:

 الَّذِينَ يُنفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ

Maksudnya: “Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang.”

(Surah Ali Imran: 134)

Dr. Wahbah al-Zuhaili ketika mentafsirkan ayat ini menyebutkan bahawa antara ciri-ciri orang yang bertaqwa ialah orang yang menyembunyikan (menahan) kemarahannya serta mengawal dirinya agar tidak menyakiti orang lain dalam keadaan dia mampu untuk melakukannya. Hal ini adalah berdasarkan kepada sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menahan kemarahannya dalam keadaan dia mampu untuk melepaskannya, maka Allah akan memenuhkan di dalam jiwanya keamanan dan keimanan.” (Lihat Tafsir al-Wasit, 1/238)

Definisi Marah dan Panas Baran

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, marah ialah berasa panas hati kerana ditipu, dihina dan lain-lain. Selain itu, perasaan marah adalah luahan emosi yang dialami setiap individu. Manusia mengekspresikan perasaan dan tingkah laku marah melalui proses peniruan yang dapat disaksikan dan dimodelkan dari persekitaran kehidupan harian.

Istilah baran pula menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, bermaksud pemarah, lekas pemarah, cepat naik darah, lekas marah dan sangat pemarah.[1]

Terdapat banyak faktor menyebabkan timbulnya perasaan marah ini. Kebiasaannya, ia dikaitkan dengan peristiwa atau situasi yang berlaku yang memberikan ancaman kepada diri seseorang individu. Setiap kepercayaan dalam pelbagai agama, meletakan amarah sebagai satu tingkah laku yang mendatangkan kemudaratan pada diri orang yang marah dan diri orang yang kena marah. Hal ini kerana perasaan marah boleh merenggangkan perhubungan siraturahim di antara satu sama lain.

Faktor yang Membawa kepada Sikap Panas Baran atau Marah Melampau

Banyak faktor mendorong seseorang menjadikannya bersifat panas baran atau kemarahan yang melampau. Antaranya, menurut Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohd. Suhaimi Mohamad, sikap panas baran adalah satu bentuk ekspresi emosi yang terpendam oleh individu sehingga­ melepaskan amarah dan sikap agresif yang tidak terkawal. Panas baran merupakan satu bentuk masalah kesihatan mental akibat ketidakupayaan mengawal perasaan marah sehingga bertindak agresif bagi menunjukkan kuasa dominan ke atas individu lain.

Kebiasaannya perkara tersebut bermula kerana matlamat diingini tidak dapat dicapai sehingga­ mendatangkan kekecewaan. Kemudian timbul rasa marah dan sikap agresif sehingga mencetuskan tingkah laku ganas semasa di bawah sedar sehingga boleh mencederakan orang lain.

Terdapat beberapa punca lain yang boleh mencetuskan sikap tersebut dalam diri seseorang seperti melepaskan perasaan marah yang sudah lama dipendam atau sesuatu konflik yang sering menimpa diri sendiri. Antara faktor pencetus adalah gerak hati untuk melepaskan perasaan marah atau geram yang sudah lama terpendam. Selain itu, sikap itu juga diperoleh menerusi pembelajaran sosial mengenai tingkah laku panas baran yang dipelajari daripada individu lain sebagai tindak balas kepada tekanan persekitaran.

Di samping itu, beliau turut menasihatkan agar orang ramai dapat menge­lakkan diri daripada melakukan sebarang provokasi terhadap individu panas baran selain individu yang ada sikap berkenaan bertemu pakar psikologi. Provokasi kepada pelaku panas baran mudah mencetuskan tindakan agresif kerana sifat ini sesuatu yang sukar dikawal. Jika berpanjangan boleh menyebabkan tingkah laku ganas.[3]

Memetik kenyataan pakar pengamal am, Dr. Ramzdhan dalam satu soal jawab di sebuah portal kesihatan, faktor yang mendorong seseorang panas baran adalah daripada gejala tekanan berlebihan. Ekoran daripada tekanan tersebut, sikap berang dalam diri individu yang berdarah panas itu lebih membuak-buak sehingga pasangan mereka turut terkesan.

Sementara Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara yang juga pengamal ilmu kaunseling, Dr. Airil dalam satu artikel menyatakan, marah adalah suatu tindak balas semula jadi dan secara automatik terhadap kesakitan fizikal atau lazimnya kerana gangguan emosi. Namun begitu, emosi marah boleh dikawal dengan memberi ruang dan peluang kepada diri sendiri untuk bertenang selain mengosongkan fikiran. Hal ini kerana individu terbabit tidak mendapat rehat yang cukup.[4]

Secara umum, masalah panas baran mungkin berpunca daripada beberapa perkara, antaranya ialah:

  • Stres berlebihan
  • Kurang rehat
  • Kegelisahan (anxiety)
  • Trauma dan kenangan pahit pada masa lampau[5]

Menurut portal MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia, sikap panas baran sering dikaitkan dengan penghidap kemurungan. Kelakuan ini boleh ditafsirkan sebagai melankolik walaupun itu sebenarnya bukan apa yang mereka rasakan. Ini kerana kemurungan adalah masalah kesihatan yang tidak boleh dilihat atau diukur.

Jika seseorang yang kita kenali mengetahui bahawa mereka murung dan berkongsi masalahnya dengan kita, kemungkinan pada awalnya kita akan keliru jika kelakuan sebelumnya tidak sesuai dengan tanggapan biasa orang mengenai kemurungan yang diiringi dengan sifat malu dan pendiam. Jika mereka cepat marah dan mudah  merasakan sesuatu perkara itu menjengkelkan, itu sebenarnya merupakan salah satu  kesan sampingan kemurungan.[6]

Al-Qur’an dan Pengurusan Sifat Marah

Sebagai manusia, kita adalah makhluk yang sentiasa bergelut antara emosional dan rasional. Kemarahan adalah salah satu daripada bentuk emosi dan ia adalah antara yang paling kuat mempengaruhi seseorang manusia. Segala puji bagi Allah yang telah mengkhabarkan kepada kita bagaimana untuk menanganinya dan menguruskannya di dalam al-Qur’an. Allah telah menasihati kita untuk menahan kemarahan kita dalam semua keadaan, tidak kira betapa besar ujian yang dihadapi. Firman Allah SWT:

 الَّذِينَ يُنفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ

Maksudnya: “Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang.”

(Surah Ali Imran: 134)

Allah SWT juga telah menyebut tentang pengurusan sifat marag dan budaya memaafkan kesalahan secara berulang kali dalam Al-Quran dengan memberikan contoh melalui nabi-nabi-Nya. Firman Allah SWT:

 لَئِن لَّمْ تَنتَهِ لَأَرْجُمَنَّكَ ۖ وَاهْجُرْنِي مَلِيًّا قَالَ سَلَامٌ عَلَيْكَ ۖ سَأَسْتَغْفِرُ لَكَ رَبِّي ۖ إِنَّهُ كَانَ بِي حَفِيًّا

Demi sesungguhnya jika engkau tidak berhenti daripada menyeru dan menasihati daku sudah tentu aku akan melontarmu dengan batu; dan (ingatlah lebih baik) engkau tinggalkan daku sepanjang masa. Nabi Ibrahim berkata: “Salam sejahtera ayahku; aku akan memohon kepada Tuhanku mengampuni dosamu; sesungguhnya Ia sentiasa melimpahkan kemurahan ihsanNya kepadaku.

                                                                                                                                                         (Surah Maryam: 47)

Lihat bagaimana Nabi Ibrahim menguruskan sikap marah ayahnya. Ucapan yang ringkas nampak banyak yang boleh kita pelajari daripadanya.

Pada ayat-ayat lain, pengurusan sifat marah telah disebutkan di dalam Al-Quran, dengan jaminan bahawa mereka yang dapat mengawal kemarahan sebagai dikasihi-Nya. Firman Allah:

فَمَا أُوتِيتُم مِّن شَيْءٍ فَمَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَمَا عِندَ اللَّهِ خَيْرٌ وَأَبْقَىٰ لِلَّذِينَ آمَنُوا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ. وَالَّذِينَ يَجْتَنِبُونَ كَبَائِرَ الْإِثْمِ وَالْفَوَاحِشَ وَإِذَا مَا غَضِبُوا هُمْ يَغْفِرُونَ

Oleh itu, apa jua yang diberikan kepada kamu, maka ia hanyalah nikmat kesenangan hidup di dunia ini sahaja, dan (sebaliknya) apa yang ada di sisi Allah (dari pahala hari akhirat) adalah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhannya; Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji; dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya;

                                                                                                                                                   (Surah al-Syura: 36-37)

Hadis dan Pengurusan Sifat Marah

Rasulullah SAW sendiri pernah berasa marah dalam beberapa keadaan. Namun, diceritakan bahawa Baginda tidak akan marah jika melibatkan urusan dunia atau urusan peribadi. Sebaliknya, Baginda akan marah jika melibatkan perkara yang menyanggahi kebenaran.

Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada al-Hasan bin Ali yang bertanya kepada bapa saudaranya, Hindun bin Abu Halah berkenaan gambaran bagaimana Rasulullah SAW bercakap. Lalu beliau menceritakannya dan di antara perkara yang disebutkan ialah:

وَلَا تُغْضِبُهُ الدُّنْيَا، وَلَا مَا كَانَ لَهَا، فَإِذَا تُعُدِّيَ الْحَقُّ لَمْ يَقُمْ لِغَضَبِهِ شَيْءٌ حَتَّى يَنْتَصِرَ لَهُ، وَلَا يَغْضَبُ لِنَفْسِهِ، وَلَا يَنْتَصِرُ لَهَا

Maksudnya: “Urusan dunia dan isinya tidak pernah membuatkan Baginda marah. Namun, jika kebenaran disanggah, Baginda tidak akan berdiam diri sehingga kebenaran itu ditegakkan. Baginda juga tidak pernah marah dan tidak memperjuangkan kepentingan peribadi.”

Riwayat al-Tirmizi dalam al-Syama’il al-Muhammadiyyah (226)

Sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Rasulullah SAW, bagaimana Rasulullah SAW mengajar kita cara berinteraksi dengan sebenarnya yang terkait dengan sifat marah. Kami kemukakan di sini, apa yang telah kami syarahkan dalam kitab al-Kafi Syarah Hadis 40 (hlm. 177-182):

Daripada Abi Hurairah RA bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW:

أَوْصِنِي، قَالَ: لَا تَغْضَبْ فَرَدَّدَ مِرَارًا، قَالَ: لَا تَغْضَبْ

Maksudnya: “Wasiatkan kepadaku. Sabda Baginda: “Janganlah marah.” Kemudian beliau berulang kali bertanya. Sabda Baginda: “Janganlah marah.”

Riwayat al-Bukhari (6116) dan Muslim (2449)

Antara pengajaran dan petunjuk yang dapat diambil melalui hadith di atas ialah:

Pertama: Akhlak muslim sebenar ialah yang mempunyai sifat yang mulia, lemah lembut, merendah diri dan kasih kepada manusia, serta tidak menyakiti manusia yang lain. Di samping itu juga, dia dapat menahan dirinya ketika marah kepada orang lain dan bermanis muka dalam semua keadaan.

Kedua: Orang yang pemarah adalah orang yang berjiwa lemah dan rapuh, manakala orang yang mampu menahan marah adalah orang yang berjiwa kuat dan kukuh. Ukuran kuat dan lemahnya seseorang tidak dilihat daripada kemampuannya dalam memukul ataupun menendang tetapi dilihat sejauh mana dia mampu menahan hawa nafsu ketika sedang marah.

Ketiga: Imam al-Ghazali berkata: “Ahli ilmu berpendapat bahawa berlakunya sifat marah itu kerana urat saraf manusia ditarik oleh syaitan. Ini bermakna orang yang suka marah bererti telah mengikat persahabatan dengan syaitan.”

Keempat: Adapun maksud perkataan “Janganlah Marah” yang dikatakan kepada lelaki tersebut ialah jangan menuruti hawa nafsu kemarahan itu, dan bukanlah maksudnya melenyapkan sama sekali nafsu itu. Ini kerana kemarahan adalah satu-satunya daripada tabiat manusia yang tidak mungkin dihapuskan.

Oleh itu, maksud Rasulullah SAW dengan larangannya kepada perkara menimbulkan kemarahan itu dan Baginda bersabda dalam hadis yang lain: “Jauhilah kemarahan, kerana ia adalah bara api yang menyala-nyala dalam hati anak Adam. Cubalah lihat apabila salah seorang kamu dalam keadaan marah, kedua matanya merah, urat lehernya kelihatan timbul. Apabila salah seorang berasa marah, maka hendaklah dia berbaring atau duduk di atas bumi.”

Pernah juga Rasulullah SAW menerangkan: “Bahawa kemarahan itu daripada syaitan. Sesungguhnya syaitan itu dijadikan dari api. Api hanya dapat dipadamkan dengan air. Apabila seseorang dalam kalangan kamu marah maka hendaklah dia berwuduk.”

Kelima: Emosi kita harus matang terlebih dahulu dalam mengenali dan menerima diri sendiri. Jika tidak, tentu kita akan tersalah langkah dan perkara yang kita buat sudah tentu perbuatan yang salah. Akhirnya, kita berasa akan bersalah dan cemas kerananya.

Keenam: Seseorang yang cenderung menggunakan emosinya dalam berfikir menandakan bahawa emosinya belum matang. Kita perhatikan seorang yang sakit jantung, dia datang kepada doktor untuk berubat. Lantas disyorkan supaya berhenti merokok sementara, tetapi kerana emosinya dia mengabaikan saranan doktor tersebut. Maka apa yang berlaku? Dua bulan kemudian dia meninggal dunia akibat penyakit jantung yang parah.

Ketujuh: Jika kita menurutkan emosi yang meluap-luap sudah tentu kita akan kehilangan arah, ke mana akan melangkah dan apa yang harus dilakukan. Orang matang emosinya cukup mengenali dirinya sendiri untuk menyedari apa yang menganjal di hatinya dan menggunakan sejumlah pengetahuan yang diperolehi dari pengalaman sebelumnya. Ketidakmampuan untuk mengakui batas-batas kemampuan kita atau mengenali punca yang menjadi pencetus emosi kemarahan boleh mengakibatkan banyak kecemasan dan kekecewaan.

Kelapan: Luqman al-Hakim menasihati anaknya seraya berkata: “Hai anakku, tiga perkara tidak diketahui kecuali pada tiga keadaan. Orang yang sabar tidak diketahui kecuali ketika marah, orang yang berani tidak diketahui kecuali ketika perang dan sahabat sejati tidak diketahui kecuali ketika berhajat.”

Kesembilan: Pujangga berkata: “Jangan marah, sebab marah hanya akan merosakkan keadaan jiwa, mengubah perilaku, memburukkan pergaulan, merosakkan cinta dan memutuskan tali silaturahim.”

Kesepuluh: Ibn Rajab al-Hanbali berkata: “Lelaki tersebut datang menuntut daripada Nabi SAW untuk berwasiat kepadanya supaya beliau dapat memelihara diri daripada terjatuh ke lembah dosa. Jawapan Nabi SAW dengan jangan marah’ adalah kerana marah itu himpunan segala kejahatan dan menghindari himpunan segala kebaikan. Ada pendapat menyatakan lelaki tersebut bernama Jariah Bin Qudamah. Tetapi pendapat ini tidaklah kuat.”

Imam Ibn Daqiq al-‘Id berkata: “Sesungguhnya syaitanlah yang mendorong kepada kemarahan, kerana setiap orang yang menginginkan perkara yang terpuji, maka syaitan akan menahannya dan menjauhkannya merupakan أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّحِيمِ) dari keredaan Allah. Ucapan isti’azah senjata yang paling kuat untuk menolak tipu daya syaitan.”

Ketahuilah, banyak kesilapan yang terjadi dalam hidup sehingga kadang-kadang membawa ke tahap membunuh berlaku disebabkan kemarahan yang di luar kawalan.

Antara doa Nabi SAW ialah:

أَسْأَلُكَ كَلِمَةَ الحَقِّ فِي الغَضَبِ والرِّضَا

Maksudnya: “Aku bermohon kepada-Mu kalimah yang sebenar ketika marah dan juga redha.”

Riwayat al-Nasaie, Ibn Hibban, al-Hakim dan al-Baihaqi

Tips Mengawal Sikap Marah dan Panas Baran daripada Hadis

Sebenarnya, terdapat beberapa tip atau cara yang dapat kita amalkan dalam mengawal sikap amarah sebagaimana yang telah ditunjukkan kepada kita melalui petunjuk Nabi SAW. Antaranya ialah:

  • Mengambil wuduk. Hal ini adalah sebagaimana sabda Nabi SAW:

إِنَّ الْغَضَبَ مِنَ الشَّيْطَانِ وَإِنَّ الشَّيْطَانَ خُلِقَ مِنَ النَّارِ وَإِنَّمَا تُطْفَأُ النَّارُ بِالْمَاءِ فَإِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَتَوَضَّأْ

Maksudnya:Kemarahan itu berasal daripada syaitan dan syaitan itu pula dijadikan daripada api. Sesungguhnya api hanya dapat dipadamkan dengan air. Oleh itu, jika salah seorang daripada kamu berasa marah, hendaklah dia berwuduk.

Riwayat Abu Daud (4784)

  • Mengubah kedudukannya kepada duduk jika dia sedang berdiri, dan kepada berbaring jika dia sedang duduk. Daripada Abu Zar R.A, beliau berkata: Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda kepada kami:

إِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ وَهُوَ قَائِمٌ فَلْيَجْلِسْ فَإِنْ ذَهَبَ عَنْهُ الْغَضَبُ وَإِلاَّ فَلْيَضْطَجِعْ

Maksudnya:Apabila salah seorang daripada kamu berasa marah ketika sedang berdiri, maka hendaklah dia duduk. Jika kemarahannya itu hilang (ketika dia sedang duduk, maka hal itu adalah baik). Namun, sekiranya masih lagi tidak hilang, maka hendaklah dia berbaring.”

Riwayat Abu Daud (4782)

  • Beriltizam dengan wasiat Nabi SAW. Diriwayatkan daripada Abu Darda’ bahawa beliau berkata kepada Baginda SAW:

 يَا رَسُولَ اللَّهِ، دُلَّنِي عَلَى عَمَلٍ يُدْخِلُنِي الْجَنَّةَ قَالَ: لَا تَغْضَبْ

Maksudnya:Wahai Rasulullah, tunjukkan kepadaku amalan yang dapat memasukkan aku ke dalam syurga.” Baginda bersabda: “Janganlah kamu marah.

Lihat Ihya’ ‘Ulum al-Din, 3/165 dan al-‘Iraqi menyebutkan bahawa hadith Abu Darda’ ini telah diriwayatkan oleh Ibn Abi al-Dunya dan al-Tabarani dalam al-Kabir dan al-Ausat dengan sanad yang hasan. (Lihat juga Takhrij Ahadith Ihya’ ‘Ulum al-Din, 3/1801.

 

  • Mendiamkan diri. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Ibn Abbas, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

إِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَسْكُتْ

Maksudnya:Apabila salah seorang daripada kamu berasa marah, hendaklah dia diam.

Riwayat Ahmad (2136)

Ibn Rajab al-Hanbali menyatakan bahawa mendiamkan diri ketika marah merupakan penawar yang berkesan bagi sifat marah kerana ketika perasaan marah sedang membuak-buak berkemungkinan akan terkeluar daripadanya ungkapan-ungkapan yang tidak sepatutnya diucapkan seperti cercaan dan lain-lain yang akan mengakibatkan kemudaratan yang besar — seperti terguris perasaan orang lain atau mungkin akan memberi ancaman kepada diri sendiri. Oleh itu, apabila dia diam ketika sedang marah, maka hilangkan segala keburukan dan kemudaratan tersebut daripadanya. Lihat Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hikam, 1/406.

 

  • Mengucapkan isti‘azah berlindung daripada syaitan. Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا غَضِبَ الرَّجُلُ فَقَالَ: أَعُوذُ بِاللهِ، سَكَنَ غَضَبُهُ

Maksudnya:Apabila seseorang marah, hendaklah dia mengucapkan, ‘أَعُوذُ بِاللهِ’ (yakni Aku berlindung kepada Allah). Marahnya akan reda.” Lihat al-Jami‘ al-Sahih li al-Sunan wa al-Masanid oleh Suhaib ‘Abd al-Jabbar, 8/467.

 

  • Bersahabat dengan orang-orang yang baik.

Pilihlah orang-orang dengan sahabat yang baik dan akhlak yang mulia, mereka yang dapat mengawal diri daripada sifat kemarahan. Ini kerana seseorang terpengaruh dengan sahabatnya. Nabi SAW bersabda:

الرَّجُلُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ، فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلُ.

Maksudnya: “Seseorang lelaki itu berada di atas agama sahabatnya. Maka hendaklah salah seseorang daripada kamu meneliti dengan siapa dia berkawan.”

Riwayat al-Tirmizi (4833)

Syeikh Syams al-Haq dalam syarahnya menyebut : Lelaki iaitu manusia yang pada kebiasaannya berkawan akan mengikut kawannya dari segi perbuatan, perjalanannya, maka perhatikanlah dan selidikilah sesiapa yang kamu ingin berkawan. Sesiapa yang kamu redha tentang agama dan akhlaknya maka berkawanlah dengannya, sekiranya tidak, maka jauhilahnya. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 13/123)

  • Bacalah sejarah orang-orang yang bersabar serta kelebihan mereka yang menahan marah. Begitu juga sebaliknya, bacalah kerugian mereka yang tidak dapat mengawal emosi dan sifat marahnya yang berakibatkan kerugian dan kesesalan pada penghujungnya.

Kisah Nabi Musa AS dengan Iblis

Kisah ini disebutkan oleh Imam al-Suyuti dalam al-Durr al-Manthur (1/115) dengan menisbahkannya kepada Ibn Abi al-Dunya dalam Maka’id al-Syaitan (hlm. 65), daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, katanya:

Iblis bertemu dengan Musa AS lalu dia berkata, ‘Hai Musa, engkau orang yang dipilih oleh Allah untuk memikul risalah-Nya dan Allah telah berbicara denganmu secara langsung. Aku ini termasuk salah satu makhluk Allah, aku telah berbuat dosa dan aku ingin bertaubat. Mohonkanlah syafaat untukku kepada Rabb-ku agar Dia berkenan menerima taubatku. Kemudian Musa AS memohon kepada Rabb-nya, maka dijawab, “Wahai Musa, Aku telah memenuhi keperluanmu.”

Lalu Musa AS menemui Iblis dan berkata kepadanya, “Sesungguhnya kamu diperintahkan untuk bersujud kepada kubur Adam, nescaya taubatmu akan diterima. Iblis bersikap sombong dan marah, seraya berkata, “Aku tidak mahu bersujud kepadanya ketika dia masih hidup, lalu apakah aku akan bersujud kepadanya ketika dia sudah mati?’

Iblis melanjutkan perkataannya, “Wahai Musa! Kamu mempunyai hak kerana kamu telah memohonkan syafaat untukku kepada Rabb-mu. Ingatlah aku dalam tiga keadaan, sebab aku tidak akan membinasakanmu pada tiga keadaan itu:

Ingatlah aku ketika kamu sedang marah, kerana aku mengalir di dalam darahmu.

Ingatlah aku ketika kamu pergi ke medan perang, kerana sesungguhnya aku datang kepada anak keturunan Adam ketika dia berangkat ke medan perang, lalu aku mengingatkan dia akan anaknya, isterinya, dan keluarganya, hingga akhirnya dia berpaling meninggalkan medan perang.

Berhati-hatilah bila duduk dengan seorang perempuan yang bukan mahrammu, kerana sesungguhnya aku menjadi utusannya kepadamu dan menjadi utusanmu kepada dirinya.

Kisah ini turut disebut oleh Ibn ‘Asakir dengan sanadnya dalam Tarikh Dimasyq (61/128), sepertimana disebut juga oleh al-Ghazali dalam Ihya’ Ulum al-Din (3/32), Ibn al-Jauzi dalam Talbis Iblis (hlm. 29), Ibn Hajar al-Haitami dalam al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kaba’ir (1/140), Abu al-Laith al-Samarqandi dalam Tanbih al-Ghafilin (hlm. 206), dan al-Syibli dalam Akam al-Marjan fi Ahkam al-Jan (hlm. 271)

Penutup dan Syor

Sesungguhnya, sikap panas baran berakhir dengan kecewa dan kesesalan yang memanjang dalam episod kehidupannya. Kami pernah bertemu dengan banduan akhir yang menceritakan kisah panas barannya bergelut dengan isteri yang akhirnya menyebabkan isterinya meninggal dunia. Maka kesnya disabitkan dengan akta di bawah 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati. Alangkah baiknya jika kita mengambil pengajaran dari kisah-kisah sebegini.

Pernah ditanya Ahnaf bin Qais, bagaimana dia boleh mengekalkan sifatnya yang lemah lembut itu. Ahnaf menjawab: “Aku belajar dengan Qais bin Asim, di mana pada suatu hari, dia sedang berehat-rehat. Kemudian masuk hambanya membawa pemanggang besi yang berisi daging panggang yang masih panas.

Belum sempat daging itu diletakkan di hadapan Qais, tanpa sengaja besi pemanggang yang panas itu jatuh terkena anak kecil Qais. Menjerit-jeritlah si anak, kesakitan dan kepanasan sehingga meninggal dunia. Qais yang melihat peristiwa itu dengan tenang berkata kepada hambanya yang sedang pucat dan menunggu hukuman “Aku bukan sahaja tidak marah kepada kamu tetapi mulai hari ini aku akan membebaskan kamu.” Begitulah sopan santunnya dan pemaafnya Qais bin Asim” Kata Ahnaf mengakhiri ceritanya. (Lihat Wa Tilka al-Ayyam, hlm. 276)

Bukannya Qais tidak menyayangi anaknya tetapi Qais memandang segala kejadian itu adalah dari Allah. Jikalau dia bertindak memarahi hambanya, maka hakikatnya dia memarahi Allah. Dia redha dengan ujian yang ditimpakan kepadanya. Tidak ada di dalam kamus hidupnya perkataan kalau atau barangkali. Hatinya tidak terasa dia “tuan” kerana apa yang ada padanya dirasakan amanah dari Allah. Yang bila sampai ketikanya Allah akan ambil kembali.

Masalah panas baran adalah berkaitan dengan kesihatan mental serta tekanan emosi. Ia adalah antara isu kesihatan awam yang semakin penting terutamanya selepas pandemik COVID-19. Terdapat trend peningkatan lima kali ganda bagi tahun 2022 berbanding tahun 2020, bagi mereka yang mendapatkan bantuan menerusi Talian Bantuan Perkhidmatan Sokongan Psikososial (MHPSS) di bawah Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Daripada 9 teras Dasar Keselamatan Negara 2021-2025, isu kesihatan mental ini merujuk kepada Teras yang ke-8 iaitu Keselamatan Rakyat dan salah satu daripada 153 item dalam Matriks Keselamatan Negara adalah Pengukuhan Kesihatan Minda dan Ketahanan Rakyat.

Semua kementerian berkaitan perlu bekerjasama dalam ruang lingkup bidang tugas masing-masing, samada di peringkat pencegahan, rawatan semasa, dan pemulihan. Semasa zaman saya berada dalam Kabinet Malaysia, antara inisiatif yang diwujudkan adalah projek masjid sebagai pusat transit keganasan rumah tangga, di bawah Pelan Pengimarahan Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan 2020-2024 melalui teras Sosial, Komuniti dan Alam Sekitar. Tidak dapat dinafikan, keganasan rumah tangga berpunca daripada sikap panas baran dalam kalangan pasangan.

Pada peringkat awal, dua buah masjid telah dipilih sebagai perintis iaitu Masjid Wilayah Persekutuan dan Masjid al-Ghufran, Taman Tun Dr. Ismail. Manakala, 12 buah masjid di Wilayah Persekutuan telah dipilih menjadi pusat aduan dan khidmat kaunseling kepada mangsa-mangsa keganasan rumah tangga yang memerlukan khidmat nasihat, sokongan psikologi dan kaunseling di samping memperkasakan lagi komuniti melalui sokongan psikososial dan penganjuran pelbagai aktiviti yang dapat meningkatkan kesedaran berkaitan isu-isu jenayah rumah tangga di dalam masyarakat. Saya berpandangan, inisiatif yang wajar diteruskan dan diberi penambahbaikan oleh mana-mana Kerajaan yang mentadbir.

Akhir kalam, kami melihat sudah sampai masanya Kerajaan memandang serius hal ini dan menzahirkannnya melalui pelan tindakan yang jelas. Antaranya adalah:

  • Mengembangkan dan melaksanakan Dasar Pengurusan Stres yang komprehensif untuk penjawat awam, dengan menekankan penilaian risiko, sokongan emosi, fleksibiliti kerja, dan program kesihatan.
  • Menyelenggara program pelatihan dan kesedaran komprehensif untuk meningkatkan kesedaran penjawat awam tentang pengurusan stres pasca COVID-19, serta memberikan kemahiran dan alat yang diperlukan untuk menguruskan tekanan.
  • Menyediakan mekanisme sokongan emosi dan sosial termasuk kerohanian agama-agama yang lebih proaktif, di setiap jabatan atau kementerian.
  • Penjawat awam yang berpotensi atau dianalisa sebagai mempunyai masalah kesihatan mental – termasuk stres dan panas baran –  perlu diwajibkan untuk melalui klinik khas dan pantauan pakar.
  • Walaupun kelihatan mudah, tetapi amalan memulakan tugas dengan bacaan doa mempunyai kesan yang amat baik samada dari sudut kejiwaan penjawatan awam, mahupun keberkatan daripada Allah SWT. Maka, jadikan ia sebagai kewajipan di setiap jabatan. Ia juga boleh dilaksanakan mengikut agama-agama lain selain Islam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Nota kaki:

[1] https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=baran

[2] https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/12/1190432/kronologi-kes-calon-spm-dilanggar-mati-berhampiran-sekolah

[3] https://www.kosmo.com.my/2022/05/19/individu-panas-baran-ada-masalah-mental/

[4] https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2023/07/jumpa-doktor-segera-kalau-panas-baran-suka-melenting/

[5] https://www.doctoroncall.com.my/tanya/soalan/adakah-panas-baran-tanda-masalah-mental/212055

[6] http://www.myhealth.gov.my/penghidap-kemurungan-tersembunyi-2/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *