Sabar Dalam Ujian

Mukadimah

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga, sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke hari kesudahan.

Dunia masa kini dikejutkan dengan penularan virus COVID-19 yang telah mencapai tahap pandemik sepertimana diisytiharkan oleh World Health Organization (WHO). Krisis wabak COVID-19 ini dilihat telah menjejaskan pelbagai aspek kehidupan manusia dalam menjalankan aktiviti seharian.

Sehingga kini, Covid-19 telah merebak dan menular dengan begitu pantas sehingga meragut ribuan nyawa dan menggugat kehidupan jutaan manusia dari segi ekonomi, kesihatan, pentadbiran, keselamatan dan lain-lain lagi.

Dalam kesempatan kali ini, kami terpanggil untuk membincangkan serba sedikit dari ayat 155 dari surah al-Baqarah iaitu berkenaan pelbagai bentuk ujian serta pentingnya kesabaran dalam menghadapinya. Allah SWT berfirman:

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”

Surah al-Baqarah (155)

Kami merujuk kepada beberapa tafsir dan pendapat ulama bagi mendapatkan kefahaman yang jelas dan tepat terhadap isu yang dibincangkan. Mudah-mudahan ia memberi manfaat kepada kita semua dalam mengharungi ujian ini. Amin.

Balaghah

Imam al-Qurtubi berkata, pada lafaz firman Allah:  “بِشَيْءٍ“ ialah lafaz mufrad namun maknanya adalah semua atau setiap. Al-Dahhak membacanya dengan “بِأَشْيَاء “, manakala jumhur membacanya dengan lafaz mufrad, iaitu sesuatu daripada ini, dan sesuatu daripada ini, maka sudah memadai menyebutnya di permulaan merangkumi semua jenis yang lain. [Lihat: Tafsir al-Qurtubi; 2/173]

Dr Wahbah al-Zuhaili menyebut, lafaz “بِشَيْءٍ” secara nakirah adalah bagi menunjukkan sedikit. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 2/37;

Syeikh Ali al-Tantawi berkata baris tanwin yang terdapat pada lafaz “بِشَيْءٍ” menunjukkan lafaz sedikit. [Lihat Tafsir al-Wasit; oleh Syeikh Muhammad al-Tantawi, 1/314].

Tafsir Umum Ayat

Ayat ini merupakan sebuah perkhabaran daripada Allah SWT buat pengikut-pengikut Nabi Muhammad SAW, bahawa Dia akan menguji mereka dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan dan kehilangan harta benda, jiwa ataupun nyawa (misalnya pemergian para sahabat, kerabat dan orang-orang yang dicintai) serta hasil tanaman (seperti kebun dan sawah tidak dapat dikerjakan sebagaimana biasa).

Lafaz “ولنبلونكم” adalah daripada perkataan bala iaitu ujian, huruf “و” di awal kalimah pula merupakan “واو القسم”, dan ujian adalah “جواب القسم” yakni jawapan kepada sumpah yang mahzuf (hilang) dan lafaz yang sebenarnya ialah: “والله لنبلونكم”. [Lihat: Tafsir al-Wasit; oleh Syeikh Muhammad al-Tantawi, 1/314].

Ibn Kathir menjelaskan: Allah SWT memberitahu bahawa Dia akan menguji hamba-hamba-Nya sebagaimana firman-Nya dalam suatu ayat yang lain:

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ حَتَّىٰ نَعْلَمَ الْمُجَاهِدِينَ مِنكُمْ وَالصَّابِرِينَ وَنَبْلُوَ أَخْبَارَكُمْ

Maksudnya: Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu.

Surah Muhammad (31)

Terkadang Dia memberikan ujian berupa kebahagiaan dan pada saat yang lain, Dia juga memberikan ujian berupa kesusahan seperti rasa takut dan kelaparan. Firman-Nya:

فَأَذَاقَهَا اللَّـهُ لِبَاسَ الْجُوعِ وَالْخَوْفِ

Maksudnya: “Oleh kerana itu Allah merasakan kepada mereka pakaian kelaparan dan ketakutan.”

Surah al-Nahl (112)

Kerana orang yang sedang dalam keadaan lapar dan takut, ujian pada keduanya akan terlihat sangat jelas. Oleh kerana itu Dia berfirman: “لِبَاسَ الْجُوعِ وَالْخَوْفِ” (pakaian kelaparan dan ketakutan). [Lihat: Tafsir Ibn Kathir; 2/5, Tafsir al-Qurtubi; 2/173].

Syeikh Abu Bakar al-Jazairi menyebut, Allah SWT pasti menguji hamba-hamba-Nya agar terlihat jelas siapa yang jujur hatinya dan siapa yang dusta, siapa yang sabar dan siapa yang berkeluh-kesah. Ini merupakan sunnatullah yang berlaku pada hamba-hamba-Nya. Hal itu kerana jika kesenangan sentiasa diperolehi oleh mereka yang beriman dan tidak diuji, tentu tidak terjadi percampuran antara yang benar-benar beriman dengan yang tidak. Hikmah Allah menghendaki untuk memisahkan siapa orang yang baik dan siapa orang yang buruk. Inilah tujuan dari ujian. Bukan untuk menyingkirkan keimanan yang ada pada diri orang mukmin dan bukan untuk mengeluarkan mereka dari agama. Ini kerana Allah SWT tidak akan mensia-siakan iman mereka. (Lihat Aisar al-Tafasir, 1/65)

Syeikh Ibn Atiyyah menukilkan di dalam tafsirnya, bahawa sebahagian ulama’ menafsirkan ayat ini bahawa kehendak daripadanya adalah beban jihad dan tanggungjawabnya. Maka, takut kepada musuh, menahan rasa lapar, kekurangan harta disebabkannya, kehilangan nyawa kerananya dan juga kemusnahan tanaman kerana serangan musuh, adalah disebabkan oleh jihad. [Lihat: Tafsir Ibn ‘Atiyyah; 1/227].

Tafsir Isu-isu Khusus dalam Ayat

  • Maksud “الْخَوْفِ” (Ketakutan)

Imam al-Tabari berkata: Pada lafaz بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ ini, Allah SWT tidak mengkhususkan ketakutan itu pada apa-apa. Ini kerana jenis ketakutan yang ditimpa ke atas mereka adalah berbeza. Kemudian, kalimah “من” di situ menunjukkan bahawa setiap jenis kesusahan yang dinyatakan dalam ayat tersandar pada kalimah “شيء”. Ia memberi makna pada asasnya iaitu “شيء من الخوف وشيء من الجوع” sehingga meliputi setiap jenis. Memadai dengan hanya menyebut lafaz “شيء” di permulaan ayat tanpa mengulanginya untuk setiap perkara. [Lihat: Tafsir al-Tabari; 3/220, Tafsir al-Tha’alabi; 1/339].

Beliau menambah lagi bahawa Allah SWT mungkin menguji mereka dengan sedikit ujian daripada ujian-ujian tersebut dan berkemungkinan juga lebih dahsyat daripadanya. [Lihat: Tafsir al-Tabari; 3/220].

Imam al-Tha’labi melalui tafsirnya menukilkan bahawa Ibn Abbas ketika menafsirkan ayat ini, menyebut bahawa perasaan takut yang dimaksudkan ialah takut terhadap musuh. [Lihat: Tafsir al-Tha’labi (al-Kasyf wa al-Bayan ‘an Tafsir al-Quran); 4/224, Sofwah al-Tafasir; oleh Muhammad Ali al-Sobuni, 1/94, Tafsir al-Jalalain; hlm.32, Tafsir al-Khazin; 1/94, al-Hidayah ila Bulugh al-Nihayah; 1/517, , al-Bahr al-Muhit; 2/55, Tafsir al-Tha’alabi; 1/339].

Abu Hayyan pula turut menukilkan pendapat Ibn Abbas, iaitu maksudnya ketakutan terhadap musuh. Dan ketakutan yang bersangatan berlaku ketika peperangan al-Ahzab. (Lihat al-Bahr al-Muhit, 2/55)

Imam al-Syafie pula memberikan tafsiran yang berbeza bagi setiap ujian yang disebut di dalam ayat ini. Berkenaan maksud  “وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ” , beliau menyatakan maksudnya adalah takut kepada Allah ‘Azza wa Jalla. [Lihat: Tafsir al-Tha’labi (al-Kasyf wa al-Bayan ‘an Tafsir al-Quran); 4/224, Tafsir al-Baidhawi (Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil); 1/114, Tafsir al-Qurtubi; 2/174, Tafsir al-Khazin; 1/94, al-Bahr al-Muhit; 2/55].

  • Maksud الْجُوع” (Kelaparan)

Imam al-Tha’labi menukilkan dalam tafsirnya bahawa Ibn Abbas mentafsirkan maksud “الْجُوعِ” adalah kelaparan dan kebuluran. [Lihat: Tafsir al-Tha’labi (al-Kasyf wa al-Bayan ‘an Tafsir al-Quran); 4/224, Sofwah al-Tafasir; oleh Muhammad Ali al-Sobuni, 1/94, Tafsir al-Jalalain; hlm.32, Tafsir al-Khazin; 1/94, al-Hidayah ila Bulugh al-Nihayah; 1/517, , al-Bahr al-Muhit; 2/55, Tafsir al-Tha’alabi; 1/339].

Imam al-Syafie pula menyebut, “الْجُوعِ“ adalah bermaksud puasa di bulan Ramadhan. [Lihat: Tafsir al-Tha’labi (al-Kasyf wa al-Bayan ‘an Tafsir al-Quran); 4/224, Tafsir al-Baidhawi (Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil); 1/114, Tafsir al-Qurtubi; 2/174, Tafsir al-Khazin; 1/94, al-Bahr al-Muhit; 2/55].

Syeikh al-Tantawi menyebut: “الْجُوعِ” adalah lawan kepada “الشبع” (kekenyangan). Maksudnya adalah kelaparan/kebuluran, dan ketidakmampuan untuk memperoleh bahan makanan serta keperluan mendesak kepadanya. (Lihat al-Tafsir al-Wasit, 1/314)

  • Kekurangan pada Harta Benda (نقص من الأموال)

Ibn Abbas mentafsirkan lafaz “ونقص من الأموال” dengan maksud kerugian dan juga kekurangan pada harta benda serta kemusnahan binatang-binatang ternakan. [Lihat: Tafsir al-Tha’labi (al-Kasyf wa al-Bayan ‘an Tafsir al-Quran); 4/224, Sofwah al-Tafasir; oleh Muhammad Ali al-Sobuni, 1/94, Tafsir al-Jalalain; hlm.32, Tafsir al-Khazin; 1/94, al-Hidayah ila Bulugh al-Nihayah; 1/517, , al-Bahr al-Muhit; 2/55, Tafsir al-Tha’alabi; 1/339].

Imam al-Syafie pula menjelaskan, “وَنَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ“ memberi erti pelaksanaan zakat dan juga pemberian sedekah. [Lihat: Tafsir al-Tha’labi (al-Kasyf wa al-Bayan ‘an Tafsir al-Quran); 4/224, Tafsir al-Baidhawi (Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil); 1/114, Tafsir al-Qurtubi; 2/174, Tafsir al-Khazin; 1/94, al-Bahr al-Muhit; 2/55].

Syeikh al-Tantawi menyebut: “الأموال” yakni sebarang pemilikan yang mempunyai nilai. Orang Arab secara urufnya menggunakannya pada haiwan ternakan secara khusus iaitu unta, lembu dan kambing. (Lihat al-Tafsir al-Wasit, 1/314)

Syeikh Abd al-Rahman al-Sa’di pula menyebut, perkataan “الأموال” adalah bentuk jamak dari perkataan “المال” yang bermaksud harta. Ia boleh difahami dalam bentuk sesuatu yang bergerak seperti haiwan ternakan atau dalam bentuk seperti emas, perak dan lain-lain. (Lihat al-Taisir al-Karim, hlm. 75)

  • Kekurangan pada Jiwa (الأنفس)

Ibn Abbas dinukilkan menyebut bahawa, yang dimaksudkan “الأنفس” ialah kematian dan juga pembunuhan. Dikatakan juga ia adalah penyakit dan juga penuaan.

[Lihat: Tafsir al-Tha’labi (al-Kasyf wa al-Bayan ‘an Tafsir al-Quran); 4/224, Sofwah al-Tafasir; oleh Muhammad Ali al-Sobuni, 1/94, Tafsir al-Jalalain; hlm.32, Tafsir al-Khazin; 1/94, al-Hidayah ila Bulugh al-Nihayah; 1/517, , al-Bahr al-Muhit; 2/55, Tafsir al-Tha’alabi; 1/339].

Imam al-Syafie turut menyebut dengan maksud yang hampir sama iaitu, “وَالْأَنْفُسِ“menunjuk kepada maksud kesakitan ataupun penyakit.

[Lihat: Tafsir al-Tha’labi (al-Kasyf wa al-Bayan ‘an Tafsir al-Quran); 4/224, Tafsir al-Baidhawi (Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil); 1/114, Tafsir al-Qurtubi; 2/174, Tafsir al-Khazin; 1/94, al-Bahr al-Muhit; 2/55].

  • Kekurangan pada الثمرات

Maksud  “الثمرات” sepertimana pendapat Ibn Abbas memberi erti kerosakan atau bencana, sehingga menyebabkan tiada keluar hasil tanaman seperti sebelumnya.

[Lihat: Tafsir al-Tha’labi (al-Kasyf wa al-Bayan ‘an Tafsir al-Quran); 4/224, Sofwah al-Tafasir; oleh Muhammad Ali al-Sobuni, 1/94, Tafsir al-Jalalain; hlm.32, Tafsir al-Khazin; 1/94, al-Hidayah ila Bulugh al-Nihayah; 1/517, , al-Bahr al-Muhit; 2/55, Tafsir al-Tha’alabi; 1/339].

Imam al-Syafie pula menyebut, “وَالثَّمَرَاتِ “ di sini bermaksud kematian anak-anak, kerana anak merupakan buah hati bagi seorang lelaki (bapanya).

[Lihat: Tafsir al-Tha’labi (al-Kasyf wa al-Bayan ‘an Tafsir al-Quran); 4/224, Tafsir al-Baidhawi (Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil); 1/114, Tafsir al-Qurtubi; 2/174, Tafsir al-Khazin; 1/94, al-Bahr al-Muhit; 2/55].

Abu Hayyan menyebut, “الثمرات” bermaksud berkurangannya hasil tumbuhan dan terputusnya keberkatan. Al-Qaffal berkata: Mungkin kekurangannya kerana ketandusan dan kegersangan, mungkin dengan meninggalkan tempat kerja untuk sibuk berjihad, mungkin dengan infaq kepada delegasi yang bertandang kepada Rasulullah SAW. Dikatakan: Dengan kemunculan musuh ke atas mereka. (Lihat al-Bahr al-Muhit, 2/55)

Mengapa Didahulukan Lafaz “الْخَوْف” (Ketakutan) ke atas “الْجُوع” (Kelaparan)?

Imam Ibn ‘Arafah al-Maliki dalam menjelaskan susunan ayat di mana dikehadapankan ungkapan perasaan takut menyebut, ia menunjukkan kelaparan itu lebih dahsyat daripada ketakutan. Katanya: “Sekiranya engkau kata bahawa ia (lapar) juga lebih dahsyat daripada kekurangan harta benda, maka aku katakan bahawa kekurangan daripada harta benda adalah lebih banyak terwujud dalam kalangan manusia daripada kelaparan di mana ia adalah seteruk-teruk mafsadah/kerosakan. Manakala kekurangan dalam nyawa, sakit atau kematian adalah lebih teruk daripada kesemuanya.” (Lihat Tafsir Ibn ‘Arafah al-Maliki, 2/469)

Imam al-Qusyairi pula berkata, tujuan kurniaan dalam bentuk memberi makan dan keselamatan adalah agar mereka dapat menumpukan diri dalam beribadah kepada Allah SWT. Ini kerana seseorang yang tidak mencukupi dalam perkara-perkara tersebut tidak dapat sepenuhnya melakukan ibadat ketaatan, baik kekuatan mahupun hatinya tidak membantunya, kecuali apabila dia aman dalam segala hal. Allah SWT berfirman:

                             وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ

Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan (dengan merasai) kelaparan.”

Surah al-Baqarah (155)

Justeru, didahulukan perasaan ketakutan di atas sebarang bentuk bala’. (Lihat Lataif al-Isyarat, 3/772)

Sesungguhnya rasa aman dari sebarang ketakutan merupakan salah satu nikmat terbesar. Imam al-Razi dalam tafsirnya menyebut: Sebahagian ulama’ ditanya, apakah rasa aman itu lebih baik daripada kesihatan? Maka dijawab, rasa aman itu lebih baik. Dalilnya adalah seandainya seekor kambing yang patah kakinya, maka ia akan sembuh dalam tempoh beberapa waktu sahaja. Namun, seandainya seekor kambing diikat pada satu tempat yang berdekatan dengan serigala, maka kambing tersebut tidak akan makan sehinggalah akhirnya ia mati. Hal ini menunjukkan bahawa bahaya yang disebabkan oleh rasa takut lebih besar daripada rasa sakit di badan.” (Lihat Mafatih al-Ghaib, 19/107)

Dr. Fadhil Soleh pula dalam kitabnya Lamasat Bayaniyyah li Suwar al-Quran al-Karim (1/91) dalam menjelaskan berkenaan susunan ayat ini menerangkan bahawa ayat ini membicarakan berkenaan peperangan. Apabila berlakunya peperangan, orang sudah tidak memikirkan tentang kelaparan lagi, tetapi fokus pemikiran mereka tertumpu pada hilangnya nyawa. Justeru, didahulukan perasaan takut ke atas rasa lapar.

Hal ini dapat difahami melalui ayat sebelumnya, firman-Nya:

وَلَا تَقُولُوا لِمَن يُقْتَلُ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ أَمْوَاتٌ ۚ بَلْ أَحْيَاءٌ وَلَـٰكِن لَّا تَشْعُرُونَ ﴿١٥٤﴾ وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

Maksudnya: Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela Ugama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya. Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:

Surah al-Baqarah (154-155)

Manakala dalam ayat yang lain, iaitu di dalam surah al-Nahl, Allah SWT mendahulukan ungkapan lapar (الجوع) kerana bersesuaian dengan konteks pembicaraan iaitu berkenaan rezeki. Firman Allah SWT:

وَضَرَبَ اللَّـهُ مَثَلًا قَرْيَةً كَانَتْ آمِنَةً مُّطْمَئِنَّةً يَأْتِيهَا رِزْقُهَا رَغَدًا مِّن كُلِّ مَكَانٍ فَكَفَرَتْ بِأَنْعُمِ اللَّـهِ فَأَذَاقَهَا اللَّـهُ لِبَاسَ الْجُوعِ وَالْخَوْفِ بِمَا كَانُوا يَصْنَعُونَ

Maksudnya: Dan (berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar) Allah memberikan satu contoh: Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan.

Surah al-Nahl (112)

Ibn Kathir menjelaskan: Yakni Allah SWT memakaikan dan merasakan kelaparan kepada penduduk Mekah setelah sebelumnya mereka memperoleh pelbagai jenis buah-buahan dan rezekinya datang dengan melimpah ruah dari segenap penjuru. Yang demikian itu kerana mereka menderhakai Rasulullah SAW dan menentangnya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/110)

Kepada Siapa Ditujukan Ayat Ini?

Ayat ini ditujukan kepada para sahabat Baginda SAW. [Lihat: Tafsir al-Tabari; 3/219].

Ibn al-Jauzi dalam tafsirnya Zad al-Masir (1/146) pula menyatakan, terdapat empat pandangan dalam menyatakan golongan yang dikehendaki dalam ayat ini, iaitu:

  • Para sahabat Nabi SAW secara khusus. Ini sepertimana pandangan Atha’
  • Mereka adalah penduduk Mekah
  • Ini akan terjadi pada akhir zaman
  • Ayat ini dimaksudkan secara umum

Sebab dan Hikmah Ujian

Imam al-Tabari menukilkan di dalam tafsirnya sebuah kalam daripada Abu Ja’far, katanya Allah SWT akan menguji hamba-hambaNya dengan sedikit kesusahan dalam perkara-perkara yang dinyatakan di dalam ayat (yakni ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, nyawa dan juga tumbuhan) adalah untuk mengetahui siapa yang mengikuti Rasul dan siapa yang membelakanginya sepertimana Allah SWT menguji mereka dengan menukarkan kiblat dari arah BaitulMaqdis ke arah Baitullah al-Haram.

Rentetan daripada ujian yang diturunkan Allah SWT buat hamba-hambaNya, maka dapatlah diketahui mereka yang sebenar-benar pengikut Nabi Muhammad SAW dan juga mereka yang munafik. [Lihat: Tafsir al-Tabari; 3/219, Tafsir al-Sa’di (Taisir al-Karim al-Rahman); 1/122].

Beliau menambah lagi: Allah SWT juga memberitahu bahawa para Nabi dan Rasul yang terdahulu juga turut menerima ujian daripada Allah SWT bertujuan untuk menyucikan hati mereka. [Lihat: Tafsir al-Tabari; 3/219].

Imam al-Baidhawi pula menjelaskan di dalam tafsirnya, bahawa ujian yang diturunkan ini adalah bagi menguji hambaNya, adakah mereka bersabar dan menerima ketentuan Ilahi apabila dihadapkan dengan ujian yang sedikit ini (sedikit itu adalah berdasarkan kepada kemampuan mereka menanganinya untuk meringankan mereka). Lantaran itu, ia merupakan bukti bahawa rahmat Allah SWT tidak terpisah jauh daripada mereka.

Beliau menambah lagi: Allah SWT memberikan khabar kepada manusia berkenaan ujian-ujiannya ini sebelum terjadi bagi menenangkan jiwa-jiwa mereka dan bersedia bagi menghadapinya (dengan bersabar). [Lihat: Tafsir al-Qurtubi; 2/174, Tafsir al-Baidhawi (Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil); 1/114, Adhwa’ al-Bayan fi Idhah al-Quran bi al-Quran; oleh Muhammad al-Amin bin Muhammad al-Mukhtar al-Shanqiti, 7/549, Tafsir al-Jalalain; hlm.32, Tafsir al-Wasit; oleh Syeikh Ali al-Tantawi,1/314, al-Kasyaf; oleh al-Zamakhsyari, 1/207].

Syeikh Ibn ‘Asyur menafsirkan ayat ini dengan katanya bahawa ayat ini terkait dengan surah al-Baqarah ayat 153: اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلاةِ. Begitu juga dia berkata bahawa ayat ini juga terkait dengan ayat ke-150 dalam surah yang sama: وَلِأُتِمَّ نِعْمَتِي عَلَيْكُمْ. Ayat ini mengajar orang Islam bahawa kesempurnaan nikmat dan kedudukan yang mulia di sisi Allah SWT tidak berubah sesama mereka dan mengikut kepada musibah-musibah duniawi yang berkaitan dengan sebab-sebabnya. Dan sungguh setiap musibah itu merupakan cerminan untuk menetapkan mereka dalam keimanan dan kasih sayang Allah SWT dan penyerahan diri terhadap ketentuanNya. Beliau juga menyebut bahawa tafsiran ayat ini sesuai dengan gambaran sepertimana ujian-ujian yang dihadapi ketika berlakunya peristiwa Perang Ahzab. [Lihat: Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir; 2/54].

Al-Razi berkata: Ada dua jawapan/wajah: Pertama, Allah SWT memberi khabar bahawa menyempurnakan syariat adalah suatu bentuk kesempurnaan nikmat, maka itu adalah cara menunjukkan rasa syukur, namun untuk menyempurnakan syariat tersebut tidak akan Berjaya melainkan dengan menanggung beberapa ujian dan mihnah, maka disebabkan itulah diletakkan suruhan supaya bersabar.

Kedua, Sesungguhnya Allah Taala telah mengurniakan nikmat kemudian menyuruh umatNya untuk bersyukur, kemudian diuji, maka Allah menyuruh mereka untuk bersabar. Kesemua ini adalah bagi memperoleh seorang lelaki yang mempunyai darjat dalam kesyukuran dan juga kesabaran secara bersama, maka sempurnalah imannya. Sepertimana kalam Nabi Muhammad S.A.W:

«الإيمان نصفان: نصف صبر ونصف شكر»

Maksudnya: “Iman itu ada dua bahagian: Sebahagian adalah sabar dan sebahagian lagi adalah syukur.”

[Lihat: al-Kasyaf; oleh al-Zamakhsyari, 1/207].

al-Qaffal berkata: Ayat ini terkait dengan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat ke-153, yakni dari sudut suruhan untuk sentiasa bersabar dan menunaikan solat kerana sesungguhnya kami akan menguji kamu dengan perasaan takut atau bimbang. [Lihat: Mafatih al-Ghaib (Tafsir al-Razi); 4/128].

Sayyid Qutb Rahimahullah berkata: “Penganut-penganut akidah itu pasti diuji dengan kesusahan agar pegangan hati mereka bertambah kukuh dan kuat. Ini kerana kesusahan dan penderitaan itulah yang dapat merangsangkan segala kekuatan dan daya tenaga mereka yang terpendam dan tersimpan. Ia dapat membuka pintu-pintu dan lorong-lorong rahsia di dalam hati yang tidak dapat diketahui oleh seorang mu’min kecuali dia berada di bawah tekanan kesusahan dan penderitaan. Nilai-nilai, ukuran-ukuran, kefahaman dan pemikiran tidak akan sihat, halus dan lurus kecuali dia berada di dalam suasana dugaan dan penderitaan yang menghilangkan selaput dari mata dan karat dari hati.” [Lihat: Tafsir fi Zilal al-Quran; 1/584].

Syeikh al-Khazin berkata di sebalik hikmah pengenalan/didahulukan pemberitaan ujian-ujian ini di dalam al-Quran agar seseorang hamba sekiranya dia telah mengetahui bahawa dia akan diuji dengan sesuatu, maka dia mendisiplinkan dirinya untuk bersabar dan apabila datang ujian, maka dia tidak akan menyesal. Begitu juga, apabila orang kafir melihat orang-orang Mukmin tetap teguh dengan pendirian agama mereka dan bersabar ketika turunnya wabak, maka dapatlah mereka mengenal pasti akan agama yang benar lalu dapat menyeru mereka memeluk agama Islam.

Beliau menambah lagi sesungguhnya Allah SWT memberi khabar berkenaan ujian ini sebelum ia berlaku, dan setelah ia berlaku, maka ia merupakan khabar ghaib (berita akan datang) dan menjadi mukjizat Nabi Muhammad SAW. [Lihat: Tafsir al-Khazin; 1/94, Tafsir al-Wasit; oleh Syeikh Ali al-Tantawi, 1/314 , al-Kasyaf; oleh al-Zamakhsyari, 1/207].

Sesunguhnya ujian-ujian seperti yang disebutkan itu pasti terjadi kerana dikhabarkan oleh Allah yang Maha Mengetahui. Ketika ia terjadi, akan ada dua kelompok manusia dalam hal cara menghadapinya; Ada yang berkeluh-kesah dan ada yang bersabar. Orang yang berkeluh-kesah akan memperoleh dua musibah, iaitu hilangnya apa yang dicintai dan tidak memperoleh pahala yang besar, bahkan dia memperoleh kerugian. Imannya melemah dan kesabaran, redha serta rasa syukurnya hilang. Musibah tersebut terasa semakin berat.

Adapun orang yang diberi taufiq oleh Allah SWT untuk bersabar ketika menghadapi musibah ini, dia tidak berkeluh-kesah sama ada dalam ucapannya mahupun dalam tindakannya, serta dia mengharapkan pahala dari Allah. Dia juga mengetahui bahawa pahala yang diperolehinya lebih besar daripada musibah yang menimpanya. Maka dia hanya merasakan satu musibah dan musibah tersebut menjadi ringan, bahkan nikmat baginya. Ini kerana musibah itu merupakan cara untuk memperoleh hal yang lebih baik dan bermanfaat. Oleh kerana itu, Allah SWT menyampaikan berita gembira kepada mereka yang sabar, yakni mereka akan memperoleh pahala tanpa syak lagi serta syurga-Nya. (Lihat Aisar al-Tafasir, 1/66)

Allah SWT menguji mereka dengan nikmat agar dapat menzahirkan rasa syukur mereka, dan menguji mereka dengan mihnah dan ujian adalah untuk menzahirkan sifat sabar mereka. Mereka diuji dengan ketakutan agar dapat  menyucikan hati mereka. Diuji dengan kelaparan dan kebuluran agar dapat menjaga jasmani mereka. Diuji dengan kekurangan harta agar menyucikan diri mereka dengannya. Diuji dengan kehilangan nyawa agar dapat merendah diri sebagai suatu bentuk ibadat kepadanya. Diuji dengan kemusnahan tanaman agar dapat meninggalkan apa yang diharapkan untuk diperolehi dari lebihan hasilnya. [Lihat: Lathaif al-Isyarat; 1/139].

 

Khabar Gembira ke atas Orang yang Bersabar

Semua hal yang dinyatakan di dalam ayat ini dan yang semisalnya adalah sebahagian dari ujian Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Barangsiapa bersabar, maka Dia akan memberikan pahala baginya. Dan barangsiapa yang berputus asa kerananya, maka Dia akan menimpakan seksaan terhadapnya. Oleh kerana itu, di sini Allah SWT berfirman:

وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

Maksudnya: Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.

Surah al-Baqarah (155)

Imam al-Qurtubi menafsirkan ayat ini dengan katanya bahawa ganjaran pahala disediakan dan dijanjikan oleh Allah SWT bagi mereka yang bersabar. Asal bagi sabar pula adalah penahanan, dan pahala baginya adalah tidak terhitung banyaknya. Namun, ia tidak akan diperolehi melainkan kesabaran itu berlaku ketika di awal ujian sepertimana sebuah hadith Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Anas Bin Malik R.A:

إِنَّمَا الصَّبْرُ عِنْدَ الصَّدْمَةِ الْأُولَى

Maksudnya: “Sesungguhnya kesabaran itu adalah ketika mana kejutan yang pertama. “

Riwayat al-Bukhari (1283), Muslim (926) [Lihat: Tafsir al-Qurtubi; 2/174].

Allah SWT juga memberi khabar kepada orang Mukmin bahawa dunia merupakan tempat atau rumah ujian, dan Dia menguji manusia di dalamnya dan menyuruh mereka supaya bersabar, maka khabar gembira akan menanti buat mereka. [Lihat: Tafsir al-Tabari; 3/219, Tafsir al-Qurtubi; 2/174, Tafsir Ibn Kathir; 2/5].

Imam al-Tabari dalam tafsirnya, Allah SWT berkata: Bahagialah orang yang bersabar apabila ditimpa musibah ke atas mereka, lalu mereka mengucapkan lafaz istirja’. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.

Kemudian, Allah SWT menyebut kepada Nabi Muhammad SAW: “Wahai Muhammad, berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar dengan ujianku atas apa yang aku telah berikan ujian pada mereka, dan mereka yang menjaga diri dari melanggar larangan Allah, dan mereka yang mengambil tanggungjawab menunaikan kefardhuanku dalam keadaan ujianku menimpa mereka, dan juga mereka yang mengucapkan lafaz istirja’, maka Allah menyuruh Nabi Muhammad menyampaikan berita gembira dengan mengkhususkan orang yang sabar (atas ujian yang telah menimpa mereka) yang telah Allah sebutkan sifat-sifat mereka dalam ayat ini. [Lihat: Tafsir al-Tabari; 3/220].

Penutup

Penularan wabak COVID-19 yang telah mencapai tahap pandemik sepertimana diisytiharkan oleh World Health Organization (WHO) telah mengejutkan satu dunia. Krisis wabak ini dilihat telah menjejaskan kehidupan manusia dalam pelbagai aspek.

Ketakutan dan kebimbangan orang ramai dalam menghadapi krisis ini dapat dilihat dengan ketara. Contoh yang jelas dapat dilihat apabila berlakunya pembelian panik (panic buying) disebabkan timbulnya kebimbangan terhadap ancaman wabak ini. Ramai yang mengumpul barangan seperti topeng muka dan pencuci tangan sehingga ia sukar didapati di pasaran. Permintaan yang mendadak menyebabkan pasaran domestik menghadapi kekurangan bekalan serta menjejaskan bekalan semasa.[1]

Selain itu, kesan daripada pandemik ini turut dirasai secara psikologi sehingga menimbulkan gangguan dalam kehidupan seharian. Hal ini kerana penularan wabak ini bukan sahaja menjadi satu fenomena perubatan, malah ia turut mencetuskan krisis ekonomi secara tidak langsung. Tidak kurang yang hilang pekerjaan di samping ada yang ditawarkan cuti tanpa gaji. Justeru, kebimbangan yang timbul mengakibatkan pelbagai gejala seperti berasa cemas, sukar tidur dan ada yang merasa kesihatan mereka mula terjejas sehingga mengganggu kehidupan.[2]

Krisis wabak COVID-19 juga telah memberi kesan yang besar terhadap ekonomi dunia. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan pandemik COVID-19 akan mencetuskan kemelesetan ekonomi global pada 2020 dengan kesan buruknya sama seperti krisis kewangan pada 2008 atau lebih buruk lagi. Bagi ekonomi Malaysia, penganalisis tempatan dan luar negara menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara akan berkembang lebih perlahan berbanding unjuran kerajaan sekitar 3.6 peratus hingga 4.0 peratus. [3]

Dampak dari wabak Covid-19 ini telah menjejaskan sektor ekonomi negara yang merangkumi sektor pelancongan, sektor ekonomi dalam negara, sektor pengangkutan udara, sektor guna tenaga perniagaan dan lain-lain. Sekatan kemasukan pelancong asing dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengakibatkan aktiviti pelancongan domestik terjejas. Kekurangan pengeluaran bahan mentah di negara seperti China pula memberi kesan terhadap sektor pembuatan automobil dalam negara. Operasi penerbangan segmen luar negara yang terpaksa dihadkan atau diberhentikan menjejaskan sektor pengangkutan udara. Manakala kesan daripada pekerja yang terkena jangkitan COVID-19 serta arahan PKP memberi kesan terhadap guna tenaga perniagaan yang seterusnya mengakibatkan pengeluaran barangan dan perkhidmatan berkurangan. [4]

Kemuncak daripada pandemik wabak ini, menyaksikan angka kematian yang begitu dahsyat. Sehingga kini, jumlah kes akibat wabak ini telah melebihi 2.4 juta di seluruh dunia. Manakala kadar kematian mencatatkan sebanyak lebih daripada 160 ribu di seluruh dunia.[5]

Daripada apa yang berlaku di dunia pada masa kini, fahamlah kita terhadap apa yang telah difirmankan oleh Allah SWT sepertimana ayat yang telah dijelaskan.

Ujian-ujian melalui ketakutan dan kesusahan, kelaparan dan ketidakmampuan memperoleh bahan makanan, kerugian dan kekurangan pada harta benda, kematian diri dan orang yang disayangi akibat dari penyakit yang melanda memerlukan kita untuk bermuhasabah semula dalam menghadapi ujian ini dengan penuh kesabaran.

Justeru benarlah firman Allah SWT:

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”

Surah al-Baqarah (155)

Tuntasnya, kita selaku seorang Muslim hendaklah memandang ujian-ujian ini sebagai satu ujian yang diberikan Allah SWT bagi menilai tahap keimanan dan juga penghambaan diri kita terhadap-Nya.

Semoga Allah SWT mengurniakan kesabaran, ketabahan dan ketenangan bagi menghadapi ujian ini. Moga Allah SWT memberikan keringanan dan juga kemudahan dalam setiap urusan kita, menetapkan keimanan dan kekuatan jiwa serta memberkati segala amal perbuatan kita. Amin.

Kami tutup perbincangan ini dengan sebuah doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلاَءِ ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: Wahai Allah! Aku berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kesengsaraan, buruknya takdir dan kegembiraan para musuh (atas bala, ujian dan kesengsaraan yang menimpa). Riwayat al-Bukhari (6347) dan Muslim (2707)

Nota Hujung:

[1] Lihat laporan bertajuk Bekalan makanan kekal cukup semasa tempoh PKP, hanya jika... di portal Astro Awani. Diterbitkan pada 4 April 2020.

[2] Lihat tulisan Impak psikologi akibat wabak COVID-19 oleh Dr Firdaus Abdul Gani, Setiausaha, Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA). Diterbitkan pada Mac 14, 2020.

[3] Lihat COVID-19: Ekonomi Malaysia potensi alami kemelesetan teknikal separuh pertama tahun ini oleh Mahanum Abdul Aziz pada 27 Mac 2020.

[4] Lihat Krisis COVID-19 buka ruang reformasi ekonomi oleh Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari pada 26 Mac 2020.

[5] Angka yang dicatatkan sehingga 13 April 2020. Rujuk laman web World Health Organization (WHO).  https://www.who.int/emergencies/diseases/novel-coronavirus-2019/situation-reports

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *